Pages

Subscribe:

Sunday, July 25, 2010

Berhikmah Dalam Teguran

Indah sungguh panaroma di Pantai Merdeka, Kedah pada hari itu. Pelbagai gelagat yang boleh dilihat. Dari kejauhan kelihatan sebuah keluarga besar yang sedang menjalankan aktiviti ‘family day’ bersama anak-anak dan sanak saudara mereka. Tawa riang kanak-kanak berlari-lari berusaha menyempurnakan ‘misi’ yang telah diberikan kepada mereka. Beberapa kumpulan kecil begitu gigih bekerjasama dengan bekerja bersama-sama melakukan aktiviti itu. Prinsip berjemaah diaplikasikan oleh mereka. Perkara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan tekanan kerja, tekanan rumahtangga, dan juga tekanan di sekolah. Sekali-sekala aku melemparkan pandanganku ke tepian pantai. Mengamati ombak yang sentiasa memukul pantai. Silih berganti datang dan pergi.

Tiit.. tiitt..

Telefon bimbitku berbunyi. Aku menyeluk saku untuk mengeluarkan telefon bimbit. Membuka kotak mesej untuk mengetahui siapa yang menghantar mesej dan membaca mesej yang dihantarnya.

“Orang yang bercita-cita tinggi adalah orang yang menganggap teguran keras baginya lebih lembut berbanding sanjungan merdu seorang pengampu yang berlebih-lebihan.”

Aku memandang ke arah insan yang berada di sebelahku. Sharhan namanya. Senyumnya dilemparkan dan terus memandang ke arah kanak-kanak tersebut. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Duduk bersebelahan pun nak hantar mesej?” kataku agak sinis setelah sekian lama menyepi. Senyumannya terus melebar setelah mendengar kata-kataku. Aku ketawa kecil melihat gelagatnya. “Apa pendapat kau mengenai mesej itu?” soalnya sambil matanya ligat memerhatikan aktiviti ‘family day’ tersebut. “Mesej kau?” bicaraku menceriakan lagi suasana. Selang-seli bicara dan tawa.

Kembali kepada perbincangan, “Pada aku. Dunia kita sekarang sudah ketandusan dua jenis manusia. Pertama, orang yang boleh menegur secara berhadapan. Dan kedua adalah orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka.” Jelasku ringkas.

“Betul juga kata-kata kau. Kalau tegur secara berhadapan, nanti terasa pula individu yang ditegur. Disebabkan itulah kebanyakkan orang lebih suka untuk bercakap di belakang.” Perbincangan telah bermula. Kata Sharhan mengiyakan kata-kataku.

Aku terus berbicara, “Bercakap belakang lebih memeritkan sebab kita tidak tahu apa yang diperkatakannya pada orang lain. Mungkin berkata benar, mungkin juga tidak. Di hadapan kita lain katanya, di belakang pula sebaliknya. Dan akhirnya wujudlah satu kelompok yang banyak sifat syak wasangka dan berfikiran negatif. Tiada lagi sifat husnul zhon, bersangka baik. Tiada lagi perubahan yang dapat dilakukan.”

“Mungkin ketika kita hendak melakukan sesuatu perubahan, maka ada individu yang ‘berkata belakang’ ini akan mengatakan teguran kita adalah suatu yang negatif yang bertujuan untuk menjatuhkannya dan mesti dihalang. Caranya dengan menaikkan kebaikkannya serta menyatakan keburukkan pihak yang menegur. Kita tidak sedar, teguran secara berhadapan yang kita sangkakan menyakitkan itulah lebih berguna bagi kita untuk melakukan satu perubahan dalam hidup.” Sharhan terus melemparkan pendapatnya. Sharhan sedang memberi syarahan.

“Pengampu kuat, kerja tidak buat!” jeritku ke arah pantai. Sharhan hanya ketawa melihat gelagatku. Kanak-kanak tersebut terhenti seketika sambil melontarkan pandangan mereka ke arah kami. Kemudian mereka kembali meneruskan aktiviti mereka.

“Mungkin dia merasa dia hebat.” Kataku selang beberapa saat. “Orang lain membuat kebaikkan, dia yang mendapat nama.” huraian Sharhan membuatkan aku untuk terus mencari hujah.

“Bagaimana pula dengan orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka?” soalku. Bahagian kedua dari mesej yang dihantarnya kepadaku.

“Mungkin orang yang ditegur itu merasa dia hebat dan tidak boleh ditegur.” Suasana sepi seketika. “Bukankah kau sendiri pernah lalui situasi seperti ini?” soal Sharhan dan berpaling ke arahku. “Kau mengasingkan diri, menghilang entah ke mana. Kemudian muncul kembali dengan ‘penerimaan’ yang baru.” Aku pandang wajahnya. “Aku marah apabila ada orang lain yang menegur aku.” Kataku sambil tersenyum. Hanya tawa kecil yang mampu ku lepaskan sambil diiringi dengan keluhan perlahan. “Kau tegur orang lain, boleh pula. Orang lain mahu tegur kau, hilang mengasing diri.” katanya. Aku sedar aku yang bersalah pada waktu itu. Mujurlah aku sempat menemui beberapa hadis nabi dan ayat-ayat suci al-Quran yang memberi pilihan kepadaku samada aku ingin terus marah atau sabar. “Marah itu daripada Syaitan, Syaitan itu daripada api, api boleh dipadamkan dengan air, maka apabila kamu marah, berwudhuklah.” (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).

Sabda Nabi SAW, “Apabila kamu marah, maka jauhilah orang yang kamu marahi, berubahlah dari tempat kamu berdiri ketika marah. Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, hendaklah kamu duduk. Jika kamu marah dalam keadaan duduk,hendaklah kamu berdiri.”

“Dan Allah mencintai orang yang sabar.” (Ali-Imran: 146). “Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar.” (Al-Baqarah: 153)

Aku kembali bersuara, “Perlu dilihat juga pada individu yang menegur. Kalau orang yang menegur itu dalam keadaan marah dan bersuara lantang tanpa menghiraukan perasaan orang lain, tanpa menghiraukan pandangan orang lain, itulah yang akan menyebabkan orang yang ditegurnya mula memberontak.” Pintasku membela diri.

“Ada beza antara TEGAS dan MARAH?” soalnya lagi. Kali ini sasarannya adalah aku, individu yang ‘pernah’ ditegur dan ‘pernah’ tidak boleh menerima teguran dengan hati terbuka. “Kalau TEGAS, aku masih lagi boleh menerima. Asalkan dengan teguran BERHIKMAH!” sengaja ditekankan pada perkataan ‘berhikmah’ untuk menggambarkan bahawa semua masalah boleh diselesaikan dengan ‘pendekatan berhikmah’.

“Bermakna ketandusan dua jenis manusia ini masih lagi boleh disuburkan.” Sharhan terus berbicara. “Bagaimana?” soalku lagi.

“Pertama, orang yang boleh menegur secara berhadapan. Dia perlu mempunyai keberanian untuk menyatakan kebenaran. Jangan sesekali berkata-kata di belakang. Depan kata lain, belakang lain pula katanya.” Bicara Sharhan terhenti seketika. “Apabila kebenaran itu terlalu pahit untuk dinyatakan, maka ia akan diterjemahkan melalui pembohongan. Sebab itulah seseorang itu di hadapan kita dipuji, di belakang kita dikeji.“ jelas Sharhan.

Sambungnya lagi, “Kedua, orang yang boleh menerima teguran dengan hati terbuka. Orang yang menegur perlu bertegas dan bukannya berkeras. Manakala orang yang ditegur pula hendaklah bersangka baik dan bukannya bersyak wasangka.”

Anggukku perlahan tanda faham dengan huraiannya, “Walau apa pun hujahnya. Walau apa pun alasannya. Jawabannya tetap ada pada akal yang ligat berfikir dan hati yang sarat berzikir.” Konklusi ringkas aku berikan.

Seketika kemudian, kami berdua terkejut dengan larian kanak-kanak yang melintasi hadapan kami. Misi mereka pada kali ini adalah mencari plastik yang berwarna hijau dan kumpulkannya di kawasan aktiviti mereka. Kumpulan yang dapat mengumpulkan plastik hijau terbanyak akan dikira sebagai pemenang. Dalam hatiku terfikir, ada kebaikkan juga aktiviti ini dijalankan. Menggalakkan budaya menjaga persekitaran dari sampah sarap ke dalam jiwa kanak-kanak. Lebih baik jika plastik yang dikumpul itu tidak berpandukan warnanya. Asal sahaja plastik, semuanya dikumpul. Itu lebih baik.

“Kawasan kita telah diserang. Mari kita ke kawasan lain.” Kataku sambil berdiri. Tawa masih lagi menjadi selingan di dalam setiap perbicaraan kami. Lalu kami berdua bergerak ke tempat yang jauh sedikit dari aktiviti kanak-kanak itu. Topik perbincangan telahpun berubah. Namun, di hati masing-masing mengharapkan perubahan yang masih lagi boleh diubah di dalam diri masyarakat kita khususnya warga yang berada di dalam organisasi dan rakyat Malaysia amnya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sunday, July 18, 2010

Terasa Terasing

‘Terasa hati’ dan ‘Terasing diri’ adalah dua perkara yang berbeza. Apabila ianya disatukan, ia tetap membawa ke suatu dimensi yang sama. Terasa Terasing. Bergerak secara sesiri dan bukannya secara selari. Diri yang sering menegur kesalahan orang lain di pandangan mata, apabila dirinya ditegur pastinya akan terasa hati. Justeru, hati yang sudah terasa dengan sesuatu perkara atau teguran itu juga kebiasaannya akan mencari ruang berjauhan seketika dari situasi yang dilaluinya dengan cara bersendirian yang akhirnya membuatkan dirinya terasing. Mencari ketenangan dengan memahami semula ujian yang pernah dikatakan bakal dilalui dan kini sedang dilalui.

“Kenapa kita mudah marah apabila ada orang tegur atau kritik kita?” Soalku tiba-tiba. Rakanku terkesima seketika. “Siapa yang marah?” Soalnya untuk mengenalpasti siapa yang menegur dan siapa yang ditegur. “Aku.” Jawabku ringkas.

Kerja yang sedang dilakukannya terhenti sebentar. Mencari kekuatan untuk mengatakan sesuatu kepadaku. “Kau marah apabila ada orang tegur atau kritik kau?” soalnya lagi. Aku angguk lemah. “Sebab kau rasa kau sudah hebat. Hanya kau sahaja yang layak menegur orang lain sedangkan orang lain tidak boleh menegur kau.” Katanya keras.

Aku pantas merenung wajahnya. Mencari kebenaran kata-katanya. Benar! Terpancar keikhlasan dari matanya. Aku termenung sendirian. Jika benar itulah yang dikatakan, bermakna aku sudah tersasar dalam mentafsir erti ‘memberi’ dan ‘menerima’ yang aku pelajari selama ini. Aku berjaya ‘memberi’ kepercayaan kepada seseorang sedangkan pada masa yang sama aku telah gagal untuk ‘memberi’ harapan padanya. Berusaha menegakkan sesuatu, pada masa yang sama aku cuba meruntuhkan sesuatu. Dari sudut akal, aku telah berjaya. Dari sudut akhlak, aku kini kecewa.

“Cuba kau muhasabah diri. Apa yang kau sarankan pada orang lain, cuba kau sendiri yang laksanakan terlebih dahulu.” Kata temanku lagi. Memecah kesunyian. Melebur kebuntuan. “Apa yang kau tulis selama ini, keluarkan satu atau dua ayat yang boleh mengembalikan kau ke dunia realiti.” Sambungnya. Saat ini, aku bukan lagi ‘memberi’ sebaliknya aku sedang ‘menerima’. Benar kata orang. Kita tidak selamanya berada di dalam keadaan ‘memberi’, adakalanya kita perlu ‘menerima’ untuk meraikan orang lain yang sedang ‘memberi’. Aku di situasi ini.

Jika diikutkan perasaan hati, ingin sahaja aku meninggalkan kelebihan yang aku miliki ini. Membiarkan ia berlalu pergi. Namun, apabila kita hendak meninggalkan sesuatu yang ada pada kita, masih ada lagi orang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Aku hentikan perasaan untuk ‘berhenti’ dari medan ini. Aku teruskan. Namun, aku benci pada buruk sangka. Aku benci pada kekalutan minda. Aku benci pada istilah ‘benci’ di jiwa. Tetapi, kerana cintanya aku pada kedamaian. Cintanya aku pada persaudaraan. Cintanya aku pada ‘penerimaan kekurangan’. Semua itu kuketepikan. Semua itu aku akan terus harunginya dengan tabah. Inilah kehidupan yang perlu aku lalui.

Menyingkap kembali satu persatu istilah yang telahku gunapakai di dalam setiap penulisanku. Benar! Istilah-istilah yang acapkali aku gunakan adalah ‘Memberi dan Menerima’, ‘Syukur dan Sabar’, ‘Berfikir dan Berzikir’, ‘Fitrah dan Fikrah’, ‘Memahami dan Mengerti’, ‘Jauhkan Kufur Tingkatkan Syukur’, ‘Jiwa Hamba Minda Khalifah’ dan pelbagai lagi ayat yang bersifat win-win situation. Semua itu tidak bermakna buatku andainya aku sendiri tidak menghadamkannya ke dasar hati. Aku cuba kembali untuk kuburkan ilusi fantasi dengan delusi realiti. Berpijak di bumi nyata.

Hujung minggu itu, aku berjalan-jalan ke Kulim Landmark Bookstore. Sengaja aku pergi keseorangan. Mencari buku-buku yang boleh mendamaikan hati yang pasrah. Cuba menukarkan ‘marah’ kepada ‘ramah’ yang sedang tersemai di hati. Menukarkan ‘kecewa’ kepada ‘bahagia’ yang masih belum dibajai. Langkahku terhenti di satu bahagian buku. Bahagian terbitan Telaga Biru. ‘Sesejuk MAAF di kalbu’ yang ditulis oleh Nor Atiqah Ghazali. Membaca sejenak ringkasan kisah di kulit belakang buku itu.

Benarlah kata orang-orang lama. Maaf mampu menyejukkan marah yang membara. Maaf juga membuatkan kita terus ‘Memberi’. Maaf membuatkan kita sentiasa ‘syukur dan sabar’ sekaligus meleburkan kufur. Maaf akan menjadikan kita sentiasa ‘berfikir’ bahawa kita adalah ‘Khalifah’ dan ‘berzikir’ yang kita masih lagi ‘Hamba’. Maaf juga akan membuatkan kita ‘memahami dan mengerti’. Maaf jugalah yang akan membawa kita kepada ‘fitrah’ dan memperkasakan semula ‘fikrah’. Maaf adalah segala-galanya yang mampu racunkan benci dan tunaskan cinta.

Kembali kepada saranan rakanku “Keluarkan satu atau dua ayat yang boleh mengembalikan kita ke dunia realiti.” Masih terngiang kata-kata tegasnya padaku. Aku akur. Lembaran kisah yang terhasil sebelum ini ku untaikan satu persatu. Aku perlu sedar, yang tercalar bukanlah maruahku sebaliknya hanyalah egoku.

Hidup umpama aliran air. Terjun dari atas menuju ke bawah. Ada sebahagiannya berpusing-pusing di tebing, kemudian keluar dan ikut serta aliran air yang lain menuju ke destinasi akhir iaitu ke hilir (Mencari Siapa Diri). Untuk menjadi seorang yang memahami, cukup sekadar mendengar. Untuk menjadi seorang yang mengerti, kita perlu melaluinya dengan sendiri (Jadilah Pendengar Setia).

Tidak hairanlah orang lain tidak mahu mendengar kata-kata kita jika kita sendiri pun tidak mahu melaksanakan tugas ‘mendengar’ kata-kata orang lain (Cebisan Ilmu, Cabaran Amal). Kita hina sebagai hamba Allah, tetapi kita mulia sebagai Khalifah (Susah Senang Sentiasa Seiringan). Biarpun ia kelihatan bagai ilusi. Akan ku bumikan ilusi menjadi realiti (Warkah Fitrah Menggugah Fikrah).

Di manakah tahap aku sebenarnya? Aku terlalu baik atau aku bukan yang terbaik? (Antara Dua Pilihan). Memang diakui, agak sukar untuk memahami minda dan kerenah orang yang lain cara pemikirannya dengan kita, namun ini adalah cabaran bagaimana cara kita untuk mendekati golongan seperti ini (Kreativiti Membina Identiti). Lakaran pena yang indah dan ikhlas mampu untuk menembusi tempoh hati insani. Tulisan dari hati akan sampai jua pada hati (Optimis Seorang Penulis). Damaikanlah jiwa dengan sulaman berprasangka baik. ‘Husnul Zhon’ adalah kunci ukhwah sejati (Kesatuan Pemikiran). Harapnya kita takkan beralih. Biarpun idea sering tersisih. Kita juga mempunyai apa yang terkurang dan terlebih. Kerana kita adalah insan yang tepilih (Jalan Yang Ku Pilih). Dari hati seorang teman, mengingatkan diri pada tuhan (Dari Hati Seorang Teman). Hanya iman yang mampu menilai hikmah yang tersembunyi ini. Ketersembunyian yang tidak pernah aku fikirkan (Tersembunyi).

Anugerah paling istimewa bila kita memiliki sahabat, satu jiwa yang boleh dipercayai sepenuhnya, yang tahu buruk dan baiknya kita dan melebihkan kita dari segala keburukan kita. Terima kasih kerana menerima aku untuk 'telah' menjadi seorang dari ribuan sahabat-sahabatmu. Syukron..

Friday, July 9, 2010

Harapan Masih Lagi Berseri


“Harapan Masih Lagi Berseri”

“Sesuatu yang diharapkan tercapai pada esok hari
Tiada di genggaman seperti yang diimpikan
Usahlah dibimbangkan
Janganlah ditangiskan
Kerana hujan yang turun ke bumi
Bukanlah selamanya kan membasahi

Biarlah selama mana pun hujan membasahi
Ia pasti akan silih berganti
Disinari dengan cahaya sang mentari
Dan diiringi pula dengan warna si pelangi

Di situlah kita perlu yakin dan pasti
Harapan masih lagi berseri…”


-Helme Zulkipli -
09 Julai 2010 - Jumaat- 1:07am -

Monday, July 5, 2010

Tragedi Malam Jumaat

“Pas bola tu kat aku, Azam”
“Nah! Hati-hati. Dia ada di belakang!” tempit Farid pada Azam. Rancak sungguh mereka bermain bola sepak.
Jam telah menunjukkan pukul 6:59 petang. Tepat pukul 7:37 malam, azan maghrib akan berkumandang di corong pembesar suara surau. Tiada lagi reaksi yang mereka akan berhenti bermain. 2:2 keputusan permainan yang diperolehi. Ini membuatkan semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk memenangi permainan tersebut. 1 gol dikutip, pihak satu lagi pula tidak mahu mengalah. Masing-masing tidak mahu berundur dan akibatnya azan pun kedengaran.

Mereka terpaksa akur dengan laungan azan itu. Permainan dihentikan. Azam, Farid, dan rakan-rakannya pulang ke rumah masing-masing.

Selepas 5 minit, azan telah pun habis dilaungkan. Hanya menantikan waktu mendirikan solat sahaja. Azam dan Farid masih belum tiba ke rumah lagi.
“Azam. Ada apa-apa rancangan untuk malam ini?”
“Setakat ini... belum ada lagi. Kenapa?”
“Takdelah, aku ingat kau ada plan. Bolehlah aku join sekali.”
“Eh! Aku masuk rumah dululah. Dah sampai dah rumah aku.”
“Orait” mereka mengakhiri perbualan mereka.

Sepuluh minit telah berlalu...
“Eh! Farid, dah solat maghrib ke belum?”
“Mmm... belum lagi, ibu. Nanti sembahyanglah.”
“Lailah haillallah... kau dah lupa ke hari ini hari apa?”
“Ada apa ibu? Hari ni hari khamislah.”
“Ye lah, hari khamis orang di surau buat apa?”
“Ya Allah! Baca Yasin”
“Ha! Cepat sikit, ibu rasa dah orang surau dah habis solat berjemaah dah tu.”
“Minggu depanlah ibu.”
“pergi sekarang. Sembahyang di rumah dulu, kemudian baru pergi. Cepat sikit”

“Macam mana boleh terlupa ni?” dengus hati kecil Farid.

Wudhuk diambil, sejadah dihampar, takbir diangkat, solat dilakukan. Rakaat pertama, rakaat kedua, takhiyat awal, rakaat ketiga, takhiyat akhir, kedua-dua salam telah dilafazkan. Solat maghrib secara bersendirian selesai. Agak kelam kabut Farid menunaikan solat maghrib sebentar tadi. Memang benarlah kata para ulama, jika kita solat bersendirian, kemungkinan besar syaitan akan mengganggu. Maka dengan itu, solat kita menjadi tidak teratur, fikiran teringatkan perkara-perkara lain. Tidak khusyuk. Oleh itulah kita seharusnya solat secara berjemaah.

Farid melangkah keluar dari pintu rumah sambil dilaungkan kepada ibunya “Ibu! Farid keluar ke surau ye ibu”
Langkah demi langkah diatur Farid. Tetapi tidak terus ke surau, dia ke rumah Azam terlebih dahulu.
“Assalammu’alaikum”
“Wa’alaikummussalam... hah! Farid. Ada apa?”
“Tak nak ke surau ke?”
“Ada majlis apa?”
“Hahaha... kau pun sama macam aku”.

Azam bertambah bingung “sama macam dia? sama apa?” bisik hati kecil Azam.
“Hari ada majlis bacaan Yasin lah!”
“Ha ah laa... malam ni malam jumaat. Lantas Azam juga mengambil langkah yang sama iaitu melangkah pergi ke surau.

Setibanya di surau, jemaah telah pun duduk tahiyat akhir. Mujurlah Azam telah berwudhuk sebelum mereka ke surau. Tanpa membuang masa, Azam pun terus masuk dan solat berjemaah bersama jemaah yang lain. Farid pun mengambil langkah yang sama, iaitu berjemaah bersama dengan jemaah yang lain, supaya kelalaiannya di dalam solat bersendirian dapat ditampung dengan solat berjemaah tersebut.

Dikala imam memberikan salam kedua, Azam berdiri dan sambung untuk tiga rakaat seterusnya. Lima minit kemudian, Azam selesai solat maghrib, Selesai saja memberikan salam kedua, mereka pun terus menadah tangan membaca doa selepas solat.

Ada yang solat ba’diah, ada yang duduk di luar sambil bersembang. Farid dan Azam keluar dari surau dan berdiri sambil berbual-bual di berenda surau. Kedengaran suara Imam memberi salam kepada jemaah surau. Farid dan Azam serta jemaah yang lain terus masuk ke surau untuk memulakan bacaan Yasin.

Selepas Imam memberikan keterangan mengenai fadhilat membaca surah Yasin serta meminta para jemaah sedekahkan bacaan yasin kepada mereka yang telah tiada di alam fana ini, lantas mereka pun memulakan bacaan Yasin.

Bergema setiap ruang dengan suara para jemaah membaca surah Yasin. Sesekali Farid menjeling ke arah jemaah lain. Adakalanya dia memerhatikan lagak Azam yang berpura-pura membuka mulut membaca surah Yasin. Farid tahu yang Azam begitu lemah dalam membaca Al-Quran, masih lagi merangkak walaupun usianya telahpun menjangkau 16 tahun. Masih lagi terpancar daya usahanya untuk memperbaiki bacaannya.

Sedang asyik membaca surah Yasin, Jemaah diganggu dengan kerlipan lampu kalimantang di dalam surau. Lampu itu asyik berkelip-kelip tanpa henti. Dalam 10 hingga 15 saat kemudian, lampu itu terus terpadam. Suasana yang bergema dengan bacaan itu sepi serta merta. Pak Imam meneruskan bacaannya. Jemaah yang lain terus membisu. Farid begitu gementar. Apa yang terbayang di dalam fikirannya ialah ‘malam jumaat’. Dah banyak cerita didengarnya. Pelbagai cerita yang berlaku di malam Jumaat. Azam kelihatan tenang.

Dalam kesamaran, kelihatan satu lembaga bergerak pantas ke luar dari surau. Mulut Farid terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Walaupun berterabur bacaannya, dia tidak peduli. Dia terus mengulangi bacaan ayat kursi tersebut. Kemudian, Farid terdengar ada derapan tapak di luar surau, betul-betul di belakangnya. Bertambah laju Farid membaca Ayat Kursi walaupun pada akhir ayat tersebut Farid tersambung dengan Surah Al-Fatihah. Bayangan lembaga tadi muncul semula di dalam surau.

Farid melepaskan keluhan tanda lega. Rupa-rupanya lembaga yang dilihatnya tadi adalah bayangan Bilal yang keluar mencari beberapa batang lilin. Beberapa jemaah cuba membantu Tok Bilal menyalakan lilin.

Suasana kembali terang. Ada di kalangan jemaah meneruskan bacaan Yasin. Ada juga yang hanya bertindak untuk mendiamkan diri mendengarkan bacaan jemaah lain.

Seketika kemudian, lampu yang terpadam itu kembali terang semula. Keadaan sekeliling terang benderang seperti sebelumnya. Jemaah masih lagi seperti tadi. Ada yang tidak meneruskan bacaan, dan ada juga yang menyambung bacaan bersama Imam. Yang peliknya para jemaah semakin susut bilangannya. Farid menggelengkan kepalanya.

Pada akhir ayat Surah Yasin, kedengaran begitu kuat suara jemaah membacakan ayat tersebut. Hampir semua jemaah di situ mengeluarkan suara membaca ayat ke 83 surah Yaasin itu...

Imam meneruskan tugasnya membacakan beberapa lagi bacaan surah-surah lazim, berzikir dan berdoa. Suasana menjadi sunyi dan sepi kembali. Para jemaah khuyuk mendengarkan bacaan doa dari imam. Seketika kemudian, selesailah sudah majlis bacaan Yaasin.

Para jemaah yang hadir keluar ke berenda untuk menjamah sedikit jamuan yang disediakan pihak surau. Masing-masing heboh menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi, iaitu lampu yang terpadam. Pelbagai andaian yang dapat di dengar dari mulut jemaah yang hadir. Suasana kembali meriah, yang peliknya, kanak-kanak juga ada di suarau tersebut. Turut menghairankan jemaah yang hilang ketika lampu terpadam juga muncul tiba-tiba. Farid sekali lagi menggelengkan kepala.

Selesai menunaikan solat Isyak, mereka melangkah pulang ke rumah masing-masing. Sepanjang perjalanan Azam bercerita mengenai topik di surau tadi. Farid hanya mendengar sahaja, apa yang perlu ditambah, akan ditambahnya.

Setibanya di rumah, mereka meneruskan aktiviti-aktiviti masing-masing. Farid dengan kerjanya, Azam dengan kerjanya. Farid menjamah sedikit makanan yang disediakan oleh ibunya di rumah dan dia pun masuk ke biliknya. Dia melontarkan tubuhnya di atas katil.

Farid bingung dengan sikap yang ditonjolkan oleh para jemaah sebentar tadi. Dia terfikir-fikir bagaimanakah langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menyedarkan insan di luar sana akan kepentingan berilmu agama. Walaupun adakalanya Farid juga turut tertewas dengan godaan dunia, dia masih lagi terfikir akan iman yang dimiliki oleh insan yang bernama manusia.

Apa yang dapat Farid lihat sikap penduduk kampungnya bahkan seluruh masyarakat di luar sana adalah setiap kali surau mengadakan majlis sahaja surau akan penuh dengan jemaah. Ke mana hilangnya jemaah surau pada hari-hari lain? Malah masyarakat kini juga kurang menghafal surah-surah lazim yang sering dibacakan di dalam solat ataupun majlis-majlis. Ada juga jemaah yang menunggu masa menjamah makanan sahaja. Mereka tidak mahu terlibat dengan sebarang aktiviti di dalam suaru. Selesai sahaja majlis atau aktiviti di surau, manusia tiada lagi kelihatan. Sebaliknya hanya kelihatan Imam, Bilal, Siak dan beberapa jemaah yang masih meneruskan sisa-sisa hidup mereka di situ.

Farid terfikir lagi, bagaimanakah akhlak dan iman masyarakat kita apabila Malaysia menjelang tahun 2020 nanti? Adakah lebih teruk dari yang dapat dilihat sekarang ini ataupun sebaliknya?

Memang Farid akui, akan adanya zaman kegemilangan Islam di kemudian hari. Akan adanya satu pimpinan yang kuat terhadap agama Islam dengan hadirnya Imam Mahadi dan Nabi Isa. Tetapi pada ketika itu, dunia sudah kian hampir pada penghujung hayatnya. Farid percaya, kiamat tidak akan terjadi selagi orang-orang Islam tidak bangkit menentang bangsa Yahudi dan Israel laknatullah. Begitu kuatnya agama Islam ketika kiamat kian menjelma. Farid tidak mampu menahan air matanya dari menitis lalu terjurailah air matanya gugur ke bumi. Mengingatkan nasib bangsanya yang cuba bersatu, tetapi tidak termampu. Farid hampa.

Dengan langkah yang lemah Farid menuju ke rak bukunya dan mengambil Tafsir Al-Quran untuk membaca beberapa tafsir surah-surah lazim. Di dalam Al-Quranlah terselit kisah-kisah dahulu dan peristiwa yang akan datang...

Wallah hu 'alam.

Santai: TuahJebat


Pada suatu hari, Tuah diperintahkan untuk mengadap Tuanku kerana dia telah mengacau dayang-dayang tuanku dengan tanpa izin Tuanku.

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.” Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi datang mengadap.

Beberapa ketika kemudian…..

“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.” Tuah pula menjelma sambil diiringi dua bodyguard Tuanku.
“Apakah hukuman yang patut kita bagi kat Tuah ni?” Tuanku meminta pendapat dari Bendahara.
“Patik rasa… kita bogelkan saja dia ni… ok tak?” cadang Bendahara.
“Tengkorak hang!!!” first time Tuanku memaki Bendahara.
“Beta rasa, beta nak jatuhkan hukuman bunuh kat dia. Orait! Bunuh dia!! Bawa penderhaka ni keluaq dari sini!” murka Tuanku.
“Tapi Tuanku…” Tuah bersuara.
“Tak dak tapi-tapi lagi. keputusan muktamad… sebarang surat menyurat tidak akan dilayan.” Tuanku mencelah.
“Kalau surat rayuan?” Tuah cuba untuk menyelamatkan dirinya.
“Tak boleh” Tuah dibantah lagi.

Tiga hari kemudian…..

“Arggh…argghhh…” Jebat mengamuk di sekitar istana.
Apabila Jebat hendak menikam Tuanku, dua orang bodyguard Tuanku menolak Jebat lalu jatuh ke tanah.
“Eh…eh…eh…aaa…kan dah jatuh” Kemudian Jebat bangun semula dari terjatuh dan memaki bodyguard tersebut.
“Ni awat hang kurang ajaq sangat ni? Sapa yang ajaq hang hah?” tengking Jebat.
“Pak hang…” Pengawal itu menjawab dengan ringkas tapi jitu.

And than, Jebat terus menikam kedua-dua bodyguard tersebut tanpa belas kasih sayang. Tuanku dan Bendahara sedang berkira-kira untuk melarikan diri….

“Kegarisan… sedia… cabut!!” Tuanku dan Bendahara mengambil langkah seribu.
“Woi!! Penakut punya orang…berani mai laa…” Jebat menjerkah.

Maka, Tuanku lari menyembunyikan diri di rumah Bendahara.

“Menyesal Beta jatuhkan hukuman bunuh pada Tuah.” Tuanku mengeluh.
“Tuanku, andaikata Tuah masih bernafas tatkala ini, apakah kiranya tuanku akan memaafkan dia?” Bendahara kembali bersuara. Teragak-agak dan bimbang dengan tindakan tuanku yang bakal dihadapinya.
“Yes laaa..” jawab Tuanku.
“Yang sebenaqnya Tuah masih hidup lagi, Tuanku…” Bendahara serba salah untuk memperkatakannya.
“Betui ka? Yes…yes…yes… lepaskan dia, tak perlu ikat jamin.” Tuanku kembali ceria. Bak kata pepatah... ‘saluran ceria anda’.

“Eh? Sat, sat, kalau Tuah tak mati, kat mana dia sembunyi?” tanya Tuanku kehairanan.
“Ooo, sebenaqnya macam ni”
“Macam mana?” tanya Tuanku tidak sabar.
“Sat lah, ni nak cerita.” Balas Bendahara dengan nada keras.
“Masa Tuanku jatuhkan hukuman mati ke atas Tuah, Patik tidak sanggup membunuhnya. Maka dengan itu patik cadangkan kepada Tuah bahawasanya cubalah akan ujibakat Akademi Fantasia musim terkini. Berbekalkan bakat yang sedia ada, Tuah pun terpilih kerana orang yang pergi ke ujibakat tersebut kebetulan cukup-cukup 12 orang saja.” Terang Bendahara dengan ghairahnya hinggakan beliau lupa akan hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Tuanku kelak.
Berbekal dengan reaksi yang penuh tersirat itu, maka Tuanku pun bertanya lagi.
“Jemput Tuah balik ke sini.”
“Eh! Tak boleh Tuanku, sebab undiannya masih berada di tahap selamat.” Serta merta Bendahara memintas.
“Mmm... mmm... dan mmm... Baiklah, suruh seluruh rakyat supaya tidak mengundi Tuah pada minggu ini.” Arah Tuanku.

Maka Tuah pun tergugur dari Akademi Fantasia tersebut…

Pada suatu hari, Tuah bertemu dengan saudara-maranya.

“Eh? tu abang Tuah kan?” Lekiu bersuara
“Ha’ah lah…tengok bulu kaki pun aku tau dah.” Lekir pulak bersuara.

Lekiu pun menepuk bahu Tuah.
“Eh!” Tuah terkejut sambil membuka silatnya.
“Eh? ni Lekir kan?” Tuah bertanya.
“Oooh…Lekir…lama tak jumpa..hah! ni sapa plak ni? Aku tak berapa ingat lah..”
“Lekiu…”
“Ooh..Lekiu…” lalu Lekiu melompat ke atas Tuah.
“Hah! Ni mesti Kasturi kan?” Tuah mengagak. Tepat sekali tekaannya. Lalu mereka berpelukan antara satu sama lain.

“La ni aku dengaq Jebat duk buat ranggi semacam ja. awat hangpa tak bunuh dia?” Kata Tuah.
“Kami memang nak bunuh dia. Tapi kami ketaq ni… ketaq…” Lekir menjelaskan fakta auta.
“Emmm… nampak sangat hangpa ni mandom!” Tuah pasrah.
“Hang pasai apa pulak?” Tanya Tuah kepada Kasturi.
“Aku minat kat adik dia… nanti adik dia tak nak kahwin dengan aku pulak.” jawab Kasturi.
“Emmm… hang pun karut jugak…” Pasrah sekali lagi.
“Hah! Hang Lekiu?” Tuah terus bertanya. Harapan yang terakhir.
“Aku… dulu dia belanja aku makan aiskrim, tak kan aku nak bunuh dia kot?” Lekiu pun memberikan jawapan yang sama.

“Awat lah hangpa semua mandom sangat… hah? Kat mana rumah dia? Aku nak pi laa jugak” giliran Tuah pula yang menunjukkan ranggi.
“Nah, hang ambil alamat ni…” Lekiu bagi alamat Jebat kepada Tuah.

Setibanya di destinasi….
“Hei…hei…hei…hei Jebat, lebih baik engkau turun, kalau engkau tak nak turun, kau tunggu situ sampai aku datang…” Tuah menyerang ke rumah Jebat.
“Ish… sapa yang kacau tengah malam ni? Hah! Hang nak apa?”
“Eh? Laaa… silap rumah. Sorry laa.” Tuah mengeluh.
“Err… tumpang tanya pak cik, rumah Jebat kat mana?” Tuah buat-buat tanya untuk cover malu.
“Tuu… kat belakang kandang kambing sana tu..” kata pak cik tersebut sambil menunjukkan ke arah rumah tersebut.

And than again…
“Hoi Jebat!!! Aku datang nak bunuh hang…” jerkah Tuah.
“Apa dia? Eh! Abang Tuah… bukan hang dah mati ka?Jebat bersuara dengan nada selamba rock bodo.
“Aku datang nak bunuh hang… hiaah!!!” Tuah terus menyerang.
“Aku tak nak dibunuh…” lalu Jebat mempertahankan dirinya.
“Oop…oop…oop…cup..cup…mana aci… hang pakai pedang, aku tak dak.” Tuah berkata.
“Ooo…hang nak pedang jugak ka?Jebat Tanya lagi.
“Haa…laa…” Tuah berkata pulak.
“Nah! Pilihlah yang mana hang nak. Saiz A, saiz B, saiz C…” Jebat offer pedang yang dijualnya.
“Yang mana brutal… kalau yang ni… tak tajam. yang ni lah” Tuah mengetest salah satu pedang tersebut.
“Hiaah!!!” Tuah terus menyerang Jebat dan Jebat terus mengelak. Tindakan refleks.
“Emmh.. aku saja nak test ja… tu pun dah kia… mandom hang ni” Tuah memerli Jebat.
“Ooo… ok… aku nak buka silat akulah” Jebat membuka Tai Chi.
“Eh! masuk lubang pulak dah.” Jebat terpijak lubang di sekitar rumahnya.
“Rumah pun berlubang… nampak sangat nak kia.” Tuah terus memerli Jebat.
“Aku pun ada laa… aku nak bukak paranawe…” Tuah menunjukkan aksinya.
“Oop…oop.. kita pakai tradisional punya dah laa.” Jebat membalas.
“Ish…. malaslah aku nak guna pedang… aku dah katam dah silat ni..” kata jebat dengan bangganya disertakan dengan perasaan riak.
“Hiaah!!!” Jebat menyerang Tuah, Tuah menangkis serangan tersebut lalu menikamnya.
“Nah! Ambik hang… aku cucuk hang… tak nak pakai pedang sangat.” lalu pedang ditusuk ke perut Jebat.
“Mmmmbeekk…”
“Ha...ha..ha… mati pun boleh buat lawak lagi… ha…ha..” Tuah ketawa dengan sekuat-kuatnya.

Tiba-tiba…
“Err… Tuah, hang cuba tikam aku balik… Hang tikam aku tadi tak kenalah… masuk celah ketiak aku ja.. geli tau dak!”
“Macam mana kita buat tadi hah? Aku dah tak ingat laa…” Tanya Tuah kepada Jebat.


“ Cut! Cut! ok… kita berehat dulu dalam sepuluh minit. Nanti kita sambung balik” kata director kepada pelakon-pelakonnya.

Maka tamatlah satu penggambaran yang akan dimuatkan dalam sebuah filem terbitan syarikat tersebut.


Cerita ini telah dipersembahkan oleh Pasukan Pengakap Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang (SMTTAPR) di dalam satu perkhemahan yang telah diadakan di MRSM Balik Pulau… dan telah mendapat johan dalam perkhemahan tersebut. (2001)