Pages

Subscribe:

Saturday, January 23, 2010

iPhone gerakkan kereta


BERLIN - Masihkah anda ingat adegan ejen perisik James Bond menggunakan kereta kawalan jauh untuk menyelamatkan diri daripada bahaya dalam filem Tomorrow Never Dies?

Teknologi itu kini menjadi satu realiti selepas sekumpulan saintis komputer di sebuah universiti Jerman membangunkan aplikasi yang menukar fungsi telefon bimbit pintar, iPhone menjadi alat kawalan jauh pada sebuah kereta mereka.

Dengan menekan butang pada skrin sesentuh iPhone, pemandu kereta berkenaan boleh mengawal stereng, brek dan pedal minyak walaupun dia berada di luar kenderaan.

Teknologi itu dikenali sebagai Autonomous Car dilengkapi pelbagai fungsi elektronik seperti sensor laser tiga dimensi (3D) selain sistem pengesan kedudukan global (GPS) dan Internet wayarles (WiFi).

Terdapat sebuah kamera video pada papan pemuka kereta itu yang menghantar isyarat video ke iPhone bagi membolehkan pemandu melihat pemandangan di depan kereta sekali gus mengawal kenderaan.

Alat kawalan jauh dan kereta itu yang dinamakan 'Semangat Berlin' dihasilkan oleh Kumpulan Kepintaran Buatan (AI) Universiti Freie di sini diketuai Professor Raúl Rojas. - Agensi

Sumber : Kosmo

Tuesday, January 12, 2010

Senyum

pictures credit to Dilakirana

“Senyumlah! Senyumlah! Ahai! Cek mek molek. Senyumlah! Senyumlah! Ahai! Cek mek molek.” Gurau teman sekerja dengan mendendangkan serangkap lagu yang dipopularkan oleh artis veteran bernama Dato’ M. Daud Kilau sambil diselangi dengan gelekan kecil pinggulnya. Aku tersenyum sendiri melihat gelagatnya.

“Haa… macam itu lah. Payah betul nak tengok hang senyum.” Tegurnya dan terus menghampiriku.

“Hang buat gila, boleh pula aku tak senyum.” Pandangan mataku beralih ke arahnya.

“Nak Tanya sikit. Kenapa payah sangat hang nak senyum?” Soalnya padaku. Aku diam menantikan reaksinya. “Senyum itu kan sedekah.” Sambungnya. “Betul!” balasku ringkas.

“Senyum itu akan membuatkan orang lain bahagia bila melihatnya.” Sambungnya lagi dan aku kekal dengan jawapan ringkasku, “Betul!”

“Hang juga yang pernah kata pada aku. Kalau kita memberi, bermakna kita akan menerima.” Semakin panjang penerangannya. “Betul!” Kekal dengan jawapan yang sama.

“Bererti, kalau kita memberi senyuman pada orang lain, orang lain juga akan memberi senyuman pada kita.” Aku dapat mengagak yang soalannya adalah berbentuk kenyataan.

“Pernah tak kita senyum pada seseorang, dan seseorang itu palingkan mukanya ke arah lain?” Jika sebentar tadi dia memberi soalan berbentuk kenyataan, dan kini aku memberi jawapan dalam bentuk soalan. Seri satu sama.

“Mungkin mereka tak perasan.” Keluhnya. Mungkin dia juga pernah mengalami situasi yang sama.

“Muka hensem macam aku ni, takkanlah orang tak perasan?” Tawa kecil kami berderai. Gurauan membawa kemanisan ukhwah. “Takkan ramai sangat yang tak perasan?” Soalnya kembali menahan diri dari ketawa.

“Bukan semua, tapi kebanyakkannya” Balasku. “Kalau kita tak senyum, orang akan kata kita sombong pula.” Sambungku lagi.

“Sebab manusia nilai dari segi luaran dan bukannya dari dalaman.” Penjelasannya sama dengan pemikiranku. Manusia hanya menilai dari luaran. Jika wajah kita kurang mempamerkan senyuman, orang akan menyatakan bahawa kita seorang yang sombong. Sedangkan hakikatnya tidak.

“Jadi, macammana nak buatkan orang membalas senyuman kita?” Pada aku dia memang arif dalam hal ehwal kemasyarakatan ini.

“Tentunya kita perlu ‘perasankan’ dia dengan kehadiran kita” Jari telunjuknya dinaikkan ke atas menunjukkan itu kaedah yang terbaik.

“Emm, bagus! Tapi kaedah untuk ‘memperasankannya’ pada kita?” Soalku kembali.

“Salam! Ya! Memberi salam! Apabila kita memberi salam pada orang lain, bermakna dia akan pandang ke arah kita. Pada waktu itulah kita lemparkan senyuman kita padanya. Dia akan menjawab salam dan sekaligus mengembalikan senyumannya pada kita!” Kali ini jari kanannya dipetik pula menandakan itulah jawapan muktamad bagi permasalahan ini.

Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul lapan malam. Waktu kerja sudah tamat untuk hari itu dan kami perlu meneruskan kerja kami pada keesokkan harinya. Setibanya di bilikku, aku terus merebahkan tubuhku di atas katil. Telefon bimbitku disapa dengan mesej yang baru saja menjengah. Aku membuka mesej tersebut lalu membaca satu mesej yang terpampang pada paparan skrin itu.

"Ukirlah senyuman yang paling manis kerana selain menjadi sedekah, senyuman itu ibarat lukisan rahsia hati. Dan senyuman itu tidaklah menyakitkan, tetapi menjadi penawar bagi hati yang terluka". Aku tersenyum sendirian. Lantas aku teringatkan sebuah lagu nasyid yang pernah kumpulanku jadikannya sebagai intro persembahan nasyid.

“Senyum umpama suria yang memancar cahaya. Senyumlah dari hati duniamu berseri. Senyum umpama titian dalam kehidupan. Ku tersenyum kau tersenyum, kemesraan menguntum.”

“Senyum kepada semua. Senyumanmu amatlah berharga. Senyum seperti Rasulullah. Dengan senyuman terjalinlah ikatan....”

Friday, January 1, 2010

Kesatuan Pemikiran

"Susah sangatkah mahu menerima pandangan atau cadangan dari orang lain? Mengapa hanya mahu terima pandangan dan cadangan di kalangan kita sahaja? Atau mendengar hujah hanya di sebelah pihak?” soalan ini yang sering bermain dalam mindaku baik di peringkat rakan sekerja, ahli politik dan juga sesama teman. Perlu atau tidak kaedah dari golongan lain yang berada di luar lingkungan kita diletakkan di tempat yang rendah? Jawapanku mungkin tidak perlu kerana ada sebahagian kaedah yang dilakukan oleh mereka ini boleh diadaptasi menjadi versi di pihak kita. ‘Belajar sirah, melakar sejarah’.

Bukan bererti mandul minda untuk memikirkan idea baru dan bukannya bererti kita cenderung ke arah kemungkaran, tetapi cara betul yang kita rangka ini boleh menentukan matlamat yang ingin dicapai biarpun ada yang menyatakan ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Asalkan betul niat dan caranya, tidak menjadi kesalahan untuk menyerap sedikit idea dari mereka bagi mencetuskan suatu idealisme yang baru. ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’ namun ‘cara boleh menentukan matlamat’.

Carilah titik persamaan di sebalik perbezaan yang ada. Satukan dengan diri dan selaraskan dengan landasan yang kita miliki sudah tentu matlamat yang kita impi akan menjadi realiti. Selongkar rahsia di sebalik rahsia mereka dan keluarkan ideologi perkasa yang mampu diteladani oleh semua. Mungkin agak sukar di peringkat permulaan, namun lama-kelamaan ia umpama ‘alah bisa tegal biasa’ dan sebati dengan jiwa. Buanglah sejauh mata memandang istilah ‘hidup nafsi-nafsi siapa lu siapa gua’ dalam diri kerana ia hanya akan mewujudkan benteng yang tebal di kalangan manusia dengan manusia dan mewujudkan sikap kurang peka suatu golongan terhadap golongan yang lain.

Jika hubungan manusia dengan Allah boleh diperlihara, mengapa hubungan sesama manusia hanya dipersia? Bukankah manusia itu bersaudara? Sepertimana firman Allah dalam kitabNya di dalam surah al-Hujurat ayat ke sepuluh yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka perdamaikanlah dua saudara kamu yang bertelagah, dan bertakwalah kamu kepada Allah, semoga kamu mendapat rahmat”.

Maka damaikanlah jiwa dengan sulaman berprasangka baik. ‘Husnul Zhon’ adalah kunci ukhwah sejati. Namun di sebalik berprasangka baik, perlunya ada sikap berwaspada kerana kita hanya mampu mentafsir hanya dari segi luaran semata-mata sedangkan sikap dalaman tidak dapat ditembusi oleh pandangan mata. Kita mampu dan boleh belajar dari semut yang lebih yakin dengan jaminan Allah daripada jaminan Nabi Sulaiman yang hanya seorang manusia. Sentiasa mengambil persediaan bagi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku kerana hati manusia sering berubah mengikut peredaran masa dan situasi. Manusia itu terlalu banyak kelemahan di dalam diri. Yang pasti, ‘Husnul Zhon’ perlu disertakan dengan ‘Hazar’ bagi memperkasakan nilai-nilai Izzah dan mengenepikan sikap-sikap Assobiyah dalam proses penyatuan pemikiran.