Pages

Subscribe:

Monday, September 26, 2011

Juara Keranjang: Bab 04 - Terima


Petang yang dijanji.

Azhar berjalan seiringan dengan Zulfikri.

Mereka hanya berdua. Seketika tadi mereka telah pergi ke rumah Syahiran untuk mengajaknya bersama, namun rakan serumahnya telah memaklumkan bahawa Syahiran telah pergi ke Dewan Inter-Light setengah jam yang lalu. Mereka berdua meneruskan perjalanan.

Dewan Inter-Light semakin hampir.

Zulfikri mendahului. Tangannya menolak pintu dewan.

Pintu itu terkuak sedikit. Mereka berdua melangkah masuk.

Dari jauh mereka berdua sudah kelihatan Syahiran sedang duduk di bangku penonton. Memerhatikan seseorang yang aktif berlari di dalam gelanggang.

Dari tengah gelanggang, insan itu berlari sambil mengiringi bola di sebelah kanannya. Dia melangkah masuk ke kawasan ‘D’. Dia terus melangkah dua tapak ke hadapan dengan bola itu dibiarkan seketika di udara. Tangan kanannya mula mencapai bola yang terbiar di belakangnya dan dipegang kemas dipacu ke atas. Tubuhnya sedikit melepasi keranjang. Badannya dipusing ke belakang dan bola dilepaskan mengenai papan keranjang.

Dia mendarat dengan baik. Bola itu berpusing-pusing mengelilingi jaring, dan akhirnya bola itu berjaya dijaringkan. Dia mengambil bola itu, lalu di bawa semula ke tengah gelanggang. Diulang sekali lagi langkah yang sama, untuk mencari langkahan sempurna.

Syahiran memandang Zulfikri dan Azhar.

“Sadzly! Mereka sudah sampai. Cukup.” Laung Syahiran ke arah Sadzly yang baru sahaja selesai menjaringkan bola untuk kesekian kali.

Sadzly mengambil bola yang masih melantun ke atas lantai. Pandangannya dileparkan ke arah Syahiran yang baru berdiri dari tempat duduk penonton.

Dia mengalihkan pula pandangannya ke arah pintu masuk. Matanya mampu menyapa kehadiran Azhar dan Zulfikri yang mula menghampiri mereka.

Pandangannya tajam memerhatikan Azhar dan Zulfikri.

Pandangan itu diabaikan mereka berdua.

“Kita sudah terlewat rupanya.” Kata Zulfikri kepada Azhar separuh berbisik.

Azhar memerhati jam di tangan.

“Belum lewat lagi. Kita janji untuk mula latihan dalam pukul lima setengah petang.” Kata Azhar perlahan.

“Sekarang?”

“Baru 5:28. Kita awal dua minit.” Balas Azhar tersenyum lebar.

Pantas Zulfikri menyiku rusuk kiri Azhar. Azhar tersengih.

Mereka terus menghampiri Syahiran dan Sadzly.

“Assalammu’alaikum.” Sapa Azhar dari jauh. Zulfikri mengikuti.

‘Wa’alaikummussalam.” Balas Syahiran dengan senyuman menghiasi.

Tiba-tiba Azhar merasai ada angin deras yang sedang menuju ke arah mereka berdua berdiri. Pandangannya pantas dipaling ke kiri.

Bola keranjang laju menuju ke arah mereka. Zulfikri kaku. Azhar menolak Zulfikri menjauhi laluan bola itu, Azhar melompat ke arah bertentangan.

Pantas Ikmal yang sedang berjalan di belakang Azhar dan Zulfikri mengangkap bola itu.

Fuh! Nasib tidak kena sesiapa.

Azhar sempat melihat siapa yang membaling bola itu.

Sadzly? Kenapa dengan dia?Apa masalahnya?

“Wah! Apa kes ini, kau mahu rejam aku dengan bola ini?” kata Ikmal kuat.

Entah bila dia berjalan masuk ke dalam dewan pun tidak tahu. Tiba-tiba saja Sadzly membaling deras bola itu ke arahnya. Apa salahnya?

Sadzly terus berlari menuju ke arah Ikmal.

Ikmal terkejut sehingga tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.

Zulfikri dan Azhar hanya memerhati. Terkesima.

Ikmal melemparkan bola yang ada di tangannya ke arah Sadzly. Untuk membantutkan pergerakan Sadzly.

Sadzly menangkap bola itu dan melemparkannya ke belakang. Tanpa melihat ke mana arah bola itu akan mendarat.

Syahiran sekadar mengangkap bola itu dengan sebelah tangan.

Dia terus menghampiri Ikmal. Tangannya mencekak kolar baju Ikmal. Ikmal masih lagi buntu. Dalam fikirannya sedang memikirkan apa salahnya sehingga Sadzly perlu bertindak sebegitu rupa.

Tangan Ikmal diangkat, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sekurang-kurangnya jika Sadzly ingin melandaskan tumbukan ke pipi Ikmal, Ikmal sudah bersiap sedia untuk menahan serangan itu.

“Kau pergi ke tandas tadi, bukan?” soal Sadzly kasar.

Ikmal mengangguk.

“Tandas di mana? Aku sudah tidak tahan mahu buang air.” Soalan Sadzly itu membuatkan Ikmal mula tersengih.

Akhirnya Sadzly dan Ikmal ketawa.

Tangan kiri Ikmal yang tersedia terangkat itu diletakkan perlahan ke pipi Sadzly. Cengkaman Sadzly di kolar baju Ikmal dilepaskan.

Mereka terus ketawa.

Zulfikri dan Azhar menarik nafas lega. Mereka juga turut tersenyum.

Memang Sadzly seorang yang panas baran, tetapi panas barannya hanya pada orang tertentu. Tidak pada semua orang. Namun, ada masanya marah Sadzly tidak bertempat dan tidak mengira sesiapa.

Tanpa menunggu jawaban dari Ikmal, Sadzly terus berlari keluar dewan. Sadzly tahu tandas ada di sebelah belakang dewan itu. Sengaja dia lakukan sebegitu pada Ikmal kerana dia tahu Ikmal sering saja suka bergurau.

Ikmal menghantar Sadzly dengan pandangan. Kemudian pandangannya itu dialihkan pula kepada Syahiran, Azhar dan Zulfikri. Ikmal tersenyum lebar memerhatikan mereka bertiga.

Syahiran mengangkat ibu jari kepada Ikmal.

Ikmal memuncungkan bibirnya sambil tangan kanannya diangkat dengan ibu jari di hala ke bumi.

Bola yang ada di tangan Syahiran dibaling kepada Ikmal. Ikmal menyambut dengan mudah dan berjalan menghampiri mereka bertiga.

Kini Syahiran, Zulfikri, Azhar, Ikmal berhimpun setempat. Sadzly sedang berada di tandas.

“Yes! 12-10!”

Suara sorakan kedengaran.

Mereka memandang ke arah separuh gelanggang lagi.

Di sebelah separuh gelanggang lagi, kelihatan Suhaimi, Hazrat, Ali, Hazeri sedang berlatih dua lawan dua. Hazeri dan Suhaimi bergandingan menentang Ali dan Hazeri.

Bola sedang meleret. Suhaimi tunduk mengambil bola. Bola itu kemudiannya dilontarkan ke arah Hazrat. Hazrat kembali melontarkan bola kepada Suhaimi. Perlawanan bermula. Suhaimi dan Hazeri baru saja melepasi jaring keranjang sebentar tadi. Kini masih lagi giliran mereka.

Suhaimi mengiring bola di sebelah kanannya. Tangan kiri didepa untuk menghalang pihak lawan menghampiri. Hazrat kini mengawal Suhaimi dari melepas masuk ke kawasan D. Bola dilontar rendah kepada Hazeri. Hazeri menghulurkan tangan ke paras lutut untuk mengambil dari Suhaimi. Tanpa berlengah, Hazeri berlari menuju memasuki kawasan D. Dia terus melompat dengan kedua-dua belah tangannya dihayun ke depan untuk menjaringkan bola. Ali menghalang dengan mengangkat kedua-dua tangannya. Hazrat sudahpun berlari meninggalkan Suhaimi dan menanti di depan keranjang. Ali melompat sedikit untuk mengelak bola itu melepasinya. Namun, tangannya tidak terasa disapa oleh bola.

Apabila Hazeri dan Ali mula mendarat. Kelihatan Suhaimi sedang melonjakkan tubuhnya ke udara dengan bola di tangan. Hazrat sudah sedia menanti di situ. Bola dilepaskan, namun Hazrat yang lebih tinggi dari Suhaimi tersenyum. Tangan Hazrat sempat menapis bola dari menjamah keranjang. Ali pantas mencapai bola yang baru saja menghentam gelanggang. Ali membawa bola keluar dari kawasan D.

Giliran Ali dan Hazrat untuk cuba menjaringkan bola. Bola di tangan Ali dilepaskan ke arah Hazrat. Hazeri yang mampu berlari laju pantas memintas di hadapan Hazrat. Namun, bola itu melencong sedikit ke arah dalam gelanggang membuatkan tangan Hazeri hanya menyapa angin. Hazrat mencapai bola yang sedikit melencong itu lalu dia memusingkan badannya 180º dan terus melontarkan bola itu ke arah keranjang. Suhaimi yang berada di bawah keranjang melompat, tetapi ketinggiannya tidak mengizinkan. Bola itu berpusing-pusing di keranjang. Suhaimi dan Hazeri hanya melihat bola itu berpusing tanpa berbuat apa-apa. Hazeri dapat rasakan desiran angin deras melintas di hadapannya. Tidak semena-mena, kelihatan Ali dengan ketinggiannya melebihi orang lain itu sedang melompat, sekaligus membenamkan bola ke dalam jaring.

Ali mula mendarat. Bola itu jatuh menghentam gelanggang.

“12 sama.”

Hazrat bersuara membacakan keputusan terkini.

Suhaimi menyambut bola yang masih melantun itu.

“Huh! Penat!” dengus Suhaimi.

Mereka kembali ke posisi asal. Kini Hazrat dan Ali berada di luar kawasan D manakala Suhaimi dan Hazeri berada di dalam kawasan D.

“Southern Soul! Berhenti sekejap! Kita berkumpul dulu!” laung Syahiran dari tepi gelanggang.

Pergerakan mereka berempat terhenti. Masing-masing memandang ke arah suara itu. Kelihatan Syahiran sedang melambai tangan bersama dengan Zulfikri, Azhar dan Ikmal di tepi gelanggang.

Pandangan mereka tersapa oleh bunyi daun pintu yang terkuak sedikit. dua bayangan di muka pintu muncul tiba. Sadzly melangkah masuk ke dalam dewan. Seketika kemudian Aripin juga kelihatan mengikuti Sadzly dari belakang.

Mereka berdua melirik senyum.

Bola yang ada di tangan Hazrat dilantun beberapa kali, kemudiannya dileretkan bola itu ke arah Aripin. Aripin berdiri kaku menanti bola yang sedang meleret ke arahnya. Tangan kanan tersedia untuk menerima bola.

Kemudian, tangan kanannya mengenakan sedikit momentum kepada bola itu dan membuatkan bola itu kembali melantun.

Aripin mengiring bola menghampiri mereka semua.

“Semua sudah ada?” soal Syahiran memerhati ahli pasukannya satu persatu.

“Junaidi dan Firdaus masih belum sampai.” Ujar Suhaimi.

“Mereka berdua lagi?” bicara Sadzly.

Keluhan kasar Sadzly kedengaran.

Syahiran perasaan situasi itu.

“Baiklah. Tanpa berlengah masa. Kita mulakan dengan umul-kitab, Al-Fatihah.” Syahiran meneruskan bicaranya kepada semua. Sekaligus memotong terus perasaan tidak puas hati Sadzly.

Masing-masing tunduk bertafakur membacakan surah Al-Fatihah sebagai pembuka majlis.

Engkaulah sahaja ya Allah yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukannya jalan yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Zulfikri menghayati makna al-Fatihah dengan sepenuh hati.

Kemudian, mereka memulakan latihan dengan pemanasan badan.

Mereka berlari di dalam satu kumpulan mengelilingi gelanggang. Sama-sama lambat, sama-sama cepat. Syahiran telah berpesan dengan memetik satu ayat dari al-Quran, “Dan janganlah kamu berpecah belah atau bercakaran antara satu sama lain, kelak kamu akan lemah dan hancur dan dengan itu hilanglah kekuatan atau kekuasaan kamu.”

*****Bersambung*****


Friday, September 23, 2011

Juara Keranjang: Bab 03 - Takdir


“Apa rancangan kita?” Soal Azhar.

Kini hanya tinggal mereka bertiga.

“Balik rumah.” Balas Zulfikri santai.

“Berjalan?”

“Jangan mengada. Rumah kita di seberang jalan saja.” Bicara Zulfikri membuatkan Syahiran dan Azhar tersenyum.

Mereka bertiga mula berjalan bersama menuju ke jalan besar. Rumah Azhar dan Zulfikri berada di seberang jalan. Mereka tinggal serumah. Manakala Syahiran tinggal berhampiran dengan Dewan Inter-Light. Rumahnya betul-betul di hadapan sebuah padang. Untuk menuju ke jalan besar, pasti mereka akan melalui rumah Syahiran terlebih dahulu.

Dari kejauhan, mereka mampu melihat suasana di atas padang yang berhadapan dengan rumah Syahiran.

Ramai remaja sedang berlari-lari di atasnya. Nyata mereka sedang bermain bola sepak. Boleh dilihat di atas padang itu ada beberapa kumpulan yang sedang beraksi bermain bola sepak. Bukan hanya dua pasukan. Terdapat banyak pasukan. Baik golongan anak-anak kecil, golongan remaja, mahupun kelompok yang sudah berumah tangga.

“Kau tidak berminat main bola sepak?”

Soalan itu terpacul keluar dari mulut Azhar. Soalan itu ditujukan kepada Syahiran.

Syahiran menggeleng.

“Kenapa? Sedangkan kau setiap hari melihat mereka bermain bola sepak.” Sambung Azhar.

Zulfikri hanya mendengar dan memerhati.

“Jiwa aku terdidik dengan bola keranjang.”

“Permainan bola keranjang ini bukankah permainan yang dikuasai oleh orang-orang cina? Lebih baik bermain bola sepak yang rata-ratanya adalah orang melayu.” Azhar terus menduga Syah. Menyuntik provokasi. Mata Azhar melirik ke arah Zulfikri. Senyumannya meleret. Zulfikri juga tersenyum.

“Tetapi itu bukan satu alasan kukuh untuk katakan orang melayu seperti kita tidak boleh bermain bolah keranjang, bukan?” soalan Azhar dibalas soalan.

“Benar. Bukankah peluangnya untuk orang seperti kita terlalu tipis?”

“Maksud kau?” Syah bertanya semula.

“Satu dalam seribu. Orang melayu yang main bola keranjang ini terlalu sikit. Sukar untuk menonjol. Sudah pasti kita akan tenggelam dengan kehebatan orang-orang cina.”

“Bagaimana kalau orang-orang cina bermain bola sepak?” Syahiran mengukir senyum. Situasi orang melayu dalam permainan bola keranjang diterbalikkan dengan situasi orang cina bermain bola sepak.

“Mereka juga sukar untuk menonjol, bukan?” sambung Syah.

“Tetapi kalau mereka berusaha dan mengkaji corak permainan bola sepak. Mereka juga akan sehebat orang melayu.” Jawab Azhar.

“Kenapa kita tidak berusaha untuk mengkaji corak permainan orang-orang cina dalam permainan bola keranjang?” Syahiran memulangkan pandangan.

Azhar sekadar tersenyum. Kredibiliti ketua pasukannya tidak boleh disanggah lagi. Dia menggangguk membenarkan kata-kata Syahiran.

“Lagipun tadi kau ada kata orang melayu dalam permainan bola keranjang ini ibarat satu dalam seribu. Bukankah itu golongan yang terpilih? Dan ia adalah golongan yang unik.” Syah kembali bersuara. Mengukuhkan jawabannya.

Azhar mengangguk lagi.

“Allah telah berfirman di bahagian terakhir ayat 249 Surah Al-Baqarah, Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.” bicara Zulfikri setelah agak lama berdiam diri.

Azhar dan Syahiran memandang Zulfikri. Kemudian mereka melontarkan pandangan mereka ke arah pandang.

“Untung bagi orang-orang yang sabar. Sebab Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.” Kata Azhar.

Syahiran mengangguk.

“Jika kita pandang diri kita pada perspektif Islam, kita akan dapat lihat banyak ganjaran yang Allah sediakan untuk kita. Sebab itulah kita perlu memandang diri kita dari perspektif Islam, bukan pada perspektif bangsa. Yakin dengan janji-janji Allah.” Sambung Azhar.

“Ini bermakna kita perlu terus merancang. Gagal setelah merancang adalah lebih baik daripada gagal tidak merancang.” Sambung Azhar lagi.

“Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik Perancang.” Sambung bicara Zulfikri dengan membacakan ayat 54 dari Surah Ali-Imran. “Hanya kepada Allah sahaja tempat kita bergantung harap.”

Syahiran seakan berfikirkan sesuatu.

Azhar dan Zulfikri menanti reaksi Syah.

Syahiran mula bersuara, “Kalau mahu perancangan kita lebih mantap, kita perlu duduk semeja dengan Aripin dan Hazeri.”

“Kenapa mereka berdua?” serentak soalan Zulfikri dan Azhar.

Syahiran tersenyum.

Dia mula bersuara, “Aripin seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap, tetapi dia seorang yang suka memerhati. Kemudian, pemerhatian dia pula perlu dikongsikan kepada Hazeri kerana Hazeri seorang yang licik dalam perangkaan strategi.”

“Oh! Ya. Aku ingat. Hazeri pernah kata pada aku, permainan itu adalah satu tipu daya.” Azhar memetik jari. Teringat perbualannya dengan Hazeri minggu lepas.

“Inspirasi dari sabda nabi, perang itu adalah tipu daya.” Balas Zulfikri.

Zulfikri dapat melihat sesuatu yang tersirat.

Benarlah ayat yang dilontarkannya di hadapan dewan Inter-Light tadi.

‘Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.’

Zulfikri tersenyum.

Perbezaan itu mampu untuk mengukuhkan sesebuah perancangan jika perbezaan itu disatukan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” kata Zulfikri. Memetik ayat al-Quran dari Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Mereka terus berjalan menuju ke rumah masing-masing.

*****Bersambung*****

Saturday, September 17, 2011

Tragedi Malam Jumaat 3/3 - [2nd Edited]


Farid sudah tiba di muka pintu rumahnya. Dia melangkah masuk dan terus menuju ke ruang dapur. Menjamah sedikit makanan yang disediakan ibunya. Kemudian, langkahnya diatur menuju ke bilik.

Dia melontarkan tubuh ke atas katil.

Farid mula berfikir.

Bingung.

Bingung dengan sikap yang ditonjolkan para jemaah sebentar tadi.

Dia mula berfikir-fikir, bagaimanakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk membezakan antara syariat dan adat? Bagaimanakah cara untuk menyedarkan insan di luar sana akan kepentingan berilmu? Ilmu itu seharusnya dituntut. Malah ia sudah jatuh kepada hukum wajib dalam menuntut ilmu.

Dia teringat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah.

“Menuntut ilmu merupakan kewajiban bagi setiap Muslim” Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Apa yang dapat Farid lihat, sikap penduduk kampungnya bahkan seluruh masyarakat di luar sana adalah, setiap kali surau mengadakan majlis sahaja surau akan dipenuhi dengan para jemaah. Ke mana hilangnya jemaah surau pada hari-hari lain? Alasan, kerja shift, sukar untuk istiqamah. Bagi pelajar? Banyak tugasan yang perlu dihantar segera.

Malah masyarakat kini juga kurang menghafal surah-surah lazim, surah yang kebiasaannya dibacakan di dalam solat ataupun majlis-majlis tertentu. Yang hanya dihafal hanyalah ‘tiga Qul’.

Ada juga jemaah yang menunggu masa menjamah makanan sahaja. Ada jamuan, hadirlah mereka. Tiada jamuan, sibuk bekerja. Mereka tidak mahu terlibat dengan sebarang aktiviti di dalam mahupun di luar surau. Selesai sahaja majlis atau aktiviti di surau, manusia tiada lagi kelihatan. Sebaliknya hanya kelihatan Imam, Bilal, Siak dan beberapa jemaah ‘veteren’ yang masih meneruskan sisa-sisa hidup mereka di situ.

Farid terfikir lagi.

Bagaimanakah akhlak, iman dan amal masyarakat kita apabila Malaysia menjelang tahun 2020 nanti? Misi Wawasan 2020? Islam Hadhari? Satu Malaysia? Adakah lebih teruk dari apa yang dilihat sekarang ataupun sebaliknya?

Memang Farid akui, akan adanya zaman kegemilangan Islam di kemudian hari. Akan adanya satu pimpinan yang kuat terhadap agama Islam dengan hadirnya Imam Mahadi dan turunnya Nabi Isa. Tetapi pada ketika itu, dunia sudah hampir pada penghujung hayatnya. Farid percaya, kiamat tidak akan terjadi selagi orang-orang Islam tidak bangkit menentang bangsa Yahudi dan Israel laknatullah.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga orang-orang Islam memerangi orang-orang Yahudi. Maka orang-orang Yahudi akan bersembunyi di sebalik batu-batu dan pokok-pokok (kerana takutkan orang-orang Islam) dan batu-batu dan pokok-pokok tersebut berkata kepada orang-orang Islam: "Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi dibelakangku. Bunuhlah ia!” Kecuali pohon 'Gharqad' kerana sesungguhnya pohon tersebut adalah pohon Yahudi."

“Sesungguhnya hari kiamat akan datang yang tidak diragui lagi namun kebanyakkan manusia tidak beriman.” (Al-Mukmin: 40).

Begitu kuatnya agama Islam ketika kiamat kian menjelma. Farid tidak mampu menahan air mata. Menitislah air matanya gugur menyembah bumi. Mengingatkan nasib bangsanya yang cuba bersatu, tetapi tidak termampu. Malah semakin jauh dari landasan Tuhan, dengan membina landasan sendiri.

Farid hampa.

Entah sudah berapa kali Farid mengeluh.

Kini, dia mengeluh lagi.

Dia tahu. Adakala dia juga turut tertewas dengan godaan dunia. Dan dia sentiasa cuba untuk perbaiki diri. Cuba untuk istiqamah dengan perubahan diri. Dia juga masih lagi terfikir akan nilai iman yang dimiliki oleh manusia. Cara untuk membentuk mereka? Dia masih buntu. Tidak terdaya jika hanya dia keseorangan untuk mengubah. Orang lain?

Farid berkira-kira.

Benar. Dia tahu. Ada tujuh tahap yang perlu dilalui oleh seseorang untuk melihat manusia kembali berada di bawah naungan keindahan Islam.

Individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Kerajaan Muslim, Sistem Khalifah Muslim, Empayar Islam dan akhirnya Ustaziatul’alam iaitu pembimbing alam.

Bermula dengan yang pertama.

Individu Muslim.

Bagaimana dengan dirinya sendiri?

Farid mengeluh sekali lagi.

Dia akui, banyak kelemahan dalam dirinya.

Dengan langkah yang lemah, Farid menuju ke rak buku dan mencapai senaskhah tafsir Al-Quran. Membaca beberapa tafsir surah-surah lazim.

Dia juga membaca surah Al-Mulk bagi memohon perlindungan dan kekuatan dari Allah yang maha Berkuasa atas segala-galanya.

Tangisnya sendu.

Farid mengakui. Di dalam Al-Quranlah terselit kisah-kisah dahulu dan peristiwa yang akan datang. Sebuah Novel Agung yang bercerita tentang kejadian dari masa dulu, kini dan selamanya.

‘Tragedi Malam Jumaat’ itu telah menyaksikan impian dan harapan seorang insan yang bernama Farid untuk berubah menuju ke tahap pertama sebuah perubahan. Tanggungjawab Individu Muslim.

Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu. (An-Nur, 24:64)

*** Tamat***

Tragedi Malam Jumaat 2/3 - [2nd Edited]


Setibanya di surau, jemaah telah pun berada di dalam posisi duduk tahiyat akhir. Mujurlah Azam telah berwudhuk sebelum mereka ke surau. Tanpa membuang masa, Azam terus masuk dan solat berjemaah bersama jemaah yang lain.

Masbuk.

Farid juga mengambil langkah sama iaitu berjemaah bersama mereka, diharapkan kelalaiannya di dalam solat bersendirian di rumah tadi dapat digantikan dengan solat berjemaah ini.

Ketika imam memberikan salam kedua, Azam dan Farid berdiri dan sambung untuk tiga rakaat seterusnya.

Solat maghrib selesai. Mereka menadah tangan membaca doa. Tangan diraup ke muka. Mereka berdua berjalan keluar ke beranda surau. Sementara menanti orang ramai selesai melakukan solat Ba’diah. Ada sebahagiannya yang duduk di luar surau sambil bersembang kosong.

Seketika kemudian, kedengaran suara Imam memberi salam kepada jemaah surau. Tanda awal akan bermulanya bacaan Yaasin. Farid dan Azam serta jemaah lain terus berjalan memasuki ruang solat.

Tangan Farid mencapai dua naskah surah Yaasin. Satu untuknya, satu untuk Azam. Mereka memilih untuk duduk di satu sudut surau itu. Mungkin juga kawasan yang tidak menjadi tumpuan orang ramai. Sedikit tersorok.

Imam yang berada di hadapan para jemaah itu memberikan sedikit keterangan mengenai fadhilat membaca surah Yaasin kepada para jemaah untuk makluman. Insan itu juga memohon supaya para jemaah sedekahkan pahala bacaan Yaasin kepada ahli keluarga, sanak saudara atau kepada mereka yang telahpun pergi meninggalkan alam ini.

Mereka memulakan bacaan Yaasin.

Bergemalah setiap ruang surau itu dengan suara para jemaah dengan bacaan surah Yaasin.

Suara para jemaah cukup kuat dengan bacaan ayat-ayat dari surah Yaasin itu. Sesekali Farid menjeling ke arah ahli jemaah lain. Adakalanya dia memerhatikan juga lagak Azam yang terkumat-kamit membaca surah Yaasin. Adakalanya mulut Azam terbuka dan tertutup tanpa mengeluarkan sepatah huruf pun.

Farid tahu, Azam begitu lemah dalam pembacaan Al-Quran. Masih lagi merangkak-rangkak walaupun usianya telahpun menjangkau enam belas tahun. Namun, masih juga terpancar sinar daya dan usaha untuk memperbaiki bacaannya sendiri, termasuklah sering menghadiri ke kelas tajwid. Itulah antara sifat azam yang perlu dikagumi.

*****

Sedang asyik mengalunkan bacaan Yaasin, jemaah surau diganggu dengan kerlipan lampu kalimantang yang ada di ruang solat. Lampu itu asyik berkelip berulang kali. Selang tiga puluh saat, ia berkelip lagi.

Bacaan Azam dan Farid terganggu. Pandangan mereka bukan lagi pada naskah Yaasin. Mata mereka tertumpu pada lampu yang sedang berkelip.

Selang seketika. Suasana kembali tenang.

Farid kembali mencari ayat yang tertinggal.

Begitu juga dengan Azam.

Tekun mereka memerhatikan ayat yang sedang dialunkan itu.

Lampu kembali berkelip.

Dan terus terpadam.

Suasana yang bergema dengan bacaan Yaasin sepi serta merta. Imam masih meneruskan bacaannya. Jemaah yang lain terus membisu. Azam menjadi begitu gementar. Apa yang terbayang di dalam fikirannya adalah ‘malam jumaat’, malam roh pulang ke rumah. Sudah banyak cerita perkara itu yang sering didengarnya. Kebanyakkan cerita adalah berlaku pada malam jumaat. Hari ini adalah malam Jumaat. Azam menjadi tidak menentu. Kedudukannya dirapatkan ke Farid.

Farid kelihatan tenang. Sepi tanpa suara.

Dia sedang menghayati surah Yaasin yang masih dibaca oleh Imam ketika suara jemaah lain sunyi sepi.

Dalam kesamaran, kelihatan satu bayangan bergerak pantas dari luar surau. Mulut Azam terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Bukan lagi ayat Yaasin seperti yang dialunkan oleh Imam. Berterabur bacaannya.

Dia terus mengulangi bacaan ayat kursi tersebut. Seketika kemudian, Azam terdengar pula derapan tapak kaki dari luar surau, bunyi itu betul-betul berada di belakangnya. Bacaan Azam bertambah laju. Tajwid sudah tidak mampu diteliti. Hatinya menjerit supaya perkara itu berakhir dengan segera. Dia semakin takut dengan tragedi ‘Malam Jumaat’.

Bayangan tadi muncul semula. Tetapi langkahannya menuju ke dalam surau.

Lilin ditegakkan dan dinyalakan.

Beberapa sudut surau itu cerah dengan limpahan cahaya lilin.

Azam melepaskan keluhan lega. Bayangan yang dilihatnya tadi adalah bayangan Bilal yang keluar mencari beberapa batang lilin.

Farid menepuk perlahan peha Azam. Dalam kegelapan itu Azam dapat melihat Farid sedang tersengih ke arahnya.

Azam hanya tersenyum tawar.

Lega dalam gementar.

Beberapa jemaah cuba membantu Bilal.

Masing-masing mengeluarkan pemetik api untuk menyalakan lilin.

Suasana kembali terang. Ada di kalangan jemaah kembali duduk di tempatnya dan meneruskan bacaan Yaasin. Ada juga yang hanya bertindak untuk mendiamkan diri mendengarkan bacaan ahli jemaah lain.

Hanya suara Imam dan beberapa orang ‘veteran’ sahaja kedengaran mengalunkan surah itu. Mereka sudah menghafalnya.

Farid masih mendengar bacaan itu.

Seketika kemudian, lampu yang terpadam itu kembali berkelip dan bercahaya semula. Keadaan ruang solat itu terang benderang seperti sebelumnya. Jemaah masih lagi seperti tadi. Ada yang menyambung bacaan bersama-sama Imam. Ada juga yang hanya bertindak sebagai pendengar dan pemerhati.

Pandangannya dilemparkan ke arah jemaah yang ada di ruang solat itu. Farid terasa pelik.

Memang pelik.

Para jemaah semakin susut bilangannya.

Ke mana ahli jemaah yang lain? Soalnya sendirian. Tanpa suara.

Farid menggaru kepala yang tidak gatal.

Ah! Biarkanlah. Bisik hati Farid. Matanya kembali ditumpukan kepada naskah Yaasin yang dipegangnya.

Ayat Yaasin ditenung.

Bacaan hampir ke penghujungnya.

Imam masih setia dengan bacaannya dari mula hingga akhir.

Pada akhir ayat Surah Yaasin, begitu kuat suara jemaah kedengaran. Hampir semua ahli jemaah di situ mengeluarkan suara membacakan ayat ke-83 surah Yaasin itu.

Farid sedikit terpanar.

Azam masih memandang naskah yang ada di tangannya.

Imam meneruskan tugasnya membacakan beberapa lagi surah-surah lazim, berzikir dan berdoa. Suasana menjadi sunyi dan sepi kembali. Para jemaah khuyuk mendengarkan doa yang dibacakan Imam.

Seketika kemudian, selesailah sudah majlis bacaan Yaasin.

Ahli jemaah berdiri dan bersalam sesama sendiri.

“Minta semua jemaah ke berenda untuk menjamah sedikit makan di sana.” Kata Bilal yang baru memegang mikrofon dari Imam.

Azam terus berdiri dan mencapai naskah Yaasin yang ada di genggaman Farid. Dia juga bertindak seolah-olah sebagai individu yang bertanggungjawab untuk memungut naskah Yaasin dari jemaah lain untuk diletakkan ke tempatnya.

Para jemaah keluar ke berenda bagi menjamah sedikit jamuan yang disediakan pihak surau.

Farid memerhati sekeliling dan lambat-lambat bangun menghampiri Azam.

“Jom makan.” Azam bersuara.

Farid mengangguk dan ikut serta bersama dengan jemaah lain menuju ke berenda.

Di berenda, dapat didengar dengan jelas masing-masing heboh menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi, lampu yang berkelip-kelip dan terpadam yang kemudiannya menyala semula.

Pelbagai andaian yang keluar dari mulut ahli jemaah yang hadir. Masing-masing dengan andaian dan perasaan tersendiri.

Suasana kembali meriah.

“Uik?” Azam terkejut. Pandangannya dilemparkan ke satu sudut berenda itu.

Farid mengalihkan pandangannya ke arah pandangan Azam.

“Ramainya.” Farid menyambung.

“Tadi tidak ada pun.” Balas Azam semula.

Kanak-kanak.

Mereka juga ada di surau? Turut menghairankan, jemaah yang hilang ketika lampu terpadam juga masih wujud di situ.

Farid sekali lagi menggelengkan kepala.

*****

Imam membacakan doa selepas solat.

Selesailah sudah menunaikan solat Isyak berjemaah.

Mereka berdua melangkah keluar dari surau dan berjalan pulang ke rumah masing-masing seiringan. Ayah Farid pulang lewat sedikit kerana mahu bertemu dengan rakan-rakannya di surau itu.

Di sepanjang perjalanan, Azam asyik bercerita semula perkara yang terjadi di surau ketika membaca Yaasin sebentar tadi. Dia meminta Farid untuk mengulas. Farid hanya mengangkat bahu. Adakalanya dia hanya menambah isi-isi bermanfaat yang perlu dikongsi bersama dia dan Azam di sebelahnya.

Kebanyakkannya adalah berbentuk nasihat dan renungan.

***bersambung***

Tragedi Malam Jumaat 1/3 - [2nd Edited]


Passing bola itu pada aku, Azam.” Laung Farid pada Azam yang berada di sebelah kanannya.

“Nah! Hati-hati di belakang.” Balas Azam seiring dengan kaki menendang bola ke arah Farid.

Farid memandang ke belakang yang dimaksudkan oleh Azam. Ada seorang pihak lawan sedang berada di belakangnya. Lantas, Farid mengambil bola dan berlari menjauhi orang yang ada di belakangnya.

Rancak sungguh mereka bermain bola petang itu.

Jam telahpun menunjukkan angka 6:59 petang. Tepat pukul 7:30 malam, azan maghrib akan berkumandang dari corong pembesar suara surau.

Sehingga kini, masih tiada lagi tanda-tanda yang mereka akan berhenti bermain. Dua sama keputusan yang diperolehi. Ini membuatkan semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk memenangi permainan itu. Satu gol dikutip, pihak satu lagi pula tidak mahu mengalah. Masing-masing tidak mahu berundur dari permainan.

Azan mula kedengaran melaungkan kalimah ‘Allah Maha Besar’.

Permainan terpaksa dihentikan, keputusan masih tidak berganjak dua sama.

Keputusan seri.

Lalu mereka semua bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Azam dan Farid berjalan seiringan, rumah mereka berdua berada di satu lorong yang sama. Bezanya cuma hujung ke hujung sahaja.

“Kau ada apa-apa rancangan untuk malam ini?” soal Farid.

“Setakat ini belum ada lagi. Kenapa?” balas Azam ringkas.

“Aku fikirkan kau sudah ada rancangan. Bolehlah aku ikut sama.”

“Aku tidak ada apa-apa rancangan pun. Duduk rumah sajalah. Lagipun banyak kerja sekolah kita yang perlu dihantar esok, bukan?” Azam mengingatkan Farid, kerja sekolah yang perlu diselesaikan sebelum esok.

“Yup!” Farid mengangguk.

“Farid, aku masuk dululah. Kalau kau ada apa-apa rancangan malam ini, beritahu aku. Tapi kena balik awallah sebab kita ada kerja sekolah lagi” pesan Azam.

Farid mengangkat ibu jarinya ke arah Azam.

Azam melangkah masuk ke perkarangan rumahnya.

Farid meninggalkan Azam dan terus menuju ke rumahnya di hujung lorong itu.

Azan sudah habis dilaungkan. Hanya menunggu masa untuk bilalnya melaungkan iqamat bagi mendirikan solat Maghrib.

Farid membuka pintu pagar rumahnya dan melangkah masuk ke dalam.


*****


Farid melangkah keluar dari bilik air. Tuala masih melekat di kepalanya mengeringkan rambut. Wudhuk sudahpun diambil bagi menunaikan solat Maghrib sebentar nanti.

Dia melangkah masuk ke biliknya. Pintu almari baju dibuka. Tangan bergerak mencapai salah satu baju dari dalam almari. Matanya liar memerhatikan kalender yang wujud di sebelah almari pakaiannya. Mencari-cari angka 19 Septemper yang merupakan tarikh di mana perlawanan bola sepak antara sekolah menengah atas akan berlangsung. Perlawanan itu pada hari Isnin. Hari ini baru 8 September. Hari ini... Eh!

Hari Khamis!

Malam Jumaat!

Baca Yaasin!

Aduh! Macam mana boleh terlupa?

Farid menepuk dahi berkali-kali.

Mujurlah wudhuk sudah diambil, Baju-T yang sudah dicapainya, disangkut kembali ke dalam almari. Baju melayu berwarna ungu muda dicapai dan terus disarungkan ke tubuh.

Sejadah dihampar, takbir diangkat, solat dilakukan.

Rakaat pertama, rakaat kedua, takhiyat awal, rakaat ketiga, takhiyat akhir, kedua-dua salam dilafazkan.

Selesai solat maghrib secara bersendirian. Pantas.

Agak kelam kabut Farid menunaikan solat maghrib sebentar tadi.

Benarlah, solat kita akan jadi tidak kusyuk apabila kita bersolat secara sendirian. Kerana apabila kita solat bersendirian, kelompongan di dalam solat kita akan terwujud dengan sendirinya dan ini akan membenarkan syaitan mendekati ruang-ruang itu untuk mengganggu solat kita. Maka dengan itu, solat kita akan menjadi tidak teratur, fikiran teringatkan perkara-perkara lain. Tidak khusyuk.

Dan seharusnya kita solat secara berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda, ‘Solat berjemaah itu lebih afdhal dari solat sendirian sebanyak 27 kali ganda’. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Farid melangkah keluar dari rumah selepas bersalaman dengan ibunya. Ayahnya sudahpun ke surau sebelum azan Maghrib lagi. Dia saja yang lewat kerana begitu asyik bermain bola. Mungkin semangat untuk perlawanan bola sepak 19 September memenuhi ruang fikirannya ketika itu.

Langkah demi langkah diatur. Farid tidak terus ke surau. Dia menuju ke rumah Azam terlebih dahulu.

“Assalammu’alaikum.”

“Wa’alaikummussalam. Hah! Farid! Ada rancangan baik malam ini?” Sambut Azam seloroh.

Farid mengukir senyum.

“Ada.”

“Wah! Aku join. Tapi, apa rancangan kau malam ini?” Azam melontarkan pertanyaan untuk kepastian dari Farid.

Farid masih dengan wajah tersenyum. “Kita ke satu majlis malam ini. Pergilah pakai baju melayu kau dulu. Cepat sikit. Nanti kita terlewat.”

“Majlis apa pula ini?” Azam menggaru kepala yang tidak gatal.

Tawa Farid kedengaran. Perlahan dia menuturkan kata. “Majlis bacaan Yaasin. Di surau.”

Mendengar jawaban Farid membuatkan Azam terus meraup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. “Malam ini malam jumaatlah. Macam manalah aku boleh terlupa pula.”

Lantas Azam juga melangkah semula ke dalam rumah, mencapai baju melayu dan kopiah putihnya. Dan terus keluar dari rumah menuju ke surau.

Farid menggeleng-geleng kepala.

Azam mengerutkan dahinya menandang Farid.

“Alah. Kau pun sama juga. Boleh terlupa malam ini ada baca Yaasin, Bukan?” Azam menepuk bahu Farid.

Sengih Farid semakin melebar.

Tanpa melengahkan masa, mereka berdua terus berjalan menuju ke surau.

***Bersambung***