Pages

Subscribe:

Friday, June 26, 2009

Kisah Sebuah Perpaduan

Di sana sini kedengaran Kerajaan Perpaduan. Ada yang menyokong, ada juga sebaliknya. Pelbagai pandangan telah dilontarkan baik dari orang kampung, golongan berada mahupun para menteri. Sejauhmana keberkesanan Kerajaan Perpaduan ini hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui. Kita hanya boleh memerhati dan bertindak. Ayuh kita renungkan peristiwa yang telah terukir di lembaran sejarah ini berkenaan perpaduan.


Semasa Perang Dunia Pertama, Kerajaan Perpaduan dibentuk di Kanada. Kerajaan Konservatif pimpinan Sir Robert Borden telah mengajak Parti Liberal (parti pembangkang) pimpinan Sir Wilfrid Laurier untuk menyertai kerajaan tetapi ditolak.


Walau bagamanapun, Borden berjaya memujuk ramai pemimpin Parti Liberal secara individu menyertai kerajaan "Union Government" yang beliau bentuk. Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1917, Parti Liberal (yang enggan menyertai kerajaan perpaduan) telah kalah teruk akibat dari perpecahan dalam Parti Liberal ini.


Pernah berlaku di Malaysia? Kita perhatikan pula sejarah politik di Malaysia. Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) adalah sebuah parti politik Malaysia yang diasaskan oleh Mohamad Nasir, Menteri Besar Kelantan pada tahun 1977 ketika beliau dipecat dari PAS. Pemecatan Mohamad Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti campuran Barisan Nasional. Ketika itu PAS adalah sebuah parti komponen dalam parti campuran ini. Akhirnya PAS digugurkan daripada Barisan Nasional dan hilang penguasaan negeri Kelantan ketika BERJASA membentuk kerajaan gabungan dengan UMNO. Mahukah kita kehilangan penguasaan di Negeri Kelantan dan Kedah yang Menteri Besarnya adalah dari PAS apabila Kerajaan Perpaduan ini menjadi kenyataan? Tatkala sebahagian ahli PAS tidak bersetuju dengan Perpaduan ini sekali gus menarik diri dari PAS dan membentuk satu lagi parti baru dan bekerjasama dengan Umno untuk menghilangkan penguasaan PAS di Kelantan dan Kedah? Tentu sekali tidak.


Begitu juga dalam Perang Dunia Kedua, Parti Konservatif yang merupakan parti pembangkang ketika itu berkempen di atas tiket "Unity Government" bagi membuka jalan ke arah pembentukan kerajaan campuran nasional tetapi dalam pilihan raya umum itu pada tahun 1940, Parti Liberal menang majoriti dan membentuk kerajaan satu parti. Bagaimana jika PAS ingin bertanding atas tiket “Unity Government" pada PRU-13 nanti? sudah pasti ia menjadi talian hayat kepada BN yang kian rebah ini untuk kembali menguasai Malaysia. Banyak lagi contoh dan sejarah yang boleh kita perhati dan diteliti. Jika terwujudnya Kerajaan Perpaduan di Malaysia ini di antara PAS dan Umno, mampukah PAS akan dapat bertahan lama di dalam Kerajaan Perpaduan ini?


Ayuh kita perhatikan pada tahun 1945, Kerajaan Perpaduan terbentuk di Luxembourg di mana kesemua empat buah parti yang mempunyai wakil di parlimen menyertai kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Pierre Dupong. Ia kekal sehingga tahun 1947 sahaja. Tidak mustahil jika kesemua parti yang mempunyai wakilnya di Parlimen Malaysia menyertai kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Dato’ Seri Najib bin Razak, kemungkinan ia hanya bertahan sehingga 2012 @ PRU-13 sahaja kerana rakyat yang berjiwa pembangkang tidak dapat lagi untuk mengundi pembangkang jika kesemuanya menjadi kerajaan. Perlukah perpaduan ini dilaksanakan kerana pertembungan dua buah parti iaitu parti kerajaan dan parti pembangkang pasti mempunyai ideologi atau strategi yang berbeza yang boleh dikatakan sebagai strategi tersembunyi untuk menjatuhkan pihak yang satu lagi?


Satu lagi sejarah Malaysia pada tahun 1990 ketika wujudnya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) atau Angkatan Ummah yang merupakan satu perikatan politik di Malaysia yang bergiat dari tahun 1990 hingga tahun 1996 yang mana Angkatan Ummah terdiri daripada PAS, Semangat 46, BERJASA, Parti Hizbul Muslimin Malaysia @ HAMIM, dan Kongres India Muslim Malaysia @ KIMMA. Perikatan ini pernah bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1990 dan Pilihanraya Umum Malaysia 1995. Angkatan Perpaduan Ummah ini dibubarkan pada tahun 1996.


Mengapa perlu PAS bekerjasama dengan Umno jika tempoh kerjasama ini tidak berpanjangan? Lantas mereka mula melontarkan soalan yang berbunyi “Mengapa PAS boleh bekerjasama dengan DAP sedangkan tidak boleh berkerjasama dengan Umno yang sememangnya melayu-islam?”. Jawapan mudah yang boleh diberikan kepada persoalan ‘Mengapa tidak dengan Umno’ pembaca boleh mengimbas kembali sirah Masjid Dhirar. Masjid yang didirikan oleh kaum munafik yang mengejar kenikmatan duniawi dengan memecahbelahkan ikatan persaudaraan sesama Islam.


Mujurlah isu Kerajaan Perpaduan ini tertolak dengan sendirinya apabila PKR dan DAP tidak bersetuju dengan idea ini. Jika tidak, sudah pasti Pakatan Rakyat sukar untuk bangkit semula untuk memenangi hati rakyat pada pilihan raya akan datang. Bayangkanlah jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan ini bersama Umno dan apabila Umno merasakan mereka telah kembali hebat, tidak mustahil PAS akan disingkir dari Kerajaan Perpaduan ini. Di mana lagi PAS mahu berganding tangan jika bukan dengan PKR dan DAP? Mampukah PAS menghadapi saat-saat mendukacitakan dengan bilangan ahli di parlimen hanya sebanyak 23 orang berbanding BN seramai 139 manakala PR (PKR dan DAP) seramai 58 orang? Jangan biarkan peristiwa PAS disingkir dari BN berulang lagi. “MEMPERKASAKAN PAKATAN RAKYAT”. Jangan mengkhianati perjanjian yang telah dibina bersama Pakatan Rakyat. Menteri Besar Kelantan juga pernah berkata, gabungan pakatan pembangkang sekarang merupakan kerajaan perpaduan yang sebenar. Kenapa perlu cari yang lain? Kerana kelebihan gabungan Pakatan Rakyat kini telah menghilangkan Islamfobia oleh bangsa lain seperti Cina, India dan sebagainya. Inilah Kerajaan Perpaduan sebenar dan bukannya Kerajaan Perpaduan Perkauman.



----
sumber rujukan:

1. harakahdaily.net
2. wikipedia (HAMIM, APU)
3. siasah


Ada Apa Dengan Thiqah?


Bolehkah kita mengikirafkan orang yang tidak memakai kopiah atau berseluar jean ini sebagai tidak Thiqah? Ramai yang tersalah tafsir dengan pengertian ini. Ramai juga yang fasih akan hal ini namun terpaksa menyekat kemajuan minda kerana abang-abang atau kakak-kakak terdahulu telah menerapkan cara pemikiran sebegini. Terpandang saja insan yang sedemikian lalu kepercayaan tidak layak diletakkan ke atasnya. Mungkin pada pandangannya insan ini tidak layak untuk memimpin hanya kerana penampilannya yang berbeza dengan ahli gerakan lain. Sehinggakan untuk menerima nasihat atau pandangan seseorang itu perlu dilihat dari segi pemakaiannya? Jika memakai seluar ‘jean’ biru bermakna kata-katanya TIDAK BOLEH diterima dan TIDAK LAYAK digunapakai? Kopiah putih tidak menghiasi kepala atau tidak memakai tudung labuh cadangannya mesti DIBANTAH SEKERAS-KERASNYA?


Benar. Kita perlu mendaulatkan Islam dengan menampilkan akhlak-akhlak di dalam Islam termasuklah cara berpakaian. Namun, dari segi pemikiran bukan semuanya tidak boleh digunapakai. Seperti di dalam berorganisasi atau berpersatuan, tidak perlu kesemua ahli jawatankuasa perlu diberi keutamaan hanya kepada ahli satu gerakan. Adakalanya perlu juga diserapkan dengan individu-individu yang mungkin sedang mencari-cari jalan yang sesuai dengan kehendaknya. Dari sini, mungkin kita boleh memberikan pengenalan kepadanya kepentingan berjemaah. Tak usahlah kita melenting apabila kita mengetahui ada di kalangan ahli kita yang programnya terdapat orang yang bukan ahli gerakan ataupun hanya ‘orang biasa-biasa’. Di dalam ‘orang biasa-biasa’ ini terdapat cara pemikiran yang mungkin lebih hebat atau lebih bermutu untuk diaplikasikan di dalam gerak kerja kita bersama. Dan bukannya hanya dilihat dari aspek PEMAKAIANnya sahaja! Untuk pencapaian objektif yang berkesan perlu utamakan kemahirannya dan bukan pada fikrahnya.


“Ana nak tanya, kenapa anta masukkan orang yang bukan dari ahli gerakan kita ke dalam program anta? Apa gunanya kami ni yang satu gerakan dengan anta? Apakah kami ni tak berguna untuk program anta?”


“Awak kan sibuk. Banyak pula program yang awak handle. Tak kan program ini pun awak nak handle? Selesaikan yang ada dulu. Terima kerja bertimbun tetapi hasilnya entah ke mana. Fahamkan Fikr Aulawiyat”


“Ana terkilan dengan anta. Anta tak utamakan ahli gerakan sendiri. Anta lebih pentingkan orang yang berfikiran jumud dari menerima ahli gerakan sendiri di dalam program ini. Dan anta tidak pernah serius di dalam gerak kerja”


“Kalau saya tak serius, mesti orang takkan ikut dan laksanakan apa yang saya minta”


“Anta tak serius! Anta selalu buat lawak bodoh setiap kali meeting. Kemudian selama satu jam meeting, selama satu jam jugalah anta selalu senyum. Mana sifat serius anta?”


“Senyum itu kan sedekah, ia juga membuatkan orang lain mudah dan senang bekerja dengan kita.”


“Anta jangan serapkan memikiran jumud orang lain ke dalam minda anta! Jaga thiqah anta sebelum anta dikenakan tindakan displin nanti!”


“Huh?” masalah hati terus berlaku hanya disebabkan cara pemakaian dan pemikiran ahli gerakan.

Kita sering dikhabarkan bahawa “Jangan dilihat sesebuah buku hanya pada kulitnya, lihatlah apa yang terkandung di dalamnya”. Jadi? Jika dilihat pada cara pemakaiannya, perkataan apa lagi yang akan berkumandang jika bukan perkataan ‘Tidak Thiqah’? Bukan mudah untuk membentuk ahli yang lahir dari keluarga yang bukannya berpendidikan agama. Adakalanya ahli gerakan yang pernah mendapat pendidikan dari SRJK (C) atau SRJK (T) juga mampu memberikan idea yang tidak terfikir oleh orang yang mendapat pendidikan luar negara. Mungkin idea yang dilontarkannya sering mendapat tentangan oleh kebanyakkan ahli gerakan sedangkan idea itu yang menaikkan kehebatan dan izzah ahli gerakan, tidak siapa tahu akan hal ini. Kerana masing-masing terpaksa melemparkan istilah ‘Jumud’ ke arah orang lain dengan memartabatkan cara pemikiran kendiri.


“Salam.. asif ganggu, ustaz! Boleh x meeting nanti bawa apa yang nak dibincangkan?”


“Orait! Don’t worry (^~,)v”


“Dan lagi satu, ana harap anta dapat menjaga thiqah anta dalam bermesej”


“……”


Begitu juga dengan istilah ‘izzah’ yang sering disalahfahami. “Tunjukkan izzah anta dalam meeting nih!”. Jika difikirkan secara logik, apa perlunya menampilkan izzah pada ahli gerakan sendiri? Jika ditampilkan kepada orang lain, mungkin tidak menjadi kisah. Sesama ahli pun mahu menunjukkan izzah? Huh! Jumud sungguh cara pemikiran sebegini!


Berbalik kepada thiqah…

Menyanyi lagu Nsync, “Anta tak thiqah!”

Menonton filem Transformer, “Anta tak thiqah!”

Bersembang dengan rakan sekelas, “Anta tak thiqah!”

Buat tugasan berkumpulan di kafe, “Anta tak thiqah!”

Bermesyuarat tidak memakai baju berkolar, “Anta tak thiqah!”

Pergi BP Mall membeli barang keperluan, “Anta tak tsiqah!”

Menaiki motorsikal RXZ, “Anta tak tsiqah!”

Menulis artikel ‘Bicara Tentang Cinta’, “Anta tak tsiqah!”


Jadi, Ada Apa Dengan Tsiqah?


Saturday, June 20, 2009

Ukhwah Eksklusif


Salam Revolusi buat semua sahabat. Salam Evolusi juga buat semua pengunjung. Maafkan diri kerana kesibukan yang meragut kelapangan yang ada ketika di alam prakikal ini. Kali ini inginku bicarakan satu lagi berkenaan UKHWAH yang sering diperkatakan di kalangan ahli gerakan. Bina UKHWAH atas dasar AKIDAH. Suatu keindahan yang dikurniakan Allah untuk dikecapi bersama. Apa yang menyedihkan, UKHWAH atas dasar AKIDAH yang dibentuk untuk melebarkan DAKWAH yang acapkali terselit segala MASALAH ekoran kekurangan TARBIYYAH tak mampu melunaskan sifat ASSOBIYYAH di dalam gerakan JEMAAH. Taksub dengan ahli gerakan sendiri telah menyebabkan tafsiran UKHWAH ini tidak pernah mencapai objektifnya. Mengapa? Kerana sifat Etilisme atau ’Exclusiveness’ yang wujud dalam gaya pemikiran ahli gerakan menyebabkan DAKWAH gagal terlaksana.

Sebelum berbicara lebih panjang, eloklah jika kita mengetahui apa itu etilisme atau exclusiveness. etilisme atau exclusiveness adalah suatu fenomena yang mengangkat keistimewaan gerakan sendiri dengan memandang rendah terhadap orang lain. Dalam melayari bicara atau tinta dari para blogger, tertarik dengan huraian yang diberikan blogger tersebut mengenai Etilisme dalam entrinya yang bertajuk ’Virus Ukhwah’.

Apa katanya? ”Virus ini merebak berpunca dari sikap ukhwah berpaksikan taksub kumpulan bukan di atas indicator iman. Ukhwah hanya berlegar dalam skop kumpulan itu sahaja dengan menafikan saudara seIslam yang lain. Maka berlakunya satu fenomena kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan sahaja. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika ia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut. Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.”. Inilah yang dikatakan sebagai assobiyah.

Sikap inilah yang pernah dikatakan oleh sahabatku iaitu berkenaan ’Ukhwah Sdn Bhd’ di dalam gerakan jemaah atau budaya dakwah yang hanya berlaku di kalangan ahli sahaja serta memandang rendah atau menghina individu yang bukan dari ahli gerakannya. Hanya bibir menyatakan dakwah perlu pada umum dengan menganjurkan program berbentuk kerohanian sedangkan tiada langsung individu yang bukannya dari ahli gerakan sebagai Ahli Jawatankuasa Program. Apabila dicadangkan untuk dimasukkan mereka ini sebagai AJK Program, lantas idea ini ditolak kerana tidak mahu pemikiran jumud bukan ahli merebak di dalam program yang bakal dilakukan. Bukankah menerima idea hanya dari ahli gerakan sahaja itu lebih bersifat jumud? Sedangkan kita tidak pernah menyesuaikan diri dengan keadaan dan memahami kehendak sekeliling. Lalu UKHWAH dan DAKWAH disangka telah tercapai sedang ianya hanya tercapai di kalangan ahli sahaja. Bagaimana dengan orang yang bukan ahli? Atau boleh disebut sebagai outsiders? Apa gunanya dakwah hanya berlegar-legar di sekitar ahli yang telah ditarbiyyah? Inilah yang dikatakan ’Virus Ukhwah’. Ukhwah yang terlalu Eksklusif. Melaksanakan program bersifat PS2 iaitu Program Syok Sendiri.

Sikap ahli gerakan yang memiliki keegoan dan merasa diri cukup hebat menyebabkan pergerakkan dakwah semakin dijauhi masyarakat sekeliling. Janganlah membiarkan agama Islam difitnah atau dikatakan sebagai anti perpaduan dan kedamaian. Seorang muk’allaf pernah ditanya mengapa dia memeluk Islam. Beliau menjawab ”Aku masuk Islam kerana agama Islam, bukan melihat tingkahlaku orang Islam. Aku tidak akan masuk Islam jika aku melihat umat Islam. Jauh berbeza dari landasan agama Islam sebenar”. Fenomena Islamfobia kadang-kadang lahir dari sikap umat Islam sendiri, berpunca dari sikap. Cuba kita selidik kenapa orang bukan Islam begitu fobia dengan orang Islam?

Saya petik kata-kata terakhir dari penulis blog tersebut iaitu ”renung-renungkanlah”.

Bicara Tentang Cinta

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Salahkah ku mendambakan seorang puteri? Dan pasti ku mengharap yang setia di sisi. Teman kala ku kedukaan. Memberikan daku cahaya. Sinari kehidupan.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Siapa yang tidak pernah bicarakan tentang cinta? Yakin. Lebih 98% akan berbicarakan mengenai fitrah manusia ini. Tidak dapat lari dari lumrah duniawi. Perkara yang membuatkan insan tidak jejak tanah tatkala memikirkannya. Perkara yang membuatkan insan terawang-awang di awangan. Tersenyum sendiri, biarpun hanya mengadap rak buku.

Pahit, manis, suka, dan duka telah dilalui. Ia mengajarkan kita mengerti dan menghargai kehidupan yang dimiliki sekaligus cuba memanfaatkannya. Suka ketika bersamanya, sukar tidak memilikinya. Agak lama aku tidak berbicara tentang cinta. Kali terakhir adalah pada tahun 2006. Tahun dua ijazah sarjana muda. Ketika baru menjengah ke dunia gerakan kampus. Namun…

“Macammana boleh putus?” soal rakanku.
“Biasalah, dia nak bercerita mengenai rama-rama, bunga, burung, kapal Titanic.” Jawab santaiku
“Habis, hang?” soalnya kembali.
“Aku lebih suka cerita pasai bintang, bulan, roket, keris, dacing.”
“Patutlah. Otak politik!” tawa berderai. Hanya tuhan yang tahu perasaan hati ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Walau ku tahu segala suratan Esa. Ku pohon kesetiaan Pemberi Inspirasi. Pengubat jiwa yang sepi agar dapat ku kecapi indahnya hidup ini.”
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pernahku ukirkan layaran jiwa ini di atas helaian kertas dengan tajuk “Tetamu Bernama Rindu”. Masih kemas dalam simpananku. Kini “Rindu Bertamu Lagi”. Pintu hatiku pernah diketuk oleh seorang insan yang bernama… ah, lupakan! Aku biarkan dia pergi. Biarkan ia menjadi “Rindu Yang Pergi”. Malas untuk ku lorekkan di atas kertas putih. Perkara sia-sia.

Tiga tahun berlalu. Aku dibiarkan tanpa sebarang berita. Mengapa ia hadir kembali aku tidak pasti. Biarlah aku lakarkan di atas lembaran ini dengan impian yang baru, agar rindu derita ini tidak lagi mengganggu mindaku yang mahu memikirkan perkara yang lebih penting dari ini. Fikr aulawiyat.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Sekali cinta pergi, tidak bermakna ia tidak akan datang lagi. Ia pasti akan datang kembali. Tapi kali ini adalah dari si dia yang lebih baik dari dulu. Mungkin dia yang dulu atau dia yang baru.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sekali melakar, biarkan ia ke noktah terakhir. Aku telah berjanji pada diri. Biarlah aku mencari bunga yang mampu menjadi pendorong di sebalik kejayaanku. Keindahan yang dikecapi nanti pasti lebih manis jika aku dan dia bersama memahami dan mengerti dengan mehnah dunia yang bakal ditempuhi tanpa disulami rasa iri hati atau enggan merelakan aku dengan matlamatku. Biarlah dia tidak seperti srikandi-srikandi islam sejati asalkan dia cuba mencontohi srikandi tersebut. Khadijah, Aisyah, Sumayyah, Masyitah, Rabiatul Adawiyah, dan lain-lain. Aku tidak terlalu mengharap kerana aku tahu hakikat hidup ini. Yang lepas biarkan berlalu.

Jiwa berbisik, pastikan diri ini mengatur sesuatu yang mampu memberi saham di akhirat nanti. Bukan perkara yang sia-sia. Pilihan atas dasar agama menjadi pilihan utama. Namun, tatkala aku memilih yang berpegang pada agama menjadi keutamaan, seringkali itu jugalah aku gagal untuk mencapainya. Mengapa? Dalam al-Quran telah mencatatkan, “Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Namun lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat.” Pada fikiranku memikirkan Tuhan sengaja membiarkan seketika agar aku berubah menjadi baik terlebih dulu sebelum memilikinya. Atau mungkin juga dia terlalu baik untukku yang membuatkan aku tidak layak memilikinya.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------“Tidak semestinya yang kita cintai itu adalah yang mesti kita miliki. Mungkin juga dia yang mesti kita lepaskan.”
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Aku perlukan masa untuk memikirkannya. Aku juga perlukan masa untuk berubah menjadi lelaki baik. Aku perlu meraih cintaNYA sebelum meraih cintanya. Biarlah aku mencintai DIA sebelum aku mencintai dia. Bicara Tentang Cinta. “Aku cintakan dia kerana DIA”. Wallah hu ‘alam….

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Tika mata diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba menghindarkan pesona maya
Kerana tak upaya ku hadapinya
Andai murkaNya menghukum leka”

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
---------------------------------------------------
p/s: Cerita ini hanya mainan minda di kala ku keboringan. Kemas-kemas bilik, terjumpa plak cerpen-cerpen jiwang yang dihasilkan waktu tingkatan empat. Tiada kaitan dengan diriku (^^,)v. maaf ye!

Friday, June 5, 2009

Bagaimana Harusku Bertegas?

”Emm... Kalau boleh ubah sikit idea tu. Kurang sesuai rasanya dengan keadaan sekarang. Rsanya kena ubah sikit macam ni. Yang lain dah bagus. Kekalkan.” pinta Nazmi kepada Farid mengenai ideanya. Lantas dicapainya kertas itu dan berlalu pergi. Nazmi tergamam. Nazmi salah cakap? Atau Farid yang salah dengar.

Begitu juga dengan seorang insan yang sering bergurau tidak kena pada tempatnya. Saat Nazmi berkata padanya ”cubalah kau bersifat matang sikit”, terus Farid berubah wajah dan berpura-pura berbicara bersama rakannya dan berlalu pergi.

Inilah cerita di antara Nazmi dan Farid juga seorang lagi rakan Nazmi. Pernahkah kita alami situasi sebegini? Mungkin pernah. Perkara inilah yang membuatkan kita menjadi serba salah untuk menegur tabiat seorang rakan. Bimbang ukhwah yang tersimpul sekian lama bisa kan terurai dengan sekelip mata. Perwatakan dan personaliti perlu dijaga. Aku perlu bertegas. Jika tidak mereka akan sentiasa mengulangi perkara yang kurang sesuai dengan keadaan. Tapi, bagaimana untuk aku menegur mereka sedangkan aku telah lakukan secara berhikmah pun mereka masih lagi berkecil hati? Aku bingung. Jika aku tidak tegur, pasti mereka akan merasa itu adalah perkara terbaik buat mereka sedangkan individu lain memandangnya dengan pandangan yang sinis. ”Boleh jadi perkara yang kamu sukai itu tidak baik bagi kamu, dan perkara yang kamu benci padanya itulah yang terbaik buat kamu”. Teguran yang mudah, ”Esok pakai seluar panjang. Seluar koyak lutut ni tidak menutup aurat. Berdosa dedah aurat”. Keesokkan harinya, insan ini tidak akan mendampingi kita lagi. Pada pandangannya aku menyekat kebebasannya. Aku hanya ingin membantu kawan, bukannya untuk menjatuhkannya. Aku terus bingung.

Satu lagi keadaan yang berlaku ketika kumpulan nasyid universiti kami akan ke UiTM Segamat Johor bagi menyertai pertandingan Festival Nasyid Selatan 2009. Seorang insan yang aku paling tidak suka dengan komitmen yang diberi olehnya. Mungkin dia berasa dia seorang yang hebat dan dirinya sentiasa diperlukan. Latihan nasyid bermula sebaik sahaja berakhirnya Peperiksaan Akhir Semester. Ada dua-tiga orang yang lambat untuk turut serta ekoran ada aktiviti lain. Aku benarkan. Hanya seorang hamba Allah ini tidak maklumkan yang dia akan aktiviti lain. Masa latihan hanya tinggal dua hari saja lagi, susunan vokal dan gaya persembahan tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup orang. Rakan sekumpulan menghubunginya bagi mendapatkan kepastian. Dia katakan yang dia baru balik dari program, penat. Kata seorang rakan padanya jika ada apa-apa masalah minta untuk maklumkan padaku. Keesokkan harinya, sms dihantar padanya dan sms tidak dibalas, apatah lagi menghubunginya siang dan malam, tidak dijawab.

Aku terpaksa berulang-alik ke PKSK bagi memberi penjelasan tatkala pihak PKSK bertanyakan mengenai proses latihan dan senarai nama peserta bagi pertandingan ini. Tempoh latihan hanya tinggal satu hari saja lagi. Tidak ada gaya persembahan dilakukan, susunan vokal juga masih mempunyai kelompangan. Satu sms lagi dihantar padanya, ”Salam.. Komitmen hang ada kat mana lagi? Tinggal SATU hari saja lagi. Team Nuriman tak dapat nak buat penyelarasan selagi hang tak mai latihan. Ada ahli lain yang asyik keluar masuk penyertaan. Macam mana lagi perlu aku pujuk dan merayu kat hang untuk beri komitmen tarbaik? Perlukah aku melutut kat hang semata-mata untuk raih komitmen hang bagi kumpulan nasyid kita? Aku dah berkorban minta penyelia aku untuk benarkan aku hantar tesis lewat seminggu, aku minta kilang untuk aku masuk praktikal lewat dua minggu, semata-mata nak tengok hangpa beri komitmen terbaik untuk pertandingan kali ni. Kalau ada apa-apa masalah minta bagitau, boleh aku cari alternatif lain. Wassalam...” Kesabaran manusia ada tahapnya. Aku bukannya tidak sabar, aku perlu bertegas. Sebagai ketua kumpulan, aku perlu mendedahkan kepada semua ahli kumpulan termasuk aku mengenai displin.

Biarlah bilapun aku dan rakan-rakan yang lain cuba menghubunginya, hanya operator yang menjawab panggilan. Aku terkilan dengan komitmennya. Mahu atau tidak, aku terpaksa meletakkan namaku di dalam senarai peserta pertandingan nasyid ini untuk bersama membantu kelompangan yang tercipta.

Bukan mengungkit tetapi untuk menjadikannya sebagai pedoman bersama. Saat persembahan ’Back to Home Alumni UTHM’ insan ini hanya muncul pada malam persembahan. Begitu juga dengan persembahan nasyid di Kolej Kediaman Perwira dalam ’Program Pemurnian Sahsiah (Propes)’, pada malam persembahan jugalah dia baru memunculkan diri. Apatah lagi pertandingan nasyid antara kolej kediaman juga pada malam pertandingan dia menelefon kami bagi menyatakan hasratnya untuk turut serta. Adakalanya persembahan kami terpaksa dibatalkan kerana tidak cukup orang untuk membuat persembahan. Jadi, bagaimana harusku bertegas? Mungkin salah satu sifat orang melayu adalah pantang ditegur. Jika ditegur pasti dendam akan diatur. Mungkin... Jika aku masih lagi di kampus ketika ini dan jika dia nyatakan padaku untuk turut serta, hatiku sudah tawar untuk menerima penyertaannya.

Persoalan menjelma lagi di mindaku, bagaimana harusku bertegas? Persoalan yang tiada jawapan jika berhadapan dengan orang melayu yang tidak mementingkan kerja berkumpulan.