Pages

Subscribe:

Thursday, May 27, 2010

Tuntutlah Ilmu Sehingga Ke Mana?

“Agenda Yahudi dalam menakluk dunia. Menarik buku ni.” Sebuah buku dicapai dari susunan rak buku. Lalu aku menuju ke salah satu meja yang ada di situ. Membelek-belek buku itu dari kulit hadapan sehingga ke kulit belakang. Dilihat juga kata pengantar yang ada di dalam buku tersebut bagi mengetahui ringkasan keseluruhannya secara ringkas. Sebuah buku yang menyingkap strategi Bangsa Yahudi dalam menguasai dunia. Wajib dibaca bagi menyingkap rahsia di sebalik rahsia. Supaya kita mampu bersedia dari segi fizikal dan mental dalam mendepani golongan yang dilaknati Allah.

Hari Sabtu itu aku berada di Perpustakaan Kulim, bersebelahan dengan Tasik Putra. Gedung ilmu. Aku hanya keseorangan ke situ.

“Assalammu’alaikum” Sapaan seseorang membuatkan aku terhenti membaca. Aku memandang ke hadapanku. Hasman Hafizal, rakan sekerjaku. Berdiri di hadapanku. “Wa’alaikummussalam” Jawabku sekilas membalas ucapan ‘Salam Sejahtera’nya ke atas aku.

“Seorang saja?” Soalku sejurus selepas salamnya disambut. “Sepatutnya aku yang tanya soalan itu pada kau” Balasnya santai. Senyuman terukir. “Ada nampak sesiapa di sebelah aku? Tiada bukan? Mestilah aku seorang saja.” Gurauku. Masing-masing tersenyum. Hasman Hafizal mengambil tempat di hadapanku. Di tangannya tergenggam sebuah buku bertajuk ‘Senjata Minda Kuasa Kita’. Terlihat tajuknya sahaja sudah membangkitkan semangat aku untuk membacanya.

“Sudah berapa lama kau ke sini?” Permulaan bicara dari Hasman.

“Agak lama. Hampir dua bulan. Kenapa?” Soalku kembali untuk mendapatkan kepastian kepada persoalannya..

“Mesti banyak buku yang kau sudah baca.” Mungkin dia cuba untuk membandingkan kekerapan aku ke perpustakaan itu berbanding dirinya. Dari kenyataannya dapat aku menjangkakan bahawa kekerapannya ke Perpustakaan Kulim kurang dari kekerapan aku ke situ.

“Tidaklah banyak sangat. Sekadar ilmu tambahan untuk dijadikan sebagai ‘Senjata Minda’ suatu hari nanti.” Kataku sambil memandang buku yang diletakkan di atas meja. Buku yang terletak di hadapannya. Hasman hanya tersengeh. “Membaca itu jambatan ilmu. Sesiapa yang berilmu akan ditinggikan darjatnya.” Jelasnya.

“Ya! Ada hadith menyatakan, tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke negeri China kerana menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang mukmin”. Kataku bagi menyokong kenyataannya.

“Benar. Aku setuju!” Suaranya yang sedikit tegas membuatkan aku sedikit terkejut. “Tetapi...” Sambungnya lagi. Terhenti seketika. “Mengapa sehingga ke negeri China? Bukan Afrika, Amerika, Australia dan mengapa mesti China? Apa kaitannya bidang ilmu dengan negeri China?” Soalannya mengajak aku untuk bersama berfikir. Buku di hadapan aku dibiarkan terbuka bagi menampakkan suasana perbincangan.

“Kenapa ya?” Soalku kembali sambil mengukir senyuman. “Aku bertanya untuk kita sama-sama berfikir rasionalnya. Janganlah kau tanya aku semula.” Gelagatnya membuatkan aku tertawa.

“Aku rasa, Aku tahu jawapannya.” Aku cuba mewujudkan perbincangan. Ilmu pengetahuan perlu dikongsi. “Kau ‘rasa’ sahaja?” Sengaja ditekankan pada perkataan ‘rasa’. Ini membuatkan aku perlu pantas mencari hujah yang releven. Pintasku, “Persoalan yang subjektif. Satu soalan, banyak jawaban. Apa sahaja jawabannya, ia tetap jawaban yang boleh diterima akal.” Kataku mematikan pertikaiannya berkenaan jawaban ‘rasa-rasa’.

“Apa jawabannya?” Soalnya kini ingin mengetahui kaitan antara bidang ilmu dengan Negeri China.

“Pernah dengar ayat tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad?” adakalanya soalan itu adalah jawaban kepada persoalan. “Pernah. Tetapi itu bukannya hadith. Ia hanya kata-kata dari Imam Syafie.” Balasnya santai.

“Apa maknanya?” Tanya aku kembali. “Maknanya, kita perlu sentiasa menuntut ilmu dari kita dilahirkan sehinggalah kita kembali kepada-Nya. Betul?” Hampir menemui jawabannya.

“Betul. Sejak kita lahir lagi ilmu itu perlu dipelajari sehinggalah kita ke liang lahad. Ini bermakna kita mesti menuntut ilmu sepanjang hayat kita. Betul?” Kenyataan dan persoalan seiring. Memancing pendapatnya. Hasman hanya mengangguk sedangkan fikirannya masih lagi memikir persoalan ini.

“Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad. Tidak mungkin sudah tiba di liang lahad, barulah mahu menuntut ilmu. Tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke Negeri China. Apa yang kau faham melalui ayat ini?”Aku mengharapkan Hasman terus berfikir.

“Oh! Aku sudah faham!”

“Wei! Rendah sikit suara kau!” Aku separuh menjerit. Hasman sudahpun menjerit tika itu. Lantang Hasman menyebabkan beberapa orang yang berdekatan memandang kami. Pustakawan sudahpun memberi isyarat ‘diam’. Kami tersenyum.

“Apa yang kau faham?” Soalku kembali meneruskan perbincangan. Mata kami memandang sekeliling bagi melihat ‘mata’ yang masih memandang kami. Tiada lagi. Keadaan kembali seperti asal.

“Aku faham! Perkataan ‘sehingga’ menunjukkan bahawa menuntut ilmu bukannya bermula di negeri China, tetapi bermula dari ‘sini’ sehingga ke negeri China. Ini bermakna sepanjang perjalanan dari sini ke negeri China, semuanya ada ilmu yang perlu dipelajari.” Jawaban ‘rasa-rasa’ sudah mengena.

“Itulah rasionalnya. Menuntut ilmu mestilah sepanjang masa. Di mana jua. Tidak kira tempat. Tidak kira masa. Semuanya ada ilmu. Namun, ada ilmu yang tidak ada di negara kita tetapi ada di negara lain. Ilmu itu yang kita perlu cari.” Kali ini anggukkan Hasman semakin kuat. Mungkin sudah jelas dengan persoalannya.

“Perlayaran di atas lautan, perjalanan di atas daratan. Ada ilmu-ilmu tertentu yang kita tidak tahu.” Aku teruskan dengan penjelasanku. “Ketika berlayar, kita dapat menentukan arah perjalanan dan arah kiblat dengan menjadikan bintang dan matahari sebagai panduan. Juga untuk menentukan tanda masuknya waktu solat berpandukan matahari dan bulan. Mengetahui arah perjalanan ketika pengembaraan dengan menjadikan kompas sebagai rujukan. Mempelajari ilmu rukhsah solat, solat jamak dan qasar bagi yang dalam pengembaraan. Ilmu mencari rezeki yang halal ketika merantau ke negara jiran. Berkomunikasi dan pelbagai ilmu lagi yang masih tiada dalam pengetahuan kita. Ilmu itu luas, bukan?” Aku berhenti mengulas. Memberi laluan kepada Hasman menghuraikan persoalan ini.

“Ilmu perdagangan juga boleh diselitkan bersama. Lihatlah sewaktu pembukaan Kerajaan Empayar Melayu Melaka, bukankah ramai pedagang-pedagang dari negara Arab, India dan China datang ke Melaka untuk urusan jual beli?” Perbincangan semakin rancak. Tiada tanda-tanda untuk berhenti. Hasman terus bersuara, “Pada masa yang sama, penyebaran Islam juga dapat terus berkembang pesat dari kunjungan beberapa pedagang negara lain.” Katanya lagi. Terhenti di situ.

Aku terus membuat kesimpulan awal, “Itulah kata kunci yang paling utama mengapa perlunya menuntut ilmu sehingga ke negeri lain. Berdakwah. Menyebarkan ajaran Allah. Singkirkan segala dakyah. Perkukuhkan akidah dengan persaudaraan Islam kita berukhwah.”

“Belajar sambil mengajar. Ilmu ada di mana-mana. Perjalanan dari Tanah Arab ke Negeri China pasti akan melintasi Lautan India dan Lautan Pasifik. Di lautan Pasifik terdapat banyak laut-laut kecil seperti Laut Sulawesi, Laut Koreal, Laut China Timur, Laut China Selatan, Laut Jepun, Laut Sulu, Laut Tasman dan Laut Kuning. Ia juga akan melalui Selat Malaka yang menghubungkan Lautan Pasifik dengan Lautan Hindi.” Bicaranya lagi. Ilmu yang dimiliki kami bergabung menjadi satu.

“Itu jika melalui laluan lautan. Waktu dulu di negara Arab popular dengan unta sebagai pengangkutan. Unta mesti akan melalui jalan daratan. Melalui jalan daratan pula akan melintasi beberapa buah negara. Seperti negara Iraq, Iran, Afganistan, Pakistan, India, Nepal dan barulah sampai ke negeri China. Perjalanan menggunakan unta akan memakan masa yang agak lama untuk ke destinasinya. Jadi, jarak bukanlah perbandingan sebaliknya usaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, itu yang penting.” Sambungku lagi. Padat dengan ilmu. Sarat dengan mutu.

“Tapi...” kata-kata Hasman bagaikan masih ada yang belum terjawab. Kerunsingan yang masih membelenggu dirinya. “Ada orang kata, hadith ini adalah hadith dhaif. Hadith yang tidak kuat.” Persoalan dalam bentuk kenyataan diajukan.

“Memang. ‘tuntutlah ilmu walaupun sehingga ke negeri China’ adalah hadith dhaif. Tetapi sambungannya ‘kerana menuntut ilmu itu wajib atas tiap-tiap orang mukmin’ adalah hadith sahih.” Kataku berkenaan kedudukan sebenar hadith ini. Renungannya kepadaku memaksudkan untuk aku menjelaskan kenyataan itu. Aku mengerti. “Hadith ini adalah sanad dari Al-Hasan bin Athiyah, dari Abu Atikah Tharif bin Salman, dari Anas bin Malik radiallahu ‘anhu. Yang menjadi pertikaiannya adalah dari Abu Atikah Tharif bin Salman. Ramai pakar hadith menyatakan dia adalah pemalsu hadith.” Berhenti seketika. Kembali mengingat.

Sambungku lagi, “Menurut al-hafidh al-Mazi, hadith ini memiliki banyak sanad. Jadi, kita tidak boleh menyatakan itu bukan hadith.” Terhenti lagi. Menyusun ayat.

“Bagi menunjukkan ilmu itu penting untuk ditimba, kita berpegang sajalah pada hadith yang memang sahih iaitu ‘Menuntut ilmu hukumnya adalah wajib bagi setiap muslim.’ Hadith riwayat Muslim.” Jelas. Sejelas-jelasnya. Memang jelas. Mengapa menuntut ilmu sehingga ke Negeri China telahpun terungkai kemas. Kedudukan hadith ini juga telah terjawab. Terbukti, menuntut ilmu adalah wajib. Bersyukur aku ke hadrat Ilahi kerana perbincangan ini menyingkap hikmah di sebalik persoalan yang timbul. Banyak ilmu yang aku dan Hasman perolehi hanya dari satu persoalan. Merungkai pelbagai jawaban.

Kami pulang ke rumah dengan berbekalkan buku ‘Agenda Yahudi dalam menakluk dunia’ dan ‘Senjata Minda Kuasa Kita’ bagi merealisasikan wajibnya menuntut ilmu. Semoga banyak manfaat yang kami perolehi dari perbincangan ini.

3 comments:

FarahHanimMohdFauzi said...

http://anjungexplorer.multiply.com/journal/item/20
bacal post kat blog ni...sgt menarik ...pasal yahudi

Helme Zulkipli said...

salam..

Aku dah ada buku 'Agenda Yahudi Dalam Menakluk Dunia'. best buku ni. Taklah mahal sgt klu nk dibanding dengan ilmu yang kita akan perolehi.

petik kata2 Ust Hasrizal, "Yahudi Realiti tidak mungkin dapat dikalahkan oleh Muslim Ilusi".

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment