Pages

Subscribe:

Friday, April 24, 2009

Membina Generasi Al-Quran


‘Membina Generasi Al-Quran’ adalah motto yang digunapakai oleh salah satu kelab di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Kelab Iqra’. Apa yang dimaksudkan dengan Membina Generasi Al-Quran ini adalah satu generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup yang lebih terarah dan mempraktikkan apa yang telah dikhabarkan oleh Ilahi serta perbuatan dan perkataan yang ditampilkan oleh para nabi dan para sahabat. Sistem kehidupan akan lebih harmonis dan aman damai jika Islam dapat dilaksanakan dengan syumul atau menyeluruh apabila mereka mempelajari apa yang termaktub dalam Al-Quran.


Apa yang ingin dicoret di atas lembaran ini adalah berkenaan orang melayu yang mengaku Islam serta mengucap khalimah syahadah tidak mempraktikkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran sebaliknya hanya bermain di bibir tatkala aktiviti keagamaan sahaja ianya berkumandang. Namun era kini menampilkan satu anjakan paradigma yang ditonjolkan oleh orang yang bukannya beragama Islam mula berjinak-jinak dengan ayat-ayat suci ini di dalam setiap ucapan atau syarahan mereka. Ini suatu di luar jangkaan.



Insan1:

Mengapa dengan YB Nga Kor Ming? YB Nga Kor Ming merupakan Ahli Parlimen Taiping dan juga ADUN Pantai Remis merangkap Setiausaha DAP Perak telah menampilkan salah satu ayat yang terkandung di dalam Surah Al-A’raf di dalam penyampaiannya di Ceramah Bukit Gantang. Namun tindakannya itu mengundang kemarahan pihak UMNO yang mengatakan YB Nga Kor Ming menghina dan mempersendakan al-Quran lalu laporan polis dibuat terhadapnya untuk tindakan yang lebih tegas. UMNO juga mengatakan DAP menggunakan ayat-ayat ini sebagai modal pilihanraya. PEWARIS juga turut mengecam tindakan yang dilakukan oleh YB Nga Kor Ming. Sememangnya YB Nga Kor Ming akan menjalani kehidupan yang lebih mencabar lagi selepas ini.



Insan2:

Wakil Canning dari DAP, YB Wong Kar Woh yang juga merupakan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak telah dua kali menyelitkan ayat Al-Quran semasa membahaskan Bajet 2009 di Negeri Perak. Beliau mendapat perhatian apabila beliau menyebut ayat ke-12 dari Surah Al-Hujurat yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


Sekali lagi sebelum beliau menghabiskan ucapannya dengan membaca kalimah “Takmuru nabil maaruf watan hau anil mungkar" yang dipetik dari surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud “menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah”.



Insan3:

Begitu juga dengan apa yang ditampilkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan bahawa “Al-Quran penting sebagai sumber perundangan utama dan mampu melahirkan masyarakat madani yang berakhlak tinggi, berintergriti yang bersesuaian dengan prinsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT)” yang telah disampaikan di dalam satu majlis penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu tahun lalu. Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengharapkan pengajian al-Quran dimajukan supaya masyarakat dapat diselamatkan apabila kandungan al-Quran dihayati dan bukannya diketepikan sebagaimana sebelum ini.

Apakah ini juga modal politik? Lebih menggemparkan adalah apabila beliau mengatakan bahawa “Jika bapa meninggal, saya masuk Islam” ketika beliau turun berceramah bahawa beliau ingin mengikut jejak langkah Umar Abdul Aziz iaitu Khalifah Islam pada zaman Bani Umaiyah.



Insan4:

Tidak terkecuali wakil rakyat PKR dari Parlimen Padang Serai, Kedah ini, YB N.Gobalakrishnan juga pernah membacakan ayat Al-Quran wamakaru wamakarullah wallahukhairulmakirin yang membawa maksud “Kita Merancang Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” yang dipetik dari surah Ali-Imran, Ayat 54.

Jika orang cina dan india mampu berbangga apabila kita fasih berbahasa mereka, mengapa kita perlu memberontak jika mereka mengambil tahu akan ayat Al-Quran yang diturunkan kepada kita sebagai umat Islam? Persoalannya, di manakah hukum yang mengatakan orang bukan Islam tidak boleh membacakan Al-Quran?



Di zaman dahulu telah terbukti dengan Saidina Umar Ibnu Khattab membaca Surah Thoha semasa masih kafir, yang akhirnya membawa beliau memeluk Islam. Maharaja Najasyi pemerintah Kristian dari Habsyah juga membaca Surah Maryam yang akhirnya beliau beriman kepada Allah. Dan banyak lagi peristiwa-peristiwa dalam sirah Nabawi yang menunjukkan ramai golongan bukan Islam yang beriman dan memeluk Islam hanya setelah membaca atau mendengar ayat Al-Quran dalam keadaan mereka masih kafir [1].


Ini adalah orang bukan Islam yang mendalami ayat-ayat suci Al-Quran. Bagaimana dengan kita yang sentiasa mengucap dua kalimah syahadah ini? Seringkah ayat al-Quran bermain di bibir kita? Penulis mengharapkan artikel ini menjadi panduan kepada kita semua dan bukan hanya membaca sahaja tanpa sebarang usaha untuk meningkatkan taraf hidup kita. Khususnya untuk ahli Kelab Iqra’ dan Sahabat Iqra’ yang bermottokan “Membina Generasi Al-Quran”. Sekian.


Sumber Rujukan:

[1] Ibnuhasyim, http://www.ibnuhasyim.com/2008/11/kalau-lim-guan-eng-baca-ayat-ini.html

Sunday, April 19, 2009

'Selamat Menempuhi Peperiksaan Akhir' -JKK

Recycle For Palestine

LATAR BELAKANG

Dalam memperkasakan dan mewujudkan jaringan yang harmoni dan kukuh dalam aspek hubungan Universiti samada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa, pemimpin-pemimpin mahasiswa/i universiti perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Program ini dijalankan atas dasar kesedaran dan tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan. Ia juga salah satu cara bagi mengelakkan pembaziran barang-barang yang boleh digunapakai dan dikitar semula. Program yang dipengarahkan oleh Aizat Fikry Bin Sa’adullah dan timbalannya Martina Kohnidia Bt. Mahli mengharapkan agar objektif program iaitu mengamalkan kitar semula sebagai satu amalan hidup yang akan menjamin kesejahteraan generasi akan datang dapat dicapai dengan sebaik-baiknya.

TARIKH

18 April 2009 hingga 11 Ogos 2009

TEMPAT

Kolej Kediaman Perwira

Kolej Kediaman Melewar

Kolej Kediaman Tun Syed Nasir

Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail

Kolej Kediaman Tun Fatimah


ANJURAN

Kelab Penyayang

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia


TENTATIF PROGRAM

18/4/09 – 9/5/09 : Setiap hari sabtu

10/5/09 – 3/7/09 : Rehat-cuti semester

4/7/09 – 11/7/09 : Setiap hari sabtu

Semasa program ‘Minutes To Palestine’ anjuran Kelab Iqra’ : Majlis penutup dan penyerahan replika cek kepada wakil MPP


Program InTrackSee ’09

Batu Pahat, 18 April 2009 - bertempat di Dewan Aktiviti Kolej Kediaman Tun Dr Ismail, Biro Kerohanian & Etika (BKE) telah menganjurkan satu program yang dinamakan In Track See ‘09 – Menjelang Peperiksaan Akhir dan ‘Solat Hajat’ yang bermula dengan solat Maghrib berjemaah dan berakhir dengan solat Isyak berjemaah. Di antara waktu maghrib dan isyak telah diadakan solat hajat dan disambung pula dengan tazkirah atau ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Shahrir bin Abdul Mutalib yang juga merupakan Imam 2 Masjid Jamek UTHM.

Program ini dipengarahkan oleh Mantan Pengerusi BKE, Zuhdi bin Othman turut dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi dari TDI dan TF. Suasana begitu riuh rendah tatkala mendengar ceramah yang disampaikan dengan nada bersahaja oleh Ustaz Shahrir. Turut kelihatan di situ adalah Dr Mustapha bin Ibrahim yang merupakan Pengetua Kolej Kediaman TDI. Kelihatan juga barisan pimpinan Jawatankuasa Kolej Kediaman yang baru di majlis tersebut.

Program berakhir dengan pesanan dari Ustaz Shahrir untuk memelihara solat serta akhlak dan berharap program ini patut bermula dari awal semester dan bukannya di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. -Unit Penerangan Surau Perdana.




Biro Kerohanian & Etika TDI Mengucapkan....

Friday, April 17, 2009

Soalan Quiz....

1. Nombor apakah yang dipaparkan di dalam gambarajah di bawah?
(bukan jawi nih!)











2. Apakah yang dimaksudkan dengan programming ini? v(^^,)/ chaiyok!!



PSM2 Kali Kedua


Siapa yang mampu bagi menempuhi PSM2 untuk kali kedua semester hadapan? Angkat tangan! Pasti, tidak ada yang sanggup untuk berhadapan dengan ‘Penangan Setiap Masalah’ ini lagi. Berhadapan dengan PSM1 pun sudah cukup memeritkan minda yang pada asalnya waras. Kata seorang sahabat di dalam mesejnya, “PSM bukannya Pembentangan Satu Minit, bukan juga Persediaan Satu Minggu, tetapi Perancangan Setiap Masa. Perincikan Setiap Masalah. Pastikan Semuanya Mudah walaupun ianya Projek Serabutkan Minda, Perlu Selaraskan Masa”.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian”. Tersiksa sebenarnya menghadapi Projek Sarjana Muda ini, apatah lagi ianya adalah untuk kali kedua. Bagi mahasiswa jurusan elektrik pastinya berhadapan dengan litar-litar serabut yang ‘parallel’ dengan serabutnya minda, bermain dengan programming ‘void(main)’, ‘#define MTR1 PORTCbits.RC2’ dan ‘if else if’.

Aku juga tergolong di dalam insan yang terpilih ini. Berhadapan PSM2 untuk kali kedua. Bermula dari semester lepas yang bermula dengan aku tidak dibenarkan ke sesi pembentangan, dan ini adalah kali kedua bagiku. Sangkaan dapat disiapkan lebih awal ternyata meleset. ‘Proceeding Paper’ di’reject’ sebanyak dua tiga kali. Programming asyik menunjukkan ‘syntax error’ dari semester lepas. Lebih memeritkan jiwa tatkala esok waktu pembentangan, komputer tidak dapat berfungsi malah tidak dapat ‘On’ langsung sehingga kini. Keputusannya sewaktu pelajar lain sedang membentangkan projek mereka, aku sibuk menyiapkan slide pembentanganku. Waktu yang terlalu singkat. Terpaksa men’hakmilikperibadi’kan laptop sahabatku buat seketika waktu.

Mujurlah ada sahabat-sahabat yang membantu, “Salam. Ada apa-apa tak yang boleh ana bantu untuk projek anta?”, “Salam, ana ada kat JB, ada komponen yang tak cukup lagi? Boleh ana belikan”. “Litar dah siap ke belum? Ana nak tolong pateri nih”. Terharu rasanya mendapat sahabat-sahabat yang mampu mengerti dan memahami ini. Tapi sayangnya, yang bertanyakan mengenai litarku majoritinya dari kalangan pelajar jurusan awam, mekanikal atau bukannya dari aliran elektrik. Namun ianya cukup untuk menguatkan semangat yang tersisa ini. Bilik kolej kediamanku menjadi pusat pertolongan kecemasan, begitu ramai yang datang membantu. Syukur pada Allah kerana memberikan aku sahabat yang begitu memahami.

Jika semester lepas aku bermasalah dengan Penyelia, semester ini berhadapan pula dengan Panel. Panel tidak puas hati dengan projek yang dihasilkan. Projek yang tidak dapat berfungsi. Kesimpulannya 15 April 09 aku perlu membentang sekali lagi dengan syarat projek itu menjadi.


Ini yang membuatkan aku cemburu dengan teman-teman yang lain. Mengapa mereka bentang dengan projek yang tidak menjadi, terlepas dari masalah ini? Mengapa aku pula yang perlu berhadapan dengan masalah ini? Tak adil! Jika dilihat dari sudut ‘pasti ada hikmah yang tersembunyi’ sudah pasti jiwa menyatakan mungkin Panel ingin aku memiliki ilmu ini dengan mendalam dan juga mampu mencari masalah serta mampu menyelesaikannya. Mengapa limit switch tidak berfungsi, mengapa 7-segment memaparkan bentuk yang tidak sepatutnya, mengapa motor berfungsi dan kemudiannya berhenti pula, mengapa, mengapa dan mengapa perkara ini berlaku pada aku?!!

Pada tarikh yang dijanjikan, pembentangan PSM2 kali kedua untuk sesi kedua bermula. Berbekalkan programming yang ‘successfull build’ dengan bantuan Fazlan rakan sekelasku, projek yang agak kurang menjadi dipamerkan di hadapan Panel. Mengapa limit swith tidak berfungsi? Mungkin berlaku litar pintas ataupun ‘normally closed situation’. Mengapa 7-segment memaparkan bentuk yang tidak sepatutnya? Mungkin kesalahan menggunakan 7-Segment ‘common catode’ atau ‘common anode’. Mungkin juga kesalahan dari segi penggunaan ‘IC CD4543BE-convert BCD to 7-Segment’. Mengapa motor pusing terlalu laju? Sebab tidak dimasukkan litar PWM yang mengawal voltan masukan. Mengapa semua ini berlaku padaku? Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Jadi? Aku diminta Panel untuk membentangkan sekali lagi, tetapi kali ini di hadapan Penyelia aku.

Walaubagaimanapun, setinggi-tinggi penghargaan buat sahabat-sahabatku yang sudi membantu: Palie Dzul Hilmi, Pali Samsudin, Jehe, Syafiq Mat Jap, Arip, Hasri, Amir, Fazlan, Nik Hasanul, Kyudri, Nik Azizon, Kema, Zaim, Firdaus, Azuwan, Syahidi, Helmi Adnan, Rizal, dan lain-lain yang membantu secara tak langsung.

“Ya Allah, Ya Tuhanku. Kurniakanlah sahabat-sahabatku ini dengan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kurniakanlah juga kepada mereka keselamatan di dunia dan di akhirat. Kukuhkanlah ikatan persahabatan yang telah terbina ini. Amin ya Rabbal ‘Alamin”.

PSM kali ini menguji keimanan, kesabaran, persahabatan, amalan, penyerahan diri kepadaNya dan lain-lain lagi yang bersifat pembentukkan jati diri. Sesungguhnya Allah menyembunyi hikmah kepada hambanya supaya hambanya berusaha.

“Perlukah Allah khabarkan kepada kita akan hasil kehidupan kita tanpa kita berusaha untuk mendapatkan redhaNya? Sudah pasti tiada lagi kemanisan dalam beribadah kepadaNya jika kita telah mengetahui di sebalik rahsiaNya”. Wassalam. Jadikan ini sebagai pengajaran.

Munajat Kecemerlangan Mahasiswa

UTHM, 16 April - Kelab Iqra' dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan majlis Munajat Kecemerlangan Mahasiswa sempena minggu peperiksaan akhir yang akan bermula tidak lama lagi. Majlis ini diadakan di Masjid UTHM dan Kolej Kediaman Tun Fatimah.

Program bermula dengan majlis berbuka puasa pada pukul 7.15 malam diikuti dengan solat maghrib berjemaah dan bacaan Yasin serta tahlil. Majlis diteruskan dengan solat Isyak dan solat hajat berjemaah.

Para hadirin dijamu dengan jamuan makan setelah solat hajat. Program disambung dengan study group yang diadakan di dua tempat, peserta muslimin di perpustakaan manakala peserta muslimat di Kolej Kediaman Tun Fatimah. Program berakhir dengan qiamullail kira-kira pukul 5.00 pagi.

Program ini bertujuan untuk menyiapkan diri mahasiswa dengan pengisian kerohanian sebelum menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjelang. Pengarah program, Sdr. Mohd Syafiq Abdul Rahman berkata, "Kita (mahasiswa) tidak boleh mengharap usaha kita semata-mata untuk memperoleh kejayaan tetapi setiap usaha kita itu mestilah diikuti dengan tawakkal kepada Allah agar segala usaha kita mendapat keberkatan dariNya,".

Kelab Iqra' dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada semua mahasiswa UTHM. Mudah-mudahan segala pergantungan kita kepada Allah memberikan bantuan dan rahmat.-Iqra'Kini-

Misi Penyebaran Dakwah

Komposisi 23/50. Inilah yang dapat digambarkan setelah mengetahui keputusan penuh Pilihan Raya Kolej Kediaman (PRKK) yang telah diadakan bermula 26 Mei 2009 dan berakhir pada 1 April 2009. Tahniah diucapkan kepada seluruh perwakilan-perwakilan yang telah berjaya merangkul tanggungjawab sebagai Jawatankuasa Kolej Kediaman masing-masing.

Ini merupakan pertama kali diadakan Pilihan Raya bagi Kolej Kediaman yang terdiri dari lima Kolej Kediaman iaitu KK Perwira, KK Melewar, KK Tun Syed Nasir, KK Tun Dr Ismail dan KK Tun Fatimah. Mantan JKK yang berkepentingan untuk kebajikan mahasiswa lalu telah menyusunatur dan telah menghantar seramai 30 calon bagi 50 jawatan keseluruhan yang dipertandingkan. Lebih menarik hanya tujuh individu sahaja calon Mahasiswa yang kurang bernasib baik untuk meraih undi penghuni di kolej kediaman masing-masing.


5K untuk KK. Slogan yang dibawa oleh calon-calon dari mahasiswa ini. Apa yang dimaksudkan dengan 5K adalah Kebajikan, Keprihatinan, Ketrampilan, Kecemerlangan dan Kerjasama yang mencangkupi keseluruhan elemen penting dalam sesebuah organisasi yang bakal memimpin penghuni kolej kelak.



Merujuk kepada keputusan yang diperolehi petang 1 April, di KK Perwira seramai lapan calon yang dipertandingkan dan memenangi sebanyak lima kerusi. Manakala di KK Melewar seramai enam calon yang dipertandingkan dan hanya memenangi empat kerusi. Situasi di KK Tun Fatimah pula calon mahasiswa telah memenangi 6 kerusi dari 8 kerusi yang dihantar. Berbeza dengan KK Tun Dr Ismail yang mana mahasiswanya mungkin kurang berminat untuk mengaktifkan diri dengan sebarang aktiviti yang mana kesemua kerusi yang dipertandingkan menang tanpa bertanding dengan calon mahasiswa hanya menghantar dua orang calon. Ini bermakna tiada pilihanraya diadakan di KK Tun Dr Ismail. Lain pula di KK Tun Syed Nasir di mana calon mahasiswa menghantar enam calon dan keenam-enam ini berjaya meraih kerusi yang dipertandingkan. Ini menjadikan calon mahasiswa memenangi sebanyak 23 kerusi dari keseluruhannya sebanyak 50 kerusi. Boleh dikatakan hampir separuh.


Calon mahasiswa telah memenangi di keseluruhan jawatan Biro Kerohanian & Etika. Juga memenangi hampir semua di jawatan Pengerusi kecuali di KK Tun Syed Nasir yang mana calonnya dibantah oleh pencabarnya. Di Jawatan Timbalan Pengerusi pula dikuasai oleh calon mahasiswa di KK Perwira, KK Melewar dan KK Tun Syed Nasir. Bagi jawatan Bendahari pula, calon mahasiswa tidak begitu bernasib baik di KK Melewar dan tidak juga menghantar wakil di KK Tun Dr Ismail. Bagaimanapun Pilihan Raya Kolej Kediaman kali ini meriah dengan pelbagai situasi dan juga kontroversi yang telah sampai ke pihak pentadbiran dan Naib Canselor.

Dengan kemenangan yang hampir separuh ini bukanlah bertujuan untuk mendabik dada dan berbangga sebaliknya untuk menjadikan Jawatankuasa Kolej Kediaman sebagai satu platform agar dakwah Islamiyyah dapat disebarkan di peringkat akar umbi.

“Janganlah menarik orang kepada persatuan kelak mereka akan kelihatan kekurangan yang ada pada persatuan. Tariklah mereka ke arah Islam dan mereka akan tertarik dengan tawaran Islam”. Bermulalah sudah satu misi penting yang perlu dilakukan oleh perwakilan-perwakilan yang berjaya iaitu “Misi Penyebaran Dakwah” yang bermula dari saat ini.


Wednesday, April 15, 2009

Jawatan: Kelayakan atau Nafsu?

Justify Full

Manusia selalu membina hubungan sosial dengan manusia lain di mana pun dia tinggal dan hidup. Hubungan sosial yang dibentuk ini melahirkan sebuah masyarakat yang berorganisasi dan hidup dalam keadaan yang lebih sistematik.

Dalam sebuah organisasi terdapat mereka yang dipanggil pemimpin dan orang yang dipimpin. Pemimpin memainkan peranan yang cukup besar dalam sesebuah organisasi dan tanggungjawabnya adalah cukup berat dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang tugas dan peranannya sebagai seorang pemimpin.

Jangan sekali-kali meminta untuk menjadi pemimpin sekiranya kita merasakan diri kita kurang berkelayakan untuk memimpin kerana dikhuatiri kita tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita seandainya kita menjadi pemimpin.

Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim pernah bersabda : Maksudnya : “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)” Shahih Al-Muslim: 1791

Dalam hadis ini Nabi melarang keras kita dari meminta jawatan sebagai pemimpin namun bagaimana pula soalnya dengan Kisah Nabi Yusuf yang meminta jawatan? Sebenarnya Nabi Yusuf meminta jawatan dalam keadaan dia layak sedangkan Samurah yang diceritakan dalam hadis ini tidak layak.

Sekiranya Kita Layak Hukum Minta Jawatan Ada 3 Hukum:

Wajib - jika kita tidak minta jawatan itu, menyebabkan berlakunya pengkhianatan, maka minta jawatan adalah wajib

Sunat - jika kita minta jawatan dalam keadaan orang lain pun layak juga, cumanya kita lebih layak dari yang lainnya maka hukum minta jawatan adalah sunat.

Harus - jika kita minta jawatan dalam keadaan kita dan orang lain sama dari sudut kelayakan maka minta jawatan itu adalah harus.

Hukum Mereka Yang Berkelayakan Menolak Untuk Memegang Jawatan Jika sekiranya ada orang lebih layak dan kita tolak jawatan tersebut maka itu adalah yang terbaik namun sekiranya semua tidak layak, hanya kita sahaja yang layak, lalu jika kita tolak juga maka hukum tolak itu menjadi haram.

Kesimpulannya sebelum kita tolak sesuatu jawatan pastikan ada orang yang lebih layak dari kita atau setidak-tidaknya sama layak. Sebelum membuat keputusan untuk merebut sesuatu jawatan hendaklah kita melakukan analisa terhadap diri sendiri terlebih dahulu adakah kita berkelayakan kerana dikhuatiri sebab kita mahukan jawatan hanyalah kerana untuk mencari populariti, publisiti dan menurut hawa nafsu semata-mata.

Fikirlah dengan akal yang sihat dan buatlah keputusan berdasarkan pertimbangan iman sebelum merebut sesuatu jawatan agar kita selamat dari merebut jawatan dalam keadaan kita tidak layak untuk memegangnya.

Thursday, April 9, 2009

Melayu Umno luar bandar kekal sokong BN

Sejauhmana sokongan Melayu terhadap PR atau PAS di kampung-kampung tradisional.

Setelah menatap angka-angka undi (walaupun bukan rasmi, tetapi coraknya tetap begitu) di PRK Bukit Gantang, terasa dukacitanya. Dikhabarkan hanya 43% sahaja Melayu yang menyokong PAS walaupun calon yang dipertaruhkan bertaraf MB. 57% Melayu masih tetap setia dengan UMNO. Pola pengundian di DUN Trong menceritakan kepada kita tentang kekuatan UMNO di luar bandar. DUN Trong masih dikuasai oleh UMNO. Di manakah silapnya PAS sehingga masih gagal meraih undi Melayu di kawasan-kawasan sebegini. Kenapa penyokong PAS setempat yang juga merupakan sanak saudara merekapun masih gagal menambat hati mereka.

Ruang waktu selama 10 bulan ketika memerintah Perak gagal dimanfaatkan oleh PR. PR seolah-olah terlupa atau sengaja membiarkan dahulu orang-orang Melayu yang berwakil rakyat UMNO terasa yang mereka dianaktirikan oleh PR. Penyelia DUN dan ketua kampung gagal berfungsi dengan baik. Penyelia DUN seperti tidak mengerti akan tanggungjawabnya. Pimpinan parti pula sibuk memikirkan pengagihan tanah-tanah kurniaan dan pingat-pingat hari keputeraan. Sekarang apa dah jadi? Semuanya hilang begitu sahaja.

Selama PR memimpin negeri, anak buah di kampung terabai. Anak buah UMNO dilupa terus. Mula mencipta kroni. Mula ada perasaan tamak hakap haloba. Tidak sabar dan tidak nyempat-nyempat. Sekiranya DUN Perak dibubarkan, mampukah PR mencuri satu atau dua daripada 27 DUN milik UMNO? 27 DUN milik UMNO itu terletak di kawasan luar bandar. Sekiranya trend pengundi Melayu di DUN Trong diambilkira, memang sukar untuk PR menang di DUN milik UMNO.

Sekiranya benar DUN Perak akan bubar dalam masa 40 hari ini, apakah PR telah cukup bersedia? Sejauhmanakah program-program kemasyarakatan itu berkesan kepada penyokong UMNO. Seronokkah PR jikalau yang hadir di setiap program itu adalah mereka yang sememangnya mengundi PR? Tetapi inilah yang berlaku. Indah khabar dari rupa!

PR kurang dan terlalu kurang melakukan sentuhan hati kepada kumpulan umur 60-an. Tidak bolehkah PR lakukan ziarah berkala. Ziarah secara individu, bukannya secara berkumpulan. Libatkan yang ada hubungan kekeluargaan. Mula-mula tanya khabar. Mintak ayaq hangat secawan. Hulurkan biskut merry. Cicah. Tulat datang lagi. Minum yangat bancuh sendiri. Gorengkan pisang di dapurnya. Minggu depan datang lagi. Janjikan nak bawak pergi berkelah bersama keluarga di Ulu Licin, Beruas. Sebulan kemudian datang lagi. Datang dengan keluarga. Mesrakan anak kecil kita kepada mereka. Tolong kemaskan rumahnya lebih kurang mana yang patut. Insya Allah mereka akan rindukan kita. Apabila mereka telah rindukan kita, barulah kita sembang sikit-sikit tentang PR. Cara ini lebih berkesan daripada kita jemput mereka menghadiri majlis sambutan hari raya di premis-premis yang PR kena sewa. Masalahnya PR kurang sabar. Mahukan hasil segera. Cepat menyalahkan mereka yang tidak mahu mengundi PR.

Ada pimpinan PR yang kata, “Sumber kewangan kita terhad”.

Udah tahu terhad, janganlah buat program yang grand-grand. Banyakkah duit yang diperlukan untuk beli biskut merry dan berkelah di Ulu Licin? Lagipun duit itu diperabihkan kepada sanak saudara sendiri. Bukannya orang lain. Takkan itupun nak berkira.Tapi bolehkah PR lakukannya sekarang? (source: LINK)

Pilihanraya P59 Bukit Gantang


Dalam keputusan rasmi Parlimen Bukit Gantang, calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meraih 21,860 undi, manakala calon BN, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi, dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris hanya 62 undi. Dengan itu Nizar diisytihar menang dengan majoriti 2,789 undi.
Sementara calon KeADILan, S Manikumar menang dengan 12,632 undi, BN 10,229. Majoriti 2,403 undi...

Friday, April 3, 2009

Rindu, Sayu, Pilu Menjadi Satu

Semalam, aku merenung ke dalam kotak ingatan. Terlihat sebuah kenangan yang telah lama diam. Sejarah yang terus qiam. Menanti detik untuk terus tenggelam. Jika tidak terus diselam untuk meraih semula sebuah azam.

Aku tidak pasti mengapa aku begitu sayu pada hari ini. Memperlihatkan detik waktu yang berlalu. Memperhatikan masa-masa yang masih lagi tersisa bagi diriku. Masa yang terus berlalu tidak lagi menunggu. Yang menunggu hanyalah takdir maut yang pasti ku temu. Saat ku menyusun semula folder-folder yang masih lagi diperlukan, terbuka satu folder yang menyimpan kemas di dalamnya. Kepingan-kepingan gambar melambangkan ukhwah yang terbina. Pertemuan atas dasar satu akidah. Cuba bangkit untuk memperjuangkan satu khalimah, biarpun adakalanya kita tersasar langkah.

Palie, Syahadan, Amir, Faisal, Syukri, Khairul, Zaim, Sauti, Nik, Helme, Pak Lah, Syah, Jehe dan Zuhdi yang ditakdirkan Allah untuk bertemu mengikat talian ukhwah bermula 31 December 2005 dan mungkin hingga ke akhir hayat harapnya.

RINDU... Satu ungkapan yang menyebabkan aku mengalirkan air mata. Tak mampu untukku menyeka air mata yang hadir bertamu. Mempertemukan di dalam satu medan. Membincangkan dan mengukuhkan tapak sebagai seorang insan. Menegur jika tidak sesuai dengan perlakuan. Biar adakalanya berbeza pandangan, perasaan tidak puas hati di dalam usrah dilemparkan. Cuba untuk mencari titik persamaan. Dan menutup segala kelemahan dengan membuka segala kelebihan. Terasa ingin bersama semula untuk mewujudkan ‘Usrah Reunited’ yang menggabungkan semula 14 insan ini.

SAYU... Satu persatu melangkah pergi dari medan kampus ke medan negara. Mengorak langkah yang lebih mencabar dari alam kampus. 2008 menyaksikan usrah yang hanya dilalui seramai tujuh orang manakala yang lainnya telahpun berada di alam ‘Praktikal’ setelah bertahun lamanya mengumpul ‘Teori’ perjuangan. Menyaksikan seorang yang sepi seketika dan kembali ‘aktif’ setelah satu semester tenggelam. Menyaksikan seorang yang terus tenggelam dan kembali aktif di luar kampus. Menyaksikan yang tenggelam dan tidak mahu lagi ‘timbul’ di medan ini. Hatiku sayu mengenangkannya. Kini hanya bertujuh.

PILU... tiga dari yang tinggal ini juga bakal meninggalkan lapangan kampus untuk cuba menghadapi cabaran di lapangan negara. Apa yang tinggal pada semester hadapan Cuma berempat yang bertukus-lumus untuk melahirkan generasi ke seterusnya. “Gen-2: Generate the Next Generation”. Generasi kedua. Bukan pemula dan bukan terakhir. Biarlah generasi ini bakal ‘hilang’ dari dunia kampus, tetapi generasi ini cuba untuk bersatu kembali di luar kampus kelak. Dan cuba untuk menjana kembali kekuatan generasi madani. Generasi ini bakal tinggal berempat di alam kampus.

Rindu, Sayu dan Pilu kini bercampur menjadi satu. Tawa, riang, sendu dan tangisan telah dilalui bersama. Usah sia-siakan pengorbanan yang telah kita lalui ini. Biar di mana sekalipun kita diuji. Di hutan, pantai, gunung, kota atau di kampung sekalipun, kita tetap menjunjung satu langit yang sama. Hilangkan masalah hati yang meraja. Ummah tidak dapat tertegak jika masalah hati terus dibenamkan ke dasar hati. “Untuk melihat Islam di masa hadapan, lihatlah remaja Islam pada hari ini”. Kita semua dan anda yang membaca artikel ini adalah Remaja Islam pada hari ini. Generasi ini dilahirkan bukanlah untuk menunjukkan asabiyyah yang menebal sebaliknya jadikanlah asabiyyah ini berdasarkan satu akidah. Siapa pun kita, kita adalah manusia biasa.

In-peace (^~,)v Adios! ...

Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Universiti (UTHM)

UTHM, 28 Mac- Pusat Islam,Majlis Perwakilan Pelajar UTHM bersama badan-badan persatuan dan kelab pelajar telah menganjurkan perarakan MaulidurRasul peringkat universiti pada 27 Mac 2009, semalam. Perarakan yang disertai oleh wakil-wakil kelab dan persatuan pelajar serta jawatankuasa kolej kediaman berjaya membawa mesej "Khairun Ummah" kepada warga UTHM yang melihat perarakan tersebut.

Majlis bermula seawal 8.30 pagi itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari warga UTHM sehingga dianggarkan penyertaaan hampir 150 orang pada hari tersebut. Kelab Iqra bersama sahabat-sahabat Iqra tidak ketinggalan dalam menyertai perarakan ini bagi menunjukkan perasaan cinta kepada Rasullullah S.A.W dengan mengambil iktibar kisah penghijrahan Rasullullah S.A.W bersama para sahabat. Bertemakan warna kegemaran Rasulullah, Hijau, semangat kecintaaan terhadap insan yang digelar Rahmatan Lil 'alamin semakin membara. Disusuli pula dengan tanggungjawab Kelab Iqra di waktu perarakan untuk memimpin selawat di bahagian tengah dan ke belakang perbarisan menimbulkan suasana seperti penerimaan penduduk Madinah menyambut ketibaan Rasulullulah S.A.W. Perarakan bermula di lokasi E6 dan berarak menuju ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail melalui jalan utama bersebelahan padang golf dan padang ragbi. Program Maulidur Rasul diteruskan lagi dengan sesi ceramah berkaitan Kehidupan Rasulullah dan disusuli pula dengan alunan qasidah dan burdah oleh pelajar-pelajar muda Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Tahniah diucapkan kepada semua warga UTHM yang terlibat.- iqrakini