Pages

Subscribe:

Thursday, March 22, 2012

Under Maintenance

Thursday, November 10, 2011

Menanti Hujan Reda


Langit mendung mula memperkenalkan diri

Menandakan mentari enggan berbicara
Berselindung di sebalik awan yang kini berganti
Peluang untuk bermuhasabah sementara

Titisan-titisan lembut mula menyapa pipi
Perlahan ku sapa dengan jari-jemari
Dugaku mungkin mata menerima isyarat dari hati
Namun mata masih segar untuk memerhati
Aku lempar pandangan ke langit tinggi
Memerhati awan sedang berair mata
Lantas aku mengatur langkah kaki
Mencari-cari tempat berteduh sementara

Dibiarkan seketika awan berduka
Mentari sepi mendengar awan bercerita
Langit memberi ruang untuk awan bersuara
Pelangi pula menanti bagi menyinarkan warna
Aku terhenti di sebuah pondok kecil
Letaknya di hujung jalan yang tidak terpencil
Berteduh diri agar tubuh tidak menggigil
Awan bermuhasabah jiwa ini turut terpanggil

Langkah terus berhenti menanti hujan reda
Ketika itulah akal juga ligat berputar
Memikirkan perkara yang perlu menjadi agenda
Disusun atur agar mudah ia berlayar

Pelangi kini mula menunjukkan rupa
Menyaksikan awan kembali putih warnanya
Mentari bersinar ceriakan semua
Masa untuk insan mulakan niatnya semula

Dengan nama Allah aku melangkah kaki
Meninggalkan pondok itu kembali bersendiri
Menyusun rencana dengan jiwa yang mekar
Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar


Helme Zulkipli
0006:10112011M
Hujan Mengimbas Memori


Monday, September 26, 2011

Juara Keranjang: Bab 04 - Terima


Petang yang dijanji.

Azhar berjalan seiringan dengan Zulfikri.

Mereka hanya berdua. Seketika tadi mereka telah pergi ke rumah Syahiran untuk mengajaknya bersama, namun rakan serumahnya telah memaklumkan bahawa Syahiran telah pergi ke Dewan Inter-Light setengah jam yang lalu. Mereka berdua meneruskan perjalanan.

Dewan Inter-Light semakin hampir.

Zulfikri mendahului. Tangannya menolak pintu dewan.

Pintu itu terkuak sedikit. Mereka berdua melangkah masuk.

Dari jauh mereka berdua sudah kelihatan Syahiran sedang duduk di bangku penonton. Memerhatikan seseorang yang aktif berlari di dalam gelanggang.

Dari tengah gelanggang, insan itu berlari sambil mengiringi bola di sebelah kanannya. Dia melangkah masuk ke kawasan ‘D’. Dia terus melangkah dua tapak ke hadapan dengan bola itu dibiarkan seketika di udara. Tangan kanannya mula mencapai bola yang terbiar di belakangnya dan dipegang kemas dipacu ke atas. Tubuhnya sedikit melepasi keranjang. Badannya dipusing ke belakang dan bola dilepaskan mengenai papan keranjang.

Dia mendarat dengan baik. Bola itu berpusing-pusing mengelilingi jaring, dan akhirnya bola itu berjaya dijaringkan. Dia mengambil bola itu, lalu di bawa semula ke tengah gelanggang. Diulang sekali lagi langkah yang sama, untuk mencari langkahan sempurna.

Syahiran memandang Zulfikri dan Azhar.

“Sadzly! Mereka sudah sampai. Cukup.” Laung Syahiran ke arah Sadzly yang baru sahaja selesai menjaringkan bola untuk kesekian kali.

Sadzly mengambil bola yang masih melantun ke atas lantai. Pandangannya dileparkan ke arah Syahiran yang baru berdiri dari tempat duduk penonton.

Dia mengalihkan pula pandangannya ke arah pintu masuk. Matanya mampu menyapa kehadiran Azhar dan Zulfikri yang mula menghampiri mereka.

Pandangannya tajam memerhatikan Azhar dan Zulfikri.

Pandangan itu diabaikan mereka berdua.

“Kita sudah terlewat rupanya.” Kata Zulfikri kepada Azhar separuh berbisik.

Azhar memerhati jam di tangan.

“Belum lewat lagi. Kita janji untuk mula latihan dalam pukul lima setengah petang.” Kata Azhar perlahan.

“Sekarang?”

“Baru 5:28. Kita awal dua minit.” Balas Azhar tersenyum lebar.

Pantas Zulfikri menyiku rusuk kiri Azhar. Azhar tersengih.

Mereka terus menghampiri Syahiran dan Sadzly.

“Assalammu’alaikum.” Sapa Azhar dari jauh. Zulfikri mengikuti.

‘Wa’alaikummussalam.” Balas Syahiran dengan senyuman menghiasi.

Tiba-tiba Azhar merasai ada angin deras yang sedang menuju ke arah mereka berdua berdiri. Pandangannya pantas dipaling ke kiri.

Bola keranjang laju menuju ke arah mereka. Zulfikri kaku. Azhar menolak Zulfikri menjauhi laluan bola itu, Azhar melompat ke arah bertentangan.

Pantas Ikmal yang sedang berjalan di belakang Azhar dan Zulfikri mengangkap bola itu.

Fuh! Nasib tidak kena sesiapa.

Azhar sempat melihat siapa yang membaling bola itu.

Sadzly? Kenapa dengan dia?Apa masalahnya?

“Wah! Apa kes ini, kau mahu rejam aku dengan bola ini?” kata Ikmal kuat.

Entah bila dia berjalan masuk ke dalam dewan pun tidak tahu. Tiba-tiba saja Sadzly membaling deras bola itu ke arahnya. Apa salahnya?

Sadzly terus berlari menuju ke arah Ikmal.

Ikmal terkejut sehingga tidak tahu apa yang perlu dia lakukan.

Zulfikri dan Azhar hanya memerhati. Terkesima.

Ikmal melemparkan bola yang ada di tangannya ke arah Sadzly. Untuk membantutkan pergerakan Sadzly.

Sadzly menangkap bola itu dan melemparkannya ke belakang. Tanpa melihat ke mana arah bola itu akan mendarat.

Syahiran sekadar mengangkap bola itu dengan sebelah tangan.

Dia terus menghampiri Ikmal. Tangannya mencekak kolar baju Ikmal. Ikmal masih lagi buntu. Dalam fikirannya sedang memikirkan apa salahnya sehingga Sadzly perlu bertindak sebegitu rupa.

Tangan Ikmal diangkat, bersedia dengan sebarang kemungkinan. Sekurang-kurangnya jika Sadzly ingin melandaskan tumbukan ke pipi Ikmal, Ikmal sudah bersiap sedia untuk menahan serangan itu.

“Kau pergi ke tandas tadi, bukan?” soal Sadzly kasar.

Ikmal mengangguk.

“Tandas di mana? Aku sudah tidak tahan mahu buang air.” Soalan Sadzly itu membuatkan Ikmal mula tersengih.

Akhirnya Sadzly dan Ikmal ketawa.

Tangan kiri Ikmal yang tersedia terangkat itu diletakkan perlahan ke pipi Sadzly. Cengkaman Sadzly di kolar baju Ikmal dilepaskan.

Mereka terus ketawa.

Zulfikri dan Azhar menarik nafas lega. Mereka juga turut tersenyum.

Memang Sadzly seorang yang panas baran, tetapi panas barannya hanya pada orang tertentu. Tidak pada semua orang. Namun, ada masanya marah Sadzly tidak bertempat dan tidak mengira sesiapa.

Tanpa menunggu jawaban dari Ikmal, Sadzly terus berlari keluar dewan. Sadzly tahu tandas ada di sebelah belakang dewan itu. Sengaja dia lakukan sebegitu pada Ikmal kerana dia tahu Ikmal sering saja suka bergurau.

Ikmal menghantar Sadzly dengan pandangan. Kemudian pandangannya itu dialihkan pula kepada Syahiran, Azhar dan Zulfikri. Ikmal tersenyum lebar memerhatikan mereka bertiga.

Syahiran mengangkat ibu jari kepada Ikmal.

Ikmal memuncungkan bibirnya sambil tangan kanannya diangkat dengan ibu jari di hala ke bumi.

Bola yang ada di tangan Syahiran dibaling kepada Ikmal. Ikmal menyambut dengan mudah dan berjalan menghampiri mereka bertiga.

Kini Syahiran, Zulfikri, Azhar, Ikmal berhimpun setempat. Sadzly sedang berada di tandas.

“Yes! 12-10!”

Suara sorakan kedengaran.

Mereka memandang ke arah separuh gelanggang lagi.

Di sebelah separuh gelanggang lagi, kelihatan Suhaimi, Hazrat, Ali, Hazeri sedang berlatih dua lawan dua. Hazeri dan Suhaimi bergandingan menentang Ali dan Hazeri.

Bola sedang meleret. Suhaimi tunduk mengambil bola. Bola itu kemudiannya dilontarkan ke arah Hazrat. Hazrat kembali melontarkan bola kepada Suhaimi. Perlawanan bermula. Suhaimi dan Hazeri baru saja melepasi jaring keranjang sebentar tadi. Kini masih lagi giliran mereka.

Suhaimi mengiring bola di sebelah kanannya. Tangan kiri didepa untuk menghalang pihak lawan menghampiri. Hazrat kini mengawal Suhaimi dari melepas masuk ke kawasan D. Bola dilontar rendah kepada Hazeri. Hazeri menghulurkan tangan ke paras lutut untuk mengambil dari Suhaimi. Tanpa berlengah, Hazeri berlari menuju memasuki kawasan D. Dia terus melompat dengan kedua-dua belah tangannya dihayun ke depan untuk menjaringkan bola. Ali menghalang dengan mengangkat kedua-dua tangannya. Hazrat sudahpun berlari meninggalkan Suhaimi dan menanti di depan keranjang. Ali melompat sedikit untuk mengelak bola itu melepasinya. Namun, tangannya tidak terasa disapa oleh bola.

Apabila Hazeri dan Ali mula mendarat. Kelihatan Suhaimi sedang melonjakkan tubuhnya ke udara dengan bola di tangan. Hazrat sudah sedia menanti di situ. Bola dilepaskan, namun Hazrat yang lebih tinggi dari Suhaimi tersenyum. Tangan Hazrat sempat menapis bola dari menjamah keranjang. Ali pantas mencapai bola yang baru saja menghentam gelanggang. Ali membawa bola keluar dari kawasan D.

Giliran Ali dan Hazrat untuk cuba menjaringkan bola. Bola di tangan Ali dilepaskan ke arah Hazrat. Hazeri yang mampu berlari laju pantas memintas di hadapan Hazrat. Namun, bola itu melencong sedikit ke arah dalam gelanggang membuatkan tangan Hazeri hanya menyapa angin. Hazrat mencapai bola yang sedikit melencong itu lalu dia memusingkan badannya 180º dan terus melontarkan bola itu ke arah keranjang. Suhaimi yang berada di bawah keranjang melompat, tetapi ketinggiannya tidak mengizinkan. Bola itu berpusing-pusing di keranjang. Suhaimi dan Hazeri hanya melihat bola itu berpusing tanpa berbuat apa-apa. Hazeri dapat rasakan desiran angin deras melintas di hadapannya. Tidak semena-mena, kelihatan Ali dengan ketinggiannya melebihi orang lain itu sedang melompat, sekaligus membenamkan bola ke dalam jaring.

Ali mula mendarat. Bola itu jatuh menghentam gelanggang.

“12 sama.”

Hazrat bersuara membacakan keputusan terkini.

Suhaimi menyambut bola yang masih melantun itu.

“Huh! Penat!” dengus Suhaimi.

Mereka kembali ke posisi asal. Kini Hazrat dan Ali berada di luar kawasan D manakala Suhaimi dan Hazeri berada di dalam kawasan D.

“Southern Soul! Berhenti sekejap! Kita berkumpul dulu!” laung Syahiran dari tepi gelanggang.

Pergerakan mereka berempat terhenti. Masing-masing memandang ke arah suara itu. Kelihatan Syahiran sedang melambai tangan bersama dengan Zulfikri, Azhar dan Ikmal di tepi gelanggang.

Pandangan mereka tersapa oleh bunyi daun pintu yang terkuak sedikit. dua bayangan di muka pintu muncul tiba. Sadzly melangkah masuk ke dalam dewan. Seketika kemudian Aripin juga kelihatan mengikuti Sadzly dari belakang.

Mereka berdua melirik senyum.

Bola yang ada di tangan Hazrat dilantun beberapa kali, kemudiannya dileretkan bola itu ke arah Aripin. Aripin berdiri kaku menanti bola yang sedang meleret ke arahnya. Tangan kanan tersedia untuk menerima bola.

Kemudian, tangan kanannya mengenakan sedikit momentum kepada bola itu dan membuatkan bola itu kembali melantun.

Aripin mengiring bola menghampiri mereka semua.

“Semua sudah ada?” soal Syahiran memerhati ahli pasukannya satu persatu.

“Junaidi dan Firdaus masih belum sampai.” Ujar Suhaimi.

“Mereka berdua lagi?” bicara Sadzly.

Keluhan kasar Sadzly kedengaran.

Syahiran perasaan situasi itu.

“Baiklah. Tanpa berlengah masa. Kita mulakan dengan umul-kitab, Al-Fatihah.” Syahiran meneruskan bicaranya kepada semua. Sekaligus memotong terus perasaan tidak puas hati Sadzly.

Masing-masing tunduk bertafakur membacakan surah Al-Fatihah sebagai pembuka majlis.

Engkaulah sahaja ya Allah yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukannya jalan yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.

Zulfikri menghayati makna al-Fatihah dengan sepenuh hati.

Kemudian, mereka memulakan latihan dengan pemanasan badan.

Mereka berlari di dalam satu kumpulan mengelilingi gelanggang. Sama-sama lambat, sama-sama cepat. Syahiran telah berpesan dengan memetik satu ayat dari al-Quran, “Dan janganlah kamu berpecah belah atau bercakaran antara satu sama lain, kelak kamu akan lemah dan hancur dan dengan itu hilanglah kekuatan atau kekuasaan kamu.”

*****Bersambung*****