Pages

Subscribe:

Tuesday, March 24, 2009

Jadilah Pendengar Setia

“Untuk menjadi seorang yang memahami, cukup sekadar mendengar. Untuk menjadi seorang yang mengerti, kita perlu melaluinya dengan sendiri.” Kata-kata dari seorang sahabatku yang juga satu generasi denganku. Aku setuju dengan apa yang diperkatakannya. Aku memegang kata-kata ini. Jadilah pendengar yang setia. Bukan hanya sekadar memahami sebaliknya menjadi seorang yang memahami dan mengerti dalam satu masa. Mampu juga untuk menyimpan rahsia mereka bagi mengelakkan perasaan ‘tidak puas hati’ tercetus di dalam gerakan Islam.

Ramai orang yang hanya mampu mendengar rintihan dan keluhan sahabat lain tanpa sebarang pengertian. Saat rintihan dan keluhan ini diluahkan, mudah si pendengar ini mengatakan “Ini baru ujian kecil untuk anta”. Persoalan timbul, apakah si pendengar ini mampu bertahan dengan ujian yang dihadapi oleh insan ini? Bagaimana kalau dia sendiri yang berada di tempat insan yang meluahkan rintihan ini? Manusia perlukan seorang insan yang mampu memahami situasi dirinya. Sedikit sebanyak dengan luahan ini mampu untuk mengurangkan ‘sesak nafas’ yang membelenggu di dalam jiwa mereka.

“Anta kena faham dengan perjuangan Islam ni”. Apakah orang yang berkata ini sudah faham sepenuhnya mengenai perjuangan Islam? Saya yakin tidak! 100% tidak! Setiap orang mempunyai pemikiran yang berlainan atau dalam erti kata lain ‘kepala lain-lain’. Setiap orang juga mempunyai daya pemahaman yang berbeza-beza. Daya ketahanan yang berbeza-beza. “Alah! Dulu ana pun pernah tekanan macam anta juga”. Perlukah tekanan itu menjadi ‘Warisan turun temurun’? Mengapakah kita sebagai pendokong dakwah Islamiah yang boleh dikatakan sebagai ‘orang lama’ hanya membiarkan sahaja ‘orang-orang baru’ ini menghadapi tekanan seorang diri tanpa sebarang huluran bantuan biarpun hanya ‘sekerat akar’? Jadilah pendengar setia. Sekurang-kurangnya ‘kurangkanlah’ tekanan yang membelenggu jiwa mereka.

Hulurkan bantuan kurangkan bebanan. Ayat yang dipetik dari rancangan ‘bersamamu’ TV3. Bersamalah mereka yang memerlukan bantuan. Kita mampu bersama dengan orang yang tidak mempunyai fikrah untuk berkongsi masalah. Sedangkan kita hanya membiarkan rakan, teman dan sahabat kita keseorangan dengan menganggap mereka telah ‘faham’ dengan mehnah dan tribulasi dunia. Seramai mana yang mempu bertahan jika tanpa kehadiran ‘sahabat-sahabat’ mereka yang kononnya sanggup bersama dalam menghadapi susah dan senang, tetapi sesudah itu mereka dibiarkan terkapai-kapai dalam mengharungi ombak lautan tanpa dihulurkan kayu, pelampung atau apa sahaja sebagai penguat semangat?

Ukhwah! Tarbiyah! Tsiqah! Lupakanlah jika rukun yang pertama iaitu ‘Faham’ pun anda semua masih belum hadam. Anda mengaku bahawa anda telah faham? Tipu! Jika benar anda sudah hadam, huraikanlah 20 huraiannya tanpa melihat buku. Aku sendiri masih terkapai-kapai dalam memahami mehnah duniawi. Jika tanpa sebilangan sahabat setia aku yang sering menjenguk kehidupanku, tanpa memahami keadaanku, sudah pasti aku juga akan mengalah dengan mengikut arus duniawi tanpa sebarang usaha atau ikhtiar. Manusia perlu sentiasa diingati jika ianya terlupa.

Dekatilah mereka untuk mendengar masalahnya dengan rasional tanpa sebarang pertikaian. Janganlah kita inginkan mereka mengikut ‘kepala kita’. Rugilah jika kita mendaki gunung tinggi bersama-sama yang pada mulanya kita berjanji untuk membantu sebarang masalah yang bakal dihadapinya, namun ketika dipertengahan jalan kita meninggalkan mereka untuk berusaha sendiri dengan kita hanya sebagai pemerhati dari jauh.

Sampaikanlah ajaranku walau sepotong ayat. Nasihatku pada semua, “Jadilah Pendengar Setia”

0 comments:

Post a Comment