Pages

Subscribe:

Tuesday, September 13, 2011

Juara Keranjang: Bab 02 - Teguh

“Jangan lupa latihan kita petang ini” pesan Syahiran.

Semua mengangguk faham.

“Baik bos!” seloroh Ikmal. Tangannya diangkat dan diletakkan ke dahi. Tabik.

Yang lain ada yang tersenyum, ada juga yang ketawa melihat gelagat Ikmal.

“Kau ini, tidak habis-habis mahu bergurau.” Zulfikri menepuk lembut bahu Ikmal.

Ikmal memaling wajah memandang ke arah Zulfikri. “Hidup mesti kena Happy, baru tidak ada masalah.” Katanya sambil ketawa kecil.

Zulfikri tersenyum, dia menggeleng-geleng kepala.

Mereka kini sudah berada di luar dewan Inter-Light. Untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Eh! Petang ini latihan, Sadzly macam mana?” soal Suhaimi.

“Aku yakin dia akan datang.” Kata Syahiran yakin. Terus tersenyum.

“Kenapa kau yakin sangat yang dia akan datang?” Soal Ikmal.

“Kenapa kau serius sangat?” balas Suhaimi memandang ke arah Ikmal.

“Aku serius tidak boleh, aku bergurau pun tidak boleh!” Ikmal buat muka merajuk.

Yang lain terus ketawa melihat gelagat Ikmal.

“Iyalah, Iyalah. Jangan merajuk.” Suhaimi memujuk.

“Aku yakin Sadzly akan datang latihan ini sebab dia seorang yang dengar taat pada arahan ketua.” Jawab Syah.

“Firdaus?” Hazeri mencelah.

Syahiran melepaskan keluhan.

“Entahlah. Aku pun tidak faham dengan cara dia.” Respon Syahiran.

“Seorang yang ingkar taat pada arahan ketua.” Jawab Ikmal, mengulangi ayat Syahiran berkenaan Sadzly. Cuma posisi ayat itu di pihak sebaliknya.

Syahiran kembali melorek senyum.

Yang lain sudahpun ketawa.

“Baiklah. Kami balik dulu.” Hazeri melaung ke arah mereka semua. Tangannya diangkat ke atas. Suhaimi bertubuh kecil sedang membonceng motor Hazeri. Tangannya juga turut diangkat.

Kemudian disusuli dengan Hazrat dan Ali.

“Kalau balik dulu, sudah lama sampai rumah.” Kata Ikmal ditujukan kepada Hazeri, Suhaimi, Hazrat dan Ali yang baru saja berlalu.

Syahiran, Zulfikri, Azhar memandang Ikmal.

Aripin juga memandang ke arah Ikmal.

Ikmal memandang mereka berempat. Dia tersenyum.

“Aku balik sekarang!” Tangannya diangkat. Ikmal juga berlalu pergi. Mereka yang tinggal menggeleng sambil tersenyum.

“Tidak habis-habis mahu bergurau.” Kata Aripin.

‘Itu sifat dia. Dan inilah perbezaan kita.” Kata Azhar.

“Perbezaan yang perlu disamakan.” Sambung Syahiran.

“Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berperang di dalam menegakkan agamanya di dalam satu barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh. Surah Ash-Saff, ayat ke-empat.” Kata Zulfikri membacakan ayat dari surah Ash-Saff.

Syahiran, Azhar dan Aripin mengangguk.

“Seperti bangunan yang berdiri kukuh.” Azhar mengulangi bahagian terakhir ayat itu.

“Sebuah bangunan, bukan semuanya menjadi dinding, bukan semua yang jadi bumbung, tidak semua yang jadi tingkap ataupun pintu. Dinding tetap dinding, bumbung tetap bumbung, tingkap dan pintu juga begitu. Yang membuatkan sesebuah bangunan itu berdiri kukuh adalah kesemua mereka menjalankan peranan masing-masing.” Zulfikri menyambung.

Aripin, Syahiran dan Azhar pula mengangguk. Setuju.

“Baiklah. Aku perlu beransur pergi. Assalammu’alaikum.” Aripinberjalan menuju ke arah kereta Honda miliknya. Perlahan-lahan enjin kereta itu dihidupkan dan berjalan keluar menuju ke jalan raya.

“Wa’alaikummussalam.” Balas mereka yang masih di situ. Menghantar Aripin hanya dengan pandangan.

‘Bangunan yang berdiri kukuh’

Azhar memandang Zulfikri.

Lalu pandangannya dialihkan kepada Syahiran.

Syahiran memandang Azhar dengan pandangan persoalan.

Azhar tersenyum.

Dia melihat sesuatu.

*****Bersambung*****


0 comments:

Post a Comment