Pages

Subscribe:

Thursday, May 19, 2011

Revolusi Fikrah Evolusi Ummah

Imam sedang membacakan doa. Tangannya diangkat mengadap ke muka. Seluruh jemaah masjid melakukan perkara yang sama. Tangan diangkat bagi mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam.

“Ya Allah ya tuhan kami, Engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu. Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu. Bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah ikatannya.” Lantunan suara Ustaz Zaim yang mengimami solat Isyak itu sedikit sebanyak menyentuh hati dan sanubari jemaah yang hadir.

Ini Doa Rabithah. bisik hati kecil Fikri Nordin. Mulutnya terus terkumat-kamit mengikuti bacaan doa oleh imam itu. Doa yang sering dia amalkan bersama sahabat-sahabatnya.

Doa Rabithah terus bergema di dewan solat.

“Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Maka, perkenankanlah permintaan ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.” Imam meraupkan tangannya ke muka.

“Amin Ya Rabbal ‘Alamin.” Para jemaah juga turut meraupkan tapak tangan yang ditadah ke muka masing-masing.

Penuh pengharapan supaya doa itu diperkenaankan oleh Maha Pencipta. Yang memberikan manusia jawatan Khalifah di muka bumi.

Tidak terkecuali sepasang sahabat karib yang turut hadir untuk meraih dua puluh tujuh pahala solat berjemaah. Fikri Nordin memandang sahabatnya di sebelah kanan. Khairil Fahmi sudah sedia menghulurkan tangan kepada Fikri. Fikri Nordin tersenyum, Tangan Khairil disambut, lalu mereka berdua bangun untuk bersalaman dengan para jemaah yang lain.

Fikri Nordin tidak terus pulang ke rumah. Dia berhenti di sebuah bangku yang ada di luar masjid. Lalu dilabuhkan punggungnya di atas bangku itu.

“Huh” Fikri melepaskan keluhan.

Perlahan-lahan Fikri Nordin teringat kembali tazkirah yang didengarinya dari Ustaz Zaim sebentar tadi.

Sesungguhnyanya orang Mukmin itu bersaudara, maka perdamaikanlah kedua-dua saudaramu yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat kerahmatan. Surah Al-Hujurat, ayat kesepuluh.” Lantang suara Ustaz Zaim membuatkan Fikri berfikir sejenak.

Jauh di sudut hatinya, terselit perasaan untuk membebaskan gaya pemikiran masyarakat yang kini mempunyai jurang pemisah yang terlalu lebar. Gaya pemikiran warga kota dan tahap pemikiran warga desa.

Warga kota kini mempunyai pemahaman yang salah. Mereka ingin hidup moden, tetapi yang mereka ikuti adalah gaya hidup Barat. Manusia Asia boleh saja untuk hidup moden tanpa perlu mengikuti gaya hidup orang-orang Barat. Kita boleh hidup dengan gaya kita sendiri. Hidup dengan acuan yang telah digariskan oleh Rasulullah sebagai panduan.

Warga desa pula, masih lagi berpegang teguh pada adat, petua-petua dan pantang larang orang-orang lama. Masih takut untuk tinggalkan adat turun temurun, bimbang malapetaka akan menimpa keturunan jika adat ditinggalkan. Atas sebab itulah warga desa takut untuk berubah dan memilih untuk istiqamah dengan adat nenek moyang mereka.

Satu warga masih berpegang kepada kepercayaan turun-temurun. Satu warga lagi telah melangkaui batasan adab dan ketimuran.

“Uik! Termenung semacam saja. Kenapa, Fikri?” sapaan suara Khairil Fahmi membuatkan Fikri sedikit terkejut.

Khairil menghampiri dan duduk di sebelah Fikri Nordin. Fikri membetulkan kedudukannya. Memberi ruang kepada Khairil.

“Teringat doa Rabithah yang dibacakan Ustaz Zaim tadi. Ada isi penting yang boleh difokuskan dalam doa itu.” Fikri memandang wajah Khairul.

“Berkenaan hati yang bersatu?” Serkap Khairil menyoal.

Fikri Nordin mengangguk.

“Kita sentiasa berdoa supaya orang-orang Islam bersatu, tetapi hakikatnya? Langsung tidak ada kesatuan. Malah, bergaduh pula sesama sendiri.” Fikri sekali lagi mengeluh kecil.

“Itulah salah satu di antara tiga doa nabi yang ditolak.” Khairil menyambung. Dipandangnya wajah Fikri Nordin. Memerhatikan reaksinya.

Fikri memandang seketika wajah Khairil. “Betul!” balasnya ringkas.

“Doa pertama Nabi, berkenaan supaya tidak dibinasakan umatnya dengan musim susah yang berpanjangan.” Fikri bersuara.

“Doa itu diluluskan.” Khairil menyahut.

“Doa kedua adalah supaya umatnya tidak dibinasakan dengan bencana tenggelam seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh.” Fikri menyambung.

“Permohonan ini juga diterima.” Khairil sekali lagi menyambut.

“Doa ketiga berkenaan supaya umatnya tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama sendiri.” Jelas Fikri Nordin.

“Permohonan ini ditolak.” Balas Khairil.

“Lihatlah apa yang terjadi? Wujud peperangan sesama negara Islam. Hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, Orang kafir pula bertepuk tangan dari belakang.” Fikri melanjutkan perbualan.

Khairil senyap seketika. Cuba menyusun kata.

“Pernah dengar kata-kata dari Nixon? Bekas Presiden Amerika Syarikat.” Khairil kembali bersuara.

Fikri hanya mengangkat bahu. Tidak tahu.

“Apa katanya?” soal Fikri Nordin. Mohon kepastian. Wajahnya mengadap Khairil. Khairil Fahmi tersenyum.

“Jika ada peperangan yang sangat didambakan oleh manusia, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran. Dan jika terdapat peperangan yang diharapkan oleh kita agar tidak ada pemenangnya, maka ia adalah peperangan Iraq melawan Iran.” Bicara Khairil Fahmi memetik dari kata-kata Nixon, bekas Presiden Amerika Syarikat itu.

“Harapan yang tersirat di sebalik kata-kata Nixon adalah supaya umat Islam lemah dengan sentiasa berbunuhan sesama sendiri.” Sambung Khairil lagi.

“Sebab itu umat Islam perlu bersatu.” Tekan Fikri.

“Tetapi itu tidak berlaku.” Khairil mengeluh.

Fikri Nordin dan Khairil Fahmi melepaskan pandangan ke halaman masjid. Dilihatnya kelibat Ustaz Zaim dan Pak Cik Hashim yang mesra dengan panggilan Cikgu. Baru menuruni anak tangga untuk keluar dari dewan solat. Sayup-sayup perbualan Ustaz Zaim dan Cikgu Hashim dapat didengar.

“Saya balik dulu, Cikgu.” Bicara Ustaz Zaim ketika tangannya membuka pintu kereta ‘Unser’nya.

“Baiklah. Hati-hati jalan.” Tangan mereka berdua bertaut. Disambung pula dengan pelukan ukhwah antara mereka. Salam bersambut, lalu Ustaz Zaim masuk ke dalam keretanya dan perlahan-lahan kereta itu hilang dari perkarangan Masjid.

Ustaz Zaim terpandang ke arah Fikri Nordin dan Khairil Fahmi di satu sudut perkarangan Masjid. Lalu langkahnya diatur menuju ke arah mereka.

“Assalammu’alaikum. Belum balik lagi?” sapa Cikgu Hashim.

“Wa’alaikummussalam. Belum lagi, Cikgu. Rehat sekejap di sini.” Huluran salam Cikgu Hashim disambut mereka berdua. Cikgu mengambil tempat duduk yang berada di hadapan mereka.

“Bersembang mengenai apa? Rancak saya tengok tadi.” Cikgu mulakan perbualan.

Khairil Fahmi memandang wajah Fikri Nordin. Mereka berdua tersenyum sebelum meneruskan bicara.

“Bersembang mengenai orang Islam yang susah mahu bersatu. Setiap kali kita lepas solat, pasti kita akan mendoakan kesatuan umat-umat Islam. Tetapi yang terjadi hari ini umat Islam berbalah sesama sendiri.” Khairil bersuara. Mudah-mudahan mereka dapat hikmah dan pandangan dari ‘orang lama’, apatah lagi di hadapan mereka itu adalah seorang Pendidik.

“Oh! Itu rupanya topik berbualan.” Cikgu Hashim menyentuh seketika cermin mata yang dipakainya. Membetulkan kedudukannya agar lebih selesa.

Fikri Nordin dan Khairil Fahmi juga turut membetulkan kedudukan mereka. Untuk duduk dalam keadaan selesa.

Cikgu mula bersuara, “Di dalam Surah Yusuf, ayat kesebelas, Allah telah berfirman. Kisah Nabi-Nabi itu mendatangkan iktibar kepada orang yang mempunyai akal fikiran.” bicaranya terhenti seketika sebelum menyambung semula.

“Kata Profesor Necmettin Erbakan pula. Masyarakat yang tidak mempedulikan sejarah tidak mempunyai masa hadapan.” Matanya merenung ke anak mata Khairil Fahmi. Seketika kemudian direnung pula ke anak mata Fikri Nordin. Mereka berdua tekun mendengar. Kusyuk.

Suasana seakan terhenti.

“Apa kata kita menjadikan sejarah dan sirah sebagai dasar pandangan kita di dalam topik ini?” Cikgu Hashim senyum memandang mereka. Mereka berdua saling berpandangan. Lalu mereka berdua mengangguk serentak.

“Elok juga, cikgu.” Fikri Nordin bersuara mewakili mereka berdua. Cikgu Hashim hanya tersenyum melihat reaksi mereka berdua.

“Umat Islam perlu bersatu, bukan?” Cikgu Hashim menyoal. Diam seketika. Khairil dan Fikri mengangguk.

“Apa yang akan terjadi jika umat Islam berpecah belah?” Cikgu Hashim cuba untuk mewujudkan interaksi dua hala. Dia tidak mahu hanya dia seorang sahaja yang bersuara, sebaliknya dia sering mengharapkan pendengarnya atau anak muridnya juga mampu mengeluarkan buah fikiran. Ini kerana sel neuron otak yang tidak digunakan akan berkurangan sedikit demi sedikit.

Fikri cuba menjawab, “Mudah untuk pihak musuh menyerang?”

“Sukar untuk bersatu semula kerana wujud perbezaan?” Khairil pula melontar pandangannya.

Cikgu Hashim terus tersenyum. Seketika kemudian dia mengangguk. “Dua-dua jawaban betul.”

“Pernah dengar kisah Salahuddin Al-Ayubi ketika Tentera Salib cuba untuk menawan Mekah dan Madinah?” soal Cikgu Hashim.

“Salahuddin Al-Ayubi tidak beri tenteranya berpecah untuk mengejar musuh.” Balas Fikri Nordin yakin. Cikgu Hashim mengangguk.

“Apabila banyak Tentera Salib terbunuh dan cedera, Birnis iaitu Panglima Perang Tentera Salib terpaksa mengarahkan tenteranya untuk berundur.” Jelas Cikgu Hashim.

“Sewaktu itulah Tentera Islam berkobar-kobar semangatnya untuk mengejar Tentera Salib yang lari, tetapi ditegah oleh Salahuddin.” Sambungnya lagi.

“Kenapa pula?” Khairil menyoal.

“Kenapa, Fikri? Tahu sebabnya?” soalan yang ditanya Khairil itu dilontarkan semula kepada Fikri.

Fikri cuba berfikir sejenak. Gayanya seakan cuba bersuara. Perlahan-lahan mulutnya dibuka dan melafazkan bicaranya satu persatu.

“Sebab apabila Tentera Islam mengejar pihak musuh, Tentera Islam pada waktu itu sudah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Salahuddin Al-Ayubi bimbang Tentera Salib akan berpatah balik dan melakukan serangan mengejut dengan bilangan tenteranya yang lebih ramai.” Jelas Fikri Nordin.

“Oh! Sebab di dalam peperangan, apa-apa pun boleh berlaku.” Pintas Khairil Fahmi.

Fikri Nordin dan Cikgu Hashim mengangguk serentak.

Fikri memandang Cikgu Hashim. Dia bersuara.

“Perkara ini sama seperti yang berlaku di Perang Mu’tah, bukan?” Fikri bersuara. Dia memandang ke arah Cikgu Hashim.

“Betul!” Cikgu Hashim bersuara.

“Selepas tiga Panglima Islam yang memegang panji Islam gugur syahid, Tentera Islam pada waktu itu sepakat untuk memilih seorang Panglima yang thiqah peribadinya iaitu Khalid al-Walid bagi menerajui Tentera Islam.” Sambung Cikgu Hashim.

“Sewaktu Khalid al-Walid ambil alih, tentera Islam rasa mereka hampir kalah. Jadi, Khalid al-Walid telah mengubah corak serangan Tentera Islam.”

“Dengan strategi itulah membuatkan pihak musuh rasa seolah-olah semakin lama semakin ramai Tentera Islam yangdatang menyerang.” Panjang lebar penerangan Cikgu Hashim.

“Sewaktu itu juga pihak musuh terpaksa berundur dari medan perang.” Fikri Nordin menyambung.

“Tetapi perlu diingat, ada sebahagian dari Tentera Islam yang mahu mengejar dan terus menyerang pihak musuh, Khalid al-Walid tidak mengizinkan atas faktor keselamatan.” Suara Cikgu Hashim pula berganti. Memberi klimaks dan perleraiannya sekaligus.

Khairil Fahmi memikirkan sesuatu.

“Sama saja apa yang berlaku di antara Perang Salib dan Perang Mu’tah.” Khairil kembali bersuara. Fikri Nordin mengangguk. Khairil Fahmi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dua sejarah berbeza, tetapi di dalam situasi yang sama.

“Sebab itulah Profesor Necmettin Erbakan pernah berkata. Masyarakat yang tidak mempedulikan sejarah tidak mempunyai masa hadapan.” Fikri Nordin menepuk bahu Khairil Fahmi. Cikgu Hashim ketawa. Dia sedar itulah perbualan permulaannya pada Fikri Nordin dan Khairil Fahmi. Khairil hanya tersenyum.

“Cikgu! Mengikut sejarah-sejarah yang lepas, apa yang membuatkan orang Islam ini mudah berpecah-belah?” pintas Khairil.

“Fikrah dan Assabiyyah. Perbezaan fahaman dan Perkauman.” Kata Cikgu Hashim penuh yakin. Jari telunjuknya diangkat sebagai ingatan. Fakta penting.

“Perbezaan fahaman?” Khairil menyoal tidak faham berikutan perbezaan fahaman menjadi faktor perpecahan.

“Contohnya, fahaman Syiah, Sunah wal-jamaah, Wahabi, Liberal, Sekular, dan sebagainya.” Jelas Fikri Nordin ringkas membantu Cikgu Hashim menjelaskan. Cikgu Hashim mengangguk membenarkan.

“Baik. Kita berbalik semula kepada Sirah Salahuddin Al-Ayubi.” Cikgu Hashim membetulkan kedudukannya.

“Apa yang terjadi sewaktu Salahuddin menyatakan hasratnya untuk menawan Bariyas, iaitu pintu masuk untuk ke Palestin?” Sambung Cikgu Hashim terus berinteraksi.

“Ada pihak yang bocorkan rahsia?” Fikri mencuba nasib menjawab.

“Siapa yang bocorkan rahsia?” orang Islam atau orang bukan Islam?”

“Mesti orang Islam.” Khairil pula menyampuk.

“Buktikan.” Cabar Cikgu Hashim.

Mereka berdua saling berpandangan. Saling berharap jawaban antara satu sama lain. Lalu, pandangan mereka dialihkan semula ke arah Cikgu Hashim.

Cikgu Hashim tersenyum. Dia sendiri dapat merasakan yang dua insan di hadapannya itu mahukan jawaban darinya.

“Ketua puak Syiah yang membocorkan rahsia itu kepada Panglima Tentera Salib yang bernama Birnis.”

“Kenapa?” serentak soalan Fikri dan Khairil.

“Bukankah puak Syiah itu juga adalah orang Islam?” Fikri terus menyambung, manakala Khairil Fahmi terhenti di persoalan ‘kenapa’.

Cikgu Hashim menyambung, “Puak Syiah mendakwa kononnya Salahuddin al-Ayubi menaikkan pemimpin-peminpin dari kalangannya adalah untuk memadamkan fahaman Syiah di Mesir. Sebab itulah ketua Puak Syiah sanggup bekerjasama dengan Tentera Salib bagi menjatuhkan Salahuddin Al-Ayubi. Dia tidak mahu puak Sunnah yang menguasai Mesir.”

Suasana senyap seketika. Mungkin sedang mencerna ilmu yang baru mereka dapat pada malam itu.

“Ada lagi kes yang sama seperti ini, Fikri?” soalan itu dituju buat Fikri Nordin memandangkan Fikri Nordin yang mengaitkan persamaan situasi di dalam Perang Salib dan Perang Mu’tah.

Fikri mengangkat bahu.Tidak tahu.

“Kejatuhan Kerajaan Usmaniah. Sewaktu penggulingan Sultan Abdul Hamid II, Khalifah yang ke-98.” Bicara Khairil mengingatkan Fikri Nordin.

Fikri memetik jari, baru teringat berkanaan kejatuhan Kerajaan Usmaniah. “Oh ya! Saya ingat. Tentera Salib mengkaji kekuatan armada Usmaniah sehingga kerajaan Usmaniah mampu menguasai dunia. Tentera Salib dapat tahu yang tentera-tentera Islam pada waktu itu mempunyai semangat hidup mulia atau mati syahid. Mereka tidak takutkan mati dan tidak cintakan dunia.” Fikri kembali mengingati sejarah kebangkitan Kerajaan Usmaniah dalam misi menawan Kota Konstantinopel.

“Tariq juga pernah menyebut, kami bawakan kepada kamu tentera yang cintakan kematian dan bencikan dunia lebih daripada kamu cintakan dunia dan bencikan kematian.” Sambung Khairil Fahmi.

Cikgu Hashim mengangguk, “Apa kaedah yang tentera Salib dapat untuk menjatuhkan kerajaan Usmaniah?” soal Cikgu Hashim.

“Suntikan virus nasionalisme. Wujudkan perjuangan atas dasar perkauman.” Balas Khairil pantas.

“Bagaimana?”

“Tentera Salib menyatakan ‘mengapa mesti orang Turki yang memerintah kamu’, ini yang membuatkan beberapa buah negara yang dulunya patuh kepada Kerajaan Usmaniah, keluar dari pemerintahan itu.” Khairil terus berinteraksi.

“Negara yang pertama keluar dari Kerajaan Usmaniah adalah Negara Armenia.” Jelas Cikgu Hashim menambah fakta.

“Situasi ini di Malaysia?” soalan Cikgu Hashim bertalu-talu menyapa.

“Nama Malaysia berasal dari Tanah Melayu. Kemudian ditukarkan ke Malaya, dan kini dinamakan Malaysia iaitu gabungaan perkataan Malay-Asia. Sentimen perkauman yang disuntik adalah ‘ini negara orang Melayu, mengapa pula orang cina atau india yang perlu memerintah kita? Kita yang patut memerintah’. Situasi inilah yang membuatkan orang Melayu bertindak lebih agresif mempertahankan hak bangsa Melayu” balas Fikri Nordin tanpa gentar. Sungguh lantang.

“Sepatutnya Islam didahulukan, Takwa diutamakan. Baru betul.” Pesan Cikgu Hashim.

“Lord Curzon, Menteri Luar British pernah berkata, ‘kita mesti hapuskan apa sahaja yang dapat membawa penyatuan dalam kalangan umat Islam. Memandangkan kita berjaya menghancurkan Khilafah, kita mesti pastikan umat Islam tidak bersatu samada secara intelektual ataupun kebudayaan’. Sebab itulah mereka laksanakan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ di semua negara jajahannya, termasuklah Malaysia yang masih menggunakan undang-undang British.” bersemangat Fikri Nordin bersuara ketika ini.

Cikgu Hashim mengangkat tapak tangan menghala ke arah Fikri Nordin, sebagai isyarat ‘bertenang sekejap’. Fikri tersenyum sendiri. Khairil juga tersenyum melihat semangat Fikri.

Suasana senyap seketika. Cikgu Hashim memberi ruang meredakan keadaan.

Cikgu Hashim kembali menyambung bersuara.

“Selepas kejatuhan Khalifah ke-98 iaitu Sultan Abdul Hamid II, Kerajaan Usmaniah diganti dengan Sultan Mehmed V Resad. Khalifah ke-99 ini hanya dijadikan sebagai boneka sahaja kerana kerajaan itu sudahpun dikuasai oleh orang-orang Yahudi hasil pembelotan dari Aram Efendi wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmat Pasha iaitu pemimpin Armada Usmaniah dan Arnavut Esat Toptani wakil rakyat bandar Daraj.” Cikgu Hashim bersuara kemas. Terselit pelbagai fakta dan sejarah.

“Selepas Khalifah ke-99 diturunkan, dinaikkan pula Kamal Attarturk. maka Kamal Attarturk menghapuskan terus sistem Khalifah, ditukarkan pula nama Kerajaan Usmaniah kepada Turki, dan dipisahkan agama dari kehidupan yang dikenali sebagai Sekular. Maka, tamatlah sudah Legasi Empayar Usmaniah selama 600 tahun pemerintahan yang berakhir secara rasmi pada 3 Mac 1924.” Jelas Cikgu Hashim bernada sedih.

“Kesimpulannya? Kembalilah kepada Islam sepenuhnya.” Berkata Fikri dalam keadaan yang tenang. Tidak lagi emosi seperti tadi. Cikgu Hashim hanya tersenyum melihat reaksi yang ditonjolkan Fikri Nordin tika ini.

Fikri Nordin sedar, adakalanya emosi itu dapat mempengaruhi rasional dalam pemikiran kita. Sebab itulah apabila kita berkata-kata dalam keadaan kita sedang marahkan sesuatu, kata-kata kita itu seolah-olah membuka pekung di dada, tidak membawa apa-apa makna. Fikri Nordin sedar akan hal itu.

Khairil Fahmi mula bersuara, “Rasul pernah bersabda, Bukanlah dari kalangan kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana mempertahankan assabiyyah. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud.” Sahut Khairil Fahmi.

“Tidak salah untuk perjuangkan bangsa, asalkan perjuangan bangsa itu tidak mengatasi perjuangan agama.” Sambung Cikgu Hisham lagi meredakan keadaan.

Fikri dan Khairil seperti tidak ada apa untuk bersuara. Cikgu Hashim terus menyambung bicaranya.

“Lihatlah bagaimana perpaduan di antara kaum Muhajirin dan kaum ansar. Mereka mampu menerima di antara satu sama lain biarpun mereka asal dari tempat yang berlainan. Nyatalah, Islam itu menyatu-padukan semua bangsa dan bukanlah pemecah kepada sesebuah bangsa seperti yang diwar-warkan oleh orang yang singkat tahap pemikirannya. Kembalilah kepada Islam sepenuhnya.” Ujar Cikgu Hashim lagi.

“Kesatuan kaum Muhajirin dan kaum Ansar itu dapat kita aplikasikan ke dalam penyatu-paduan di antara Warga Desa dan Warga Kota pada hari ini.” Bicara Fikri cuba meletakkan diri di dalam situasi semasa hari ini.

“Betul! Pemuda hari ini menggambarkan pemuda di masa hadapan.” Pintas Cikgu Hashim. Khairil mengangguk. Nilai kepimpinan masa hadapan bergantung kepada nilai pemikiran masa kini.

“Remaja sekarang hidup di dalam dunia sendiri. Sudahlah tidak kenal dengan jiran masing-masing, rasa hormat pada orang tua pun tidak ada.” Suara Fikri kali ini lebih perlahan berbanding tadi. Bersikap rasional dengan rencam nasional.

“Itu tugas kita semua. Allah meletakkan kita jawatan sebagai Khalifah, maka kita perlu menjalankan amanah terhadap jawatan itu.” Pesan Cikgu Hashim.

“Ingat, Masyarakat yang tidak mempedulikan sejarah tidak mempunyai masa hadapan!” sambung Cikgu Hashim memetik kata-kata Profesor Necmettin Erbakan.

Suasana terhenti seketika sebelum Cikgu Hashim meneruskan kata-katanya.

“Kebimbangan kamu terhadap pemikiran warga desa dan warga kota, cuba kaitkan bagaimana caranya Nabi menyatukan kaum Muhajirin dan kaum ansar.” sambungnya lagi.

“Kisah Nabi-Nabi itu mendatangkan iktibar kepada orang yang mempunyai akal fikiran.” Cikgu Hashim sekali lagi memetik ayat kesebelas dari surah Yusuf seperti mana di awal bicaranya tadi.

“Eh!” Cikgu Hashim terbangun dari duduk. Terkejut sambil tangannya diangkat bagi melihat jam di tangan.

“Sudah dekat pukul sepuluh rupanya. Terlalu rancak bersembang, terlupa pula saya mahu pergi beli barang di kedai.” Kata Cikgu Hashim tersenyum. “Lambat nanti, kedai tutup pula.” Bicaranya lagi.

Cikgu Hashim memohon untuk undur diri kerana ada hal yang perlu disegerakan. Tangan mereka bertaut kemas. Bersalaman dengan penuh ikhlas.

“Terima kasih, Cikgu. Atas perkongsian ilmu dengan kami hari ini.” Bicara Fikri Nordin. Khairil turut mengangguk.

“Tidak mengapa. Inilah tugas kita. Menyeru manusia untuk mengubah cara pemikiran ke arah yang lebih Islamik. Apabila pemikiran manusia sudah diubah untuk menjadi lebih baik, tindakan kita juga perlahan-lahan akan turut berubah menjadi baik. Assalammu’alaikum.” Cikgu Hashim mengakhiri perbualan dan berlalu dari situ.

“Wa’alaikummussalam.” Serentak mereka berdua membalas salam.

Fikri Nordin dan Khairil Fahmi berpandangan semasa sendiri.

“Apabila pemikiran manusia sudah diubah untuk menjadi lebih baik, tindakan kita juga perlahan-lahan akan turut berubah menjadi baik.” Fikri bersuara, memetik kata-kata Cikgu Hashim sebentar tadi.

“Iyalah. Itu ayat cikgu Hashim sebentar tadi, apa yang kau mahu kaitkan dengan ayat itu? Minda Revolusi, Malaysia Evolusi?” kata Khairil Fahmi sambil tersengih. Mengajuk kalimah yang sering dilaung-laungkan oleh Fikri Nordin.

Fikri Nordin tersenyum. Dia menggeleng.

Update sikit.” Ujar Fikri masih lagi tersenyum. Khairil mengangkat kening.

“Revolusi Fikrah, Evolusi Ummah.” Sambung Fikri.

“Wah! Lebih Islamik. Bagus. Tema Maal Hijrah tahun depan.” Kata Khairil seloroh. Mereka berdua ketawa. Lalu mereka bangun dari situ dan perlahan-lahan berjalan pulang, meninggalkan perkarangan Masjid Sungai Seluang membelah kepekatan malam.

Bicara Ustaz Zaim di dalam kuliah Maghrib tadi masih jelas di ingatan Fikri Nordin.

“Salahuddin Al-Ayubi berusaha mengajak negara-negara Islam yang lain bersatu bagi menentang Tentera Salib, tetapi tidak berjaya. Disebabkan itulah Salahuddin Al-Ayubi terpaksa membuat penyatuan melalui penaklukkan.” Suara Ustaz Zaim tersimpan kemas.

“Salahuddin Al-Ayubi menakluk Damsyik, Yaman, Beirut dan kota-kota di sekelilingnya. Kemudian disatukan negeri-negeri itu di bawah satu bendera.” Suara itu masih bermain di minda Fikri Nordin.

“Satukan negeri-negeri itu di bawah satu bendera.” Bicara Fikri sendirian. Khairil memerhati gelagat Fikri di sebelahnya. “Satukan rakyat-rakyat Malaysia di bawah satu fikrah. Iaitu Islam.” Sambung Fikri lagi. Khairil mengangkat kening. Pelik. Bercakap sendirian?

Fikri Nordin tersenyum melihat Khairil Fahmi. “Takluk pemikiran rakyat Malaysia di bawah satu fikrah”. Kata Fikri Nordin. Ditepuknya bahu Khairil berkali-kali. Seiringan mereka berjalan pulang.

Tamat.


---------------------------
rujukan:

1. Dilema Melayu-Islam: Kurang fikir atau kurang zikir?, Pahrol Mohamad Joui.
2. Secangkir teh pengubat letih, Hasrizal Abdul Jamil.
3. Kuasa kePEMIMPINan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman.
4. Salahudin Ayubi: Penakluk Jerusalem, Abdul Latib Talib.


Sunday, May 8, 2011

Haluan Cinta

Kau bermuram durja
Katamu aku tidak seperti biasa
Aku sudah seperti seseorang yang lain
Tidak mesra dengan hubungan yang dijalin

Kau ingin kita sentiasa berdua bersama
Supaya hubungan kita diredhai semua
Bagaimana dengan redha Pencipta?
Apakah dengan sebegitu kita berdua Allah redha?

Sengaja aku biarkan kita jarang bertemu
Sengaja jua kubiarkan kiriman mesej sesekali bertamu
Bukanlah bermakna kau disampingkan dari sudut hatiku
Tetapi ingin aku ‘tawazun’kan cinta antara kau dan aku
Seimbang dengan cinta yang Kekal Satu

Allah menciptakan kita
Penuh dengan segala sifat mulia
Kita dilahirkan juga ke dunia
Ibarat kain putih yang penuh sucinya

Janganlah biarkan cinta yang kita lakar
Menjemput redha Ilahi di landasan yang sukar
Biarlah cinta kita yang bermekar
Mendorong semangat ibadat yang membakar

Matlamat tidak menghalalkan cara
Matlamat tidak mengharamkan fitrah manusia
Tetapi matlamat itu perlu kena caranya
Cara yang seiring dengan fitrah manusia
Dan tidak kesampingkan suruhan yang Esa
Itulah haluan cinta yang perlu kita bina


~Helme Zulkipli : 08/05/2011 : Ahad : 11:33pm~