Pages

Subscribe:

Sunday, September 11, 2011

Juara Keranjang: Bab 01 - Tewas

Suasana di dalam dewan Inter-Light sepi. Hanya kedengaran dentuman bola keranjang di papan keranjang, berselang-seli dengan bunyi dentuman bola di atas lantai. Seorang insan sedang melemparkan bola keranjang ke arah papan keranjang, bola itu menuju ke sasaran dan berjaya menerobos ke dalam jaring. Lalu bola itu jatuh ke lantai. Menghentam lantai beberapa kali, dan berhenti melantun. Meleret di atas gelanggang.

Di belakang baju insan itu tertera kemas huruf-huruf yang menerangkan empunya baju. A.Z.H.A.R. Azhar adalah Penolong Ketua pasukan bola keranjangnya. Southern Soul. Manakala pasukan itu diketuai oleh seorang insan yang bernama Syahiran.

Pintu dewan terkuak. Kedengaran suara beberapa orang yang sedang berjalan memasuki dewan. Pada masa yang sama kedengaran juga hentaman bola keranjang ke atas lantai. Bunyi-bunyi itu menghampi Azhar. Azhar tidak menoleh, dia terus melambung bola keranjang yang ada di tangannya ke arah keranjang. Dia tahu pemilik-pemilik suara itu.

Azhar berlari dan menyambut bola yang baru saja dijaringkannya.

Dia menoleh ke belakang.

Senyuman dilemparkan.

“Berapa?” Azhar bersuara.

“54 – 30.” Balas Syahiran. Muram.

“Wah! Jauh betul bezanya?” Azhar seakan tidak percaya dengan apa yang didengar dari Syah.

“Memanglah. Kita bertembung dengan pasukan Showah. Pasukan cina.” Sambut Ikmal. Membenarkan realiti.

Hari itu, telah diadakan pertandingan bola keranjang bagi pasukan-pasukan bola keranjang yang ada di seluruh Negeri Johor. Southern Soul, adalah sebuah pasukan yang diterajui oleh Syahiran sebagai ketua pasukan dan Azhar sebagai penolong ketua pasukan. Azhar tidak dapat turut serta di dalam pertandingan itu.

Pasukan Southern Soul telah lama diwujudkan. Disebabkan ahlinya yang kurang sifat kebersamaan, pasukan ini menjadi agak kelam-kabut. Perbezaan sikap setiap ahlinya juga membuatkan Syahiran dan ketua pasukannya ingin membubarkan saja pasukan ini suatu masa dulu. Namun, hasratnya tidak menjadi setelah dia bertemu dengan rakan lama sekolahnya iaitu Azhar. Azhar menerima pelawaan Syahiran untuk turut serta ke dalam Southern Soul. Ketua Pasukan yang dulu, Ahmad Shuib telah melepaskan jawatannya sekaligus meninggalkan Pasukan Southern Soul. Syahiran menggantikan tempatnya. Pada Syahiran, ada banyak perkara yang masih belum selesai. Kini, dia bersama Azhar cuba untuk memperbetulkan apa yang masih terumbang-ambing.

Azhar memandang wajah ahli pasukannya.

“Kalau begitu, tidak mengapalah. Mungkin stamina kita tidak cukup. Kita gandakan usaha. Petang ini kita berlatih lagi.” Kata Azhar meneutralkan keadaan. Wajahnya tersenyum. Tangan kanan digenggam dan dihampirkan ke dada. Meniupkan semangat.

Chaiyok! Chaiyok!” Suhaimi, bertubuh kecil menyambut bicara Azhar.

Syahiran, Hazeri, Hazrat, Zulfikri, Aripin, Ikmal, Junaidi, dan Ali mengangguk setuju. Menerima keputusan untuk berlatih petang pada itu.

Sadzly berjalan dari tepi dinding. Dia yang sedari tadi duduk agak jauh dari kumpulan itu menghampiri. Tidak semena-mena dia menghentam bola keranjang ke lantai sekuat hati.

Bola itu melantun.

Jefri pantas menyambut bola dari jatuh ke arah mereka berkumpul.

Semua mata tertumpu ke arah Jefri. Seketika kemudian, mereka semua melemparkan pandangan ke arah Sadzly.

“Stamina bertambah tetapi prinsip berkumpulan tidak ada, tidak guna juga!” Pintas Sadzly. Keras nadanya. Seperti ada perasaan yang tidak puas hati.

Azhar berhenti berbicara seketika.

Membiarkan keadaan menjadi tenang.

“Kekuatan stamina kita perlu disatukan dengan akal dan jiwa, barulah kita boleh dianggap hebat.” Azhar kembali menyambung. Dia cuba kaitkan kekuatan stamina dan kekuatan akal dalam menghadapi sesuatu halangan.

Semua diam.

“Sudahlah, petang ini kita berlatih lagi. Macam biasa.” Syah bersuara. Mengubah topik perbualan.

“Sempoi!” Ikmal bersuara santai. Kedua-dua tangannya diangkat tanda bagus.

Yang lain mengangguk.

“Aku tidak puas hati satu perkara saja!” Sadzly kembali bersuara. Tetap bernada keras. Semua mata kembali tertumpu kepada Sadzly.

Mereka semua sudah sedia maklum, Sadzly adalah seorang yang panas baran. Apabila ada di kalangan ahli kumpulan Southern Soul yang tidak melakukan seperti apa yang dirancang, pasti kesabarannya akan kecundang. Itu kelemahannya.

Azhar dan Syahiran memandang kepada Sadzly. Meminta meluahkan apa yang dia tidak puas hati.

Sadzly diam.

Wajahnya merah padam menahan marah.

“Apa yang kau tidak puas hati, Sadzly?” soal Syahiran lembut. Sebagai ketua pasukan, Syah perlu tahu masalah dalaman setiap ahli pasukan Sothern Soul. Itu matlamat utamanya. Mengubah tahap pemikiran ahli-ahlinya.

Sadzly memandang wajah Syahiran.

“Budak belagak tu!” bentak Sadzly.

“Firdaus?” Syahiran mengagak. Matanya mencari bayangan Firdaus. Tidak ada. Nyata Firdaus tidak berada bersama mereka.

“Siapa lagi yang suka berlagak dalam pasukan kita? Buat macam hebat. Passing bola tidak mahu langsung! Semuanya mahu bawa bola seorang. Kita ini siapa di dalam gelanggang itu?” suara Sadzly bertambah kuat.

Azhar dapat melihat sesuatu.

“Sudahlah tak mahu passing bola, shut pula jauh-jauh.” Sadzly terus mengkritik tindakan Firdaus.

Firdaus memang sebegitu. Dia adalah satu-satunya ahli pasukan Southern Soul yang pernah mewakili peringkat negeri sebelum mewakili universiti di alam kampusnya. Sudah pasti dia akan merasa dialah yang paling hebat di antara semua. Adakalanya kata-kata Syah sebagai ketua pasukan pun tidak diendahkannya.

“Tidak mengapalah. Kita berdoa saja semoga dia berubah.” Bicara Azhar cuba untuk menenangkan situasi.

“Tapi sampai bila kita perlu berdoa!?” Sadzly menengking.

Pandangan tajam Sadzly dibalas.

Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohanan kamu. Ini firman Allah di dalam surah Al-Mukmin, ayat 60. Kita kena yakin dengan takdir Allah.” Balas Azhar menasihati.

“Orang sebegini perlu diajar! Tidak guna berdoa lagi untuk dia!” bingkas Sadzly bangun melangkah pergi.

“Sadzly!” Syahiran memanggil.

Sadzly terus melangkah pergi. Keluar dari dewan Inter-Light.

Semua sepi. Tanpa suara.

Azhar memandang Zulfikri.

Zulfikri memandang Syahiran.

Akhirnya Azhar juga turut memandang Syahiran.

Menggeleng lemah.

***** Bersambung*****

0 comments:

Post a Comment