Pages

Subscribe:

Saturday, September 17, 2011

Tragedi Malam Jumaat 2/3 - [2nd Edited]


Setibanya di surau, jemaah telah pun berada di dalam posisi duduk tahiyat akhir. Mujurlah Azam telah berwudhuk sebelum mereka ke surau. Tanpa membuang masa, Azam terus masuk dan solat berjemaah bersama jemaah yang lain.

Masbuk.

Farid juga mengambil langkah sama iaitu berjemaah bersama mereka, diharapkan kelalaiannya di dalam solat bersendirian di rumah tadi dapat digantikan dengan solat berjemaah ini.

Ketika imam memberikan salam kedua, Azam dan Farid berdiri dan sambung untuk tiga rakaat seterusnya.

Solat maghrib selesai. Mereka menadah tangan membaca doa. Tangan diraup ke muka. Mereka berdua berjalan keluar ke beranda surau. Sementara menanti orang ramai selesai melakukan solat Ba’diah. Ada sebahagiannya yang duduk di luar surau sambil bersembang kosong.

Seketika kemudian, kedengaran suara Imam memberi salam kepada jemaah surau. Tanda awal akan bermulanya bacaan Yaasin. Farid dan Azam serta jemaah lain terus berjalan memasuki ruang solat.

Tangan Farid mencapai dua naskah surah Yaasin. Satu untuknya, satu untuk Azam. Mereka memilih untuk duduk di satu sudut surau itu. Mungkin juga kawasan yang tidak menjadi tumpuan orang ramai. Sedikit tersorok.

Imam yang berada di hadapan para jemaah itu memberikan sedikit keterangan mengenai fadhilat membaca surah Yaasin kepada para jemaah untuk makluman. Insan itu juga memohon supaya para jemaah sedekahkan pahala bacaan Yaasin kepada ahli keluarga, sanak saudara atau kepada mereka yang telahpun pergi meninggalkan alam ini.

Mereka memulakan bacaan Yaasin.

Bergemalah setiap ruang surau itu dengan suara para jemaah dengan bacaan surah Yaasin.

Suara para jemaah cukup kuat dengan bacaan ayat-ayat dari surah Yaasin itu. Sesekali Farid menjeling ke arah ahli jemaah lain. Adakalanya dia memerhatikan juga lagak Azam yang terkumat-kamit membaca surah Yaasin. Adakalanya mulut Azam terbuka dan tertutup tanpa mengeluarkan sepatah huruf pun.

Farid tahu, Azam begitu lemah dalam pembacaan Al-Quran. Masih lagi merangkak-rangkak walaupun usianya telahpun menjangkau enam belas tahun. Namun, masih juga terpancar sinar daya dan usaha untuk memperbaiki bacaannya sendiri, termasuklah sering menghadiri ke kelas tajwid. Itulah antara sifat azam yang perlu dikagumi.

*****

Sedang asyik mengalunkan bacaan Yaasin, jemaah surau diganggu dengan kerlipan lampu kalimantang yang ada di ruang solat. Lampu itu asyik berkelip berulang kali. Selang tiga puluh saat, ia berkelip lagi.

Bacaan Azam dan Farid terganggu. Pandangan mereka bukan lagi pada naskah Yaasin. Mata mereka tertumpu pada lampu yang sedang berkelip.

Selang seketika. Suasana kembali tenang.

Farid kembali mencari ayat yang tertinggal.

Begitu juga dengan Azam.

Tekun mereka memerhatikan ayat yang sedang dialunkan itu.

Lampu kembali berkelip.

Dan terus terpadam.

Suasana yang bergema dengan bacaan Yaasin sepi serta merta. Imam masih meneruskan bacaannya. Jemaah yang lain terus membisu. Azam menjadi begitu gementar. Apa yang terbayang di dalam fikirannya adalah ‘malam jumaat’, malam roh pulang ke rumah. Sudah banyak cerita perkara itu yang sering didengarnya. Kebanyakkan cerita adalah berlaku pada malam jumaat. Hari ini adalah malam Jumaat. Azam menjadi tidak menentu. Kedudukannya dirapatkan ke Farid.

Farid kelihatan tenang. Sepi tanpa suara.

Dia sedang menghayati surah Yaasin yang masih dibaca oleh Imam ketika suara jemaah lain sunyi sepi.

Dalam kesamaran, kelihatan satu bayangan bergerak pantas dari luar surau. Mulut Azam terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Bukan lagi ayat Yaasin seperti yang dialunkan oleh Imam. Berterabur bacaannya.

Dia terus mengulangi bacaan ayat kursi tersebut. Seketika kemudian, Azam terdengar pula derapan tapak kaki dari luar surau, bunyi itu betul-betul berada di belakangnya. Bacaan Azam bertambah laju. Tajwid sudah tidak mampu diteliti. Hatinya menjerit supaya perkara itu berakhir dengan segera. Dia semakin takut dengan tragedi ‘Malam Jumaat’.

Bayangan tadi muncul semula. Tetapi langkahannya menuju ke dalam surau.

Lilin ditegakkan dan dinyalakan.

Beberapa sudut surau itu cerah dengan limpahan cahaya lilin.

Azam melepaskan keluhan lega. Bayangan yang dilihatnya tadi adalah bayangan Bilal yang keluar mencari beberapa batang lilin.

Farid menepuk perlahan peha Azam. Dalam kegelapan itu Azam dapat melihat Farid sedang tersengih ke arahnya.

Azam hanya tersenyum tawar.

Lega dalam gementar.

Beberapa jemaah cuba membantu Bilal.

Masing-masing mengeluarkan pemetik api untuk menyalakan lilin.

Suasana kembali terang. Ada di kalangan jemaah kembali duduk di tempatnya dan meneruskan bacaan Yaasin. Ada juga yang hanya bertindak untuk mendiamkan diri mendengarkan bacaan ahli jemaah lain.

Hanya suara Imam dan beberapa orang ‘veteran’ sahaja kedengaran mengalunkan surah itu. Mereka sudah menghafalnya.

Farid masih mendengar bacaan itu.

Seketika kemudian, lampu yang terpadam itu kembali berkelip dan bercahaya semula. Keadaan ruang solat itu terang benderang seperti sebelumnya. Jemaah masih lagi seperti tadi. Ada yang menyambung bacaan bersama-sama Imam. Ada juga yang hanya bertindak sebagai pendengar dan pemerhati.

Pandangannya dilemparkan ke arah jemaah yang ada di ruang solat itu. Farid terasa pelik.

Memang pelik.

Para jemaah semakin susut bilangannya.

Ke mana ahli jemaah yang lain? Soalnya sendirian. Tanpa suara.

Farid menggaru kepala yang tidak gatal.

Ah! Biarkanlah. Bisik hati Farid. Matanya kembali ditumpukan kepada naskah Yaasin yang dipegangnya.

Ayat Yaasin ditenung.

Bacaan hampir ke penghujungnya.

Imam masih setia dengan bacaannya dari mula hingga akhir.

Pada akhir ayat Surah Yaasin, begitu kuat suara jemaah kedengaran. Hampir semua ahli jemaah di situ mengeluarkan suara membacakan ayat ke-83 surah Yaasin itu.

Farid sedikit terpanar.

Azam masih memandang naskah yang ada di tangannya.

Imam meneruskan tugasnya membacakan beberapa lagi surah-surah lazim, berzikir dan berdoa. Suasana menjadi sunyi dan sepi kembali. Para jemaah khuyuk mendengarkan doa yang dibacakan Imam.

Seketika kemudian, selesailah sudah majlis bacaan Yaasin.

Ahli jemaah berdiri dan bersalam sesama sendiri.

“Minta semua jemaah ke berenda untuk menjamah sedikit makan di sana.” Kata Bilal yang baru memegang mikrofon dari Imam.

Azam terus berdiri dan mencapai naskah Yaasin yang ada di genggaman Farid. Dia juga bertindak seolah-olah sebagai individu yang bertanggungjawab untuk memungut naskah Yaasin dari jemaah lain untuk diletakkan ke tempatnya.

Para jemaah keluar ke berenda bagi menjamah sedikit jamuan yang disediakan pihak surau.

Farid memerhati sekeliling dan lambat-lambat bangun menghampiri Azam.

“Jom makan.” Azam bersuara.

Farid mengangguk dan ikut serta bersama dengan jemaah lain menuju ke berenda.

Di berenda, dapat didengar dengan jelas masing-masing heboh menceritakan peristiwa yang berlaku sebentar tadi, lampu yang berkelip-kelip dan terpadam yang kemudiannya menyala semula.

Pelbagai andaian yang keluar dari mulut ahli jemaah yang hadir. Masing-masing dengan andaian dan perasaan tersendiri.

Suasana kembali meriah.

“Uik?” Azam terkejut. Pandangannya dilemparkan ke satu sudut berenda itu.

Farid mengalihkan pandangannya ke arah pandangan Azam.

“Ramainya.” Farid menyambung.

“Tadi tidak ada pun.” Balas Azam semula.

Kanak-kanak.

Mereka juga ada di surau? Turut menghairankan, jemaah yang hilang ketika lampu terpadam juga masih wujud di situ.

Farid sekali lagi menggelengkan kepala.

*****

Imam membacakan doa selepas solat.

Selesailah sudah menunaikan solat Isyak berjemaah.

Mereka berdua melangkah keluar dari surau dan berjalan pulang ke rumah masing-masing seiringan. Ayah Farid pulang lewat sedikit kerana mahu bertemu dengan rakan-rakannya di surau itu.

Di sepanjang perjalanan, Azam asyik bercerita semula perkara yang terjadi di surau ketika membaca Yaasin sebentar tadi. Dia meminta Farid untuk mengulas. Farid hanya mengangkat bahu. Adakalanya dia hanya menambah isi-isi bermanfaat yang perlu dikongsi bersama dia dan Azam di sebelahnya.

Kebanyakkannya adalah berbentuk nasihat dan renungan.

***bersambung***

0 comments:

Post a Comment