Pages

Subscribe:

Saturday, September 17, 2011

Tragedi Malam Jumaat 1/3 - [2nd Edited]


Passing bola itu pada aku, Azam.” Laung Farid pada Azam yang berada di sebelah kanannya.

“Nah! Hati-hati di belakang.” Balas Azam seiring dengan kaki menendang bola ke arah Farid.

Farid memandang ke belakang yang dimaksudkan oleh Azam. Ada seorang pihak lawan sedang berada di belakangnya. Lantas, Farid mengambil bola dan berlari menjauhi orang yang ada di belakangnya.

Rancak sungguh mereka bermain bola petang itu.

Jam telahpun menunjukkan angka 6:59 petang. Tepat pukul 7:30 malam, azan maghrib akan berkumandang dari corong pembesar suara surau.

Sehingga kini, masih tiada lagi tanda-tanda yang mereka akan berhenti bermain. Dua sama keputusan yang diperolehi. Ini membuatkan semangat mereka semakin berkobar-kobar untuk memenangi permainan itu. Satu gol dikutip, pihak satu lagi pula tidak mahu mengalah. Masing-masing tidak mahu berundur dari permainan.

Azan mula kedengaran melaungkan kalimah ‘Allah Maha Besar’.

Permainan terpaksa dihentikan, keputusan masih tidak berganjak dua sama.

Keputusan seri.

Lalu mereka semua bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Azam dan Farid berjalan seiringan, rumah mereka berdua berada di satu lorong yang sama. Bezanya cuma hujung ke hujung sahaja.

“Kau ada apa-apa rancangan untuk malam ini?” soal Farid.

“Setakat ini belum ada lagi. Kenapa?” balas Azam ringkas.

“Aku fikirkan kau sudah ada rancangan. Bolehlah aku ikut sama.”

“Aku tidak ada apa-apa rancangan pun. Duduk rumah sajalah. Lagipun banyak kerja sekolah kita yang perlu dihantar esok, bukan?” Azam mengingatkan Farid, kerja sekolah yang perlu diselesaikan sebelum esok.

“Yup!” Farid mengangguk.

“Farid, aku masuk dululah. Kalau kau ada apa-apa rancangan malam ini, beritahu aku. Tapi kena balik awallah sebab kita ada kerja sekolah lagi” pesan Azam.

Farid mengangkat ibu jarinya ke arah Azam.

Azam melangkah masuk ke perkarangan rumahnya.

Farid meninggalkan Azam dan terus menuju ke rumahnya di hujung lorong itu.

Azan sudah habis dilaungkan. Hanya menunggu masa untuk bilalnya melaungkan iqamat bagi mendirikan solat Maghrib.

Farid membuka pintu pagar rumahnya dan melangkah masuk ke dalam.


*****


Farid melangkah keluar dari bilik air. Tuala masih melekat di kepalanya mengeringkan rambut. Wudhuk sudahpun diambil bagi menunaikan solat Maghrib sebentar nanti.

Dia melangkah masuk ke biliknya. Pintu almari baju dibuka. Tangan bergerak mencapai salah satu baju dari dalam almari. Matanya liar memerhatikan kalender yang wujud di sebelah almari pakaiannya. Mencari-cari angka 19 Septemper yang merupakan tarikh di mana perlawanan bola sepak antara sekolah menengah atas akan berlangsung. Perlawanan itu pada hari Isnin. Hari ini baru 8 September. Hari ini... Eh!

Hari Khamis!

Malam Jumaat!

Baca Yaasin!

Aduh! Macam mana boleh terlupa?

Farid menepuk dahi berkali-kali.

Mujurlah wudhuk sudah diambil, Baju-T yang sudah dicapainya, disangkut kembali ke dalam almari. Baju melayu berwarna ungu muda dicapai dan terus disarungkan ke tubuh.

Sejadah dihampar, takbir diangkat, solat dilakukan.

Rakaat pertama, rakaat kedua, takhiyat awal, rakaat ketiga, takhiyat akhir, kedua-dua salam dilafazkan.

Selesai solat maghrib secara bersendirian. Pantas.

Agak kelam kabut Farid menunaikan solat maghrib sebentar tadi.

Benarlah, solat kita akan jadi tidak kusyuk apabila kita bersolat secara sendirian. Kerana apabila kita solat bersendirian, kelompongan di dalam solat kita akan terwujud dengan sendirinya dan ini akan membenarkan syaitan mendekati ruang-ruang itu untuk mengganggu solat kita. Maka dengan itu, solat kita akan menjadi tidak teratur, fikiran teringatkan perkara-perkara lain. Tidak khusyuk.

Dan seharusnya kita solat secara berjemaah.

Rasulullah SAW bersabda, ‘Solat berjemaah itu lebih afdhal dari solat sendirian sebanyak 27 kali ganda’. Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Farid melangkah keluar dari rumah selepas bersalaman dengan ibunya. Ayahnya sudahpun ke surau sebelum azan Maghrib lagi. Dia saja yang lewat kerana begitu asyik bermain bola. Mungkin semangat untuk perlawanan bola sepak 19 September memenuhi ruang fikirannya ketika itu.

Langkah demi langkah diatur. Farid tidak terus ke surau. Dia menuju ke rumah Azam terlebih dahulu.

“Assalammu’alaikum.”

“Wa’alaikummussalam. Hah! Farid! Ada rancangan baik malam ini?” Sambut Azam seloroh.

Farid mengukir senyum.

“Ada.”

“Wah! Aku join. Tapi, apa rancangan kau malam ini?” Azam melontarkan pertanyaan untuk kepastian dari Farid.

Farid masih dengan wajah tersenyum. “Kita ke satu majlis malam ini. Pergilah pakai baju melayu kau dulu. Cepat sikit. Nanti kita terlewat.”

“Majlis apa pula ini?” Azam menggaru kepala yang tidak gatal.

Tawa Farid kedengaran. Perlahan dia menuturkan kata. “Majlis bacaan Yaasin. Di surau.”

Mendengar jawaban Farid membuatkan Azam terus meraup mukanya dengan kedua-dua belah tangan. “Malam ini malam jumaatlah. Macam manalah aku boleh terlupa pula.”

Lantas Azam juga melangkah semula ke dalam rumah, mencapai baju melayu dan kopiah putihnya. Dan terus keluar dari rumah menuju ke surau.

Farid menggeleng-geleng kepala.

Azam mengerutkan dahinya menandang Farid.

“Alah. Kau pun sama juga. Boleh terlupa malam ini ada baca Yaasin, Bukan?” Azam menepuk bahu Farid.

Sengih Farid semakin melebar.

Tanpa melengahkan masa, mereka berdua terus berjalan menuju ke surau.

***Bersambung***

0 comments:

Post a Comment