Pages

Subscribe:

Saturday, December 26, 2009

Perpaduan Ummah

Mustahil setiap insan menginginkan permusuhan
Sedangkan kita tidak pernah satu berpadu
Bina kegemilangan

Pernahkah kita lupa Islam pernah gemilang
Dengan al-Quran menjadi pegangan
Tidakkah kita cuba untuk kembali menjulang
Kemanisan Islam di saat kegemilangan

Patuhlah pada Allah dan juga RasulNya
Berbeza pandangan al-Quran jadi panduan
Mendamba kasih Ilahi dalam perjuangan
Persaudaraan asas kekuatan

Tapi kini sedang kita menghadapi
Hakikatnya perpaduan
Sedang menuju kehancuran
Tuhan satukan hati insan
Yang dipertemukan
Tetapkan di jalan kebenaran

Pemuda tunggak kegemilangan ummah
Memimpin ke jalan kebenaran
Merubah pemikiran menjana kekuatan
Dalam harapan mencapai impian

Perpaduan ummah menuju keredhaan Allah
Generasi al-Quran membina kegemilangan
Perpaduan Ummah jadilah insan yang cemerlang
Bina persaudaraan yang gemilang Islam terbilang
Lirik : Helme (Nuriman)
Lagu: Helme, Irwan (Nuriman)

Saturday, December 12, 2009

Kreativiti Membina Identiti


“Bukan untuk riak. Bukan untuk bongkak. Bukan untuk takbur. Jauh sekali untuk memperlekehkan orang lain. Dengan mencari siapa diri kamu, maka kamu akan perolehi satu kekuatan. Kekuatan yang tersembunyi di dalam diri. Dan kamu juga akan mengetahui identiti diri kamu sendiri. Yang penting, kreativiti. Ya! Kreativiti membina identiti” Pesanan yang terlalu panjang lebar dan ini sahaja kata-kata dari penyelia tempat aku bekerja yang sempat ku rakamkan ke dalam sanubariku. Untuk dijadikan inspirasi.

“Operator, juruteknik, penyelia semuanya perlu berminda jurutera” juga pesannya dengan segala bakat yang ada pada diri perlu diasimilasikan untuk mewujudkan satu identiti baru. Iaitu dengan menggabungkan segala kelebihan dan bakat yang ada untuk menjadi satu identiti yang lebih bersifat produktif. Tidak tertumpu hanya pada satu bakat sahaja. “Cetusan idea penjimatan minyak oleh Syarikat Toyota bukan lahir dari Jurutera, tetapi diilhamkan oleh operator syarikat itu sendiri. Kerana apa? Kerana operator tersebut sentiasa bergelumang dengan masalah dan temui cara penyelesaian yang terjadi di bahagian pengeluaran. Dengan menerima ‘mengapa’ dan memberi ‘bagaimana’ adalah satu aspek yang paling berharga untuk setiap pekerja”. Satu suntikan semangat kepada kami sebagai pekerja di situ.

Lalu aku selongkari kekuatan yang wujud di dalam diri, mencari bakat-bakat yang ada untuk digabungkan menjadi satu identiti baru. Aku kaitkannya dengan arena dakwah ini. Kerana aku tahu, cabang dakwah bukan hanya tertumpu pada tarbiyyah atau siasah sahaja. Segala yang ada di sekeliling kita juga boleh dijadikan sebagai cabang dakwah. Ia bergantung kepada bagaimana kita mengendalikannya.

Sebagai contoh, seseorang itu menjadi pakar hadis dan pada masa yang sama dia mampu berfikiran saintis. Hadis-hadis dikaitkan dengan kejadian alam, proses sesuatu perubahan cuaca dikaitkan dengan hadis dan Quran. Ia mampu untuk menjadikan seseorang itu teruja dengan penggabungan ilmu tersebut. Begitu juga dengan individu yang terlibat dengan bidang Tarbiyyah, andainya individu ini mampu atau mahir dalam membaiki motosikal sudah pasti individu di persekitarannya memandang mulia padanya dan sekaligus menyingkirkan tanggapan negatif kepada pendakwah-pendakwah Islam, individu yang berserban dan juga individu yang berjubah.

Begitu juga dengan individu yang terlibat dengan bimbingan akademik dan kaunseling, tidak cukup hanya dengan dia sahaja yang tampil hebat dengan keputusan-keputusan cemerlangnya sebaliknya dia juga boleh menjadi pakar motivasi atau pengajar kepada anak-anak muda. Ilmu yang disampaikannya juga mampu diingati dan diamalkan oleh orang yang diajarnya iaitu dengan sistem pengajaran yang berkesan. Lebih hebat jika individu ini fasih dalam berbahasa Mandarin, Arab, Tamil, Perancis, Jepun dan lain-lain bahasa yang diperlukan oleh perindustrian.

Manakala individu yang terlibat dengan bidang sukan di dalam persatuan atau organisasi pula mampu mewakili institusi pengajian tinggi dengan penampilannya menutup aurat, ditambah pula dengan dirinya cakna akan perkembangan arena sukan negara atau dunia.

Islam juga tidak menghalang manusia untuk berhibur. Bagi mereka yang berminat dalam dunia hiburan seperti bernasyid umpamanya, tidak salah jika mereka juga mahu melakukan anjakan paradigma dari segi penggunaan alat muzik atau rentak sesebuah lagu, gunakan itu sebagai uslub dakwah. Ada sebahagiannya yang begitu bersemangat untuk menghalang ‘Battle of the Band’ dari terus dijalankan. Namun, mereka tidak sedar sebenarnya mereka mampu untuk menjernihkan kembali ‘Battle of the Band’ dengan menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan atau nilai-nilai etika yang sesuai dengan syariat membataskan. Biarpun ada individu yang mengatakan ‘matlamat tidak menghalalkan cara’, namun ‘cara boleh menentukan matlamat’.


Yang paling penting adalah hubungannya dengan Allah dan tidak dilupa hubungannya sesama manusia. Tidak kira dari mana atau apa jenis manusia itu, dia mampu untuk bersama dan bermesra dengan individu tersebut tanpa mengira sifat yang dimiliki individu tersebut. Memang diakui, agak sukar untuk memahami minda dan kerenah orang yang lain cara pemikirannya dengan kita, namun ini adalah cabaran bagaimana cara kita untuk mendekati golongan seperti ini. Gabungkan apa yang ada dalam diri dan aplikasikannya ke situasi sekeliling kita. Ya! Kreativiti membina identiti.


Sunday, December 6, 2009

Revolusi

“Apa itu revolusi dan apa itu evolusi?” soalan yang keluar dari temanku. Aku pasti, temanku ini sudah menjengah ke blog aku yang menggunakan ayat ‘Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi’.

“Revolusi adalah suatu perubahan secara mendadak, dan Evolusi adalah perubahan secara berperingkat.” Balasku ringkas dengan harapan dia mudah memahami akan maksudnya.

“Macammana?” soalan menjelma kembali. Masih tidak faham lagi rupanya.

“Revolusi adalah perubahan terus kepada matlamat akhir. Sebagai contoh, seseorang itu ingin menjadi kaya dan dia ingin capai kekayaannya pada esok hari. Jangka masa yang pendek” agak panjang penjelasanku.

“Evolusi pula perubahan sikit demi sikit? Bermakna seseorang itu nak jadi kaya dan dia perlu mencari peluang yang ada, bersabar dengan ujian dan bekerja keras? Jangka masa yang panjang.” Pintasnya. Alhamdulillah, dia hampir menemui jawapan pada soalannya.

“Kenapa ayat Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi?” soalan yang hampir sama dengan soalan pada permulaan perbicaraan tadi. Hanya ‘Minda’ dan ‘Mahasiswa’ pula yang dikaitkan.

“Minda mana-mana manusia sudah tentunya akan terfikirkan objektif yang ingin dicapai atau direalisasikan, kemudian bergantung pula kepada bagaimana mahasiswa, masyarakat atau manusia itu berusaha untuk mencapai atau merealisasikan objektif mereka. Dan usaha itu biasanya akan melibatkan perancangan jangka masa panjang.” Jelas perbicaraanku dan ku juga mengharapkan mindanya dapat menerima penjelasan ku ini dengan sejelas-jelasnya.

“Kita ambil contoh yang lain. Kita ingin menuju ke Syurga, kita tahu Syurga adalah satu destinasi yang paling indah dan paling bahagia. Itu adalah objektif akhir kita. Revolusi” berhenti mengambil nafas. Kemudian bersambung kembali.

“Dan perjalanan kita dalam menuju ke Syurga itulah pelbagai usaha yang akan kita lakukan dengan berlandaskan panduan dan syariat. Itu dinamakan evolusi.” Selesai satu contoh yang ku berikan padanya.

“Bermakna minda saja yang bekerja, itu tak cukup. Jiwa juga perlu memainkan peranan.” Penjelasannya bagi membuktikan pemahamannya.

“Tapi...” banyak benar ‘tapi’nya. Mungkin mahu menyusun ayat. Aku menunggu penjelasannya.

“Kenapa mahasiswa yang perlu berevolusi dan bukannya masyarakat ataupun manusia yang perlu berevolusi?” ada lagi soalannya yang tersimpan. Kebanyakkan soalannya berupa ‘kenapa’ dan penjelasanku berupa ‘sebab’.

“Itu tidak menjadi masalah. Sesiapa pun boleh berevolusi. Baik mahasiswa, masyarakat mahupun manusia. Seboleh-bolehnya kita perlu bermula dengan ruang lingkup di sekeliling kita terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada masyarakat.” jawapan berbentuk subjektif. Satu soalan banyak jawapan.

“Ya, aku pernah terbaca. Dirikanlah Islam di jiwamu sebelum kamu mendirikan sebuah negara Islam” katanya.

“Hmm... perlu tukar ayat ‘Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi’ kepada ‘Minda Revolusi Masyarakat Evolusi’” katanya sambil tersenyum.

“Kenapa pula?” kini aku pula yang bersoal berkisarkan ‘kenapa’.

“Sebab kau bukan lagi ‘Mahasiswa’, kau sudah terlibat dalam ‘Masyarakat’ dan seboleh-bolehnya kita perlu bermula dengan ruang lingkup di sekeliling kita terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada Malaysia.” Katanya sambil tersenyum. Aku tahu, dia menggunakan semula hujah yang aku berikan padanya sebentar tadi. Jauh benar pandangannya terhadap revolusi ini. Bermula dari Minda, kemudian kepada Mahasiswa, Masyarakat, Manusia dan akhirnya Malaysia. Aku begitu kagum dengannya. Hanya kerana perkataan revolusi dan evolusi mampu mewujudkan sebuah perbincangan dan perancangan.


~Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi~
~Minda Revolusi Masyarakat Evolusi~
~Minda Revolusi Manusia Evolusi~
~Minda Revolusi Malaysia Evolusi~

Sunday, November 8, 2009

Tersembunyi


“Allah itu Maha Adil” Tiba-tiba saja rakanku bicarakan tentang Tuhan.
“Memang” Balasku ringkas. “Allah itu adil terhadap semua manusia, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam” Kataku sambil roti canai ku cubit dan dimasukkan ke dalam mulut.
“Betul” Balasnya. Juga jawapan yang ringkas.

Sebuah pertemuan yang tidak terancang di sebuah kedai makan berhampiran. Tidak sengaja terserempak dengannya yang baru turun dari motosikalnya. meluangkan sedikit masa untuk mengenakan roti canai di waktu malam ini.

“Allah juga adil terhadap politik” Sedikit demi sedikit ayat yang keluar dari mulutnya seiring cebisan roti canai yang masuk ke dalam mulut.
“Terhadap politik?” Aku sedikit terpanar dengan kenyataannya. “Maksudnya?”

“Barisan Nasional nak memerintah Malaysia, Pakatan Rakyat juga nak perintah Malaysia.”

“Biasalah tu, dunia politik” Sikapku seolah-olah acuh tidak acuh dengan topik perbualan.

“Pernah tak kita bayangkan bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia?” Soalnya kembali.
“Malaysia menuju ke arah pembaharuan, menuju ke arah yang lebih gemilang.” Jawabku.

“Bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia menuju ke arah kehancuran?” Soalan yang membuatkan aku terhenti seketika.
“Menuju kehancuran? Maksudnya peristiwa 13 Mei berulang kembali? Pergaduhan antara kaum yang amat ketara dan perpecahan sesama kaum kian menebal.” Ringkas kenyataanku.

“Ya! Itu adalah pandangan rakyat Malaysia. Tanyalah sesiapa pun mengenai Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia, jawapan yang sama. Pergaduhan interkaum dan perpecahan intrakaum” Balasnya dengan nada yang sedikit tinggi. Tanpa menghiraukan pelanggan yang berada di sekeliling.

“Di mana adilnya Tuhan dalam politik?” Soalku kembali mengingatkannya tentang topik perbincangan awal
“Sebelum satu Malaysia diperintah oleh Pakatan Rakyat, Allah bagi mereka perintah negeri terlebih dahulu.” Mungkin sengaja dibiarkan kenyataan itu tergantung untuk mewujudkan perkongsian pendapat.
“Huraiannya? Kesan dari Pilihan Raya Mac lepas?”

“Ya! Barisan Nasional kata jika Pakatan Rakyat perintah Malaysia, negara akan jadi huru-hara. Itu hanyalah mainan minda sahaja. Sekadar teori” Terhenti seketika untuk disuapkan secebis lagi roti canai ke mulut.

“Sebab itulah Allah tunjuk terlebih dulu pada rakyat bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah. Pakatan Rakyat terdiri daripada tiga parti besar iaitu PAS, PKR dan DAP. Semuanya nak memerintah.”
Terhenti lagi.

“PAS nak perintah, Allah bagi negeri Kedah. PKR nak perintah, Allah bagi negeri Selangor. DAP nak perintah, Allah bagi Pulau Pinang. Macammana pula kalau gabungan ketiga-tiga parti ini memerintah sedangkan ketiga-tiga parti ini mempunyai ideologi tersendiri? Allah bagi pula negeri Perak untuk diperintah. Tempoh percubaan”

“Macammana dengan PAS di Kelantan? Bukankah dah terbukti PAS boleh perintah negeri?” Aku bukakan pandangan yang lebih jauh terhadap pemerintahan ini.

“Kelantan dengan Terengganu ada ceritanya sendiri. Ia berkaitan dengan pemimpin dan sistem kepimpinan.”
“Cerita apa?”
“Cerita tentang Keikhlasan. Sengaja Allah kekalkan Kelantan di bawah pemerintahan PAS sebab Dia nak tengok macammana Barisan Nasional menerima kekalahan mereka di Kelantan. Sengaja juga Dia kekalkan Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional untuk tengok macammana PAS menerima kekalahan mereka di Terengganu.”
Teruja aku dengan kenyataannya. Tak ku sangka di sebalik insan biasa ini terdapat sesuatu yang luarbiasa. Pemikirannya.

“Jadi, dari hikmah inilah Allah wujudkan supaya rakyat menilai sendiri bagaimana Pakatan Rakyat memerintah. Parti mana yang mampu memerintah dan persediaan Pakatan Rakyat dengan situasi jika mereka menuju ‘ke atas’ ataupun ‘ke bawah’, inilah adilnya Allah terhadap politik.” Huraiannya bagaikan telah sampai ke penghujung.

“Agak-agaklah, dengan segala isu yang bermain di setiap negeri ni, mampu tak Pakatan Rakyat memerintah Malaysia?” Pancingku untuk melihat huraiannya. Tidak mahu terhenti di situ. Namun, roti canai di meja kami telah pun selesai dijamah.

“Pakatan Rakyat mampu atau tidak? Emm... Lu pikir laa sendiri” Tawa kami berderai. Guraunya sambil bangun dan menuju ke kaunter bayaran. Huraiannya berakhir. Aku menuruti langkahnya. Hari pun sudah jauh malam. Esok perlu ke kerja. Dengan ini tamatlah sebuah perbincangan yang jawapannya begitu subjektif. Hanya iman yang mampu menilai hikmah yang tersembunyi ini. Ketersembunyian yang tidak pernah aku fikirkan.

Saturday, November 7, 2009

Tatkala Tetikus Tersebut...

Salam Revolusi,

Pernah kita fikirkan apakah hikmah yang Tuhan jadikan di sekeliling kita? Ayuh kita renung tetikus atau ‘mouse’ yang disambungkan ke laptop atau komputer kita. Apa akan terjadi jika tetikus itu tidak disambung ke komputer? Tentu ianya tidak berfungsi. Apa pula yang akan berlaku jika ianya disambungkan? Pasti banyak perkara yang dapat dilakukan. Ibaratkan wayar yang menghubungkan tetikus dengan komputer kita itu sebagai ‘ketetapan minda atau mindset’ dan tetikus itu adalah ‘tindakan’ kita. Tanpa tetikus, mungkin banyak kerja tidak dapat dilakukan dengan sempurna dan kita akan menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Dengan adanya tetikus ini, begitu mudah untuk melakukan sebarang kerja.

Perhatikan dua orang yang berada di hadapan komputer yang sama di mana salah seorangnya mengawal tetikus, mata seorang lagi hanya memerhatikan pergerakkan di paparan komputer tanpa mengetahui apa yang akan dilakukan oleh pergerakkan tetikus tersebut. Analoginya? Orang yang berada di sekeliling kita hanya memerhatikan apa yang kita lakukan sedangkan mereka tidak tahu penjelasan dan sebab mengapa kita lakukan kerja tersebut. Jika pada pandangan mereka tindakan kita itu salah, mereka terus menyatakan perkara tersebut salah sedangkan mereka tidak tahu apa alasan ‘benar’ yang kita miliki.

Husnul Zhon! Bersangka baik. Setiap manusia sukar untuk bersangka baik terhadap orang lain kerana manusia yang hidup di muka bumi ini mempunyai nafsu. Adakalanya jika kita melakukan sesuatu kerja yang sepatutnya, maka akan dikatakan tidak bertanggungjawab. Pernah atau tidak kita tenangkan perasaan kita dengan meminta penjelasan dari empunya diri. Mohon penjelasan dan berlapang dada, itulah yang sebaiknya bagi meleraikan prasangka buruk terhadap orang lain dan menjernihkan hubungan sesama manusia.

“Kenapa tidak datang mesyuarat?” soal Pengarah Program.

“Saya ada kelas ganti. Saya dah hantar mesej untuk maklumkan hal ini” Penjelasan diberikan.

“Alaah! Alasan, kamu nak lari dari medan dakwah!” Maka berlakunya proses pulau-memulau terhadap individu tersebut yang hanya disebabkan rancangan Pengarah Program tidak dapat dilaksanakannya.

Mengapa ini boleh berlaku? Jawapan yang mudah adalah kerana Pengarah Program itu hanya memerhatikan tindakan sahaja sedangkan dia tidak tahu apa yang berlaku di sebaliknya. Lebih memeritkan adalah hanya kerana ‘istilah’ yang berbeza ianya mahu diperdebatkan di dalam mesyuarat. Persoalan yang lazim dilontarkan adalah ‘mengapa’ dan kurang memberikan ‘bagaimana’ menyebabkan persoalan yang dikeudarakan tidak dapat menemukan jawapan, lalu kedua-dua belah pihak membuat kesimpulan yang jarang sekali tepat dengan situasi sebenar.

Jangan mudah menghukum! Apabila tindakannya tidak sama dengan penampilannya ataupun kaedahnya yang berbeza dengan sahabat lain, mohonlah penjelasan. Jangan terus memberi ‘konklusi’ dengan tidak memandang ‘objektif’ pemikiran individu tersebut.

Individu yang sering menjadi mangsa untuk ‘husnul zhon’ juga perlu tabah menghadapi sikap yang mungkin dikatakan tidak berasas dan tidak releven dari individu lain kerana mereka sendiri berada di luar ‘kotak releven’ yang anda miliki. Tetapkan dalam minda anda bahawa ‘kita tidak mampu untuk puaskan hati semua manusia’. Jadi, lakukan sahaja objektif anda selagi pelaksanaannya tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jangan mudah berputus asa dengan kata-kata yang mampu melemahkan ‘kelebihan’ anda.

Bayangkan sekiranya di sekeliling anda mempunyai gunung-ganang baju yang perlu dilipat, apa yang dapat anda fikirkan? “Huh! Mustahil aku dapat lakukan”. Mengapa begitu pantas membuat kesimpulan tanpa sebarang usaha? Lakukan tindakan dahulu barulah membuat kesimpulan. Gerakkan ‘tetikus’ terlebih dahulu baru melihat hasil akhir tindakan tersebut. Lakukanlah ‘lipatan baju’ tersebut sehelai demi sehelai tanpa memikirkan berapa banyak baju tersebut. Percayalah, suatu hari nanti anda akan kelihatan ‘sinar mentari’ di sebalik gunung-ganang baju tersebut yang sinarannya bukan dipancarkan pada anda seorang bahkan sinarannya juga turut dikongsi kepada semua insan yang berada di sekeliling anda, termasuk manusia yang menyatakan tindakan anda sebagai ‘tidak releven’.

Saturday, September 12, 2009

Sahabat Iqra': Mantapkan Semula!

Sahabat Iqra’ diwujudkan pada tahun 2007 dan ia bertujuan untuk menarik minat mahasiswa dan mahasiswi yang ingin menyertai kelab bercorak keagamaan dan lebih Islamik. Sesiapa sahaja yang mendaftar sebagai ahli Kelab Iqra’ secara automatik turut menjadi ahli Sahabat Iqra’. Namun, penglibatan mereka ke dalam Kelab Iqra’ seakan-akan begitu dingin ekoran salah tanggapan dan juga anggapan buruk mereka terhadap Kelab Iqra’ yang dikatakan begitu radikal terhadap isu semasa. Dengan ini, satu inisiatif telah dilakukan oleh Pimpinan Kelab Iqra’ dengan mewujudkan Sahabat Iqra’ bagi menyatakan sokongan mereka terhadap aktiviti bercorak keagamaan.

Beberapa persoalan sering bermain di minda. Apakah tujuan Sahabat Iqra’ diwujudkan? Untuk dijadikan sebagai penyokong kepada aktiviti Kelab Iqra’. Sejauh mana sifat ‘menyokong’ mereka terhadap Kelab Iqra’ sedangkan sebahagian besar dari mereka tidak pernah turut serta di dalam program anjuran Kelab Iqra’? Berapa ramai yang berdaftar sebagai Sahabat Iqra’? Berdasarkan data maklumat lebih kurang 150 ahli. Mengapa hanya sekitar 50 orang sahaja yang sering kelihatan penglibatannya dengan aktiviti Kelab Iqra’? Di mana silapnya? Ahli Sahabat Iqra’ menyatakan mereka tidak mendapat informasi terkini mengenai aktiviti kelab sedangkan poster dan hebahan telah dilakukan. Mereka malu untuk melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan dengan penampilan mereka yang seperti orang kebiasaan. Mungkin juga mereka tidak mengenali Majlis Tertinggi Kelab Iqra’. Apa yang boleh dirungkaikan di dalam permasalahan ini adalah hubungan Majlis Tertinggi Kelab Iqra’ dan Ahli Sahabat Iqra’ telah mewujudkan jurang pembeza antara kedua-duanya. Ahli Sahabat Iqra’ yang rasakan mereka tidak sesuai dengan aktiviti keagamaan, lalu menjauhkan diri mereka dengan aktiviti kelab manakala Majlis Tertinggi memandang mereka yang kurang fikrah tidak diperlukan dalam kelab lalu tidak ‘follow up’ mereka dengan informasi-informasi kelab.

Seharusnya setiap Ketua Lajnah perlu memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang semua ahli di dalam lajnahnya tanpa mengira apa jua yang ahli mereka tampilkan pada umum kerana dengan cara inilah istilah ‘menyokong’ dapat diwujudkan biarpun sebahagian dari mereka tidak mampu untuk menjadi ‘pendokong’. Cadangan penulis adalah ada baiknya Kelab Iqra’ dan Sahabat Iqra’ dipisahkan dari segi tanzim supaya jarak ini dapat dikurangkan dan informasi kelab dapat disalurkan dengan pantas. Iaitu dengan mewujudkan tanzim bagi Sahabat Iqra’. Fokusnya juga berbeza kerana Kelab Iqra’ meneruskan kaedah yang telah mereka lakukan selama ini iaitu aktiviti yang terdapat di dalam Sasaran Kerja Tahunan (SKT) manakala Sahabat Iqra’ lebih menumpukan aktiviti-aktiviti santai seperti riadah, rehlah, khidmat masyarakat dan lain-lain aktiviti yang tidak terlalu berat bagi mereka yang berpenampilan ‘orang biasa’.

Rajah 1: Carta organisasi Kelab Iqra’ dn Sahabat Iqra’ serta fokusnya

Setiap kali sesi pendaftaran Sahabat Iqra’ dilakukan, Ketua Lajnah Kelab perlu mengambil perhatian terhadap setiap ahli di bawah lajnahnya dan adakan pertemuan ‘by person’ dengan mereka supaya mereka lebih mengenali Ketua Lajnah mereka dan dari rajah 1, dapat kita simpulkan bahawa Sahabat Iqra’ adalah sebagai pembantu kepada aktiviti Kelab Iqra’ dan kewujudannya adalah amat penting bagi menurunkan tahap tanggapan buruk mereka terhadap Kelab Iqra’ sekali gus menjadikan medan kampus lebih harmonis dengan akhlak dan budaya yang sihat serta berada di dalam batasan syariat.

Wallah hu ‘alam.



Saturday, August 29, 2009

Hembusan Kasturi


Inspirasi dari lagu ‘Hembusan Kasturi’ nyanyian Inteam

“Nasyid sekarang ni dah tak jelas matlamatnya. Seolah-olah nak mencari publisiti. Ciri-ciri dakwah dah tiada dalam bidang nasyid sekarang. Jadi, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid kau tu.” Tiba-tiba Nasrul bersuara. Aku terpanar dengan kenyataannya. Jika Nasrul hanya melontarkan pendapatnya sahaja, aku tidak mengambil kisah. Akan tetapi dia menyuruh aku meninggalkan nasyid. Aku keliru.


“Kenapa?” Aku inginkan kepastian.


“Macam yang aku kata tadi. Masuk nasyid sebab nak cari glamor. Platform nak cari kekasih saja. Dakwah apa macam tu?” Tegas Nasrul.


“Tapi, tak semua macam tu, kan?” Aku cuba pertahankan tindakan aku.


“Semua ke bukan semua ke, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid tu. berdakwah dengan aktiviti kelab kita je sudah. Berdakwah dengan cara bernasyid dah tak berkesan. Tengoklah apa yang dah jadi pada Faisal Tahir? Dulu kumpulan nasyid Mirwana, dia masuk OIAM terus jadi penyanyi rock. Dr Izu dari Saujana dah jadi lembut. Faizal dari Far East dah masuk Akademi Fantasia. Amende tu kalau bukan nak glamour?” tiba-tiba nadanya berubah menjadi tinggi. Aku diam seketika menantikan apa yang mahu dikatakannya lagi.


“Tak payahlah nasyid-nasyid ni. Matlamat yang tidak jelas. Berdakwah dengan bernasyid dah tak releven. Aku tak nampak relevennya.” Lagak gayanya begitu serius. Namun, aku kurang senang dengan caranya yang seolah-olah begitu arif dengan uslub berdakwah.


“Tak salah kan kalau aku nak jadi seperti Hembusan Kasturi?” Lontaran kata-kata ku penuh tersirat.


“Jadi Hembusan Kasturi?” Raut wajahnya bagai mempunyai seribu persoalan yang ingin dilontarkan.


“Kau hanya pandang nasyid dari segi luaran sahaja. Kau tak berada di dalamnya. Kalau kau sendiri yang berada di dalam arena nasyid, kau akan nampak relevennya. Macammana pandangan kau sekali pun, aku cuba terus berada dalam arena nasyid.” Bingkas aku bangun meninggalkannya keseorangan di situ.


Dalam hati aku memang tidak dapat dinafikan lagi. Begitu banyak lagu nasyid yang wujud sekarang ini kebanyakkannya bertemakan kasih dan cinta sesama manusia. Tatkala ada yang berhujah denganku berkenaan relevennya nasyid zaman ini, aku akan mati akal ketika hujah cinta sesama manusia yang dibangkitkan.


Melangkah lemah sambil memikirkan alasan yang boleh diterima minda. Bagi aku biar apa pun pendapat insan lain mengenai bidang nasyid, mereka seharusnya melihat bidang muzik yang lain terlebih dahulu sebelum arena nasyid dipersalahkan. Bagaimana dengan landasan irama rock? Rap? Balada? Apakah ini yang dikatakan berada di landasan yang betul? Mengapa nasyid yang perlu dilabelkan tersasar dari landasannya sedangkan mereka tidak bersuara langsung mengenai arena lain? Aku semakin bingung. Namun, apakah hujah yang boleh diterima untuk mempertahankan nasyid? Sedangkan orang yang dikatakan pendakwah pun tidak dapat menerima bernasyid sebagai uslub dakwah. Masih teringat kata-kata terakhirku pada Nasrul. Aku ingin jadi seperti Hembusan Kasturi.


Ya! Hembusan Kasturi! Irama nasyid umpama Hembusan Kasturi dan kewujudan aku di persada nasyid ini juga ingin menjadi seperti hembusan kasturi. Hembusannya mampu menyapa jiwa setiap insan terhidu akan harumannya. Begitu juga dengan alunan nasyid ini. Selembut suara merdu yang menusuk di jiwa, mengalunkan kata-kata berhikmah. Dengan harapan ianya mampu untuk membajai kekuatan diri sendiri. Kewujudannya juga boleh diumpamakan dengan seindah sang pelangi yang mewarnai bumi, menghiasi pentas dunia ini yang sebelumnya kehilangan sinar mentari. Biarpun pelangi hadir hanya seketika, sekurang-kurangnya pelangi itu ‘pernah’ mewarnai bumi.


Namun, apa yang kita perhatikan persada kesenian ini, terlalu banyak titik noda hitam yang berlegar-legar dan berkeliaran sehingga ada sesetengah artis yang sanggup untuk melepaskan kata-kata bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan mengatakan bertudung akan menutup periuk nasi sendiri. Berlakon dengan berpegang tangan antara lelaki dan perempuan terlalu biasa bagi mereka dan sanggup pula mereka mengatakan ulama dan ilmuan agama bertindak menghalang mereka berpegangan tangan adalah untuk menjatuhkan ‘kerja halal’ mereka.


Tidakkah mereka terfikir yang kata-kata mereka itulah yang akan menjadi hujah rakyat masa kini? Sehingga penghuni Malaysia pun sanggup mempertikaikan kecerdikan dan kewarasan para ilmuan agama. Perkara inilah yang membimbangkan kita semua. Atas alasan inilah jua aku berpendapat bahawa nasyid ini perlu diwujudkan dan dipertahankan bagi mewarnai kembali dunia yang semakin tidak berseri ini. Dengan mengalunkan alunan yang abadi, semerdu kalam Ilahi agar sekurang-kurangnya arena ini mampu memberi ketenangan di hati. Mendendangkan sadba dan selawat nabi melalui lagu dengan menjadikan sunnah Rasulullah sebagai contoh buat diri. Mendidik anak-anak kecil untuk menghafal doa-doa harian dengan berlagu. Dan pastinya kehadiran ini adalah untuk melengkapi kehidupan insani. Lihatlah bagaimana kewujudan Mu'adz yang tampil dengan lagu berpandukan hadis, bukankah jika kita dapat menghafal lagu-lagunya bererti kita sudah menghafal sebahagian hadis? Jadi, di mana ke’tidak releven’nya bernasyid ini?


Membangkitkan semangat juang dalam diri, mengalunkan selawat nabi, memperdendangkan doa-doa harian, berkasih dan bercinta di jalan yang dibatasi syariat, pembentukkan akhlak diri. Inilah yang dikatakan nasyid sebagai Hembusan Kasturi. Dan ia wujud bagaikan pelangi yang hadir menceriakan bumi yang dulunya kehilangan seri. Dan tidak mustahil, pelangi ini juga bakal hilang dari pandangan mata. Semoga kehadiran nasyid ini dihargai semua bagaikan terhidunya Hembusan Kasturi yang menghias diri.

Seindah Kata Sepahit Rasa

“Seindah kata, sepahit rasa”. Setiap bait kata yang terlafaz dari bibir kita tidak pernah sama dengan apa yang kita rasa. Kerana kata-kata yang lahir dari hati ini sering disertakan bersama imaginasi yang hanya indah-indah belaka. Mengenepikan segala sengsara. Dengan berfikiran ia mampu dihadapi jika kita yakin dengan janji-janjiNya. Saat ujianNya kian tiba untuk diberikan secebis janji kepada hambaNya yang yakin denganNya, di mana keyakinan kita? Saat itulah kita akan mempersalahkan takdir yang telah ditentukan. Dengan menjadikan faktor persekitaran sebagai penghalang kepada gerak kerja kita. Dengan membandingkan diri sendiri dengan orang lain. “Dia takpelah, dia tarbiyah tinggi. Aku? Waktu program, kena pumping 25 kali pun dah nak balik”. Dengan mudahnya kita mengalah dengan bicara yang telah kita lontarkan sebagai ‘Penguat Semangat’ kepada adik-adik atau mad’u kita sedangkan ia langsung tidak menjadi ‘Penguat Semangat’ pada diri sendiri. Di mana ‘Yakin dan Amal’ yang telah kita perlajari?


Berhati-hati ketika berbicara. Berhati-hatilah jua dengan nasihat yang akan kita berikan pada mad’u. Bimbang kata-kata kita tidak selari dengan apa yang kita bakal lalui. Kita perlu tahu bahawa kita sering diperhatikan oleh mereka. Lantaran itu, apakah keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kita masih lagi di tahap terbaik atau sekurang-kurangnya di tahap memuaskan jika mereka terpandang kelakuan kita yang tidak sama dengan nasihat yang kita lontarkan pada mereka? Inilah yang dinamakan ‘Kepercayaan’. Kepercayaan orang lain terhadap kita. Juga amal dari apa yang kita fahamkan. Ada baiknya jika kita berbicara pada perkara yang berpijak di bumi yang nyata. Nasihat yang tidak terlalu jauh dari peribadi kita. ‘Kepercayaan’ juga membawa maksud ‘thiqah’.


Sebagai seorang penggerak dakwah, kita mesti menjaga kepercayaan orang lain terhadap kita. Namun, bagaimana dengan ujian yang diturunkan kepada kita untuk melihat samada selari dengan apa yang kita perkatakan? “Kau cakap bolehlah, cuba kau sendiri yang berada di tempat aku”. Tentu sukar bagi kita menjelaskan situasi sebenar apabila kita sendiri yang mengalaminya. Kita inginkan orang lain mendengar nasihat kita sebagai pedoman buat mereka sedangkan kita sendiri sukar untuk menerima kenyataan yang berlaku pada kita. Sesuatu perkara perlu dilihat sebagai ‘Dua Dimensi Dunia’. Atau ‘Pasti Ada Hikmahnya’.


Kenapa Tuhan berikan semula ujian itu kepada kita setelah Dia berikan ujian itu kepada orang lain? Pernahkah kita terfikir? Renungkan bicara Tuhan kepada kita sebagai hambaNya, "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 155)". Beruntunglah bagi mereka yang bersabar dalam menghadapi cubaan dan dugaan yang hadir. “Hadapilah kesulitan dan kesengsaraan dengan senyum dan sabar semoga ia menjadi perisai dan penawar kepada cabaran dan halangan yang hadir ke dalam episod kehidupan.”


Tuhan telah berbicara kepada kita dalam ayat-ayatNya tentang kekuasaanNya dan janji-janji bagi orang yang tetap bersabar. Mengapa tidak kita pula berbicara dengan Pencipta melalui munajat di sepertiga malam? Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim berbunyi “Allah swt turun ke langit dunia ketika sepertiga waktu malam masih tersisa. Allah menyeru, adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu supaya Aku memenuhinya?”. Sesungguhnya, jika kita perhatikan ujian yang hadir pada ‘Dua Dimensi Dunia’, kita akan dapat mengecapi kenikmatan dalam kehidupan dan sekaligus menjadikan kita sebagai insan yang tahu bersyukur. Bersyukurlah, Bersabarlah dan Berpegang teguhlah kepadaNya.


Biarlah Aku Pergi

“Biarlah aku pergi”


“Mudahnya bibir mengungkap kata

Hakikatnya jiwa yang menderita

Pedih hati tidak terkira

Bagai diguris semahu-mahunya


Lantas apa lagi yang mahu diharapkan?

Mengharap pada kematian?

Mengharap hilang ingatan?

Mengharap pada kemalangan?

Hanya atas sebuah alasan

Si dia tidak dapat dilupakan.


Mengapakah wajah itu hadir kembali?

Walau kenangannya dilontar sejauh langit dan bumi

Mengapa kenangan itu diselami lagi?

Mengapa rindu masih menapak di hati?

Bibir kata tidak lagi menyintai

Tekad walau apapun yang terjadi

Jiwa dan raga tidak mahu menerimanya lagi


Tetapi hati sukar untuk menipu diri

Wajahnya masih tersisa di hati

Biarkanlah aku pergi

Kerana si dia tidak lagi berada di sisi

Kerana si dia tidak lagi aku miliki…


Dan ianya ditinggal berlalu,

Hakikat sebuah rindu…”