Pages

Subscribe:

Wednesday, December 22, 2010

Juara Keranjang [Part 02]

Jeng-jeng... Juara Keranjang kembali.
idea terlalu banyak skrang ini, tapi tak tahu bagaimana nak mula. semuanya tergendala.

InsyaAllah, akan diusahakan.
Enjoy...

Juara Keranjang
Oleh : Helme Zulkipli



“26 – 24.” Epin mengumumkan keputusan yang terakhir sebelum mereka berhenti berehat. Melepaskan penat.
“Woi! A’elaa... tak kan 26 – 24 je?” tiba-tiba budak-budak dari kumpulan TDT memperlecehkan kumpulan GTS. Siapa tak kenal dengan dua pasukan ini. Dah memang bermusuh dari dulu lagi. Pantang bertemu dalam gelanggang, pasti ada saja yang tak puas hati. Mesti nak bergaduh. Dah lumrah.
“Tak puas hati jomlah kita celen.” Kata Ezad selaku ketua kumpulan Pasukan TDT.
“Ceh! Kecut rupanya. Korang ni bukan lelakilah. Penakut!” kata Bukhari mencabar mereka agar mereka menerima cabaran tersebut.
“Cis! Berlagak. Macam Firdaus pulak.” Bisik Azhar.
“Pengecut rupanya...” tambah Ezad.
“Woi geng! Janganlah takut dengan diorang ni. Jom kita lawan. Alaah... diorang ni senang je nak hapuskan.” Sampuk Firdaus yang baru saja muncul.
“Ya Allah..... macam manalah dia ni boleh mai waktu laa ni?” bisik Sadzly.
“Ceh! Boleh berlagak lagi tu...” Ezad berpaling muka ke arah pasukannya.
“Dah kalah nak berlagak lagi...” sambung Bukhari.
“Mampus kau lah!” tengking Firdaus memperlekehkan semangat pasukan TDT.

Pukul lapan malam, mereka berhimpun di rumah Jeff...
“Baru kau tahu! Kata tadi kumpulan tu senang je nak hapuskan... siap dengan maki-hamun lagi... sekarang ni siapa yang hapuskan siapa? 22 – 04 je tau! Tu pun dua kali je yang masuk.” Syah kesal dengan apa yang berlaku. Dah lah luka lama masih belum terlerai, datang pula luka yang baru. Bertambah pedih.
“Giler.... diorang main kasarlah!’ Firdaus menyalahkan Pasukan TDT.
“Hang laa! Baling jauh-jauh...macam boleh masuk.” Kata sadzly.
“Dia yang main kasar... salahkan orang lain pula” bisik Azhar di antara dengar dengan tidak.
“Diorang yang main kasar... apa aku pulak?” tegas Firdaus mendengar kata kata Azhar.
“Kalau diorang yang main kasar takkan kita kena banyak penalti!” Bantah Syah.
“Itu pengadil buta!!!”Firdaus terus berdebat.
“Lagi dua bulan kita nak bertanding di peringkat daerah tau tak?” Adeq meninggikan suaranya.
“Relekslaa... dua bulan lagi...” Kata Firdaus bersahaja.
“Hotak hang releks!” tengking Sadzly.
“Aku bengang betullah dengan dia ni... dah kalah pun nak riak lagi. Bodoh!” Marah Adeq dengan nada tegas. Lalu dihempasnya bola keranjang yang berada di tangannya ke atas lantai.

Di rumah Azhar......

“Azhar! Nak ke mana tu?” ibunya bersuara ketika Azhar baru saja melangkah keluar rumah.
“Rumah kawan, ibu.” Azhar masuk ke rumah semula untuk menghadap ibunya.
“Nak buat apa?” tanya ibunya lagi.
“Nak buat ulangkaji dengan kawan...” selamba jawapannya.
“Tak boleh ulangkaji di rumah? Kakak kau kan ada.” soal ibunya lagi. Azhar menyepi.....
“Dalam rumah ni tak cukup selesa ke?” Ibunya mahu melihat reaksi anaknya itu.
“Bukan... rumah ni dah cukup selesa bagi Azhar... cuma Azhar nak nak berbincang pasal perkara lain dengan kawan-kawan Azhar.” Jelas Azhar.
“Pasal bola keranjang?” teka ibunya.
“Ya ibu...” terus terang Azhar katakan.
“Tak kan tak boleh guna telefon?” soal ibunya lagi. Ibarat seorang polis menyoal pesalahnya.
“Nak tunjuk strategi macam mana?” jawab Azhar.

Tiba-tiba telefon berdering... baru saja sebut pasal telefon.....
“Hello, nak cakap dengan siapa?” ibunya menyambut panggilan tersebut.

Sebentar kemudian...
“Azhar! Telefon.” Jerit ibunya.
“Ya!” Azhar menyahut panggilan ibunya lalu menyambut gagang telefon yang diberikan oleh ibunya.
“Hello... Azhar bercakap.”
“Hello! Emi ni...” suara Emi dihujung talian.
“Ada apa?”
“Tak nak datang rumah aku ke?”
“Buat apa?”
“Saja je...”
“Takde kerja?”
“Semua dah datang. Kau sorang je yang belum datang.”
“Semua ada?”
“Ha’ah. Datanglah cepat. Kita ada strategi baru pasukan kita untuk perlawanan akan datang ni.” Jelas Emi.
“Ok lah... aku datang segera... tunggu aku.”
“Ok... cepat skit... Assalammu’alaikum.”
“Wa’alaikummussalam.” Lalu gagang tersebut diletakkan ke tempat asalnya dan Azhar terus menuju ke rumah Emi setelah mendapat keizinan dari ibunya. Pesan ibunya supaya Azhar jangan balik lewat malam.



Minggu demi minggu, hari demi hari, detik demi detik. Hari yang sungguh mendebarkan telah pun tiba. Kehangatan dan kebahangannya akan terasa tak lama lagi. Setelah dari satu peringkat ke satu peringkat bertanding, akhirnya dua pasukan yang pernah bertemu tak lama dulu kini bertemu sekali lagi... yang pastinya mesti akan berlaku pergaduhan di antara dua pasukan ini. Dua pasukan ini pastinya juga akan beraksi di gelanggang dengan lincahnya.
Tibalah pasukan TDT menentang pasukan GTS. Manakala pasukan Xiau Siang telah tewas pada kumpulan TDT. Itu pun kemenangan yang diperolehi pasukan TDT agak tipis.
Mr. Koh pula sibuk memberikan taklimat, semangat dan juga strategi kepada pemain-pemainnya. Beliau menghantar Jeff, Syah, Ali, Firdaus dan Geri untuk beraksi di gelanggang. Yang lainnya hanyalah sebagai simpanan. Joe dan Sadzly pula tidak dapat beraksi pada hari itu kerana mereka tercedera sewaktu mereka menjalani latihan untuk pertandingan tersebut.

Selepas jumpball dilakukan, masing-masing merebut bola tersebut. Bola itu dapat dirampas oleh Ezad. Diikuti oleh Bukhari. Hampir saja mereka ke kawasan penalti pasukan GTS, Firdaus lebih pantas bergerak dan merampas bola tersebut.
“Firdaus! Jangan bawa sorang-sorang.”Jerit Syah memberikan arahan kepada Firdaus.
“Aku boleh bawa... jangan risau... tengok je lah aku shut!” Firdaus dengan bangganya terus melontarkan bola tersebut ke arah keranjang dari luar petak panalti. Syah kecewa... pasukan TDT menarik nafas lega. Bola gagal dijaringkan.

Dari sudut yang lain, tempat pemain simpanan. Kelihatan Mr. Koh sedang menyatakan sesuatu kepada pasukannya.

Perlawanan masih lagi diteruskan... kali ini bola dapat dikawal oleh Syah. Syah melemparkan bola yang berada dalam kawalannya kepada Ali. Ali terus mengelecek dan masuk ke kawasan panalti lalu melontarkannya. Bola tersebut terpesong akibat dihalang oleh salah seorang dari pasukan TDT. Hampa...

Bola terus melantun... Geri menangkap bola itu lalu dilemparnya bola itu ke dalam gelanggang. Jika tidak, bola itu akan dikira out.

Bola itu dapat dikawal oleh Firdaus. Apakan daya, Firdaus masih lagi dengan sikap yang suka menunjuk-nunjuk itu. Dia bangga dengan skillnya. Dilontarnya bola itu ke dalam keranjang. Hasil yang gagal. Jauh terpesong dari keranjang. Geri terus berlari untuk mengelakkan bola tersebut daripada out. Tetapi Geri telah dikasari oleh pasukan TDT dan akhirnya Geri jatuh ke dalam petak panalti pihak lawan. Pasukan GTS diberi balingan panalti.

Raja Panalti, Jeff mengambil balingan tersebut dan nasib kali ini meyebelahi mereka. Dua mata berjaya dilakukan dengan sempurna. Syukur kepada Tuhan. Mata yang diperolehi oleh pasukan GTS tadi telah memberikan kedudukan 52 untuk GTS dan 54 untuk pasukan TDT. Pasukan TDT semakin gelisah. Jurulatih mereka yang kelihatan tersenyum dengan permainan mereka mula tak senang duduk. Resah dan gelisah.

Masa hanya tinggal beberapa minit saja lagi untuk menamatkan permainan tersebut. Namun dua mata yang ingin dikutip cukup sukar untuk diperolehi. Sorakan penonton semakin bergema. Kehangatan semakin terasa. Suara jurulatih yang memberikan arahan kepada pasukannya semakin sukar untuk didengar. Yang dengar hanyalah sorakan penonton....

Azhar semakin risau dengan keadaan pasukan mereka yang semakin kucar-kacir. Corak permainan mereka menjadi kelam-kabut. Strategi yang dirancang tidak lagi dilakukan dengan sempurna. Masing-masing cuba untuk memperolehi dua mata yang tertinggal.

Azhar mengambil keputusan untuk meminta Mr. Koh membenarkannya beraksi di dalam gelanggang. Mr. Koh tiada pilihan lagi. Tidak mampu memikirkan strategi baru.


Bola pada ketika itu berada di dalam kawalan Firdaus. Azhar kini berada di dalam gelanggang bagi menggantikan Geri. Azhar sudah dapat mengagak apa yang akan Firdaus lakukan, lalu Azhar menuju ke arah firdaus dan merampas bola tersebut.
“Ooi! Kita geng lah...” Firdaus tersentak dengan kelakuan Azhar yang cuba untuk merampas bola dari kawalannya.
“Kau bukan geng aku... geng aku tak baling jauh-jauh.” Kata Azhar dengan perasaan geram dan marah.
“Tapi...” tak sempat Firdaus berkata-kata, bola tersebut sudah pun dikawal oleh Azhar. Dengan pantasnya Azhar terus melontar bola dari luar ‘D’. Mencuba nasib. Ternyata, ia berhasil... tiga mata diperolehi dengan memberikan mata 55 – 54. Pasukan GTS kembali bersemangat.

Wisel tamat dibunyikan. Pasukan GTS menarik nafas lega. Ternyata, berkat kesabaran mereka selama ini telah membuahkan hasil. Mereka dapat menebus kekalahan mereka dengan keputusan 55 – 54.
Walaupun agak tipis, mereka terasa berbaloi dengan kecederaan yang mereka alami semasa bermain tadi.
Firdaus dengan langkah yang lemah kembali ke tempat mereka berhimpun. Dia tidak dapat menyempurnakan walau satu jaringan sekali pun.

“Aku minta maaf. Aku tahu, aku yang bersalah.” Kata Firdaus dengan nada kesal.
“Minta maaf? Senang je nak minta maaf! Sebelum ni tak pernah pun nak sedar!” tengking Epin menyebabkan Firdaus berderau darahnya. Tersentak.
“Aku rasa hang dah tau dah langit ni tinggi ka rendah... tapi hang tak dapat menilai semua ni... hang ingat hang sorang ja yang terer?” Jelas Sadzly.
“kalau kau fikir kau ni terer, ada lagi terer dari kau. Kalau kau fikir kau ni lemah, ada lagi yang lemah dari kau. Ingat tu... ingatlah Allah lagi terer daripada hambaNya. Allah saja yang layak menyatakan kehebatanNya tau tak?” jelas Azhar bukan saja kepada Firdaus, malah kepada semua orang untuk dijadikan iktibar dari peristiwa itu. Kata-kata Azhar tadi mengakhiri perbualan pada petang itu. Lalu mereka beredar dari situ meninggalkan Firdaus keseorangan.





Tamat

Juara Keranjang [Part 01]

Assalammu’alaikum.

Pernah saya ditanya, “Bila mula-mula menulis?”
Dan saya dengan yakinnya menjawab “Semasa di tingkatan tiga. Tahun 2000.”
Saya ditanya lagi, “waktu itu dah ada komputer?”
Tersengih dan gagah menjawab, “Belum. Huhu..”

“Habis tu, macammana menulis?”
“Tulis tangan. Ada satu buku yang digunakan untuk menulis. Buku berkulit hitam. Hehe..”
“Wah!” dengan gaya terkejutnya sambil menyambung, “tak letih ke menulis? Cerita panjang-panjang pula tu?”
Dengan gaya santai (sambil garu kepala yang tak gatal) menjawab, “Kalau dah minat, apa pun sanggup. \(^^,’)?”

“Siapa yang mula-mula mendorong untuk menulis?”
“Kawan sebelah mejaku sewaktu di kelas Tiga Waja, Fadhlullah Suhaimi (memang nama sebenar) @ Paklah Suhaimi. Kenai dia? Ada Facebook dia.”

“Dia menulis lagi?”
“Tak. Cerita yang dia tulis semua tak habis. (T_T)”
“Kenapa?”
“Idea dia tak pernah habis. Hehe.. v(^^,) peace!!”

Saya pun cubalah selongkar komputer sendiri manalah tau kalau-kalau masih tersimpan kemas khazanah-khazanah dulu.
Dan, yes! Jumpa! \(~~,)/ Yiepiee...

Mesti anda tertanya-tanya, dulu tulis dalam buku, kenapa boleh cari dalam komputer plak?
Yup! Masa mula-mula beli komputer, cerita-cerita lama semuanya ditaip semula. Backup kalau-kalau buku tu terhilang (memang dah hilang pun) (~~,’)?

Dan kini, saya paparkan HANYA SATU cerita dari cerita-cerita yang ada untuk tatapan anda semua.

Lihatlah gaya penulisan waktu dulu. Sungguh berbeza dengan sekarang. Titik cukup banyak, Contoh: dulu... boleh laa... aku pun sama juga.........

Okey, enjoy...... Part 01 dari 02......... (aik?)


Juara Keranjang

Oleh : Helme Zulkipli

“Berapa?” tanya Azhar.
“54 – 30.” Jawab Syah.
“Hish... biar betul kau ni?” Azhar terkejut dengan keputusan itu.
“Ye laa... betul dah ni.” Muncung mulut Geri untuk meyakinkan keputusan bahawa Pasukannya iaitu Pasukan GTS tewas menentang Pasukan Xiau Siang.
“Kau takde kat situ, mestilah kau tak percaya. Kalau kau ada mesti kau rasa sakit hati punyalah tengok kumpulan kita main.” Sampuk Joe.

Siapa tak kenal dengan Pasukan Xiau Siang. Handal-handal belaka. Inilah bakat orang-orang cina... kaum merekalah yang menguasai permainan bola keranjang ini. Hanya kami sahaja satu-satunya pemain melayu yang berkecimpung dalam permainan ini. Kalau ada pun Pasukan TDT. Itu pun mereka mendapat khidmat jurulatih profesional.

“Macam mana boleh jadi macam ni?” Azhar kembali bersuara.
“Macamlah kau tak tahu perangai si kambing tu...” Zack terus menyampuk sebaik sahaja Azhar menghabiskan ayat-ayatnya.
“Firdaus...?” kata Azhar.
“Ha’ah... dia buat macam bagus... baling jauh-jauh. Aku dah kata jangan baling jauh-jauh. Buat macam biasa ja. Dia bongkak ... riak ... dia kata dulu dia pernah lawan dengan geng-geng cina, dia baling jauh-jauh selalu masuk.” Ali pun turut melahirkan rasa tidak puas hatinya melihat cara Firdaus beraksi.
“Itu dulu... boleh laa... aku pun sama juga... dulu selalu menang ... semua aku yang jaringkan.” Azhar juga sependapat dengan mereka yang lain.
“Habih!! sekarang ni kita nak buat macam mana?” Syah memandang tepat ke arah mata Epin.
“Apa lagi ... petang nanti kita berlatih lah.” Epin cuba untuk menukar topik yang lain dengan wajahnya yang selamba.
“Si kambing?” Adeq bersuara.
“Biaq pi kat dia... biaq dia bahagia dengan riak dia tu “ Sadzly berkata lalu beredar bersama bola keranjang....

sewaktu perjalanan pulang ke rumah, mereka terlihat jauh di sudut sekolah mereka terdapat sekumpulan remaja sedang bermain bola sepak....
“Epin, kau tak minat bola sepak ke?” Tanya Syah kepada Epin setelah lama diam membisu. Sedih dengan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.
“Aku tak minat...” dengan selamba Epin menjawab. Tak bermaya. Letih.
“Aku minat main bola, bola keranjang... hehehe..” gurau Mal untuk menceriakan kembali suasana tersebut. Cubaan yang gagal. Tak seorang pun yang ketawa dengan telatah Mal. Membisu kembali....
“Kenapa?” Syah terus bertanya kepada Epin.
“Aku pun tak pasti.” Kata Epin sambil mengangkat bahu menandakan dia tak tahu.
“Hish... tak kan lah kau sendiri tak pasti sebabnya?” Kata Azhar pula.
“Dari kecil lagi aku tak main bola sepak.” Jelas Epin.
“Kan boleh berlatih...” Kata Mal. Nada serius. Tak berniat untuk bergurau.
“Tapi jiwa aku lebih kepada bola keranjang.” Kata Epin sambil menundukkan kepalanya melihat jalan raya. Azhar diam membisu, dia tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.

Suasana kembali sepi. Kesedihan mengenai kekalahan mereka masih belum lenyap.
“Oklah... aku balik dulu.” Kata Epin untuk mengundur diri.
“Ok... Assalammu’alaikum...” Azhar memberi salam.
“Wa’alaikummussalam.....” jawab Epin.
“Jangan lupa petang ni Epin.” Jerit Mal kepada Epin.
“Insyaallah...” Jawab Epin yang sedang berlari menuju ke halaman rumahnya.

Suasana diam kembali.....
“Eh! Epin tu ada bakat lah kan?”
“Ha’ahlah... dia tak suka tunjuk bakat dia. Asyik senyap je.” Zack dengan selamba memberi komen.
“Tapi dia cepat gementar bila bola ada kat tangan dia.” Zack menyambung kembali percakapannya. Semua akur.
“Oklah... jangan lupa petang ni.” kata Azhar sebelum memasuki lorong menuju ke rumahnya.
“Ok... ingat tu. Petang ni semua mesti datang training ok? Jangan lupa...” Syah pula menyampuk percakapan Azhar.
“Hari lain tak boleh ke?” tanya Geri yang berhajat untuk pergi memancing bersama-sama rakan-rakannya yang lain.
“Bila lagi nak training kalau tak petang ni...” Syah mempertahankan cadangannya.
“Tak bolehlah aku nak memancing petang ni.” Keluh Geri.
“Esok boleh memancing lagi...” Kata Syah yang tetap dengan rancangannya.
“Oklah... “ dengan nada yang lemah mereka bersetuju. Mereka pun pulang ke rumah masing-masing....


Pada petang yang dijanjikan telah pun tiba. Cahaya matahari memancar suram ke semua arah. Angin pula kedang-kadang bertiup dan kadang-kadang tidak. Angin bagaikan tak bermaya untuk meniup. Mungkin ia juga turut bersimpati dengan nasib kumpulan mereka.

Jam di tangan telah pun menunjukkan pukul 5:15 petang. Namun, pasukan mereka masih lagi belum cukup. Tinggal Joe dan Firdaus sahaja yang belum hadir.
“Mana diorang ni? Kata nak datang pukul 5 petang, tapi sampai sekarang pun tak sampai sampai lagi.” Keluh Epin yang mula terasa boring. Syah pula melontarkan bola ke keranjang dan mengutipnya kembali lalu dilontarnya semula ke arah yang sama. Cuba mencari taktik baru untuk pasukannya.
“Janji tinggal janji... janji Diana pun tak macam ni...” Syah bersuara sambil diiringi dengan keluhannya. Hampa.
“Kalau macam inilah pasukan kita! Bila nak maju?” Kata Adeq bingkas bangun dari tempatnya untuk menyertai Syah yang sedang melontar bola ke arah keranjang.
“Joe... Joe... tak kan hang pun nak jadi macam si kambing tu?” Keluh Sadzly.
“Hoi! Dah lama tunggu ke?” Jerit Joe yang baru sahaja muncul. Panjang umur Joe. Baru sahaja sebut namanya.
“Tak lah... baru je datang...” Kata Adeq seakan-akan memerli.
“Macam perli je.” Jangka Joe.
“Oklah... terus terang kami katakan. Dah lima belas minit kami tunggu. ok?” Jelas Adeq.
“Oklah... aku salah. Aku mintak maaf. Tadi aku ada hal sikit dengan keluarga aku.” Terang Joe.
“Takpe... takpe... aku pun nak mintak maaf juga sebab bagi kau sakit hati tadi.” kata Adeq.
“Aku tak kisah.” Mungkin di dalam hatinya terusik dengan gurauan itu.
“Hah! Apa lagi? Jomlah kita berlatih.” Pintas Syah selaku ketua kumpulan.

Setelah membahagikan ahli kumpulan. Maka Jeff, Mal, Zack, Emi, Sadzli dan Joe menjadi satu kumpulan. Manakala Azhar, Ali, Geri, Syah dan Epin menjadi satu kumpulan yang lain.
Permainan dimulakan dengan jumpball... permainan terus bermula.

“Jeff!” Zack melemparkan bola keranjang yang berada di tangannya kepada Jeff. Ali terus merampas bola dari tangan Jeff lalu dilontarkan kepada Epin.
“Epin, jangan gementar... releks!” jerit Azhar kepada Epin yang selalu panik apabila bola berada di tangannya. Lalu bola itu dilemparkan kepada Syah dan Syah terus melontar ke arah keranjang. Dua mata diperolehi menyebabkan keputusan menyamai
24 – 24. Keputusan seri.

Permainan diteruskan lagi.....

“Hoi! Foul...” kata Mal.
“Apsal plak?” Azhar tersentak.
“Kena kaki...” tegas Mal.
“Kaki siapa?” Bantah Azhar.
“Kaulah...” Kata Mal lagi menyalahkan Azhar dalam permainannya.
“Mana ada? Aku tak perasan pun.” Azhar cuba untuk menyembunyikan kesalahannya.
“Aku perasan...” kata salah seorang dari kumpulannya, Emi.
“Oklah...” Azhar mengalah.

Balingan panalti diberikan. Jeff mengambil balingan tersebut. Ternyata Jeff yang diberi gelaran Raja Panalti itu berjaya menyempurnakan kedua-dua balingan tersebut. Apa sahaja balingan panalti yang diberikan, pasti Jeff yang menyempurnakannya. Jika bukan Jeff pun pasti Geri yang mengambil alih.

Bersambung.............

Monday, December 6, 2010

Hanya Mampu Menulis

“Kenapa kau tak pernah bercakap di hadapan umum?” Soal Fazli.

“Maksud kau?” Pintasku mendapatkan kepastian.

“Bercakap di hadapan orang ramai. Bercakap di hadapan kelas. Berceramah di atas pentas dewan, atau memberi tazkirah di dalam surau.” Jelasnya semula. Sungguh terperinci.

“Aku tak pandai bercakap.” Balasku kembali. Mematikan persoalannya.

“Tapi kau banyak idea untuk menulis. Mesti banyak isu-isu penting untuk bercakap.” Kata Fazli lagi. Bukan lagi persoalan. Tetapi dalam bentuk saranan.

“Itu kelebihan aku. Aku mampu mencari idea.” Aku cuba tampilkan izzah. Kekuatan dan kebanggaan aku dalam bidang penulisan.

“Pentingkah menulis?” Fazli kembali bertanya.

“Penting.“ Ringkas jawabanku. Fazli memandang aku. Nampaknya Fazli memerlukan huraian bagi membuktikan betapa pentingnya menulis ini.

“Ia penting sebab aku sering kelu tanpa kata-kata apabila berada di hadapan orang ramai. Aku juga cepat lupa isi-isi penting yang aku mahu sampaikan pada mereka. Sebab itulah menulis ini penting bagiku.”

“Kenapa perlu menulis?”
“Hanya itu yang aku ada. Aku tidak petah berkata-kata, aku juga tidak pintar berbicara, tetapi yang ku ada hanyalah pena. Menggantikan kata-kata dan bicara. Dengan membawa maksud yang sama.”

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)

Jika diimbaskan kembali saranan Rasulullah akan hadisnya berkenaan ‘Sampaikan ajaranku walaupun sepotong ayat’, apakah ajaran Rasulullah itu hanya boleh disampaikan dalam bentuk pengucapan sahaja? Sudah tentu tidak. Ajaran itu boleh disampaikan dalam apa jua bentuk sekalipun asalkan ia membawa maksud yang sama. Jelas penyampaiannya. Penyampaian dalam bentuk penulisan, pembinaan akhlak, pembentukkan identiti dan sebagainya juga mampu menyampaikan ajaran yang diajarkan oleh Rasulullah kepada ummahnya. Seandainya ajaran Rasulullah itu hanya boleh disampaikan dalam bentuk pengucapan sahaja, maka rugilah bagi orang yang dirinya tidak petah berbicara sedangkan dia memang ingin benar meneruskan risalah Rasul junjungan mulia.

“Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Alaq’: 3-5 )

“...dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Ash: 3 )

Bagaimana mula menulis?
Sifat kuat imaginasi dan kuat angan-angan yang ada padaku. Dari situlah aku mula menulis walaupun hanya sekadar suka-suka. Selepas mula menjejaki ke alam kampus, dengan melalui program pengurusan diri, aku diajar untuk mengaplikasikan Analisis SWOT ke dalam diri. Kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang wujud pada diri dan sekitar diri perlu diterjemahkan ke atas sekeping kertas putih dengan mengasingkannya kepada empat bahagian tersebut.

‘Kekuatan’ku adalah IMAGINASI YANG TINGGI. ‘Ancaman’ku pula adalah KUAT BERANGAN-ANGAN. Jika ancaman ini tidak dikawal, pasti keburukkan yang akan menjalar ke seluruh kehidupanku dan ia akan bertukar menjadi kelemahan pula padaku. Namun, apabila ancamanku ini digabungkan dengan kekuatanku, maka wujudlah ia sebagai ‘peluang’ iaitu MENULIS. Maka, ancamanku telah bertukar menjadi peluang.

Mengapa perlu menulis?
Persoalan ‘mengapa’ kebiasaannya akan dibalas dengan ‘kerana’. Mengapa perlu menulis adalah kerana ia boleh dijadikan sebagai salah satu dari cabang-cabang dakwah. Dengan menerapkan amal makruf nahi mungkar antara objektifnya. Boleh juga disampaikan kebenaran atau larangan itu melalui penulisan tersebut.

Cerita ringkas atau cerpen umpamanya, ayat-ayat al-Quran boleh disertakan bersama ke dalam sesuatu kisah itu bagi menjelaskan sesuatu tindakan yang dilakukan oleh seorang insan. Dengan mewujudkan watak dan perwatakan yang baik mahupun jahat serta menghasilkan cerita dan penceritaannya agar pembaca mampu menghayati sekaligus mampu menerima ayat al-Quran yang diselitkan ke dalam cerita itu sebagai dalil yang kukuh tanpa ragu.

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (al-Baqarah: 1-2)

Ia juga mampu membuatkan seseorang pembaca itu mengembalikan segala tindakannya hanya pada Allah apabila selesainya mereka membaca sesuatu cerita, lantaran sifat ‘segalanya hanya dari Allah’ telah diserapkan ke dalam kehidupan mereka.

“Oh! Patutlah perkara ini jadi dalam hidup aku. Rupanya ini adalah ujian dari Allah untuk menguji iman hamba-hambaNya. Baiklah. Aku redha.” Sifat Husnul Zhon (bersangka baik) telah mula menyinari kehidupan pembaca tersebut apabila ketika itu dia terbaca sepotong ayat dari surah Ali-Imran pada ayat ke-139 yang mungkin ada di dalam mana-mana cerita

“Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah pula kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139) ]

Untuk mengubah hati pembaca? Serah saja pada Allah. Penulis adalah Dae’i (pendakwah), manakala pembaca adalah Mad’u (sasaran dakwah). Perlulah diingati bahawa keimanan pembaca itu adalah hak milik Allah. Penulis hanya mampu MENGAJAK manakala pembaca hanya mampu DISERU dan hidayah itu hanya dapat dikurniakan oleh Allah samada mereka mahu menerima atau tidak. Penulis hanyalah berusaha untuk menjadikan kisah-kisah yang ditulisnya ada hubung kait dengan Allah yang menciptakan kita di muka bumi ini. Berusaha mengembalikan pembaca-pembacanya hanya kepada Allah. Mengisahkan setiap kejadian yang berlaku telah diaturkan oleh Allah yang menciptakan dengan keimanan yang sebenar-benarnya pada Qadar dan Qada’.

Inilah yang aku ada. Aku tidak petah berkata-kata, aku juga tidak pintar berbicara, tetapi yang ku ada hanyalah pena. Menggantikan kata-kata dan bicara. Dengan membawa maksud yang sama. Aku akan cuba untuk istiqamah dalam bidang penulisan kerana ia telahpun menjadi sebahagian dari cabang dakwah yang mampu aku miliki sehingga ke hari ini.

“Rugilah kalau macam ini.” Rungut Penyelia di tempat kerjaku kini.

“Kenapa?” Aku kebingungan dengan keluhannya.

“Apa yang kamu tulis, hanya dapat dibaca oleh orang yang tahu guna komputer sahaja. Ramai pekerja sini adalah dari golongan yang menetap di kawasan kampung, dan mereka tidak tahu untuk menggunakan komputer. Sudah tentu mereka tidak boleh memanfaatkan apa-apa dari blog itu.” Keluhnya sekali lagi.

Aku terfikir. Ada benarnya kata-kata penyeliaku itu.

Lantas, apa yang dapat ku lakukan adalah dengan mencetak artikel-artikel yang ada pengajaran dan boleh dimanfaatkan untuk diberikan kepada mereka. Mudah-mudahan niatku terus menjadi ikhlas dan skop dakwahku semakin luas. Teringat bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip, ‘Aku menulis bukan kerana nama’. Akan aku aplikasikannya ke dalam diri.

Sudah hampir lapan bulan aku bekerja di sini.

“Ada cerita baru?” tanya Ummi, seorang wanita berusia yang telah ku anggap sebagai ibuku sendiri dengan panggilan Ummi.

Aku tersenyum sambil menghulurkan sekeping kertas yang mengandungi cerita terkini. Dia mengambil dengan lakaran senyuman dan berlalu pergi.

“Kalau ada lagi, bagitahulah.” Pintanya.

“InsyaAllah. On The Way.”

Alhamdulillah. Aku berharap agar apa yang aku lakukan ini ada nilaiannya di sisi Allah. Apa yang kulakukan ini tidak akan menjadi sia-sia andai segalanya diserahkan pada Yang Maha Esa. Tanpa disebulungi dengan perasaan riak dan berbangga-bangga. Aku memohon pada-Nya agar diperlihara niatku ketika dan selepas menulis sesebuah cerita.

Jika ditanya mengapa aku menulis?
Aku akan menjawab, “Aku hanya mampu menulis.”

“Bila nak keluar buku sendiri?”
Pergh! Rileks dulu! Haha. Poyo giler keluar buku sendiri. Ceh!

Sunday, November 14, 2010

Berdakwah Tanpa Lambang

“Kita perlu bersatu hati. Sebab umat Islam ini adalah bersaudara. ‘Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka perdamaikanlah kedua-dua saudaramu yang bertelagah, moga-moga kamu mendapat kerahmatan’. Ini adalah firman Allah dalam Surah Al-Hujurat pada ayat ke-sepuluh”. Kata Azmin penuh bersemangat.

“Kita perlu yakin dengan ayat dari Surah Al-Hujurat ini bahawa asas kekuatan Umat Islam adalah dengan bersatu hati. Dan orang-orang yang berjaya membentuk ikatan persaudaraan ini, InsyaAllah akan dirahmati oleh Allah.”

Bersungguh-sungguh Azmin menerangkan seruan Allah untuk hamba-hamba-Nya bersatu. Bersatu di dalam segala hal. Bersatu di dalam segala perkara.

Azmin terus menyambung hujah, “Bukan sahaja ada di dalam al-Quran, di dalam hadis juga ada menyatakan bahawa orang Islam ini memang bersaudara. ‘Orang Islam itu dengan orang Islam yang lain adalah bersaudara. Tidak sesekali dia menzalimi saudaranya, mengkhianatinya, atau menyerahkannya kepada musuhnya’. Ini adalah Riwayat an-Nawawi. Dua sumber yang wajib kita yakini iaitu al-Quran dan Hadis nabi.” Muiz begitu teliti dengan kata-kata yang dilemparkan oleh Azmin. Muiz memandang Azmin.

“Kau sokong mana?” soal Muiz tiba-tiba.

“Maksud kau?” Azmin terpinga dengan soalan itu.

“Kau sokong PAS atau Umno?” Muiz bertanya lagi. Terus soalannya.

“Mestilah aku sokong PAS. Sebab parti itu sahaja yang menjadikan Islam sebagai dasarnya.” Jawab Azmin. Juga terus jawabannya.

“Aku nak beritahu kau, kau nasihatkan dulu orang-orang PAS. Baru kau layak tegur orang lain. Orang PAS sendiri pun amalannya tidak betul, mahu mengajak orang lain bersatu! Buka minda orang PAS dulu sebelum kau mahu buka minda orang lain! Orang Umno fikirannya ke depan, melakukan pemodenan dan pembangunan, bukannya mengajak orang lain untuk mundur semula ke belakang! Bukan kembali pada zaman jahiliyyah!” kata Muiz tiba-tiba lantang. Langkahnya terus diatur pergi meninggalkan Azmin. Azmin terkebil-kebil dengan kenyataan Muiz sebentar tadi. Mengajak orang untuk mundur ke belakang? Kembali ke zaman jahiliyyah? kolotnya pemikiran orang yang berkata itu. Lidahnya kelu, tidak terkata. Ajakan Azmin terhenti. Langkahnya juga turut terhenti. Malah terus terpaku di situ.

“Islam dulu, kini dan selamanya.”

Di satu sudut yang lain.
“Jom! Kita solat berjemaah.” Ajakan Ishak menghentikan lamunan Zahid. Zahid bingkas berdiri. Lalu dia berjalan mendapatkan Ishak yang menantinya di muka pintu. “Jom!” Zahid menyahut ajakan Ishak.

“Solat berjemaah ini penting. Pahalanya sebanyak 27 kali ganda berbanding kita solat bersendirian. Lebih afdhal dari solat sendirian.” Tazkirah Ishak pada rakan yang seiringan dengannya, Zahid. Secebis Tazkirah Segaris Tarbiyyah. Itu yang sering diamalkan oleh Ishak tidak kira siapapun yang bersama dengannya.

“Itu Hadis Riwayat Al-Bukhari” Zahid memberi tindak balas terhadap kenyataan Ishak.

“Benar!” Ishak mengangguk.

Pintas Zahid lagi dengan memetik ayat 43 dari Surah Al-Baqarah, “Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk (Al-Baqarah: 43)”.

“Benar!” Ishak sekali lagi mengangguk.

Ishak pula memintas, “Rasulullah bersabda, ‘Seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat, (langkah yang sama) digugurkan satu dosa, dan diberikan satu pahala. Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut’. Hadis Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah.”

Giliran Zahid pula mengangguk-angguk. Zahid memandang Ishak yang sedang cuba mengingati ayat-ayat yang berkaitan.

“Kau sokong mana?” Soal Zahid tiba-tiba.

“Sokong apa? Ishak kembali merenung anak mata Zahid.

“Hijau atau Biru?” soalan yang berkias, namun persoalannya jelas.

“Oh! Mestilah biru. Aku tetap setia dengan Umno Barisan Nasional. Pembela bangsa. Hidup melayu!” Ishak menggenggam penumbuk lalu dijulang ke atas, bersemangat.

“Kalau begitu, aku tak mahulah solat dengan kau.” Kata Zahid tiba-tiba.

“Eh! Kenapa pula? Bukankah solat berjemaah ni lebih afdhal?” Semangat Ishak bertukar menjadi persoalan.

“Kau sokong Umno, solat kau tidak sah.” Kata Zahid berhaja.

“Eh! Fatwa mana kau pakai ni? Setahu aku...” Belumpun sempat Ishak menghabiskan ayatnya, Zahid telahpun bergerak meninggalkan Ishak. Ishak kelu tidak terkata, hanya gelengan kepala menggantikan kata-kata. Zahid kecewa dengan orang sebegitu.

“Bersatu, Bersetia, Berkhidmat”

Sahabat sekalian, apakah yang kamu dapat dengan dua situasi di atas? Benar. Tidak salah berpolitik. Tidak salah terjun ke medan siasah. Sebelum terus ke medan siasah, teluskanlah diri dengan tarbiyyah. Siasah dari manifestasi tarbiyyah adalah sesuatu yang indah. Jika kita terus ke medan siasah, ada saja di sekeliling kita yang tidak kena. Ini tak boleh, itu tak boleh. Ini haram, itu halal. Pelbagai hujah yang kita dapat dari ‘mufti-mufti tidak rasmi’ ini. Jika kita terlebih dahulu memahami erti ‘TARBIYYAH’, kita akan faham erti ‘BERHIKMAH’. Dakwah dengan kebenaran secara berhikmah.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al 'Ashr: 1-3)

Dakwah secara berhikmah! Berdakwah tanpa lambang!
“Eh! Anta salah konsep ni. Kita kena tampilkan izzah kita sebagai pendakwah kepada masyarakat.” Kata seorang sahabat satu kampus.

“Ya! Kita mesti tampilkan izzah kita sebagai pendakwah, tetapi sebagai pendakwah, bukannya sebagai ahli politik.” Balasku ringkas. Berdakwah tanpa lambang adalah lebih kepada win-win situation. Semuanya benar dengan ber’tapi’. Bukan semuanya salah tiada tapi-tapi. Asalkan kita tahu membezakan yang mana satu halal dan yang mana satu haram.

“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas.” Hadis riwayat Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a.

Semuanya berpeluang untuk bercahaya, bukan semuanya kelam tidak berdaya. Cuma masanya masih belum tiba.

Berdakwahlah tanpa lambang, semua akan boleh terima dengan hati yang tenang. Yang pastinya jangan ditinggalkan istilah ‘berhikmah’. Pendakwah perlu bijak memainkan situasi. Jika di hadapannya adalah orang PAS, maka selitlah di celah-celah jiwanya untuk mencari kekusutan mindanya bagi dirungkaikan dan diperjelaskan supaya dirinya tidak terlalu taksub dengan menyatakan hanya dirinya sahaja yang betul. Sekiranya di hadapannya adalah orang Umno, jelajahilah di celah-celah mindanya untuk perbetulkan laluan pemikirannya agar jelas pemikirannya tentang erti sebenar pemodenan kerana apa yang orang ramai faham akan pemodenan adalah pembaratan. Yang penting adalah BERHIKMAH. Maka, nasihatilah masyarakat tanpa ada apa-apa lambang di jasad. Biarlah lambang-lambang itu hanya jelas pada hatinya. “Husnul Zhon untuk menjadikan masyarakat yang membangun. Tawazun dalam membina ummah bertamadun”. Husnul Zhon bermaksud bersangka baik, Tawazun bermakna kesederhanaan. Bersangka baik dengan kesederhanaan. Ada hikmahnya apabila tidak terlalu taksub.

“Anta tak faham lagi ni. Anta sudah cenderung kepada orang jahil, nanti anta juga ikut jahil. Tinggalkan mereka.” Jika anda ingin katakan saya sudah salah tarbiyyah, saya ingin bawakan anda semua dengan Sirah nabi dalam Perjanjian Hudaibiyyah. Pelajari diplomasi di sebalik perjanjian tersebut.

Perhatikan zaman kini.
“Saya mahu dermakan sebanyak RM100,000 kepada mangsa banjir.” Kata seorang berpangkat Dato’ yang ingin memberikan sumbangan kepada mangsa banjir. Dia memaklumkannya kepada pihak media.

“Boleh tak kalau saya cuma maklumkan hanya nama Dato’ yang ada dalam kad pengenalan?” kata Petugas itu.

“Maksud kamu?” soal Dato’ itu, separa terkejut.

“Maksud saya, saya cuma maklumkan kepada mangsa banjir bahawa bantuan derma ini disumbangkan oleh Fakhruddin bin Fakhrurazzi. Tanpa diletakkan gelaran Dato’ di awal nama Dato’.” Bicara petugas itu dengan santunnya.

“Eh! Mana boleh! Mesti kena letak gelaran Dato’ tu!” Tegas nadanya. Bukan sahaja tegas tetapi juga separuh menjerit. Petugas itu sedikit terkejut.

“Pada saya, sekiranya Dato’ tidak meletakkan gelaran ini, bukankah itu lebih nampak keikhlasannya?” jujur pengucapan Petugas itu.

“Tak boleh! Mesti kena letak gelaran itu di awal nama saya.” Tiada lagi senyuman pada wajah Dato’ Fakhruddin bin Fakhrurazzi.

“Tapi Dato’...” kata-kata petugas itu terhenti. Gementar dengan renungan tajam Dato’ tersebut. Petugas itu terus sertakan bersama gelaran Dato’ pada kertas sumbangan itu.

Begitulah manusia. Tuan, Dato’, Professor, Tun, Dr. Seri, dan pelbagai gelaran yang diperolehi jika tidak disertakan bersama-sama dengan nama pemiliknya, pasti pemiliknya marah tidak bertempat. Begitu ‘azimat’nya gelaran itu kepada mereka bagi menggambarkan kekuasaan dan pengaruh yang mereka miliki.

Apa kena mengena dengan Perjanjian Hudaibiyyah? Kitapun sudah sedia maklum dengan isi kandungannya. Di mana masyarakat kafir Quraisy Mekah tidak mahu perkataan Rasulullah diletakkan di dalam perjanjian itu sebaliknya hanya nama Muhammad bin Abdullah sahaja yang dibenarkan. Rasulullah lebih berpengaruh jika mahu dibandingkan dengan Dato’ tadi. Tetapi apa tindakan Rasulullah? Marah dan bertegas mahu perkataan Rasulullah dituliskan?

Tidak. Mengapa Rasulullah merelakan hanya nama Muhammad bin Abdullah sahaja yang ditulis? Kerana Rasulullah begitu bijak dalam mengatur strategi dakwah. Pemikirannya jauh ke depan. Cara pemikiran yang tidak terfikir oleh orang lain. Menyembunyikan ‘kekuatan sebenarnya’ di sebalik anggapan ‘lemah’ oleh pihak seteru. Kafir Quraisy menjangkakan syarat itu bakal merugikan orang-orang Islam, namun kerugian itu berbalik kepada kaum kafir Quraisy semula dan memaksa mereka untuk melanggar syarat perjanjian yang ditetapkan oleh mereka sendiri setelah semakin ramai penduduk Mekah memeluk Islam.

Apa yang diperlukan oleh Rasulullah dalam mendepani masyarakat Mekah pada waktu itu hanyalah kedamaian. Apabila kedamaian itu wujud, maka mudahlah dakwah itu menyelinap masuk ke dalam minda masyarakat situ. Itulah hikmahnya mengapa Rasulullah merelakan hanya ‘Muhammad bin Abdullah’ yang tercatat di dalam Perjanjian Hudaibiyyah itu dan bukannya ‘Rasulullah’.

Sia-sia saya ditarbiyyah? Saya masih tidak faham dengan medan siasah? Tahukah apa pesanan pertama Rasulullah semasa Perang Mu’tah berlaku setelah ketiga-tiga Panglima Perang syahid di medan jihad? Apabila diambil alih oleh Khalid al-Walid sebagai Panglima perang keempat yang thiqah peribadinya, bukankah pesanan pertama Rasulullah adalah mengajak pihak musuh untuk berdamai dan memeluk agama Islam? Tentu semua juga tahu bagaimana Rasulullah berhadapan dengan empat ketua kabilah yang berebut-rebut untuk meletakkan batu Hajarul Aswad di tempat asalnya. Iaitu dengan membentangkan serbannya, diletakkan batu Hajarul Aswad itu di tengah-tengahnya lalu diminta kepada keempat-empat ketua kabilah itu untuk meletakkannya di tempat asal bersama-sama. Bukankah ini lebih bersifat win-win situation tanpa memilih mana-mana kabilah untuk meletakkan batu Hajarul Aswad tersebut? Bagi yang sempurna tarbiyyahnya, tentu lebih tahu dari saya. Fikirkan dengan akal yang waras.

Di mana hikmahnya? Hikmahnya adalah apabila sesuatu perkara itu di pandang pada sudut positif, maka itulah hikmahnya.

Teruskan berfikir.

Tuesday, October 26, 2010

Isteri Impian


“Kau mahu isteri yang bagaimana?” Lontaran soalan Faizal mematikan pergerakkan Huzami. Huzami memandang Faizal sekilas.

“Kalau kau, kau mahu yang bagaimana?” Soalan Faizal dipulangkan.

“Mestilah aku mahu yang solehah?” Jawabnya sambil tersengih.

“Kau sudah cukup soleh untuk mendambakan seorang isteri yang solehah?” soalan susulan Huzami lontarkan membuatkan Faizal berfikir. Kali ini riak wajahnya berubah. Wajah gundah dan resah. Senyuman pada wajahnya sebelum ini beralih ke wajah Huzami. Huzami pula yang tersengih ketika ini.

“Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” soal balas Huzami. Faizal masih lagi kelu. Terukir senyuman lalu dia ketawa. Huzami yakin Faizal tahu hakikat diri.

Suasana diam seketika.

“Kau pula mahu yang bagaimana?” soalnya pula. Kali ini Huzami pula berada di posisinya. Posisi disoal balas.

“InsyaAllah, jika diizinkan. Aku mahukan yang indah mata melihat, boleh menjaga solat dan mampu menutup aurat.” Huzami memandang ke arah wajah Faizal. Menanti reaksinya. Riak wajahnya seakan-akan ingin mengenakannya. Kemungkinan besar Faizal akan melemparkan semula ayat tersebut kepada Huzami.

“Kenapa pilih wanita yang indah mata melihat, boleh menjaga solat dan mampu menutup aurat?” senyuman Faizal semakin lebar. Huzami juga turut tersenyum kerana dia tahu apa yang mahu dilakukan oleh Faizal.

“Senang untuk aku pimpin dia.” Jawabnya ringkas.
“Sebelum kau mahu memimpin bakal isteri kau, kau sudah cukup kuat untuk memimpin diri sendiri?” soalnya mematikan hujah Huzami. Senyuman mereka berdua sama lebarnya.

“Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” soalnya lagi lalu berderai tawanya tanpa ditahan. Akhirnya mereka berdua ketawa. Memecah kesunyian pada waktu itu.

Mereka sedar hakikat diri mereka. Semuanya inginkan pilihan yang terbaik, namun diri sendiri belum cukup baik untuk mendamba pilihan yang terbaik itu.

Sabda Nabi SAW: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang bagus (luas), jiran yang baik dan kenderaan yang bagus.” (Riwayat Ibnu Hibban)

“Aku mahu perempuan yang bertudung labuh. Solehah. Masa depan anak-anak nanti cerah.” Kata seorang teman dengan yakinnya. Dari segi pemakaiannya, tidak perlu diperkatakan lagi. Hanya berseluar pendek, rambut juga sudah berubah warna. Sedangkan hatinya menginginkan belaian dari seorang wanita berstatus solehah. Yang mampu membawa kebahagiaan kepadanya. Mungkinkah?

Isteri impian adalah Isteri Solehah. Isteri Solehah adalah isteri idaman semua insan, baik yang kurang berakhlak mahupun yang baik akhlaknya. Semuanya memasang angan-angan yang sama. Namun, kebanyakkan dari mereka terlupa bahawa bakal isteri mereka adalah siapa diri mereka.

Memang benar Allah telah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 26 yang menyatakan perempuan jahat untuk lelaki jahat manakala perempuan baik untuk lelaki baik, begitu juga sebaliknya. Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh berusaha untuk mendapatkan yang terbaik.

“Alah, aku jahat. Mesti isteri aku juga jahat.”
“Dulu aku selalu keluar dengan ramai lelaki, mustahil aku boleh dapat suami yang beriman.”

Jawaban mudah, cubalah untuk menjadi baik. Kisah-kisah ‘jahat’ yang lalu dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan buat kita agar kita tidak melaluinya sekali lagi. Cukup hanya sekali. Masa hadapan, kita seharusnya berusaha untuk menuju ke arah hidup yang lebih baik. Benar. Jawabannya memang mudah, hanya sebaris ayat “cubalah untuk menjadi baik”, tetapi perjalanan dalam menjadi individu baik itu memerlukan pengorbanan dan ketabahan yang berliku-liku jalannya.

Masing-masing mengharapkan dapat memiliki pasangan hidup yang terbaik untuk diri. Apa yang diperolehi, maka bersyukurlah. Mungkin si dia yang kita miliki itu bukan yang terbaik jika mahu dibandingkan dengan semua wanita, tetapi dia adalah yang terbaik untuk diri kita. Penyempurna dan penyeri hidup kita. Ketahuilah bahawa isteri kita adalah siapa diri kita. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Itulah yang terbaik untuk kita.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Ruum : 21)

Ayuh kita berfikir! Benarkah isteri kita adalah siapa diri kita? “Allah menciptakan untuk kaum lelaki dari jenis kamu sendiri”. Tujuannya untuk apa? “supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan”. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.

Isteri impian. Masing-masing sudah tersedia ciri-ciri isteri yang diinginkan. Menginginkan Isteri Impian, jadilah terlebih dahulu kita sebagai Suami harapan. Mampu memimpin dari segi jasmani dan rohani. Mampu membimbing dari segi akal dan hati, rasional dan emosional. Suami sejati yang perlu ada di dalam diri.

Soal kembali pada diri. “Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?” Jika kedua-dua ini pun masih merangkak. Bukanlah bermakna tiada peluang untuk kita. Cuma peluang itu masih belum terbuka luas. Perjalanan dalam menujunya pun kurang jelas. Ayuh! Mulakan latihan dengan berusaha keras. Latihan yang lebih kemas. Supaya kita tidak terus lemas dalam impian yang hampir terlepas.

“Apa ciri-ciri wanita yang kau mahukan untuk dijadikan sebagai seorang isteri?” soal Huzami kepada Faizal. Menyambung perbualan yang terhenti sebentar tadi. Setiap manusia pastinya mempunyai ciri-ciri yang diingini dari seorang wanita untuk dijadikan sebagai seorang isteri. Begitu juga dengan Huzami dan Faizal. Mereka juga mempunyai ciri-ciri yang diimpikan.

Faizal memalingkan wajah ke arah Huzami yang sedari tadi memerhatikannya. “mungkinkah ada wanita di dunia ini mempunyai empat ciri ini?” Faizal mengangkat empat jarinya dan dihalakan kepada Huzami.

Huzami mengangkat kening. Persoalan tanpa suara.

“Menjaga hubungan dengan Allah, menjaga hubungan sesama manusia, melakukan yang makruf, dan mencegah yang mungkar.” Kata Faizal, Huzami mengangguk-angguk kepala tanda faham. Dengan perlahan dia berkata,

“Ibarat gagak putih dikelilingi gagak hitam.”

“Maknanya tidak akan adalah?” Faizal kembali merenung wajah Huzami.

“Maksudnya?” Huzami mengembalikan persoalan Faizal.

“Wujudkah gagak putih?” soal Faizal. Sedari tadi hanya persoalan sahaja yang berkumandang. Satu soalan terlepas, satu soalan lagi dibalas.

“Bagaimana kalau aku katakan ‘Ibarat merpati putih yang dikelilingi gagak hitam’. Boleh tak kalau diibaratkan seperti itu?” bicara Faizal memecah kebuntuan. Mereka berdua tersenyum. Ada logiknya wanita seperti itu diibaratkan seperti ‘merpati putih dikelilingi gagak hitam’. Pasti ada, tetapi jarang bersua. Memang ada wanita yang mempunyai empat ciri ini dalam jiwa mereka, namun bilangannya hanyalah ibarat seekor merpati putih itu yang dikelilingi oleh banyak ekor gagak hitam di sekitarnya.

“Apa ciri-ciri ‘logik’ yang kau mahukan ada pada seorang wanita untuk dijadikan isteri? Isteri impian.” Dua jari telunjuk Huzami membuat bentuk pembuka dan penutup kata pada perkataan ‘Isteri impian’ itu.

Faizal tersenyum, “Pertama, Mesra dan mudah diajak berbicara. Kedua, memahami kerjaya suami dan sanggup membantu. Ketiga, menjadi penghubung antara keluarganya dengan keluarga suami.” satu persatu jari Faizal diangkat bagi mengira ciri-ciri yang disebutnya tadi.

”Tiga sahaja?” Soal Huzami.

”Empat ciri tadi, mampukah?” Faizal membalasnya dengan persoalan juga. Huzami tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepala.

”Sebab dan musabab kau mahukan tiga ciri-ciri tadi ada pada seorang wanita?” Huzami membawa Faizal ke persoalan asal.

”Yang pertama, mesra dan mudah diajak berbicara. Isteri yang mesra boleh menenangkan hati si suami apabila pulang dari kerja. Gurauannya mendamaikan. Setiap kali dia berbicara, ada sahaja mutiara hikmah yang terpancar dari bibirnya. Kata-katanya menghilangkan masalah di tempat kerja. Membuahkan bunga-bunga cinta ketika berada di rumah. Senyumannya merealisasikan bidalan kata-kata Rumahku Syurgaku.” Faizal menjelaskan ciri yang pertama. Huzami tersenyum lebar mendengar ayat-ayat bunga yang dilafazkan Faizal.

”Senyum apa?” Faizal menampar bahu Huzami. Huzami pecah ketawa. Faizal juga terut ketawa. ”Jiwang betul kawan aku ni” Huzami membalas kata sambil terus ketawa. Faizal hanya memandang Huzami dengan lakaran senyuman di wajahnya.

”Kedua?” Soal Huzami kembali.

”Kedua, memahami kerjaya suami dan sanggup membantu. Pernah dengar, di sebalik kejayaan lelaki adanya seorang wanita di belakangnya?” Faizal memulangkan persoalan kepada Huzami.

”Pernah. Isteri membantu suami secara tidak langsung.” Huzami mengiyakan kenyataan Faizal.

Faizal mengangguk, ”Benar, isteri dapat membantu dari segi emosi dan inspirasi. Waktu suami buntu, isteri datang membantu.”

”Tapi, ada juga isteri yang hanya pentingkan diri sendiri. Katanya kalau sayangkannya, tinggalkan kerja tersebut. Suami pulang dari kerja, dia datang pada suami dengan seribu masalah. Sudahlah suami penat pulang dari masalah kerja. Dia pula menambah masalah. Huh!” Huzami mengeluh. Faizal mengangguk-angguk. Memang wujud isteri seperti itu. Bukan semuanya, tetapi kebanyakkannya.

”Didiklah wanita itu dengan sifat FAHAM terlebih dahulu. InsyaAllah, yang lain akan menyusul perlahan-lahan.” Faizal menunjukkan sifat kematangannya dalam berfikir. Dia teringat suatu hadis yang pernah diterokainya berkenaan isteri. "Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (Riwayat Thabrani daripada Abdullah bin Salam). Perlahan-lahan juga dia teringat kata-kata sahabatnya, Syafiq suatu ketika dahulu. ”Hati perempuan sangat lembut. Perbetulkanlah salah silap mereka dengan hikmah dan mulakan dengan kaedah yang lemah lembut dan baik. Potensi dan peluang untuk mereka berubah ke arah kebaikan sangat besar jika kena dengan caranya. Sebesar potensi & peluang mereka berubah ke arah kebatilan juga. Dengan hidayah Allah, kita meneroka”.

‘Mampukah aku?’ monolog Faizal sendirian.

“Ketiga?” Soal Huzami mematikan lamunan Faizal.

Faizal menghentikan lamunannya, terus dengan ciri-ciri isteri yang diinginkannya. “Ketiga, dia menjadi penghubung antara keluarganya dengan keluarga suami. Hakikatnya apabila kita mendirikan rumahtangga, bukan hanya menyatukan dua orang insan, tetapi mempersaudarakan dua buah keluarga. Sebab itulah setiap perkahwinan yang dibina, perlunya restu orang tua kedua belah pihak.”

”Barulah kefahaman dapat mewujudkan keserasian.” Huzami memetik jari tanda setuju.

Faizal menyambung, ”Benar. Apabila ada keserasian, mudahlah untuk menyampaikan sesuatu amanat dari Allah. Tanggungjawab kita dan dia sebagai suami isteri dan juga hamba kepada Ilahi. Dia pun mudah memahami apa yang kita cuba sampaikan padanya kelak.”

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Az-Zumar : 18)

Bicara Faizal dan Huzami terhenti disitu. Hanya tiga ciri yang diimpikan pun terasa sukar untuk dimiliki ada pada wanita masa kini. Yang ada hanyalah mementingkan diri sendiri, mendampingi hanya mahu dia difahami, tetapi tidak mahu cuba memahami. Sungguh! Isteri Impian hanya ibarat merpati putih dikelilingi gagak hitam. Namun, masih ada lagi sebenarnya wanita ibarat merpati putih ini, tetapi masih lagi perlu diperhiasi.

Persoalan awal kembali menjengah minda ini, “Subuh senang bangun? Al-Quran selalu baca?”

Tersenyum sendiri. Tertunduk malu. Bertanya pada diri sendiri. Aku tahu apa yang ada dalam jiwaku.

Tuesday, October 5, 2010

Sisih Sedih Pilih Pengasih


Jangan sedih-sedih
Yakin tangis pasti beralih
Jangan jiwa tersisih
Yakin hati masih bersih

Fikirkan diri insan terpilih
Keredhaan Allah untuk diraih
Dengan dugaan Tuhan Maha Pengasih
Jiwa tenang minda kan jernih


~Helme Zulkipli~
Selasa
2:10am
5 Oktober 2010


Monday, October 4, 2010

Nilai Akhlak Insani

“Woi! Kenapa bengong sangat kau ni?” Tamparan keras dilemparkan ke arah bahu temannya.

“Buat kerja gunalah kepala otak! Jangan guna kepala lutut!” bentaknya lagi. Kali ini kotak kosong kecil yang ada di sisinya ditendang ke arah temannya.

“Guna kotak ni. Tak pernah orang buat kerja guna kotak sebesar televisyen untuk simpan benda alah tu.” Katanya begitu lantang sehingga kedengaran satu bilik.

Semua orang sudah memandang ke arah mereka berdua. Bukannya marah, cuma dirinya sudah terbiasa dengan kelakuan tersebut. Bersuara lantang sehingga mampu didengari oleh semua orang. Tindakan yang sememangnya memalukan orang lain yang berada di sampingnya. Perbuatan yang tidak menggambarkan seorang berbangsa Melayu yang penuh dengan adab kesopanan. Juga tiada gambaran seorang Muslim yang berakhlak muliajiwanya.

Hati kecil temannya itu berbisik, ‘Jagalah akhlak wahai temanku’. Bisikan itu benar-benar menggambarkan bahawa dirinya sudah berkecil hati dengan akhlak temannya.

Akhlak! Ya! Akhlak! Akhlak sungguh berkaitan dengan adab. Akhlak yang indah membuatkan segala kerja menjadi mudah. Akhlak yang mulia juga akan membuatkan orang lain percaya. Percaya dengan dirinya, percaya dengan tindakannya, sekaligus menggarapkan keyakinan yang menyeluruh kepada insan yang mempunyai jiwa berakhlak ini.

Seorang Rasul begitu mudah diterima oleh orang ramai kerana akhlaknya. Seorang Rasul begitu dipercayai kerana mulianya akhlaknya. Seorang Rasul yang diyakini kerana begitu indahnya akhlaknya. Dakwahnya sungguh terkesan kerana lisannya sentiasa dibandingi dengan perbuatan oleh setiap insan. Sebab itulah Allah s.w.t menurunkan ayat kedua dalam surah Ash-Saff dalam bentuk persoalan. Ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya kata-kata yang diiringi dengan perbuatan. Akhlak akan memancing kepercayaan.

“Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak kerjakan?” (Ash-Saff : 2)

Bagi orang yang berkata-kata dan dirinya begitu teliti tentang akhlak, pasti dia mudah untuk dipercayai. Inilah resminya. Bagaimana dengan kita? Siapa kita?

“Alah! Kita bukannya Rasul. Mana boleh kita menandingi akhlak Rasulullah.”

Benar. Kita bukannya Rasulullah, tetapi kita adalah Khalifah. Khalifah tugasnya membawa risalah Rasulullah. Membawa pesanan dan wasiat Rasulullah untuk manusia terus beribadah kepada Allah. Bukankah manusia itu telah diberi jawatan sebagai khalifah? Diciptakan pula untuk beribadah kepada Allah?

Allah pernah berfirman di dalam surah Al-Baqarah pada ayat 30 tentang penciptaan manusia kebagai Khalifah. Juga pada surah adz-Dzariyaat pada ayat 56 berkenaan peribadatan manusia dan jin hanya kepada Allah.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...” (Al-Baqarah: 30)

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (adz-Dzariyaat: 56)


As-Syahid Imam Hassan Al-Banna juga pernah berkata bahawa kita ini bukanlah pemula, kita bukan juga yang terakhir. Tetapi kita adalah mata rantaian dan penyambung kepada perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah saw. Ini bermakna kita adalah pembawa risalah Rasulullah.

Apa yang Rasulullah lakukan, lisankan, serukan dan sarankan perlu kita sampaikan dan ajarkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Kita adalah Khalifah. Sebab itulah akhlak indah Rasulullah itu perlu kita semaikan ke dalam jiwa-jiwa mukmin supaya ia mampu memberi keyakinan kepada orang lain dan memperolehi kepercayaan dari mereka untuk bersama menggegarkan dunia ini dengan kebangkitan semula Islam di muka bumi ini.

“Konstantinopel itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya.” - Hadis Riwayat Hakim, Bukhari dan Imam Hanbal.

Itulah Hadis berkenaan janji Rasulullah kepada sahabat dan umat. Ia sememangnya benar-benar berlaku di mana Konstantinopel telah berjaya dibebaskan oleh seorang pemimpin yang sebaik-baik pemimpin iaitu Sultan Muhammad al-Fateh pada 1453M.

Mengapa sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera sahaja yang dapat menguasai dunia? Ini adalah jelas mengatakan bahawa Islam itu tinggi dan kita perlu buktikan dengan perbuatan kita bahawa Islam itu memang tinggi. Kita seharusnya telahpun berada di dalam perjalanan untuk membuktikannya. Cahaya kebenaran itu tidak akan padam. Apabila kita berhenti dari membawanya, Allah akan menggantikannya dengan orang lain.

Kunci dalam proses pembuktiannya adalah akhlak. Jaga akhlak, perlihara adab. Akhlak dan adablah yang akan menjadi kunci bagi membolehkan pintu kepercayaan dibuka. Dan kepercayaan itu akan melahirkan keyakinan bagi membentuk kekuatan untuk menguasai dunia sekaligus akan menempatkan semula Islam di 2/3 dunia seperti sebelum ini. Tanpa akhlak, tiadalah kepercayaan. Tanpa kepercayaan, tiadalah jua keyakinan. Dan usaha menggegarkan dunia dengan kebangkitan Islam yang diimpikan akan menjadi tidak keruan dan tiada berhaluan. Semuanya saling berkaitan.

Pernah dengar kisah pengembala kambing dengan serigala? Pasti pernah. Kisahnya bermula dengan seorang pengembala kambing membawa kambing-kambingnya untuk meragut rumput di atas bukit. Dirinya berniat jahat untuk menyakat orang-orang kampung, lantas dia menjerit-jerit meminta tolong bahawa kononnya serigala datang membaham kambing-kambingnya. Apabila orang-orang kampung datang ingin menolongnya, dia ketawa berdekah-dekah. Orang kampung tertipu dengan lakonannya. Jelas, pengembala kambing itu tidak berakhlak dengan memperdaya orang-orang kampung tersebut.

Langit tidak selalu cerah, hati tidak selalunya ceria. Bak kata orang tua-tua, apa yang kita guraukan itulah yang sering menjadi kenyataan. Serigala menjelma lalu menerkam kambing-kambing pengembala kambing ini. Pengembala kambing itupun menjerit-jerit meminta tolong. Bersungguh-sungguh meminta tolong. Kali ini kambing-kambingnya benar-benar dibaham oleh serigala. Ini betul-betul. Bukannyalakonan. Tidakkah mereka mendengar jeritan si pengembala kambing itu?

Mereka mendengar jeritan itu. Namun, kepercayaan mereka telah direntap oleh sikap tidak berakhlak si pengembala kambing tersebut. Inilah akibatnya jika tidak menjaga akhlak dan adab. Kepercayaan hilang, keyakinan jua turut hilang. Bagaimana untuk menguasai kembali 2/3 dunia jika umatnya tidak dipercayai dan tidak diyakini lagi?


Jagalah tutur kata. Jagalah penampilan. Jagalah perbuatan. Ayuh! Kempen menjaga akhlak.

Tuesday, September 28, 2010

Menghargai


“Nak gula-gula?” Gadis di hadapan Najmi sedang menghulurkan sebiji gula-gula HACKS kepadanya. Terpamer bersamanya senyuman manis yang terlakar di bibir.

Najmi menggeleng kepala, “Tak nak. Terima kasih sajalah.” Bicara Najmi santai. Namun, tangan kanannya tetap mengambil gula-gula tersebut dan memperhatikan perkataan yang ada pada pembalut gula-gula itu. “Terima kasih”. Kata Najmi lagi. Senyuman gadis itu semakin bermekar.

“HACKS. Hanya Aku Cinta Kau Seorang.” Najmi memandang ke wajah gadis itu. Melihat reaksinya. Gula-gula tersebut dimasukkan ke dalam poket bajunya.

Lantas kelihatan barisan gigi hadapan gadis itu. Ayu sungguh wajahnya. Sesuai dengan nama yang sungguh ayu dimilikinya, “Melampau.” Tamparan lembut mengenai bahu Najmi.

Najmi tersenyum riang. Lapang fikiran yang sering berserabut. Tenang dari tindakan yang kelam-kabut. Senang berdampingan dengan gadis tersebut.

“Terima kasih untuk gula-gula ini. Nanti aku belanja kau, okey? Guna duit kau.” Gurau Najmi sambil ketawa kecil.

Gadis itu memandangnya dengan dahi berkerut, “Mana aci!”

“Aci ada di Indialah!” Balas Najmi, juga dalam keadaan santai.

“Melampau!” Gadis itu dan Najmi terus ketawa. Sekali lagi bahu Najmi ditampar lembut.

Najmi sungguh menghargai gadis ayu ini.

Terlalu menghargai.

Entah dengan apa yang ada di dunia ini dapat dibandingkan betapa harganya kehadiran insan ini.

Namun kita terlupa.

Jika hanya gula-gula HACKS yang diberikan oleh gadis ini dapat dihargai dengan sepenuh hati, mengapa pemberian yang terlalu banyak dikurniakan oleh Pencipta kita, boleh diabaikan begitu sahaja?

Pernah terfikir?

Mungkin ya, namun kita sering terlupa. Mengapa? Makna ‘manusia’ sahaja sudah menunjukkan yang manusia ini adalah ‘Pelupa’. Lupa untuk bersyukur. Bersyukur dengan pemberian yang terlalu besar yang Allah telah berikan kepada kita. Nikmat Iman, nikmat Islam, nikmat udara yang kita hirup sepanjang hayat kita.

Perhatikan sahaja surah Ar-Rahmaan. Terdapat 31 ayat yang sama diulang-ulang untuk menyatakan betapa Pemurahnya Allah dalam mengurniakan nikmat kepada Hamba-hamba-Nya, tidak kira samada mereka beriman ataupun tidak. Persoalan yang bertanyakan apa lagi nikmat Tuhan yang hendak kita dustakan? Namun, kita sering gagal untuk menghargainya.


“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Ar-Rahmaan)


Sekali lagi ingin ditanyakan kepada anda semua, nikmat yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu hendak dustakan? Jadi, hargailah nikmat pemberian Allah ini dengan menjadi Hamba-Nya yang beriman. Beriman dengan enam rukun Iman yang telah kita pelajari.


“Ingatilah Aku, maka Aku akan mengingati kamu, bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur” (Al-Baqarah: 152)


Tidak salah untuk menghargai pemberian gadis ini ataupun pemberian dari sahabat anda. Tetapi, kembalikanlah segala penghargaan itu hanya kepada Allah kerana Dialah yang mengurniakan pemberian tersebut. Jadikan gadis ini hanya sebagai wasilah anda untuk menuju matlamat anda yakni Allah.


“Sesiapa daripada kalangan kamu yang bersyukur, maka akan Aku tambahkan untuk kamu (nikmat kamu), namun sesiapa daripada kalangan kamu yang kufur (tidak bersyukur) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih" (Ibrahim: 7)


Seminggu sudah berlalu. Najmi menyeluk poket bajunya. Masih tersimpan kemas gula-gula HACKS yang diberikan oleh gadis itu padanya seminggu yang lalu. Sayang rasanya jika gula-gula itu dimakan. Padanya jika gula-gula itu dimakan, pasti tiada lagi yang boleh mengembalikan ingatan kenangannya pada gadis tersebut. Namun, sampai bila?

Manusia itu adalah makhluk Allah. Allah yang menciptakan manusia. Allah yang menjadikan kita. Mengapa kita terlalu menghargai pemberian manusia yang hakikatnya juga diciptakan oleh Allah yang Maha Esa? Tidakkah pemberian manusia itu juga adalah pemberian dari Yang Maha Kuasa. Manusia itu hanyalah sebagai wasilah, sebagai perantara. Pemberian dari manusia perlu dihubungkan kepada Allah Yang Maha Pemberi Nikmat, barulah segalanya akan terasa indah, kehilangannya pula tidaklah berasa resah kerana segalanya telah dihubungkan dengan Allah.


“Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada Allahlah kita akan kembali.” (Al-Baqarah: 155)


Apabila sampai masa, gula-gula HACKS itu pasti tidak boleh dimakan lagi. sedangkan pemberian Allah itu selama-lamanya akan terus mengalir kepada setiap manusia.

Apa tunggu lagi? Hargailah pemberian Allah kepada kita. Jadikanlah pemberian manusia itu sebagai wasilah yang menghubungkan penghargaan kita dengan matlamat kita. Gadis itu hanya sebagai wasilah dan Allah sebagai matlamatnya.

Sekiranya anda menghargai pemberian Allah, maka Allah akan menghargai kita. Cubalah untuk menghargai. Menghargai pemberian Ilahi buat diri.


Terima Kasih Cikgu

“Abang, tolong ajar macam mana nak buat soalan ini?” Satu suara menyapa. Aku kenal benar dengan suara itu. Itulah suara adikku. Aku berpaling ke arahnya sebelum mataku tertumpu kepada kertas yang dibawanya.

Kertas yang mengandungi beberapa soalan kecil, tertera di atasnya ‘Tugasan Individu’. Matapelajaran RekabentukLitar Bersepadu. Ada satu soalan yang dibulat besar pada nombor soalan, soalan itulah yang menjadi persoalan. Perlukan terjemahan. Aku duduk membetulkan kedudukanku dari berbaring. Kertas itu dicapai.

“Bila hantar?” soalku ringkas sambil mataku terus tertancap pada butir soalan itu.

“Esok” jawab adikku juga ringkas sambil tangannya menghulurkan sebatang pen. Inilah kelaziman para pelajar. Esok perlu hantar, hari ini baru buka buku.

Mindaku terus bermain. Cuba memecahkan kebuntuan ini.

Kertas kosong dicapai, melakarkan beberapa aksara dan ilustrasi untuk menjawab soalan itu.

Persoalan yang memerlukan kita melakukan langkah-langkah untuk merekabentuk litar bersepadu. Terdapat enam langkah kesemuanya. Peneranganku bermula dengan Truth Table, Boolean Expression, Logic Circuit, Transistor Logic Circuit, Euler Path dan akhirnya proses Stick Diagram. Banyak kertas terpakai digunakan bagi menjawab persoalan ini. Maka, selesailah satu soalan mudah yang mempunyai banyak langkah-langkah yang perlu dilakukan berhati-hati. Tersilap langkah, pasti kehilangan markah.

Aku serahkan kembali kertas soalan itu kepada adikku, bersama jawabannya. Anggukkannya memberi makna bahawa dia memahami penjelasanku.

“Terima kasih, cikgu!” kata adikku sambil membawa pergi segala perkakasannya ke dalam biliknya. Persoalan terjawab. Aku lega dapat membantunya.

‘Terima kasih, cikgu’. Terngiang-ngiang kata-kata itu di minda. Aku tersenyum sendiri. Memori lama menerjah kembali.


“Bangun....” laung ketua kelas.

Semua ikut bangun.

“Selamat pagi, cikgu!” ucap ketua kelas dengan lantang dan diikuti oleh semua pelajar. “Selamat pagi, Cikgu!”

“Baik. Semua boleh duduk.” Arah guru tersebut. Guru yang bernama Zafran Azizan mengajar bagi matapelajaran matematik. Tegas pengajarannya. Pantang ada pelajar yang tidur ketika dia mengajar, pasti rotan yang akan menjadi teman kepada pelajar itu.

“Hari ini saya akan buat satu kuiz. Semua keluarkan kertas kosong.” Kata Cikgu Zafran sebaik sahaja dia meletakkan bukunya di atas meja guru.

Berjalan ke tengah kelas.

Semua pelajar mengeluarkan kertas kosong dan bersedia menerima apa sahaja bentuk soalan.

Dengan perlahan Cikgu Zafran bergerak ke hadapan kelas dan melakarkan sesuatu di atas papan hitam. Soalan berkenaan masa. Melibatkan dua hari. 24 jam perlu diambil kira. 60 minit memainkan peranan dalam pengiraan itu. Semua pelajar kusyuk menyalin soalan tersebut. Selesai menyalin soalan, mereka terus mencari jawaban bagi persoalan itu.

Seperti biasa, kelas matapelajaran matematik bagi Tingkatan 3 Waja mempunyai sistem dan strategi yang berbeza dari kelas lain. Ia mengikut sistem pendidikan sekolah cina. Iaitu salah, denda.

40 orang pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan kecil dengan setiap kumpulan mempunyai lapan orang ahli kumpulan. Aku ditempatkan di dalam kumpulan yang diberi nama Harimau bintang. Empat kumpulan lain diberi nama Singa, Gajah, Harimau Belang dan Badak sumbu. Nama-nama haiwan yang gagah berani. Melambangkan betapa gagahnya pemikiran pelajar-pelajar tingkatan 3 Waja.

Siapa yang dapat menyelesaikan persoalan itu, terus ke meja guru untuk disemak. Cikgu Zafran akan menanda kertas soalan setiap pelajarnya samada betul atau salah. Aku di kalangan pelajar pertengahan yang menuju ke meja guru. Masih ramai yang belum habis menjawab persoalan itu.

Setibanya aku di meja guru, Cikgu Zafran mula menanda kertas soalanku. Alhamdulillah. Aku berjaya. Soalan yang aku jawab memiliki jawaban yang betul. Aku terus menuju ke arah kumpulan aku, Harimau Bintang. Berkumpul bersama rakan-rakan sekumpulanku. Masih menanti ahli kumpulan yang lain.

Salah dan denda. Itulah prinsip pengajaran bagi kelas matapelajaran Matematik ini. Sesiapa yang menjawab soalan dengan jawaban yang salah, perlu berdiri di hadapan kelas bersama-sama mereka yang mempunyai jawaban yang salah.

Setelah semuanya selesai menjawab, Cikgu Zafran menuju ke hadapan kelas ke arah pelajar-pelajar yang memiliki jawaban salah. Seperti biasa, setiap orang yang salah jawabannya akan diberi ‘hadiah’ berbentuk rotan di tapak tangan. Empat ahli kumpulanku turut serta di antara mereka yang diberi ‘hadiah’ itu. Aku tersenyum melihat mereka dirotan, namun aku terlupa. Konsep yang digunakan juga oleh Cikgu Zafran ini juga adalah ‘Prinsip Berjemaah’. Sebahagian anggota badan terasa sakit, seluruh tubuh jua pasti akan merasa sakit.

“Kumpulan mana yang ahli kumpulannya sikit sahaja yang betul?” Soal Cikgu Zafran kedengaran di celah-celah ruang suara mereka yang menahan kesakitan setelah dirotan.

Aku memerhati sekeliling, memerhati bilangan ahli kumpulan lain sambil memerhati juga ahli kumpulan aku. Kumpulan aku yang berjaya menjawab dengan betul adalah seramai empat orang. Empat di dalam kumpulan dan empat lagi di depan kelas. Sedangkan ahli kumpulan lain yang dapat menjawab dengan betul adalah seramai lima hingga tujuh orang. Ini bermakna ahli kumpulan akulah yang paling sikit.

Laung Cikgu Zafran lagi, “Semua ahli kumpulan Harimau Bintang, dengan segala hormatnya, sila ke depan.” Perlahan-lahan kami berempat menuju ke hadapan kelas. Maka, kami juga turut diberikan hadiah ‘rotan’ di tapak tangan. Sakit tidak terkata. Perit sungguh terasa. Inilah Prinsip Berjemaah yang terlaksana. Susah dan senang sentiasa bersama. Ini juga mendorong ahli kumpulan yang mahir dalam pengiraan matematik untuk mengajar ahli kumpulannya yang lemah dalam matapelajaran ini. Tidak ada istilah ‘Aku pandai, kau bodoh’ dalam kelas ini. Semuanya berbentuk ‘win-win situation’, sama-sama pandai, sama-sama hebat.

45 minit berlalu. Kelas matematik tamat.

“Bangun....” laung ketua kelas.

Semua ikut bangun.

“Terima kasih, cikgu!” ucap ketua kelas dan diikuti oleh semua pelajar. Cikgu Zafran berjalan keluar kelas. Pelajar kembali duduk di tempat masing-masing sambil merenung dalam ke tapak tangan mereka. Aku tidak terkecuali.


Terhenti lamunan.

Aku memerhatikan kelender yang terpamer di dinding rumah. Tahun 2010. Memori itu adalah pada tahun 2000. Sepuluh tahun sudah berganjak. Pantasnya masa berlalu. Selepas graduasi pada tahun 2009. Aku kini sudahpun bekerja. PMR, SPM, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda telahpun kulalui penuh suka dan duka. Banyak lagi memori yang masih tersimpan kemas. Tidak terjejas. Masih lagi jelas. Yang pastinya tidak akan kubiarkan terlepas.

Tersenyum sendiri apabila mengenangkan peristiwa itu. Memerhati tapak tangan yang sudahpun tidak berbekas dengan libasan rotan. Namun kenangannya tetap berbekas di dalam ingatan.

Guru. Pendakwah kedua selepas ibu dan bapa. Perlu dihargai sepenuhnya. Merekalah pewaris Nabi dan para Rasul yang terus-terusan menyebarkan ilmu di muka bumi ini. Bergunanya ilmu mereka tidak akan berakhir sehingga usia dunia ini berakhir. Demi melihat Islam diagungkan kembali setelah ilmu dikuasai. Dengan mengorak langkah untuk menjadi Mukmin Profesional dan sejati. Mulianya jasamu guru perlu dihargai.

Jam di dinding menunjukkan pukul 11.30 malam. Esok aku perlu ke kerja bagi melunaskan permasalahan yang tertangguh petang tadi.

Aku berjalan menuju ke bilikku.

Kembali merenung tapak tanganku.

Dengan perlahan aku bersuara dan berkata.

"Jasamu sentiasa di hatiku. Terima Kasih Cikgu!"