Pages

Subscribe:

Tuesday, June 22, 2010

Susah Senang Sentiasa Seiringan


Berapa banyakkah perkara mudah yang telah kita lakukan dengan sempurna? Dan berapa banyak pula perkara susah yang telah kita tinggalkan tanpa sebarang usaha? Mungkin, telah banyak perkara mudah yang kita hadapi dengan jayanya. Kita juga telah menyempurnakannya tanpa memerlukan tenaga dan kudrat yang kuat. Perkara yang sukar pula, kita hanya mengeluh, merungut, dan membebel sedangkan usaha bagi perkara itu masihpun belum dimulakan. Mengapa? Jawaban mudah, “Susahlah!”.

Apakah di dunia ini hanya ada perkara yang mudah-mudah sahaja? Ataupun sejak kita dilahirkan di dunia ini, kita dibenarkan untuk memilih samada susah atau senang? Tidak ada kesenangan tanpa kesusahan yang menyapa. Juga tidak ada kesusahan tanpa kesenangan yang menerpa. Jika kita perlu memilih samada senang atau susah dalam kehidupan, pasti kehidupan ini tidak bermakna. “Hidup tidak ada cabaran, bukanlah dinamakan kehidupan”.

Renung sahaja sirah Rasulullah dan para Sahabatnya. Mereka sanggup kesusahan dan berada di dalam keadaan susah untuk melihat Islam berada di dalam kesenangan dan ketenangan di masa depan. Dan pastinya kesusahan mereka dalam memperjuangkan agama Islam di dunia akan membuahkan hasil dan kesenangan ketika berada di Padang Masyar dan kesenangan itu akan berlanjutan sehingga ke Syurga. Semua manusia mengimpikan perkara ini, namun berapa ramaikah manusia yang berada di medan ini. Medan siasah. “Susah dahulu pendapatan, susah kemudian tiada gunanya”.

Mengapa perlu susah? Itulah tarbiyyah. Didikan dari Allah. Dengan pelbagai ujian yang melanda lautan kehidupan kita, akan mengingatkan kita bahawa kita hanyalah hamba. Justeru itu juga mengingatkan kita akan tujuan penciptaan kita di bumi-Nya. Kita sebagai Khalifah yang diciptakan untuk beribadah kepada Allah dan penciptaan kita bukanlah sesuatu yang sia-sia. Itu tujuan diberikan ujian. Hamba yang tidak berkuasa atas segala-galanya yang telah ditentukan oleh Allah. Kita hamba yang lemah dan hina. Hanya bergantung harap kepada Allah. Apakah layak untuk kita mempertikaikan setiap kejadian yang ditetapkan untuk kita lalui? “Kenapalah kesusahan ini aku yang perlu hadapi? Tidak pada orang lain?”. Kita hina sebagai hamba Allah, tetapi kita mulia sebagai Khalifah.

Singkirkanlah sifat bersangka buruk terhadap Allah kerana sikap kita yang bersangka buruk kepada Allah akan membuatkan kita jauh dari rahmatnya. Sedangkan setiap kali kita melakukan sesuatu kerja, pasti bibir kita tidak terlepas dari khalimah ‘Dengan nama Allah’ dan disambung pula dengan khalimah ‘yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang’. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Yakinlah, berdoalah dan mintalah apa yang kita inginkan dari Allah. Allah tidak pernah jemu mendengar permintaan hamba-hambaNya biarpun berulang kali.

Apakah ada manusia yang sanggup mendengar permintaan kita berulang kali? Mustahil ada. Sedangkan Allah tidak pernah jemu mendengar permintaan kita biarpun kita sering mengabaikan permintaanNya. Ini menandakan bahawa Allah itu memang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Janji-janjiNya adalah pasti dan mesti berlaku kerana Dialah yang menciptakan kita. Dia jugalah yang lebih mengetahui siapa diri kita daripada kita mengenali diri sendiri. Setiap permintaan yang kita ajukan kepada Allah akan diuji kita terleih dahulu, apakah kita bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang kita pinta kepada Allah? Jika kita bersabar dan bersyukur serta menyingkirkan kufur kepada syukur, berbahagialah kita dengan apa yang bakal kita perolehi kelak. Satu kita pinta, sepuluh ujian yang menimpa, seribu nikmat yang dikurnia. Tidakkah kita berbahagia dengan situasi sebegini? Syukur padaMu Ya Allah.

Bayangkan jika seorang anak kecil yang inginkan wang sebanyak RM10 dari ibunya yang dicintai dan disayangi. Si Ibu tidak terus memberikan wang sebanyak itu kepada anaknya, sebaliknya ‘disusahkan’nya seketika. Disuruh menyapu rumah, mengemas bilik, pergi ke kedai membeli barangan dapur, menyidai baju dan pelbagai lagi yang bersifat ‘ujian’. Bagaimana jika si anak itu memberontak tidak mahu melakukan kerja-kerja itu? Apakah masih bermurah hati seorang ibu untuk memberikan wang itu kepada anaknya? Mungkin ya, kerana mana-mana ibu pastinya menyayangi anak-anaknya. Ketahuilah bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang biarpun kita leka dengan amanahNya sebagai Khalifah.

Jika si anak itu begitu penyabar dengan ‘karenah’ ibunya yang memberikan pelbagai ‘ujian’ dengan penuh taat dan setia, pastinya bukan lagi RM10 yang menjadi habuan kepada anaknya dan mungkin juga RM50 yang bakal diberikan sebagai harga setianya sebuah kesabaran. Di mana kesabaran kita dalam menghadapi ujian? Sesungguhnya susah senang sentiasa seiringan. Tidak terpisah antara kedua-duanya kerana itulah fitrah kejadian. Kejadian yang telahpun dijadikan. Bersabarlah dan perpegang teguhlah pada Agamanya yang menawarkan kedamaian.

1 comments:

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment