Pages

Subscribe:

Friday, September 23, 2011

Juara Keranjang: Bab 03 - Takdir


“Apa rancangan kita?” Soal Azhar.

Kini hanya tinggal mereka bertiga.

“Balik rumah.” Balas Zulfikri santai.

“Berjalan?”

“Jangan mengada. Rumah kita di seberang jalan saja.” Bicara Zulfikri membuatkan Syahiran dan Azhar tersenyum.

Mereka bertiga mula berjalan bersama menuju ke jalan besar. Rumah Azhar dan Zulfikri berada di seberang jalan. Mereka tinggal serumah. Manakala Syahiran tinggal berhampiran dengan Dewan Inter-Light. Rumahnya betul-betul di hadapan sebuah padang. Untuk menuju ke jalan besar, pasti mereka akan melalui rumah Syahiran terlebih dahulu.

Dari kejauhan, mereka mampu melihat suasana di atas padang yang berhadapan dengan rumah Syahiran.

Ramai remaja sedang berlari-lari di atasnya. Nyata mereka sedang bermain bola sepak. Boleh dilihat di atas padang itu ada beberapa kumpulan yang sedang beraksi bermain bola sepak. Bukan hanya dua pasukan. Terdapat banyak pasukan. Baik golongan anak-anak kecil, golongan remaja, mahupun kelompok yang sudah berumah tangga.

“Kau tidak berminat main bola sepak?”

Soalan itu terpacul keluar dari mulut Azhar. Soalan itu ditujukan kepada Syahiran.

Syahiran menggeleng.

“Kenapa? Sedangkan kau setiap hari melihat mereka bermain bola sepak.” Sambung Azhar.

Zulfikri hanya mendengar dan memerhati.

“Jiwa aku terdidik dengan bola keranjang.”

“Permainan bola keranjang ini bukankah permainan yang dikuasai oleh orang-orang cina? Lebih baik bermain bola sepak yang rata-ratanya adalah orang melayu.” Azhar terus menduga Syah. Menyuntik provokasi. Mata Azhar melirik ke arah Zulfikri. Senyumannya meleret. Zulfikri juga tersenyum.

“Tetapi itu bukan satu alasan kukuh untuk katakan orang melayu seperti kita tidak boleh bermain bolah keranjang, bukan?” soalan Azhar dibalas soalan.

“Benar. Bukankah peluangnya untuk orang seperti kita terlalu tipis?”

“Maksud kau?” Syah bertanya semula.

“Satu dalam seribu. Orang melayu yang main bola keranjang ini terlalu sikit. Sukar untuk menonjol. Sudah pasti kita akan tenggelam dengan kehebatan orang-orang cina.”

“Bagaimana kalau orang-orang cina bermain bola sepak?” Syahiran mengukir senyum. Situasi orang melayu dalam permainan bola keranjang diterbalikkan dengan situasi orang cina bermain bola sepak.

“Mereka juga sukar untuk menonjol, bukan?” sambung Syah.

“Tetapi kalau mereka berusaha dan mengkaji corak permainan bola sepak. Mereka juga akan sehebat orang melayu.” Jawab Azhar.

“Kenapa kita tidak berusaha untuk mengkaji corak permainan orang-orang cina dalam permainan bola keranjang?” Syahiran memulangkan pandangan.

Azhar sekadar tersenyum. Kredibiliti ketua pasukannya tidak boleh disanggah lagi. Dia menggangguk membenarkan kata-kata Syahiran.

“Lagipun tadi kau ada kata orang melayu dalam permainan bola keranjang ini ibarat satu dalam seribu. Bukankah itu golongan yang terpilih? Dan ia adalah golongan yang unik.” Syah kembali bersuara. Mengukuhkan jawabannya.

Azhar mengangguk lagi.

“Allah telah berfirman di bahagian terakhir ayat 249 Surah Al-Baqarah, Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah, dan Allah sentiasa bersama-sama orang yang sabar.” bicara Zulfikri setelah agak lama berdiam diri.

Azhar dan Syahiran memandang Zulfikri. Kemudian mereka melontarkan pandangan mereka ke arah pandang.

“Untung bagi orang-orang yang sabar. Sebab Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar.” Kata Azhar.

Syahiran mengangguk.

“Jika kita pandang diri kita pada perspektif Islam, kita akan dapat lihat banyak ganjaran yang Allah sediakan untuk kita. Sebab itulah kita perlu memandang diri kita dari perspektif Islam, bukan pada perspektif bangsa. Yakin dengan janji-janji Allah.” Sambung Azhar.

“Ini bermakna kita perlu terus merancang. Gagal setelah merancang adalah lebih baik daripada gagal tidak merancang.” Sambung Azhar lagi.

“Mereka merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik Perancang.” Sambung bicara Zulfikri dengan membacakan ayat 54 dari Surah Ali-Imran. “Hanya kepada Allah sahaja tempat kita bergantung harap.”

Syahiran seakan berfikirkan sesuatu.

Azhar dan Zulfikri menanti reaksi Syah.

Syahiran mula bersuara, “Kalau mahu perancangan kita lebih mantap, kita perlu duduk semeja dengan Aripin dan Hazeri.”

“Kenapa mereka berdua?” serentak soalan Zulfikri dan Azhar.

Syahiran tersenyum.

Dia mula bersuara, “Aripin seorang yang pendiam, tidak banyak bercakap, tetapi dia seorang yang suka memerhati. Kemudian, pemerhatian dia pula perlu dikongsikan kepada Hazeri kerana Hazeri seorang yang licik dalam perangkaan strategi.”

“Oh! Ya. Aku ingat. Hazeri pernah kata pada aku, permainan itu adalah satu tipu daya.” Azhar memetik jari. Teringat perbualannya dengan Hazeri minggu lepas.

“Inspirasi dari sabda nabi, perang itu adalah tipu daya.” Balas Zulfikri.

Zulfikri dapat melihat sesuatu yang tersirat.

Benarlah ayat yang dilontarkannya di hadapan dewan Inter-Light tadi.

‘Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.’

Zulfikri tersenyum.

Perbezaan itu mampu untuk mengukuhkan sesebuah perancangan jika perbezaan itu disatukan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” kata Zulfikri. Memetik ayat al-Quran dari Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Mereka terus berjalan menuju ke rumah masing-masing.

*****Bersambung*****

0 comments:

Post a Comment