Pages

Subscribe:

Sunday, March 29, 2009

Ukhwah Terindah

Batu pahat, 26 Mac - Barisan Kepimpinan Kelab Iqra' bersama beberapa mahasiswa UTHM telah menziarahi mangsa kemalangan jalanraya baru-baru ini iaitu Fadzli Dzul Hilmi Bin Mohd Fauzi atau lebih mesra dengan 'palie'. Beliau adalah aktivis Kelab Iqra' yang juga Mantan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM (MPP 08/09) telah mengalami musibah apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada tengahari Jumaat baru-baru ini. Beliau merupakan pelajar tahun akhir telah mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mulut akibat hentakkan ketika perlanggaran antara kenderaan itu berlaku.

Sebelum itu, kunjungan di peringkat MPPUTHM 0809 oleh saudara Mohd Fadzil telah membuktikan keprihatinan beliau mewakili MPP atas kebajikan mahasiswa. Selang beberapa jam kemudian, dari Kelab Iqra’ turut hadir dalam ziarah tersebut. Beliau ditahan di wad pesakit luar setelah mendapat rawatan kecemasan termasuk X-ray Scanlation oleh pihak Hospital Batu Pahat. Kelab Iqra' mengucapkan takziah kepada beliau dan ahli keluarganya di atas peristiwa yang berlaku ini. Marilah bersama-sama kita mendoakan supaya beliau tabah dan cepat sembuh. -iqrakini


Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. (Surah Al-Baqarah:120)

Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.(Surah Yunus:64)


Friday, March 27, 2009

Rindu Sang Penasyid


Agak lama juga telinga ini sepi dari mendengar lagu-lagu nasyid baru dari kumpulan nasyid tempatan. Selepas hujung tahun lalu, ketika Nuriman menyertai pertandingan Festival Nasyid MAKUM yang berlangsung di UTM Skudai, sempat juga menjamah lagu-lagu yang penciptanya dari kalangan mahasiswa-mahasiswa dari universiti tersebut.

Selepas kemunculan kumpulan ‘Nice’ yang mempamerkan lagu-lagu berentak kontemporari seperti ‘Bicara Hatiku’, ‘Sesekali Diuji’, ‘Metafora’, ‘Sesuci Maryam’, ‘Delusi Ummi’, dan lain-lain lagi yang boleh dikatakan sedap telinga mendengar. Menanti pula kumpulan yang baru wujud yang diberi nama D’MenC atau pada pandangan lelaki, namun sehingga kini albumnya tidak kunjung jelma.


Dua hari yang lalu, saat jari ini ‘godek-godek’ bermain dengan tetikus komputer melayari alam maya, ku temui lagi satu perkembangan baru dari kumpulan Inteam yang tampil dengan album terbaru mereka yang bertajuk ‘Allahu Rabbi’. Memperkenalkan sepuluh buah lagu baru dan apa yang menariknya penampilan kali ini lebih kepada ‘Reunited’ atau gabungan semula insan-insan yang pernah berada dalam kumpulan inteam satu ketika dahulu. Mengekalkan Rahim, Syah dan Hazamin sebagai ahli kumpulan Inteam yang sedia ada, ditampilkan bersama Suhaimi dan juga Syam (DeHearty) menjadikan inteam kini berlima.


Semalam di kedai Jay, sakali lagi aku melayari alam maya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kumpulan Inteam, temui pula satu lagi album baru yang ditampilkan oleh kumpulan UNIC yang bertema Langkah Tercipta, namun album ini lebih kepada kompilasi lagu-lagu dari album terdahulu. Apa yang menariknya turut dimuatkan bersama empat buah lagu baru. Antaranya, ‘Jalan Pulangku’, ‘Bicara Tentang Cinta’, ‘Hanyut’ dan ‘Langkah Tercipta’.


Wujud juga album yang dirakam semula dari Kumpulan Rabbani - Nostalgia Nadamurni. Lagu yang pernah popular sekitar tahun 80-an, 100% rakaman semula dengan alunan muzik yang ‘Easy Listening’. Antara lagu-lagu yang dimuatkan adalah, Bila Nur Melimpah Di hati, Ibu Mithali, Al-Hijrah (feat Us Amal), Sunnah Berjuang, Sifat 20, Nun Di Sana, Indahnya Hidup Bersama Ilahi, Mana Milik Kita, Jasa Petani, Ayyu Zikra (feat Us Amal).

Mudah-mudahan informasi ini mampu mengubat hati dan juga rindu sang penasyid.

Thursday, March 26, 2009

Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Universiti

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT UNIVERSITI 1430 HIJRAH


Penceramah :
Sahibul Fadhilah Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki
(Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan Ahli Majlis Agama Islam,
Negeri Sembilan)

Tarikh : 27hb Mac 2009 (Jumaat)


Tentatif Program

8.00 pagi : Perarakan Maulidur Rasul S.A.W. oleh MPP dan Persatuan Pelajar
(perarakan bermula dari bangunan E6 - Makmal Binaan)

8.30 pagi : Hadirin mengambil tempat

9.00 pagi : Doa

: Bacaan Al-Quran dan persembahan selawat daripada Kumpulan Nasyid As-Sofa

: Ceramah Maulidur Rasul S.A.W.

11.00 pagi : Persembahan selawat daripada Kumpulan Nasyid As-Sofa

: Bersurai


Sambutan 10 Tahun Kelab Iqra' UTHM


Laungan memuji kebesaran Allah bergema sekitar tamatnya majlis penutup Program Sambutan 10 Tahun Kelab Iqra 21 Mac yang lalu. Kini yang tinggal adalah gerak kerja menghantar semula barangan-barangan yang dipinjam dari Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkenaan. Program yang berlangsung dengan perasmian bersama Konsert Azhan Atan sebagai pembukaan majlis telah mendapat sambutan kira-kira 400 orang dari pelbagai lapisan terus diharungi dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Bermula dengan gerak kerja promosi, pengedaran sekurang-kurangnya 300 poster dan hampir 3000 flyers kepada seluruh masyarakat kampus bagi membangkitkan roh Program 10 Tahun Kelab Iqra .


Bertemakan "Smile with K.I", Kelab Iqra membuatkan warga UTHM khususnya Mahasiswa terlibat dengan program secara sukarela. Kehadiran kuliah fiqh Nisa' pada tengahari jumaat tidak kurang hebatnya. Disusuli dengan Seminar Hub Halal pada sebelah malamnya. Selepas melihat kehadiran di setiap sub program yang dijalankan, Pengarah Program 10 Tahun Kelab Iqra, Saudara Mohd Fakhairie bin Ibrahim berpendapat "Saya merasakan Kelab Iqra memegang amanah yang berat untuk membawa mahasiswa mengenal semula kehidupan sebagai seorang mahasiswa Islam. Perkara ini saya lihat apabila mahasiswa sebenarnya dahagakan suasana (biah) yang baik (solehah) di UTHM." Disokong pula oleh Presiden Kelab Iqra, Saudara Mohd Hadi bin Abdul Rahman dipetik sebagai berkata " Saya pohon pihak universiti dapat menyediakan beberapa peluang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam program-progam yang membina rohani dan intelek Islam di masa akan datang".

Program 10 tahun Kelab Iqra diakhiri dengan suasana sederhana pada Kelas Pengajian Integriti Islam 21 Mac yang lalu. Majlis Tertinggi Kelab Iqra mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya mahasiswa-mahasiswi Islam UTHM. Tidak lupa juga kepada semua pihak pentadbiran universiti yang memberi kerjasama di dalam program ini khasnya kepada Pusat Islam, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Bendahari, Pejabat Pengurusan Harta Bina dan lain-lain. Semoga jalinan ukhwah yang dibentuk dalam pelbagai situasi akan menjadikan universiti kita lebih dikenali.-iqrakini

Tuesday, March 24, 2009

Jadilah Pendengar Setia

“Untuk menjadi seorang yang memahami, cukup sekadar mendengar. Untuk menjadi seorang yang mengerti, kita perlu melaluinya dengan sendiri.” Kata-kata dari seorang sahabatku yang juga satu generasi denganku. Aku setuju dengan apa yang diperkatakannya. Aku memegang kata-kata ini. Jadilah pendengar yang setia. Bukan hanya sekadar memahami sebaliknya menjadi seorang yang memahami dan mengerti dalam satu masa. Mampu juga untuk menyimpan rahsia mereka bagi mengelakkan perasaan ‘tidak puas hati’ tercetus di dalam gerakan Islam.

Ramai orang yang hanya mampu mendengar rintihan dan keluhan sahabat lain tanpa sebarang pengertian. Saat rintihan dan keluhan ini diluahkan, mudah si pendengar ini mengatakan “Ini baru ujian kecil untuk anta”. Persoalan timbul, apakah si pendengar ini mampu bertahan dengan ujian yang dihadapi oleh insan ini? Bagaimana kalau dia sendiri yang berada di tempat insan yang meluahkan rintihan ini? Manusia perlukan seorang insan yang mampu memahami situasi dirinya. Sedikit sebanyak dengan luahan ini mampu untuk mengurangkan ‘sesak nafas’ yang membelenggu di dalam jiwa mereka.

“Anta kena faham dengan perjuangan Islam ni”. Apakah orang yang berkata ini sudah faham sepenuhnya mengenai perjuangan Islam? Saya yakin tidak! 100% tidak! Setiap orang mempunyai pemikiran yang berlainan atau dalam erti kata lain ‘kepala lain-lain’. Setiap orang juga mempunyai daya pemahaman yang berbeza-beza. Daya ketahanan yang berbeza-beza. “Alah! Dulu ana pun pernah tekanan macam anta juga”. Perlukah tekanan itu menjadi ‘Warisan turun temurun’? Mengapakah kita sebagai pendokong dakwah Islamiah yang boleh dikatakan sebagai ‘orang lama’ hanya membiarkan sahaja ‘orang-orang baru’ ini menghadapi tekanan seorang diri tanpa sebarang huluran bantuan biarpun hanya ‘sekerat akar’? Jadilah pendengar setia. Sekurang-kurangnya ‘kurangkanlah’ tekanan yang membelenggu jiwa mereka.

Hulurkan bantuan kurangkan bebanan. Ayat yang dipetik dari rancangan ‘bersamamu’ TV3. Bersamalah mereka yang memerlukan bantuan. Kita mampu bersama dengan orang yang tidak mempunyai fikrah untuk berkongsi masalah. Sedangkan kita hanya membiarkan rakan, teman dan sahabat kita keseorangan dengan menganggap mereka telah ‘faham’ dengan mehnah dan tribulasi dunia. Seramai mana yang mempu bertahan jika tanpa kehadiran ‘sahabat-sahabat’ mereka yang kononnya sanggup bersama dalam menghadapi susah dan senang, tetapi sesudah itu mereka dibiarkan terkapai-kapai dalam mengharungi ombak lautan tanpa dihulurkan kayu, pelampung atau apa sahaja sebagai penguat semangat?

Ukhwah! Tarbiyah! Tsiqah! Lupakanlah jika rukun yang pertama iaitu ‘Faham’ pun anda semua masih belum hadam. Anda mengaku bahawa anda telah faham? Tipu! Jika benar anda sudah hadam, huraikanlah 20 huraiannya tanpa melihat buku. Aku sendiri masih terkapai-kapai dalam memahami mehnah duniawi. Jika tanpa sebilangan sahabat setia aku yang sering menjenguk kehidupanku, tanpa memahami keadaanku, sudah pasti aku juga akan mengalah dengan mengikut arus duniawi tanpa sebarang usaha atau ikhtiar. Manusia perlu sentiasa diingati jika ianya terlupa.

Dekatilah mereka untuk mendengar masalahnya dengan rasional tanpa sebarang pertikaian. Janganlah kita inginkan mereka mengikut ‘kepala kita’. Rugilah jika kita mendaki gunung tinggi bersama-sama yang pada mulanya kita berjanji untuk membantu sebarang masalah yang bakal dihadapinya, namun ketika dipertengahan jalan kita meninggalkan mereka untuk berusaha sendiri dengan kita hanya sebagai pemerhati dari jauh.

Sampaikanlah ajaranku walau sepotong ayat. Nasihatku pada semua, “Jadilah Pendengar Setia”

Monday, March 23, 2009

LPIM : Laluan Penyebaran Informasi Mahasiswa


“Berdakwahlah tidak kira di mana antum berada”. Petikan kata-kata dari seorang insan yang bernama Ustaz Rahmat Abdullah, seorang murobbi dari Indonesia yang menjadi inspirasi utama para pejuang Islam kini. Tidak kira di mana antum berada. Walau apa keadaan kita. Walau apa kelebihan kita. Setiap insan perlu bersyukur dengan apa yang ada. Dan perlu diingat, apa yang kita ada itulah perlu di’ada’kan pula untuk orang lain yang bergelar muslim. Tujuannya? Agar Islam kian subur selamanya di muka bumi ini.

Tidak semua orang dapat menerima pandangan kita hanya dengan kata-kata tanpa bukti kukuh. Tidak juga semua orang dapat menerima cara kita hanya dengan menceritakan sirah nabi. Ada individu yang kiaskan Islam ini dengan analogi, dengan filem animasi. Ada juga individu yang menyampaikan dan menarik insan untuk terus suburkan Islam dengan kaedah bernasyid. Tidak kurang juga individu yang menggunakan kepakaran yang ada dan diajarkan kepada orang lain sekaligus menyeru insan tersebut untuk menggunakan ilmu yang diberikan itu di laluan yang betul.


LPIM. Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia. Bidang yang penulis ceburi secara tidak sengaja. “Anta perlu cari pelapis” kata seorang sahabat. “InsyaAllah”. Penulis tahu bukan selamanya penulis berada di Lapangan Kampus. Akan tiba masanya penulis perlu berkhidmat untuk Gerakan Islam di luar sana. Bagaimana di kampus? Penulis perlu cari pengganti.


Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran penulis panjatkan kepada Yang Maha Esa. Sehingga ke hari ini penulis telahpun bertemu dengan ramai rakan sefikrah dengan penulis. Dengan menjadikan bidang Penerbitan dan Multimedia sebagai medan dakwah. Yang memegang kalimah “Hanya Kerana Allah” di jiwa. Kini, penulis mampu meninggalkan Lapangan Kampus dengan secangkir senyuman. Kagum! Sudah ada penyambung.


Bermula dengan Amir Yusuf mengambil alih bidang kepimpinan penulis sebagai Ketua Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia Kelab Iqra’ 2008 (LPIM-KI). dibantu oleh Hazwani Abd Hamid sebagai timbalannya. Sebelum ini dipimpin oleh Khairul Anuar Johari sebagai pengerusi LPIM-KI 06 yang akhirnya menjadi Exco Penerbitan, Informasi dan Multimedia (EPIM-MPP 07) dibantu oleh Shazwani Golbaha sebagai timbalan LPIM-KI 06. Amir Yusof lebih memfokuskan ‘Movie Maker’ dan ‘Blogspot’. Amir Yusuf jugalah yang bertanggungjawab mewujudkan Blog Kelab Iqra’ (ki-uthm.blogspot.com). Khairul Anuar pula hanya tumpukan perhatian pada Risalah (Fikr-KI & Info MPP). Syazwani Golbaha (Movie Maker) dan Hazwani Hamid (Fikr-KI).


Berganjak ke tahun 2009. Kepimpinan Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia Kelab Iqra’ terus diambil alih oleh dua insan yang juga berasal dari negeri utara iaitu Ameerul Asri bin Rosli sebagai Ketua LPIM-KI 09 yang dibantu oleh Azila Johari sebagai timbalan. Ameerul lebih memfokuskan bahagian ‘Adobe Photoshop’ dan ‘Ulead Movie Studio’. Namun, individu ini lebih agresif ke arah bidang kewartawanan yang kini sedang cuba untuk mewujudkan ‘skuad wartawan’ Kelab Iqra’ yang dinamakan sebagai ‘iqrakini’. Azila Johari yang pernah menjadi Kartunis Majalah Gen-Q Kelab Iqra’ hanya memfokuskan bahagian penerbitan risalah Fikr KI. Siapa pula selepas mereka ini?


Perjuangan LPIM-KI tidak terhenti di sini. Masih ada lagi figur yang bakal ditampilkan ke hadapan. Antaranya Helmi Adnan merupakan pembantu kepada Ameerul dalam penghasilan poster atau banner dan apa saja yang berkaitan dengan perisian ‘Adobe Photoshop’. Sahabat rapatnya Syahidi Sokri juga mahir dalam bidang yang sama. Buktinya ketika Program Sinar D’Acheh II, hampir keseluruhan poster yang wujud adalah hasil kreativiti Syahidi Sokri yang merupakan sukarelawan Sekretariat Sinar D’Acheh II dan dibantu oleh Syafiq Mat Jap yang juga mahir dalam bidang yang sama.


Dua tiga individu yang memegang jawatan dalam Biro Perhubungan dan Penerbitan Jawatankuasa Kolej Kediaman (JKK) yang turut membantu Kelab Iqra’ dalam meng’izzah’kan Islam di kampus. Antaranya Muslim (JKK-TSN), Faheem (JKK-Melewar) dan Syed Ashraaf (JKK-Perwira). Aniq Azraei yang baru berjinak-jinak dalam penggunakan Perisian ‘Adobe Photoshop’ sudah mula untuk menghasilkan Banner yang bakal terpampang di ruangan Tun Dr. Ismail (TDI) tidak lama lagi. Seorang lagi sahabat yang baru menjelajah ke dunia Blogspot dan juga ‘Movie Maker’ iaitu Hazrul Faez yang kini bermastautin di TSN. Tidak ketinggalan sahabat di LPIM yang berperanan untuk memeriahkan Yahoo Group Sahabat Iqra’ (YGSI) dengan ‘Tazkirah Bersama’ iaitu Jawarhir Md Taha yang menggunakan ‘nick name’ sebagai budak_kedah dan juga Haniff Ibrahim yang merupakan sahabat baik kepada Jawarhir. Turut membantu sebagai Sahabat LPIM-KI: Muzzammil, Engku Nasri, Azlan Hamdan, Asfah Rizal, Junaidi, Hanif Zainuddin, Nur Fithri, Ahmad Afnan. Juga sahabat dari kemasukkan 2008.


Kepada kaum hawa LPIM-KI, penulis mohon maaf kerana tidak mengetahui kelebihan yang anda miliki. Syaza, Hafizah Rahim, Norazwa, Intan Norhaliza, Siti Noor Azilah, Nur Syameera, Farhana Md Yusof, Anis Shahirah, Nor Syazwani Ghazali, Suliza Mohd Zakhir, Nur Adibah Mohd Aslah, Fairus Yakkob, Nurul Hidayah Abd Latif, Nur Darina, dan juga sahabiah kemasukkan 2008 yang turut sama membantu. Mantan LPIM-KI yang masih lagi aktif di dalam YGSI iaitu Bunyamin yang kini berada di Langkawi, Ameer Izuan di Selangor dan juga Syahida Abd Majid di Jordan.


Teruskan perjuangan kalian di dalam Lajnah Penerbitan, Informasi dan Multimedia tidak kira di mana jua anda semua berada. Semoga secebis usaha yang kita lakukan ini bakal menjadi saham kita di akhirat nanti. Pelbagaikan uslub dakwah di muka bumi. Menjana Minda Multimedia. Kita semua berada di LALUAN PENYEBARAN INFORMASI MAHASISWA. Sekalung penghargaan buat anda Pejuang Islam! Student Power! Hidup Islam!



Saturday, March 21, 2009

Malam Ukhwah & Maulidur Rasul


Pada 12 Mac yang lalu, Ahli Jawatankuasa Surau Perdana sambil dibantu oleh Biro Kerohanian & Etika (BKE) Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail telah menganjurkan satu majlis yang diberi nama “Malam Ukhwah Surau Perdana & Maulidur Rasul”. Program ini berlangsung di Dewan Aktiviti Kolej Kediaman tersebut yang bermula sebelum masuk waktu Maghrib dan berakhir kira-kira jam 11.30malam.


Objektif utama majlis itu adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara ahli jemaah surau dan mahasiswa di kolej kediaman TDI. Turut hadir bersama Pengetua Kolej Kediaman TDI, Dr. Mustafa bin Ibrahim. Turut kelihatan beberapa orang felo yang turut mengambil peluang ke majlis itu.


Majlis dimulai dengan bacaan yassin solat Isyak berjemaah. Selesai solat Isyak, dengan Zulhisham mengetuai bacaan doa seterusnya slot ceramah disampaikan oleh Ustaz Rizal bin Abdul Aziz yang bertajuk “Cinta rasul sepanjang masa, Cinta kita?”.




Majlis yang dihadiri seramai 33 Muslimin dan 19 Muslimah yang datangnya dari pelbagai Kolej Kediaman itu diakhiri dengan tayangan montaj ‘Ini Sejarah Kita’ dan disusuli dengan jamuan ringkas.


“Jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Kolej Kediaman lain yang sanggup turun untuk memeriahkan majlis ini di TDI. Diharapkan kita dapat mengenang pengorbanan Rasulullah bukan untuk hari ini sahaja sebaliknya sentiasa mengingatinya” Ujar pengerusi Ahli Jawatankuasa Surau Perdana, Mohd Firdaus Ismail mengakhiri perbualan. –Unit Penerangan Surau Perdana




Sunday, March 15, 2009

Promosi Program “10 Years Iqra’ Club”



Promosi Program “10 Years Iqra’ Club”


Konsert Azhan Atan (Juara Akademi Nasyid)
19 Mac 2009
9.00 Malam
Dewan Tunku Ibrahim Ismail
"Masuk adalah percuma"


Kuliah Nisa'
20Mac 2009
12.00 Tengah hari
Dewan Kuliah 2
"Hanya Untuk Kaum Hawa Sahaja"
"Menyelesaikan masalah feqah bagi wanita"


Seminar Hub Halal
20Mac 2009
9.00 Malam
Dewan Kuliah 2
"Senarai barang mengandungi lemak babi?"
"Sedapnya Hot Dog! Halalkah?"
"Roti apa yang PPIM kata ada lemak babi"
"Ayam diletakkan ditempat 'Non-Halal?"
"Kita makan bangkai? Ayam tidak disembelih?"
"Mencari yang halal itu fardhu bagi umat Islam!"


Kuliah Pembangunan Integriti Islam (KP2i) &
Majlis Penutupan "10 Years KI"
21Mac 2009
9.00 Pagi
Dewan Kuliah F
"Datanglah beramai-ramai"
"Ilmu itu perlu dicari"


Promosi : Peranannya Di Dalam Program


“Dipetik semula dari Majalah Kelab Iqra [Gen-Q] sebagai renungan bersama.”


“Apa yang Unit Promosi buat sebenarnya?”. Inilah kata-kata yang sering kedengaran sewaktu post-moterm setiap kali selesai satu program dijalankan. Pasti Unit Promosi dan Unit Teknikal akan di’hentam’ jika program yang dilakukan hanya dihadiri oleh segelintir peserta. Hah! Siaplah Unit Promosi dalam Post-Moterm nanti. Persoalannya, wajarkah Unit Promosi dipersalahkan 100%?

Unit Promosi biasanya ditugaskan untuk menghasilkan poster program, banner atau apa-apa sahaja bahan bercetak bagi sesuatu program dan ianya bertujuan untuk memberitahu kepada seluruh warga kampus akan hadirnya sesuatu program. Unit promosi bukan sahaja ditugaskan kepada yang mahir dalam menghasilkan rekabentuk poster atau banner sahaja sebaliknya Unit Promosi juga perlu memainkan peranan penting bagi menjayakan program justeru menjadikan objektif program tersebut tercapai dengan jayanya. Amat rugilah sekiranya program ilmiah ini hanya dihadiri segelintir mahasiswa dan mahasiswi atau hanya di sekitar ahli kelab semata-mata.

Cuba kita singkap kembali, bagaimana sambutan hadirin pada program Seminar Gejala Murtad yang diselitkan di dalam Minggu Pemurnian Sahsiah (MANIS ’08)? Bagaimana pula sambutan pada program Islamic Medical Seminar (ISMAR) yang diselitkan di dalam Minggu Aspirasi Sahsiah (Emas ’08)? Bukankah kedua-dua program ini dapat sambutan yang membanggakan? Bagaimana promosi yang dilakukan?



Setelah diteliti, salah satu faktor utama adalah semua ahli jawatankuasa (AJK) mempunyai rasa tanggungjawab dalam melakukan tugas masing-masing dan memikirkan bahawa program ilmiah ini mesti dikongsi dengan warga kampus. Atas kesedaran inilah yang menyebabkan AJK program tersebut memainkan peranan mempromosikan program tersebut biarpun mereka berada di unit lain. Kedua-dua program ‘Seminar Gejala Murtad’ dan ‘Islamic Medical Seminar’ mempunyai starategi yang sama iaitu dengan membahagikan AJK kepada dua fasa. Fasa pertama adalah semua unit melakukan justifikasi tugas masing-masing manakala fasa ke-2 adalah dengan menjadikan kesemua unit sebagai ‘Unit Promosi’.

Sebagai contohnya Pengarah dan Timbalan Pengarah melekatkan risalah di sekitar kolej kediaman, Unit Teknikal mengambil tugasan untuk membuat pengumuman di setiap kolej kediaman, Unit Protokol mengedarkan Handbill kepada penghuni kolej kediaman dan Unit Promosi menghasilkan poster dalam pelbagai versi supaya dengan rekabentuk poster yang berbeza mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya. Dengan cara ini sedikit sebanyak telah menjayakan promosi program tersebut.

Secara nyatanya, promosi perlu dimainkan oleh semua AJK program dan bukannya hanya tertumpu pada Unit Promosi semata-mata. Ianya amat penting bagi memastikan ilmu pengetahuan dapat disebarkan dan sekaligus dapat diamalkan di dalam kampus.

“Semoga artikel ini menjadi panduan dan juga dapat diamalkan untuk mempromosikan Program Kelab Iqra’ yang bakal tiba pada 19 hingga 21 Mac ini iaitu “Sambutan 10th Years KI”.



Thursday, March 12, 2009

Rintih Hati ini Rindu Padamu Ya Rasulullah....


Hendak ku nangis
Tiada berair mata
Hendak ku senyum
Tiada siapa nak teman
Kalau dah nasib, sudah tersurat
Begini hebat, apa nak buat....

Ya Rasul Ya habibballah.. Ya Syafi..

Di manakah kan ku cari ganti
Serupa dengan mu..
Tak sanggup ku berpisah,
dan berhati patah
Hidup gelisah
Alangkah pedih rasa hati..
Selama kau pergi
Tinggal kami sendiri tiada berteman, dalam sepi

Ya Rasulullah.. Ya HabibBAllah... Ya Syafi... Ya Rasulullah..

Dunia terang, menjadi gelita,
Cahaya indah, mengundang gerhana..
Keluhan hatiku, menambah derita
Rindukan dikau, jauh di mata
Di mana kan ku cari ganti...
Mungkinkah di syurga,
Untuk kita berjumpa,
di saat gembira.. selama-lama...


Ya Rasulullah, hati kami merintih rindu pada mu. Hari lahirmu tiba jua kini. Tiada ucapan yang indah selain berselawat padamu. Kami tahu, bukan sahaja kami berselawat padamu, tetapi Allah dan para malaikat juga berselawat ke atasmu.

Kami rindu padamu Ya Rasul Allah. Kami ingin bertemu denganmu. Harapan kami yang sentiasa menitip di bibir, semoga kita berjumpa di syurga kelak ya Kekasih Allah. Saksikanlah, kami umatmu ini masih rindukan mu Duhai Penyeri Alam Buana. Kami baca sirahmu. Kami kaji kehidupanmu.

Benar, engkaulah yang terbaik. Akhlakmu, sifatmu, membuatkan hati kami menangis rindu padamu. Semalam, terlihat bulan yang cukup indah. Mungkin tika itu seluruh alam sedang berselawat pada mu. Melihat bulan yang sama dengan engkau lihat tika 1400 tahun yang lepas, membuatkan hati kami terus menitiskan air mata apabila mengenangkan, bulan ini yang menjadi saksi pengorbananmu terhadap kami. Engkau mengharungi segala rintangan demi untuk risalah dakwah yang dibawa. Sebab itu kami rindu selama-lamanya untuk bertemu dengan insan yang agung di kalangan seluruh manusia. Kerana padamu, engkau gantungkan segala-gala beban umat ini.

Ya Allah Ya Jamie', padamu kami bermohon. Engkau satukan hati umat Muhammad di akhir zaman ini supaya kami terus bersama mengharungi ujian dalam meneruskan risalah dakwah RasulMu yang tercinta ini. Ya Rasullullah, kami di sini masih meneruskan perjuangan dakwah mu. Tapi.... kami masih tidak mampu tabah seperti mu Ya Rasullullah. Kami terkesima pabila maki hamun diterima. Tapi engkau Ya Rasullullah, bukan sahaja maki hamun, malah lebih dari itu. Dibaling batu dan najis. Dipulau dan di pinggirkan. Dibenci hingga diletakkan perut busuk unta ke atas engkau, dan bermacam-macam lagi yang kami tak sanggup untuk bayangkan.

Tapi engkau masih mampu tersenyum menghadapi semua itu. Kami ingat kisah itu. Tika di Thaif, Allah utuskan dua malaikat penjaga bukit untuk memusnahkan penduduk thaif di atas tindakan mereka menghina engkau dengan balingan batu yang cukup tajam dan ganas. Namun, sifatmu yang sayangkan umatmu. Engkau berdoa pada Allah untuk tidak memusnahkan penduduk thaif kerana jika mereka dimusnahkan mungkin Islam tidak lagi dapat ke situ. Mulia sungguh sifatmu. Menangis hati ini berterusan bila rindu padamu makin menebal tatkala meyusuri sirah mu. Selawat padamu Ya Rasullullah. Kami cinta pada mu wahai kekasih Allah....


Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
'Kan pasti mengalir air mataku
Karena pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kami rindu padamu

Allahumma sholli 'alaa Muhammad
Ya Robbi sholli 'alaihi wassalim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya Tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada ummat
Umati umati
Kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafa'atkan kami

Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulallah, Ya Habiballah
Kurniakanlah syafa'atmu


Monday, March 9, 2009

Kau Umpama Epal



“Mengantuknya!” jam di meja telah menunjukkan angka satu pagi. “Banyak lagi tugasan yang nak kena buat ni. Esok kena tunjuk pada penyelia PSM” rungut hati kecilku. Tidak dapat dinafikan. Waktu-waktu beginilah yang sering menjadi waktu ‘favourite’ bagi mahasiswa untuk ‘run’ sel neuron otak ataupun ‘defragment’ semula fail-fail yang telah di’save’ pada sesi siang hari. Adakalanya di waktu begini juga kerap mahasiswa menterpaksakan diri untuk melakukan tindakan ‘search’ ilmu yang telah di’save’ untuk di’paste’kan ke atas sekeping kertas putih.


“Ayat apa ni? Arghhh! Peningnya”. Sukar sebenarnya untuk memahami ayat kejuruteraan. Perlukan pemahaman yang jelas, ilmu yang luas, kajian yang ada ‘class’. Tatkala situasi ‘tidak faham’ bertembung dengan ‘mengantuk’, pastinya minda memerlukan sesuatu yang mampu memanaskan semula urat saraf pemikiran ini. Mata berkeliaran di atas meja. Ha! Rubik!... Yes! Tangan terus mencapai benda berwarna-warni itu.


Tapi, Isyh! Tak boleh. Nanti ada individu hentam dalam YahooGroup pulak. Rubik kembali ke ‘pangkal jalan’. “Nak minum Kopi Radik pun, dah lama terputus bekalan. Lainlah kalau PJI Tech nak bagi free”. Senyum sendirian. Minda ini bagaikan inginkan sentuhan aroma kopi sahaja waktu ini. Waktu begini semua kedai sudah tutup. Syiling dicatur dan langkah diatur. Menuruni anak tangga dengan penuh suasana romantis. Tujuan utama adalah mesin air. Setibanya di hadapan mesin air tersebut, kepingan-kepingan syiling itu di’tabung’kan, butang ‘Ali Cafe’ di tekan. Secawan ‘Ali Cafe’ berada di genggaman. Memilih untuk dihabiskan di kawasan kafeteria sahaja. Malas pula nak dibawa naik ke bilik. Memilih tempat duduk di sudut yang paling selesa. Air diteguk sambil minda mencari ilham yang mungkin bisa dijumpai secara ‘Adhoc’. “Mai Secawan!”. Bergurau sendirian. “Kalau ada kawan waktu ini, bolehlah juga diajak bersembang. Waktu macam ni, manalah ada sesiapa. Bergurau dengan diri sendiri saja lah”. Getus hati ini.


“Assalammu’alaikum, Bang”. Huh! Terkejut aku.

“Wa’alaikummussalam. Oh! Hang rupanya! Tak tidoq lagi ka?” soalku untuk memulakan Sembang Pagi.

“Kalau saya dah tidur, tak lah saya ke sini” Ujarnya sambil tersenyum.

Firdaus Nazri, sahabat prospek yang ku kenali di kolej kediaman.

“Lama lagi tak duduk kat sini?” soalnya.

“Sampai abis minum kopi. Pasai apa?”.

“Tunggu sini jap, saya nak beli air jugak” langkah yang sama diambil olehnya. Sebentar kemudian dia kembali duduk di hadapanku. Agak lama bersembang. Akhirnya dia memulakan satu persoalan.


“Bang, saya nak tanya satu soalan. Seandainya abang mengembara ke tempat yang jauh, abang tak makan dan minum selama satu hari. Tiba-tiba abang nampak satu pokok epal. Pokok tu penuh buah epal. Takde pemilik. Abang nak pilih buah epal yang ada di bahagian mana?” soalnya.

Mindaku mencari-cari jawapan. Teka-tekikah ini? Aku jawab secara logistik. “Kebiasaannya kita akan pilih yang paling bawah.” Aku mengharapkan itulah jawapan yang tepat. “Kenapa yang paling bawah?” Soalnya semula. “Senang dapat” Pintasku dengan penuh keyakinan.


“Sebenarnya, wanita ibarat buah epal. Lelaki pula ibarat pengembara. Dan kebiasaannya juga kita akan ambil sesuatu yang paling mudah untuk kita dapat sedangkan buah epal yang paling atas adalah yang paling berkualiti”. Pergh!!! Analogi lagi!


“Takkan kita nak ambil yang senang dapat kan? Pengembara datang lalu lalang sentuh buah epal kemudian pergi. Jadi, buah epal yang berada di paling bawah kita tak tahu pun berapa ramai pengembara yang dah sentuh. Kita sepatutnya cuba sediakan tangga yang kukuh untuk capai buah epal yang berada paling atas. Sebab buah epal itulah yang paling berkualiti dan menjadi impian semua orang”. Fuh! Siapa naqib dia ni? Nak kena belasah agaknya, buat modul ‘buah epal’ tak bagitahu aku! Kan dah kena tazkirah. Haha... Padan muka aku! Apalah sangat analogi ‘Rubik’ jika nak dibandingkan dengan analogi ‘Buah Epal’.


“Layak ke kita nak capai buah epal yang paling atas? Subuh pun susah nak bangun, macammana nak bina sebuah tangga yang kukuh?” Soalku memancing pendapat. “Itulah pasal. Nasiblah kalau kita dah cuba bina tangga yang kukuh, tiba-tiba ada orang lain datang bawa tangga dia dulu. Tak pasal pasal dia pula yang dapat” Katanya sambil ketawa. Seketika kemudian sahabat prospek ini mohon untuk pulang. Ada kerja yang perlu diselesaikan sebelum menjelang subuh esok katanya. Salam disambut. Bayangannya hilang dari pandangan.


Kini, aku keseorangan menghabiskan sisa-sisa kopi yang masih ada. Fikiranku melayang, aku memilih berdasarkan nafsu? Astaqfirullah... Aku mohon kepada Allah agar dijauhkan dari nafsu yang membelenggu ini. Layakkah aku mendambakan epal yang paling atas sedangkan sewaktu program semester lepas pun ‘pumping’ baru 25 kali dah nak balik? Mengeluh sendirian. Aku perlu berubah. Aku juga perlu mengumpul kekuatan untuk membina sebuah tangga yang kukuh. Dapat miliki epal pada bahagian hampir atas pun sudah memadai meskipun aku tidak dapat memiliki epal yang paling atas. Bukan mudah untuk melukis pelangi di langit yang tertinggi jika tanpa hadir gerimis dan sinar mentari yang mengiringi. Bukan juga mudah untuk memiliki mutiara kasih jika tanpa diselami lubuk hati nurani ke dasar rasa yang paling dalam. Hanya Allah sahaja yang mengizinkan samada untuk mewujudkan pelangi ataupun menghadirkan sebutir mutiara kasih untuk kita. Air kopi dah habis. Aku perlu pulang ke bilik untuk meneruskan perjuangan yang masih panjang.


Ingatlah wanita di luar sana. Tinggikanlah darjatmu. Jangan biarkan anda terus menjadi individu yang hanya menjadi sentuhan sang pengembara. Kerana “Kau Umpama Epal”.


“Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” (An Nuur, 24:26)


Malaysia Memanggil


Singsingkan lengan baju pancangkan asa
Ukirlah hari esok pertiwi jaya
Bergandingan tangan untuk meraih redha Allah

Buatlah negeri ini selalu tersenyum
Bahagia dan Sejahtera dalam cintaNya
Tiada lagi resah tiada lagi duka lara

Negeri indah Malaysia
Memanggil namamu
Menyapa nuranimu

Negeri Indah Malaysia
Menanti hadirmu
Rindukan karyamu

Rubik Kehidupan



“Esok ada test! Huh!” mungkin saat ini orang lain telah bebas dari belenggu peperiksaan. Tetapi esok baru permulaan bagiku. Sudahlah menumpang kelas orang. Nak buat study group? Orang dalam kelas itu pun aku tidak kenal. Macam mana ni? Ah! Tawakal sajalah! Macammana nak tawakal kalau strategi usaha pun tidak nampak bayang-bayang. “studi je lah apa yang aku tahu!”


Buku dibuka. Pen, pensil, kalkulator, pemadam getah, kertas kosong sengaja diselerakkan di atas meja untuk menampakkan mood study. Dengan harapan buku-buku itu dapat dikhatam dalam masa satu hari. Saat jari-jemari ini lincah menari-nari melakarkan aksara nombor di atas kertas, terpandang aku satu objek di atas meja rakan sebilikku. Berwarna-warni. Menarik! Mohon untuk pinjam sebentar. Menghilangkan boring tika ia menjelma. Alah! Biasalah! Mana boleh studi dalam jangka masa yang panjang. Ada masanya perlu berehat sebentar untuk menghadirkan semula ‘fokus study’. Rehat sebentar? Namun, kebiasaanya masa rehat itu lebih lama dari masa studi. Mungkin perkataan fokus telah jauh tersasar dari objektif asal. Tersasar lagi. Jam menunjukkan lebih tujuh minit dari pukul 12 dinihari.


Jari-jemari mula beralih arah menari-nari ke objek yang dinamakan rubik itu. Objek yang mempunyai enam warna berlainan. Merah, biru, jingga, hijau, putih dan kuning. Perlu bermatlamatkan untuk samakan warna-warna tersebut pada satu permukaan. Macammana strateginya? Cuba dulu baru tahu. Jam telahpun beranjak ke satu pagi. Satu permukaan pun belum ‘settle’ lagi. Apatah lagi satu mukasurat buku yang terdampar di atas meja itu sejak tadi. Beralasan, mood belum sampai.


Sekian lama menganalisis dan mencari maklumat mengenai rubik tersebut, barulah aku mengetahui untuk samakan warnanya pada satu permukaan perlukan strategi. Samalah juga dengan kehidupan kita. Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Bagaimana? 5S...



1. Selidik Diri Kita [Selesaikan permukaan paling bawah]












Siapa kita? Kaji kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Aku pelajar lanjutan. Tidak kenal sepenuhnya rakan sekelas. Keesokkan malam ada ujian. Kelebihan? aku bukannya gagal subjek ini semester lalu, aku cuma baiki kredit untuk dapatkan gred yang lebih bagus semester ini. Bermakna aku telah faham, aku perlu berusaha!



2. Susunatur Kelebihan Diri [Lengkapkan warna pada level paling bawah]












Kelebihan lain, aku boleh sesuaikan diri dengan sesiapa saja yang berada di sekeliling aku. Perlukan kemesraan yang lebih untuk mendampingi rakan sekelas di saat ini. Aku juga dah faham subjek ini, Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Teruskan!



3. Serasikan Dengan Persekitaran [Samakan warna level kedua dengan level satu]












Perhatikan di sekeliling! Pasti ada rakan kelas yang ulangkaji di perpustakaan. Aplikasikan kelebihan yang ada. Tekadkan niat untuk melangkah ke perpustakaan. Jelajah ke seluruh perpustakaan untuk menjejak individu yang dicari. Sah! Suspek dikenalpasti. Teruskan langkah menuju ke arah mereka. Gunakan kemesraan di tempat yang sesuai. Studi bersama mereka. Settle!



4. Serah Pada Pencipta [Selesaikan permukaan paling atas]











Kita merancang, Allah juga merancang. Dan Dialah sebaik-baik Perancang. Usaha dah dilakukan. Serahkan saja padaNya mudah-mudahan rancangan kita sama dengan rancangan Allah. Ujian bermula jam 8.30 malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Mohonlah pada Allah agar dipermudahkan urusan kita. Berdoa!



5. Sempurnakan Matlamat [Lengkapkan warna pada level paling atas]












Dengan nama Allah. Masuk ke dewan peperiksaan dengan langkah kanan. Ambil tempat duduk yang paling selesa. Berdoa. Jawab dengan tenang. Semak jawapan jika ada kesilapan. Lengkapkan soalan yang belum terjawab. Tak tahu jawaban? Jawab je... jangan biarkan kosong.



Fuh! Selesai juga menjawab ujian. Mujurlah ada rakan-rakan untuk ulangkaji bersama. Mujur jugalah latihan yang dilakukan itu semuanya masuk dalam ujian. Allah telah mempermudahkan urusanku. Alhamdulillah... Syukurku padaMu ya Allah. “Eh! Dah masuk waktu Isyak lah!”


“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai daripada sesuatu amal soleh, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain. Kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” [94:5-8]