“Menyambut hari lahir di Hari Konvokesyen UTHM ke-8”. Tidak pernah aku terfikir yang aku akan menyambut hari lahirku yang ke-24 di Majlis Konvokesyen ini. Biarpun tanpa sesi penyembelihan kek (wahaha), menerima segulung Ijazah juga merupakan satu hadiah yang tidak ternilai harganya. Alhamdulillah.. Allah masih memanjangkan usiaku untuk terus berbakti di bumiNya.
Pengorbanan ibu ayah serta seluruh ahli keluargaku dari Kulim-Kedah ke Parit Raja-Johor cukup membuatkan aku berasa amat gembira dengan perjalanan hidup ini biarpun pelbagai mehnah dan tribulasi hadir menyapa ketabahan diri.
Ini merupakan kali ketiga keluargaku menjejakkan kaki di Parit Raja. Pertama kali mereka menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun 2003 iaitu pada hari pendaftaran untuk aku bergelar seorang mahasiswa di peringkat Diploma. Kali kedua adalah pada tahun 2006 di Hari Konvokesyen ke-5 apabila tamatnya aku menyempurnakan peringkat Diploma dan 2009 adalah kali ketiga ketika menyempurnakan peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Satu langkah lagi aku menuju ke hadapan. Menuju ke medan yang lebih mencabar minda dan jiwa setelah melangkah keluar dari alam kampus. Sekian lama aku berada di dalam ‘Aquarium Perjuangan’, diberi segala macam keperluan dan panduan. Kini, aku telah dibebaskan ke dalam laut yang cabaran dan halangannya tidak terjangkau di minda. Mengaplikasikan segala keperluan dan panduan yang telah diberikan di dalam kampus. “Dengan Hikmah Kita Meneroka” adalah motto untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
“Selamat Bergraduasi dan Selamat Hari Lahir Buatku....”
0 comments:
Post a Comment