Pages

Subscribe:

Monday, April 26, 2010

Dari Hati Seorang Teman

Sedang asyik aku menjelajah ke ruangan Alam Cyber iaitu internet, tertera satu mesej yang masuk ke inbox emailku. Aku membuka dan menelitinya. Dari teman baikku, Farhan Hafnan. Aku terus membaca satu-persatu perkataan yang terlakar di ruangan mesej itu.


Farhan Hafnan April 20 at 8:21am
Assalammu’alaikum, Hamzah.

Aku nak minta tolong kau, boleh?
Aku harap kau tidak heboh pada orang lain. Aku minta tolong kau sebab aku percaya pada kau. Kaulah satu-satunya kawan yang rapat dengan aku.

Sekarang ini, aku sedang dalam proses pembaikan diri. Boleh kau nilai diri aku? Nilai aku berdasarkan apa yang kau kenal aku di kampus. Maksud aku, kritik sifat-sifat aku samada positif ataupun negatif. Aku harap kau boleh telus padaku. Cakap terus terang. Kalau kau sibuk, tak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku perlu tahu sifat aku.

Terima kasih,
Maaf, susahkan kau.


Aku terkesima seketika, aku diminta untuk mengkritik sifat-sifat yang ada padanya. Tidak kira samada baik atau buruk. Bererti aku diamanahkan untuk menjadi seorang rakan yang jujur dengan nilai persahabatan. Aku buntu. Pada aku, siapa sahaja yang hadir ke dalam episod kehidupanku, sudah pastinya akan ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Aku menerima apa-apa sahaja kelebihan dan kekurangan yang ada pada insan bernama sahabat kerana di situlah adanya kemanisan berukhwah. Di situlah letaknya kejujuran dalam mengharungi dugaan dan cabaran yang penuh pancaroba ini. Tetapkan di minda, manusia mempunyai hati dan fikiran yang berbeza. Telefon bimbit yang terletak bersebelahan dengan komputer dicapai. Namanya dicari. Mesej dihantar.

Sengaja aku menghantar mesej melalui telefon bimbit kerana melalui cara ini, dia tidak perlu menunggu lama. “Salam, kita jumpa di Tasik Putra hari sabtu ini. Jam 9.00 pagi. InsyaAllah. Apa yang mampu aku tolong, aku akan tolong.” Butang ‘send’ ditekan. Tidak sampai beberapa minit, mesejnya diterima. “Okey”.

Setibanya waktu yang dijanjikan, aku terlebih dahulu tiba di destinasi. Nampaknya aku yang perlu menunggu. Mencari kawasan di bawah pokok untuk berteduh. Mungkin juga tempat untuk bermuhasabah. Buku ‘sahabat umpama cermin’ erat di genggamanku dan ianya akan berganti tangan sebentar saja lagi.

Jam di tangan menunjukkan lebih tujuh minit dari waktu yang dijanjikan. Kelihatan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam meluncur laju ke kawasan parkir Tasik Putra. Aku kenal benar siapa pemilik kereta itu. Itulah kereta kesayangan milik Farhan Hafnan. Seperti yang dijangka, Farhan keluar dari keretanya dan menuju ke arahku. Berlokasikan di bawah pokok.

“Assalammu’alaikum.” Sapanya.
“Wa’alaikum mus salam”
“Lama tunggu?” lalu Farhan duduk di sebelah aku.
“Aku baru sampai” Itulah jawaban yang biasa ku berikan. Dan itulah jua perbualan yang biasa dilakukan oleh sesiapa sahaja yang melakukan temu janji.

“Hah! Apa masalahnya? Ada orang tak puas hati dengan kau? Sehingga aku kena kritik kau ni!” Sendaku. Tawanya berderai.

“Releklah, aku cuma dalam proses pembaikkan diri. Nak kau kritik aku dengan ikhlas saja. Jangan selindung-selindung.” Kedudukannya diperbetulkan. Mencari keselesaan.

“Okey. Yang pertama aku nak tanya, apa sifat-sifat yang kau tak suka?” Aku memulakan sesi muhasabah. Muhasabah untuk Farhan Hafnan dan juga muhasabah untuk diriku.

“Yang pertama, aku tak suka pada orang yang cakap tak serupa bikin. Aku pernah kenal seseorang ni. Dia suka berdakwah. Membawa orang ke arah kebaikkan. Secara peribadinya, aku memang hormat padanya. Suatu hari, aku nampak dia keluar dengan anak dara orang. Kalau naik kereta, mungkin aku tak kisah sangat sebab masih lagi boleh elak dari berpegangan tangan. Tapi, dia naik motor. Padahal dialah orang pertama yang paling marah bila tengok orang lain couple. Cakap tapi tak buat. Yang kedua, aku tak suka orang yang riak.” Panjang lebar penjelasannya. Aku terfikir, apakah aku juga mempunyai sifat-sifat seperti yang diceritakan oleh Farhan?

Pernah aku membaca ayat Quran di dalam surah As-Saff, ayat kedua dan ketiga yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Maka, besarlah kemurkaan di sisi Allah bagi kamu memperkatakan apa yang tidak kamu kerjakan”. Aku berharap dan berdoa semoga aku tidak mempunyai sifat-sifat yang digambarkan oleh Farhan sebentar tadi. Na’uzubillah...

Aku teruskan dengan pertanyaan lain. “Kau ada benci pada seseorang? Beritahu aku sifat-sifatnya.” Pintaku. Balasnya, “Aku rasa, aku tak benci pada sesiapa. Cuma kalau ada perangai seseorang yang aku tak suka atau tak selesa, aku akan cuba jauhkan diri aku darinya supaya tak wujud perasaan benci”. Secara peribadinya, aku juga mempunyai orang yang aku benci. Namun, aku tahu. Kita hanya boleh membenci akhlak seseorang dan kita tidak boleh membenci fizikalnya kerana itu adalah ciptaan Allah. Kelebihan dan kekurangan yang terlahir dan terzahir secara semula jadi. Orang yang aku benci, aku rapatkan diriku dengannya. Bagi memahami mengapa aku benci akhlaknya supaya akhlak itu tiada padaku.

“Mengapa?” Pintasnya. Aku terhenti berfikir. Memandang ke arahnya. Buku ‘sahabat umpama cermin’ bertukar tangan. Farhan menerimanya. Dipandangnya wajah aku. Aku tahu, itu adalah pertanyaan dalam bentuk reaksi.

“Muhasabah diri” Ringkasku. “Muhasabah Cinta Pencipta kepada Hamba. Segala-galanya yang ada di persekitaran kita, ada hikmahnya. Kita sendri perlu selongkar hikmah di sebaliknya. Mengapa diwujudkan perkara yang disukai dan perkara yang dibenci? Semuanya ada pada diri. Perkara cakap tak serupa bikin dan riak akan membuatkan orang lain membencinya, tetapi itulah yang disukai oleh si pelakunya.” Ku renung wajahnya. Adakalanya aku lemparkan pandangan ke arah tasik yang mendamaikan itu. Mendamaikan minda untuk terus berfikir.

“Mungkinkah sifat yang kita tak suka itu ada pada diri?” Aku kembali menyoalnya. Farhan tidak bersuara. Hanya mengangkat bahu menandakan dia tidak tahu. “Ada. Cuma sebahagian sahaja. Ini yang perlu kita muhasabah. Muhasabah Yang Munasabah.” Aku bertanya, aku juga yang menjawab.

“Maknanya aku juga ada sifat ‘Cakap tak serupa bikin’ dan riak?” Kini dia bersuara. Aku mendengarnya dengan teliti. Jika aku jawab ‘tidak’, bererti aku hipokrik dengan talian persahabatan. “Ya. Cuma sebahagian. Dan sebahagian itu masih boleh diperbetulkan”. Ku gagahkan jua untuk menjawab. Semoga jawabanku ini tidak mengguris hatinya. Persekitaran kita adalah gambaran siapa diri kita. Aku hulurkan sekeping kertas untuk tatapannya.


:: JUN ::
Berfikiran jauh dan berwawasan.
Mudah ditawan kerana sikap baik.
Berperangai lemah lembut.
Mudah berubah sikap, perangai, idea dan mood.
Idea yang terlalu banyak di kepala.
Bersikap sensitif.
Mempunyai pemikiran yang aktif (sentiasa berfikir).
Sukar melakukan sesuatu dengan segera.
Bersikap suka menangguh-nangguh.
Bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik.
Cepat marah dan cepat sejuk.
Suka bercakap dan berdebat.
Suka buat lawak dan bergurau.
Otaknya cerdas berangan-angan.
Mudah berkawan dan pandai berkawan.
Orang yang sangat tertib.
Pandai mempamerkan sikap.
Mudah kecil hati.
Mudah kena selsema.
Suka berkemas.
Cepat rasa bosan.
Sikap terlalu memilih dan cerewet.
Kurang mempamerkan perasaan.
Lambat untuk sembuh apabila terluka hati.
Suka pada barang yang berjenama.
Mudah menjadi eksekutif.
Kedegilan yang tidak terkawal.
Sesiapa yang memuji, dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap kawan.



“Untuk apa ni?” Soalnya.
“Kau lahir bulan Jun kan? Bulan enam?” Pandanganku kembali pada tasik di hadapan kami.
“Macam mana kau tahu?” Persoalan penuh kehairanan.

“Sahabat umpama cermin. Kawan mestilah kenal kawannya.” Aku Cuma melemparkan senyuman padanya. Aku kembali bersuara, “Muhasabah yang munasabah, buat analisis SWOT. Semua sifat yang aku beri pada kau tu, sebahagian besarnya ada dalam diri kau”.

“Asingkan kesemua sifat-sifat tersebut kepada empat bahagian. Kekuatan, kelemahan, peluang, dan ancaman. Kemudian letakkan kelemahan dan ancaman tersebut pada tempat yang betul.” Jelasku sejelas-jelasnya. Cakap saja tidak guna kalau tidak buat, aku harapkan Farhan akan melakukannya andai benar dia dalam proses pembaikkan diri. Dia hanya mengangguk.

Aku kembali berfikir. “Kau sangka semua ahli nasyid pandai menyanyi?” Ku cuba mengubah topik, tetap dengan matlamat yang sama. Mengajak dia untuk terus berfikir. Berfikir bersama.

“Mestilah boleh menyanyi. Kalau tidak, mana boleh jadi ahli nasyid.” Balasnya. Jelas, dia hanya melihat dari segi luaran sahaja. “Bagaimana kalau aku katakan orang yang buat suara base dan flate adalah mereka yang tak pandai menyanyi?” Ku pandang wajahnya lalu terpancarlah kerut di dahinya. Di hatinya terdetik persoalan ‘Benarkah?’

“Orang yang buat suara base dan flate, kebanyakkannya adalah orang yang tidak pandai menyanyi. Itu kelemahan mereka. Tetapi mereka kelihatan seolah-olah pandai menyanyi adalah disebabkan oleh paduan suara kesemua ahli nasyid. Mereka bersama-sama mengalunkan lagu nasyid. Alunan nasyid tidak akan sedap didengar jika tidak ada elemen suara base dan flate disertakan bersama. Di sini kita dapat lihat, kelemahan mereka dijadikan sebagai kelebihan bersama.” Ulasku padanya.

Balasku lagi, “Kita akan nampak hebat bila di sisi kita ada sahabat. Kekurangan kita yang diletakkan pada tempat yang tepat akan menenggelamkan ancaman hebat yang berada di hadapan kita. Sahabat umpama cermin.” Perbincangan terhenti di situ apabila Farhan Hafnan perlu beransur pergi setelah menerima panggilan dari ibunya. Ada kerja yang perlu dilakukan katanya. Huluran salam dieratkan, persahabatan diperketatkan. Aku tidak kuat, dia juga tidak kuat. Tetapi sama-sama nampak hebat apabila niat dan matlamat berada di landasan yang tepat. Perodua Myvi berwarna hitam milik Farhan Hafnan meluncur laju menusuri jalan keluar dari Tasik Putra. Dari Hati Seorang Teman. Mengingatkan Diri Pada Tuhan.

0 comments:

Post a Comment