“Esok ada test! Huh!” mungkin saat ini orang lain telah bebas dari belenggu peperiksaan. Tetapi esok baru permulaan bagiku. Sudahlah menumpang kelas orang. Nak buat study group? Orang dalam kelas itu pun aku tidak kenal. Macam mana ni? Ah! Tawakal sajalah! Macammana nak tawakal kalau strategi usaha pun tidak nampak bayang-bayang. “studi je lah apa yang aku tahu!”
Buku dibuka. Pen, pensil, kalkulator, pemadam getah, kertas kosong sengaja diselerakkan di atas meja untuk menampakkan mood study. Dengan harapan buku-buku itu dapat dikhatam dalam masa satu hari. Saat jari-jemari ini lincah menari-nari melakarkan aksara nombor di atas kertas, terpandang aku satu objek di atas meja rakan sebilikku. Berwarna-warni. Menarik! Mohon untuk pinjam sebentar. Menghilangkan boring tika ia menjelma. Alah! Biasalah! Mana boleh studi dalam jangka masa yang panjang. Ada masanya perlu berehat sebentar untuk menghadirkan semula ‘fokus study’. Rehat sebentar? Namun, kebiasaanya masa rehat itu lebih lama dari masa studi. Mungkin perkataan fokus telah jauh tersasar dari objektif asal. Tersasar lagi. Jam menunjukkan lebih tujuh minit dari pukul 12 dinihari.
Jari-jemari mula beralih arah menari-nari ke objek yang dinamakan rubik itu. Objek yang mempunyai enam warna berlainan. Merah, biru, jingga, hijau, putih dan kuning. Perlu bermatlamatkan untuk samakan warna-warna tersebut pada satu permukaan. Macammana strateginya? Cuba dulu baru tahu. Jam telahpun beranjak ke satu pagi. Satu permukaan pun belum ‘settle’ lagi. Apatah lagi satu mukasurat buku yang terdampar di atas meja itu sejak tadi. Beralasan, mood belum sampai.
Sekian lama menganalisis dan mencari maklumat mengenai rubik tersebut, barulah aku mengetahui untuk samakan warnanya pada satu permukaan perlukan strategi. Samalah juga dengan kehidupan kita. Setiap masalah ada jalan penyelesaian. Bagaimana? 5S...
1. Selidik Diri Kita [Selesaikan permukaan paling bawah]
Siapa kita? Kaji kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri. Aku pelajar lanjutan. Tidak kenal sepenuhnya rakan sekelas. Keesokkan malam ada ujian. Kelebihan? aku bukannya gagal subjek ini semester lalu, aku cuma baiki kredit untuk dapatkan gred yang lebih bagus semester ini. Bermakna aku telah faham, aku perlu berusaha!
2. Susunatur Kelebihan Diri [Lengkapkan warna pada level paling bawah]
Kelebihan lain, aku boleh sesuaikan diri dengan sesiapa saja yang berada di sekeliling aku. Perlukan kemesraan yang lebih untuk mendampingi rakan sekelas di saat ini. Aku juga dah faham subjek ini, Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Teruskan!
3. Serasikan Dengan Persekitaran [Samakan warna level kedua dengan level satu]
Perhatikan di sekeliling! Pasti ada rakan kelas yang ulangkaji di perpustakaan. Aplikasikan kelebihan yang ada. Tekadkan niat untuk melangkah ke perpustakaan. Jelajah ke seluruh perpustakaan untuk menjejak individu yang dicari. Sah! Suspek dikenalpasti. Teruskan langkah menuju ke arah mereka. Gunakan kemesraan di tempat yang sesuai. Studi bersama mereka. Settle!
4. Serah Pada Pencipta [Selesaikan permukaan paling atas]
Kita merancang, Allah juga merancang. Dan Dialah sebaik-baik Perancang. Usaha dah dilakukan. Serahkan saja padaNya mudah-mudahan rancangan kita sama dengan rancangan Allah. Ujian bermula jam 8.30 malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Mohonlah pada Allah agar dipermudahkan urusan kita. Berdoa!
5. Sempurnakan Matlamat [Lengkapkan warna pada level paling atas]
Dengan nama Allah. Masuk ke dewan peperiksaan dengan langkah kanan. Ambil tempat duduk yang paling selesa. Berdoa. Jawab dengan tenang. Semak jawapan jika ada kesilapan. Lengkapkan soalan yang belum terjawab. Tak tahu jawaban? Jawab je... jangan biarkan kosong.
Fuh! Selesai juga menjawab ujian. Mujurlah ada rakan-rakan untuk ulangkaji bersama. Mujur jugalah latihan yang dilakukan itu semuanya masuk dalam ujian. Allah telah mempermudahkan urusanku. Alhamdulillah... Syukurku padaMu ya Allah. “Eh! Dah masuk waktu Isyak lah!”
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai daripada sesuatu amal soleh, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain. Kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” [94:5-8]
0 comments:
Post a Comment