Pages

Subscribe:

Sunday, July 12, 2009

Gen-2: Jalan Yang Ku Pilih


“Gen-2 kurang tarbiyah!” bentak seorang ahli.

“Gen-2 mengajar generasi baru tak wala’ pada pimpinan” tambahnya lagi.


Benar atau tidak hanya insan yang berada di dalam Gen-2 sahaja yang lebih mengetahui. Biarpun dikatakan tidak wala’, tidak thiqah, kurang tarbiyyah, suka mencetuskan kontroversi ataupun hanya tahu mengkritik tetapi tidak melaksanakan, Biarkan! Itu pendapat mereka. Lagi dikatakan ‘tidak’ pada kenyataan mereka, selagi itulah mereka akan terus bermain dengan kenyataan tersebut. Lebih mudah jika ’ignore’kan saja pada tafsiran sebegini. Kerana perdebatan yang tidak berfaedah ibarat meletakkan satu titik hitam di atas kertas yang sememangnya berwarna hitam. Biarkan mereka terus dengan kenyataan mereka, asalkan kita lebih tahu apa yang kita lakukan. Usah lari dari landasan yang telah kita pilih ini.


Soalan ini ditujukan kepada ahli gen-2, benar atau tidak kita adalah generasi tidak thiqah? Kenapa? Mungkin generasi kita paling ramai yang tidak memakai kopiah atau generasi yang paling ramai memakai seluar jean. Tidak wala’ pada pimpinan? mungkinkah pemikiran generasi kita sering menambah atau mengurangkan idealisme para pimpinan kini? Kadang-kala keputusan yang dibuat selalu dipengaruhi dari ahli yang berada di dalam Gen-2? Atau boleh dikatakan sebagai Pemikiran Pelik-Pelik. Sesuatu yang dirasakan tidak sesuai terus berjumpa dengan pimpinan bagi memohon penjelasan. Salahkah? Padaku pimpinan juga adalah manusia biasa. Tidak salah untuk mencadangkan sesuatu asalkan tidak menjatuhkan maruah mereka sebagai pimpinan. Atau kita hanya perlu menjadi ‘Yes Man’ pada setiap bait bicara para pimpinan? Jawapan yang ada padaku, Tidak! Biarlah apa jawapan anda sekalipun, jawapanku tetap sama. Tidak!


Mereka mungkin terlupa. Mereka hanya memfokuskan bahagian tarbiyyah dan siasah sedangkan mereka langsung terlupa pada bidang keusahawanan, penerbitan dan kesenian yang juga merupakan sebahagian nadi perjuangan. Apa yang menyedihkan, perkara yang tidak bertepatan dengan tarbiyyah dan siasah terus ditolak mentah-mentah tanpa memberi ruang dan peluang untuk bangkitkan hujah yang kukuh.


Jika diteruskan juga dengan idealisme ini, maka perkataan “Tidak Wala’” mula kedengaran. Terlalu emosi, sukar dibawa berbincang, buat keputusan sendiri, tunjuk hebat, buat keputusan sambil tersenyum dikatakan tidak serius. Inilah antara sifat yang dilemparkan pada generasi ini. Generasi Kedua. Generasi yang akan hilang dari dunia kampus dalam tempoh setahun lagi. Bergembiralah anda bagi yang tidak gemar dengan cara dan kewujudan pemikiran Gen-2.


Bagi mereka yang memahami warna-warni perjuangan, pasti menganggap ini adalah kekurangan dan kelebihan yang diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Biarkanlah. Bukan mencipta masalah hati. Bukan merajuk di hati. Bukan mahu melenting. Bukan mahu beremosi. Bukan mahu memberontak. Lihatlah sifat pada Abu Bakar. Renungkanlah pula sifat Umar. Semangat Ali dan Uthman yang membakar. Semuanya mempunyai sifat dan peribadi yang berbeza-beza. Apa guna kita mahu memberontak? Yang penting, teguhkan kedudukan dan jiwa kita di landasan ini. Harapnya kita takkan beralih. Biarpun idea sering tersisih. Kita juga mempunyai apa yang terkurang dan terlebih. Kerana kita adalah insan yang tepilih. Untuk berada di dalam generasi ini. Gen-2: Jalan Yang Ku Pilih. Jalan yang menyatukan pelbagai pemikiran.


“Manusia diciptakan kekurangan. Juga disertakan dengan kelebihan. Agar kita saling melengkapi. Dalam menempuhi ranjau duniawi. Teruslah dalam perjuangan dakwah. Kerana perjuangan adalah ibadah. Untuk bina sebuah generasi. Yang terus tersemat di sanubari.”


0 comments:

Post a Comment