Pages

Subscribe:

Monday, March 9, 2009

Kau Umpama Epal



“Mengantuknya!” jam di meja telah menunjukkan angka satu pagi. “Banyak lagi tugasan yang nak kena buat ni. Esok kena tunjuk pada penyelia PSM” rungut hati kecilku. Tidak dapat dinafikan. Waktu-waktu beginilah yang sering menjadi waktu ‘favourite’ bagi mahasiswa untuk ‘run’ sel neuron otak ataupun ‘defragment’ semula fail-fail yang telah di’save’ pada sesi siang hari. Adakalanya di waktu begini juga kerap mahasiswa menterpaksakan diri untuk melakukan tindakan ‘search’ ilmu yang telah di’save’ untuk di’paste’kan ke atas sekeping kertas putih.


“Ayat apa ni? Arghhh! Peningnya”. Sukar sebenarnya untuk memahami ayat kejuruteraan. Perlukan pemahaman yang jelas, ilmu yang luas, kajian yang ada ‘class’. Tatkala situasi ‘tidak faham’ bertembung dengan ‘mengantuk’, pastinya minda memerlukan sesuatu yang mampu memanaskan semula urat saraf pemikiran ini. Mata berkeliaran di atas meja. Ha! Rubik!... Yes! Tangan terus mencapai benda berwarna-warni itu.


Tapi, Isyh! Tak boleh. Nanti ada individu hentam dalam YahooGroup pulak. Rubik kembali ke ‘pangkal jalan’. “Nak minum Kopi Radik pun, dah lama terputus bekalan. Lainlah kalau PJI Tech nak bagi free”. Senyum sendirian. Minda ini bagaikan inginkan sentuhan aroma kopi sahaja waktu ini. Waktu begini semua kedai sudah tutup. Syiling dicatur dan langkah diatur. Menuruni anak tangga dengan penuh suasana romantis. Tujuan utama adalah mesin air. Setibanya di hadapan mesin air tersebut, kepingan-kepingan syiling itu di’tabung’kan, butang ‘Ali Cafe’ di tekan. Secawan ‘Ali Cafe’ berada di genggaman. Memilih untuk dihabiskan di kawasan kafeteria sahaja. Malas pula nak dibawa naik ke bilik. Memilih tempat duduk di sudut yang paling selesa. Air diteguk sambil minda mencari ilham yang mungkin bisa dijumpai secara ‘Adhoc’. “Mai Secawan!”. Bergurau sendirian. “Kalau ada kawan waktu ini, bolehlah juga diajak bersembang. Waktu macam ni, manalah ada sesiapa. Bergurau dengan diri sendiri saja lah”. Getus hati ini.


“Assalammu’alaikum, Bang”. Huh! Terkejut aku.

“Wa’alaikummussalam. Oh! Hang rupanya! Tak tidoq lagi ka?” soalku untuk memulakan Sembang Pagi.

“Kalau saya dah tidur, tak lah saya ke sini” Ujarnya sambil tersenyum.

Firdaus Nazri, sahabat prospek yang ku kenali di kolej kediaman.

“Lama lagi tak duduk kat sini?” soalnya.

“Sampai abis minum kopi. Pasai apa?”.

“Tunggu sini jap, saya nak beli air jugak” langkah yang sama diambil olehnya. Sebentar kemudian dia kembali duduk di hadapanku. Agak lama bersembang. Akhirnya dia memulakan satu persoalan.


“Bang, saya nak tanya satu soalan. Seandainya abang mengembara ke tempat yang jauh, abang tak makan dan minum selama satu hari. Tiba-tiba abang nampak satu pokok epal. Pokok tu penuh buah epal. Takde pemilik. Abang nak pilih buah epal yang ada di bahagian mana?” soalnya.

Mindaku mencari-cari jawapan. Teka-tekikah ini? Aku jawab secara logistik. “Kebiasaannya kita akan pilih yang paling bawah.” Aku mengharapkan itulah jawapan yang tepat. “Kenapa yang paling bawah?” Soalnya semula. “Senang dapat” Pintasku dengan penuh keyakinan.


“Sebenarnya, wanita ibarat buah epal. Lelaki pula ibarat pengembara. Dan kebiasaannya juga kita akan ambil sesuatu yang paling mudah untuk kita dapat sedangkan buah epal yang paling atas adalah yang paling berkualiti”. Pergh!!! Analogi lagi!


“Takkan kita nak ambil yang senang dapat kan? Pengembara datang lalu lalang sentuh buah epal kemudian pergi. Jadi, buah epal yang berada di paling bawah kita tak tahu pun berapa ramai pengembara yang dah sentuh. Kita sepatutnya cuba sediakan tangga yang kukuh untuk capai buah epal yang berada paling atas. Sebab buah epal itulah yang paling berkualiti dan menjadi impian semua orang”. Fuh! Siapa naqib dia ni? Nak kena belasah agaknya, buat modul ‘buah epal’ tak bagitahu aku! Kan dah kena tazkirah. Haha... Padan muka aku! Apalah sangat analogi ‘Rubik’ jika nak dibandingkan dengan analogi ‘Buah Epal’.


“Layak ke kita nak capai buah epal yang paling atas? Subuh pun susah nak bangun, macammana nak bina sebuah tangga yang kukuh?” Soalku memancing pendapat. “Itulah pasal. Nasiblah kalau kita dah cuba bina tangga yang kukuh, tiba-tiba ada orang lain datang bawa tangga dia dulu. Tak pasal pasal dia pula yang dapat” Katanya sambil ketawa. Seketika kemudian sahabat prospek ini mohon untuk pulang. Ada kerja yang perlu diselesaikan sebelum menjelang subuh esok katanya. Salam disambut. Bayangannya hilang dari pandangan.


Kini, aku keseorangan menghabiskan sisa-sisa kopi yang masih ada. Fikiranku melayang, aku memilih berdasarkan nafsu? Astaqfirullah... Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari nafsu yang membelenggu ini. Layakkah aku mendambakan epal yang paling atas sedangkan sewaktu program semester lepas pun ‘pumping’ baru 25 kali dah nak balik? Mengeluh sendirian. Aku perlu berubah. Aku juga perlu mengumpul kekuatan untuk membina sebuah tangga yang kukuh. Dapat miliki epal pada bahagian hampir atas pun sudah memadai meskipun aku tidak dapat memiliki epal yang paling atas. Bukan mudah untuk melukis pelangi di langit yang tertinggi jika tanpa hadir gerimis dan sinar mentari yang mengiringi. Bukan juga mudah untuk memiliki mutiara kasih jika tanpa diselami lubuk hati nurani ke dasar rasa yang paling dalam. Hanya Allah sahaja yang mengizinkan samada untuk mewujudkan pelangi ataupun menghadirkan sebutir mutiara kasih untuk kita. Air kopi dah habis. Aku perlu pulang ke bilik untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang.


Ingatlah wanita di luar sana. Tinggikanlah darjatmu. Jangan biarkan anda terus menjadi individu yang hanya menjadi sentuhan sang pengembara. Kerana “Kau Umpama Epal”.


“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (An Nuur, 24:26)


0 comments:

Post a Comment