Pages

Subscribe:

Sunday, July 12, 2009

Manfaatkan ‘SMAPonline’ Sebaiknya

Salam Evolusi,


Buat mahasiswa UTHM. Sila buka SMAPonline anda, pergi ke ‘Lain-lain’ dan klik pada ‘Rekod Aktiviti Pelajar’. Berapa banyak aktiviti yang telah anda sertai jika mahu dibandingkan dengan apa yang tercatat pada SMAPonline anda? Hanya sijil-sijil program memenuhi fail anda sedangkan di dalam SMAPonline anda hanya tercatat satu dua aktiviti dan mungkin juga tidak tercatat apa-apa.


Jika anda beranggapan ini tidak penting dan proses permohonan kerja anda boleh membawa sijil-sijil anda, berapa ramai penemuduga yang akan membuka satu persatu sijil anda? Berdasarkan pengalaman, bawalah seberapa banyak sijil yang anda ada, apa yang diperhatikan oleh penemuduga hanyalah sijil pertama atau kedua sahaja dan penemuduga akan memberi tumpuan penuh pada helaian ringkas resume anda. Tanyalah kepada sesiapa pun mengenai realiti situasi ini. Apa gunanya anda membawa sijil-sijil yang tercatat anda sebagai pengarah program jika tidak dilihat oleh penemuduga? Manfaatkan ruangan ini, anda boleh ‘print’ dan lampirkan bersama resume sebagai ganti kepada sijil-sijil yang menebal dan pada masa yang sama perlu juga membawa fail sijil sebagai bukti.


Manfaatkan ‘SMAPonline’ sebaiknya. Hasilkan sekeping surat rasmi yang ditujukan kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan maklumkan mengenai ‘Untuk Mengemaskini Rekod Aktiviti Pelajar di dalam SMAPonline” dan kepilkan bersama semua salinan sijil-sijil aktiviti atau program yang anda ada dan serahkan kepada Pejabat HEP.


Tidak perlu untuk serahkan salinan sijil-sijil ini kepada PTJ-PTJ kerana terlalu banyak kerenah dan peraturan tidak masuk akal yang bakal anda hadapi dan akhirnya anda menemui jalan buntu. Lakukan sendiri dengan menyerahkan kepada Pejabat HEP. InsyaAllah, mereka akan bantu.


Alternatif lain adalah dengan melalui pengarah program. Pengarah program akan menyediakan laporan akhir program dan diserahkan kepada PTJ dan PTJ akan kembalikan laporan tersebut kepada pengarah program untuk diserahkan kepada HEP yang disertakan bersama senarai nama peserta untuk dimasukkan ke dalam SMAPonline. Namun begitu, jangan terlalu berharap kerana kebanyakkan laporan akhir program hanya terhenti dan tersangkut di PTJ sahaja tanpa tindakan susulan. Adalah lebih baik jika anda sendiri melakukannya. Terpulang kepada anda untuk memanfaatkan peluang ini atau tidak.


Manfaatkan ‘SMAPonline’ Sebaiknya.

Gen-2: Jalan Yang Ku Pilih


“Gen-2 kurang tarbiyah!” bentak seorang ahli.

“Gen-2 mengajar generasi baru tak wala’ pada pimpinan” tambahnya lagi.


Benar atau tidak hanya insan yang berada di dalam Gen-2 sahaja yang lebih mengetahui. Biarpun dikatakan tidak wala’, tidak thiqah, kurang tarbiyyah, suka mencetuskan kontroversi ataupun hanya tahu mengkritik tetapi tidak melaksanakan, Biarkan! Itu pendapat mereka. Lagi dikatakan ‘tidak’ pada kenyataan mereka, selagi itulah mereka akan terus bermain dengan kenyataan tersebut. Lebih mudah jika ’ignore’kan saja pada tafsiran sebegini. Kerana perdebatan yang tidak berfaedah ibarat meletakkan satu titik hitam di atas kertas yang sememangnya berwarna hitam. Biarkan mereka terus dengan kenyataan mereka, asalkan kita lebih tahu apa yang kita lakukan. Usah lari dari landasan yang telah kita pilih ini.


Soalan ini ditujukan kepada ahli gen-2, benar atau tidak kita adalah generasi tidak thiqah? Kenapa? Mungkin generasi kita paling ramai yang tidak memakai kopiah atau generasi yang paling ramai memakai seluar jean. Tidak wala’ pada pimpinan? mungkinkah pemikiran generasi kita sering menambah atau mengurangkan idealisme para pimpinan kini? Kadang-kala keputusan yang dibuat selalu dipengaruhi dari ahli yang berada di dalam Gen-2? Atau boleh dikatakan sebagai Pemikiran Pelik-Pelik. Sesuatu yang dirasakan tidak sesuai terus berjumpa dengan pimpinan bagi memohon penjelasan. Salahkah? Padaku pimpinan juga adalah manusia biasa. Tidak salah untuk mencadangkan sesuatu asalkan tidak menjatuhkan maruah mereka sebagai pimpinan. Atau kita hanya perlu menjadi ‘Yes Man’ pada setiap bait bicara para pimpinan? Jawapan yang ada padaku, Tidak! Biarlah apa jawapan anda sekalipun, jawapanku tetap sama. Tidak!


Mereka mungkin terlupa. Mereka hanya memfokuskan bahagian tarbiyyah dan siasah sedangkan mereka langsung terlupa pada bidang keusahawanan, penerbitan dan kesenian yang juga merupakan sebahagian nadi perjuangan. Apa yang menyedihkan, perkara yang tidak bertepatan dengan tarbiyyah dan siasah terus ditolak mentah-mentah tanpa memberi ruang dan peluang untuk bangkitkan hujah yang kukuh.


Jika diteruskan juga dengan idealisme ini, maka perkataan “Tidak Wala’” mula kedengaran. Terlalu emosi, sukar dibawa berbincang, buat keputusan sendiri, tunjuk hebat, buat keputusan sambil tersenyum dikatakan tidak serius. Inilah antara sifat yang dilemparkan pada generasi ini. Generasi Kedua. Generasi yang akan hilang dari dunia kampus dalam tempoh setahun lagi. Bergembiralah anda bagi yang tidak gemar dengan cara dan kewujudan pemikiran Gen-2.


Bagi mereka yang memahami warna-warni perjuangan, pasti menganggap ini adalah kekurangan dan kelebihan yang diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Biarkanlah. Bukan mencipta masalah hati. Bukan merajuk di hati. Bukan mahu melenting. Bukan mahu beremosi. Bukan mahu memberontak. Lihatlah sifat pada Abu Bakar. Renungkanlah pula sifat Umar. Semangat Ali dan Uthman yang membakar. Semuanya mempunyai sifat dan peribadi yang berbeza-beza. Apa guna kita mahu memberontak? Yang penting, teguhkan kedudukan dan jiwa kita di landasan ini. Harapnya kita takkan beralih. Biarpun idea sering tersisih. Kita juga mempunyai apa yang terkurang dan terlebih. Kerana kita adalah insan yang tepilih. Untuk berada di dalam generasi ini. Gen-2: Jalan Yang Ku Pilih. Jalan yang menyatukan pelbagai pemikiran.


“Manusia diciptakan kekurangan. Juga disertakan dengan kelebihan. Agar kita saling melengkapi. Dalam menempuhi ranjau duniawi. Teruslah dalam perjuangan dakwah. Kerana perjuangan adalah ibadah. Untuk bina sebuah generasi. Yang terus tersemat di sanubari.”


Wednesday, July 8, 2009

Takut Berubah atau Mahu Istiqamah?


Setiap manusia inginkan perubahan. Namun setiap perubahan itu pasti ada risiko yang sedang menanti. Untuk memperlihatkan manusia itu sanggup berhadapan dengan risiko tersebut ataupun tidak. Inilah yang dikatakan sebagai evolusi bagi menjana revolusi. Perubahan yang sedikit untuk impak yang banyak.


Akan tetapi, di sebalik kenyataan ‘mahukan perubahan’ ini adakalanya dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Pihak yang takut untuk berhadapan dengan risiko lantas selindungkan ketakutan mereka di sebalik kenyataan ‘mahu istiqamah’.


Mungkin apa yang mereka lakukan pada hari ini adalah apa yang pernah dilakukan oleh generasi lepas. Generasi baru bimbang dikatakan ‘cuba memadamkan ideologi generasi lama’ dalam membentuk generasi yang baru. Dan akhirnya dari generasi ke generasi, itulah silibus tarbiyyah yang dilaksanakan tanpa sedikit pun perubahan yang berlaku. Mungkin ada perasaan bimbang di dalam hati pemimpin ini. Iaitu sindrom takut untuk berubah dengan menggantikan istilah ‘takut berubah’ kepada ‘mahu istiqamah’.


Bimbang secalit kesilapan yang dilakukan bakal merosakkan generasi yang mendatang dan kesalahan itu terus disematkan di dalam pemikiran lalu ditundingkan kesalahan itu kepada generasi baru. Mungkin juga bimbang perubahan yang akan dilakukan oleh generasi baru bakal diambil tindakan oleh generasi lama. Atau mungkin juga didesak oleh generasi lama untuk generasi baru terus melakukan perkara yang sama. Lalu apa yang tersemat di dalam pemikiran generasi lama diserapkan pula pada generasi yang akan datang dan ianya menjadi ‘pemikiran turun temurun’ dengan generasi lama menjadi pemantau dan pemerhati. Hanya atas alasan kukuh mereka iaitu ‘Mahu Istiqamah’. Keadaan ini boleh dimisalkan dengan situasi wujudnya pemikiran Tun Dr Mahathir di dalam kepimpinan Dato’ Seri Najib Razak. Sehingga apa yang Dato’ Seri Najib Razak lakukan adalah dibayangi oleh idealisme Tun Dr Mahathir. Begitu juga dengan apa yang generasi baru lakukan kini sebenarnya telah disusunatur oleh generasi lama.


Perkara ini seharusnya dicaknakan oleh semua manusia terutamanya mereka yang pernah memegang mana-mana jawatan di dalam organisasi atau mereka sebagai peminpin. Biarkanlah generasi baru melakukan perubahan dengan kemampuan yang mereka miliki. Siapa tahu, mungkin kecerdikan generasi baru lebih terserlah dari generasi lama. Kelemahan yang telah terjadi pada hari semalam dijadikan pengajaran untuk hari esok agar manusia mampu memikirkan cara penyelesaian yang lebih efektif jika situasi yang sama berlaku lagi. Boleh juga mereka memikirkan alternatif yang paling sesuai supaya masalah tersebut tidak berulang kembali. “Berani Berubah bukan bererti Tidak Istiqamah’.


“Kita sentiasa akan melakukan kesilapan di dalam kehidupan kita. Yang penting, samada kita berani berhadapan dengan masalah yang dihadapi ataupun tidak. Pasti! Kita mesti menghadapinya. Hadapi masalah untuk memperkasakan sistem kepimpinan yang ada.”


‘Nur Kasih’ Detik Permulaan


‘Nur Kasih’. Sebuah drama bersiri yang disiarkan pada setiap Jumaat hasil arahan Kabir Bhatiar ini lebih terarah dan lebih Islamik jika dibandingkan dengan drama-drama buatan Malaysia yang lain. Sebuah drama yang diberi tajuk ‘Nur Kasih’ dengan dibarisi pelakon-pelakon yang rata-ratanya muka baru di dalam dunia lakonan seperti Tiz Zaqyah, Remy Ishak, Ummi Nazeera dengan dibantu oleh pelakon lama Datuk Jalaluddin Hassan , Fizz Fairuz, Sharifah Sofia, dan Liza Othman. Berlatarkan lagu single pertama nyayian Yasin yang bertajuk ‘Nur Kasih’ mampu memberikan gambaran kepada kita semua erti sebuah pengorbanan seorang lelaki yang sedang mencari-cari erti sebenar sebuah pengorbanan biarpun dirinya berasal dari keluarga yang berpendidikan agama. Ayahnya seorang ustaz dan abangnya pelajar lepasan Mesir sedangkan dirinya tidak mengenal ayat-ayat al-Quran.


Biarpun ada beberapa babak yang tidak sepatutnya berlaku di dalam keluarga ‘Ustaz’ ini seperti tindak tanduk dan penampilan cara berpakaian, pergaulan serta percakapan namun penghasilan cerita ini harus diberi sokongan kerana kewujudannya boleh dianggap sebagai tunas permulaan drama-drama islamik dan seterusnya terwujudnya pula pengarah filem dengan filem yang sedemikian rupa.


Bayangan ‘Ketika Cinta Bertasbih’. Ini yang dikatakan oleh hatiku yang kini menjadi pengikut setia setiap episod drama ini. Sengaja dipersoalkan jalan cerita drama ini kepada beberapa orang sahabatku melalui sistem pesanan ringkas. Persoalan berkisarkan “mengapa, mengapa dan mengapa”. Pelbagai tafiran yang diterima yang rata-ratanya menyatakan drama ini seperti permulaan filem “Ayat-ayat Cinta” dari Indonesia. Masing-masing berdebat dan memberi pandangan dari pelbagai dimensi mengenai mengapa Nur Amina (Tiz Zaqyah) dikahwinkan dengan Adam (Remy) sedangkan si abang Adam iaitu Aidil (Fizz) yang lebih layak untuk memperisterikan wanita itu berdasarkan pada ‘sekufu’nya. Banyak pandangan bersifat peribadi diterima.


Drama ini hanya mempunyai 26 episod dan minggu ini adalah episod ke-6 telah ditayangkan. Secara peribadi saya ucapkan tahniah kepada Syarikat ‘Filmscape’ kerana mampu menghasilkan cerita yang sedikian rupa dengan berharap agar drama-drama sebegini diberi ruang untuk disiarkan di kaca televisyen. Biarpun saya tahu ada beberapa sahabat sahabiah yang langsung tidak bersetuju dengan pandangan saya ini dan ada juga yang minta saya hentikan menonton drama yang dikatakannya sebagai ‘Lagho’ ini. Wallah hu ‘Alam.


Jika Habiburrahman El Shirazy bermula dari penghasilan novel sebelum ianya difilemkan, drama ini juga bermula dengan novel hasil tulisan insan seni yang bernama Mira Mustaffa dan ianya difilemkan serta mendapat sentuhan dari pengarah terkenal Kabir Bhatiar. Jika filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ menjalani penggambarannya di Mesir, begitu juga drama ini yang turut memuatkan penggambarannya di Sydney dan Jeddah.


Nur Kasih | Lewat ini ku rasakan | Kasih kian ku dambakan | Resah hati yang ku pendam | Pada takdir dan harapan | Detik waktu dan suratan | Siapa tahu ketentuan | Ku mencari cahayanya | Dalam bayang kegelapan | Nur kasih | Nur kasih | Nasib hidup dan pilihan | Lain hukum setiap insan | Mengharapkan perjalanan | Dalam maya kesamaran | Nur nur ya nur kasih | Nur ya nur kasih | Nur nur kasih | Nur kasih.


Saya begitu teruja membaca komen-komen dari penonton mengenai drama ini. Antara komennya yang berbunyi “TV3 patut siarkan cerita macam ini daripada cerita hantu seperti keliwon yang menyimpang akidah dan mengajar orang black magic”. Begitu juga dengan komen dari insan yang menggunakan nama samaran sebagai ‘Noonokun’ yang memberikan pandangannya seperti “Alhamdulillah, sekarang semakin banyak cerita yang berunsurkan islamik. Harap lebih islamik. Betul garis panduannya, tiada adegan berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan. Gud luck! saya suka cerita nie. Alangkah elok jika pelakon seperti wataknya yang berpegang teguh pada agama. InsyaAllah. Sama-sama berusaha ke arah itu”.


Jauh di sudut hatiku mendoakan agar pelakon utama di dalam drama ini akan membawa wataknya keluar dari drama tersebut dan bukannya hanya berakhir di dalam drama ini sahaja dan seterusnya mendoakan agar dakwah mampu mencipta tapak penyebarannya di bidang perfileman pula. Tiada yang mustahil bagi yang berkehendak untuk melakukannya. Sekian.