Pages

Subscribe:

Friday, April 29, 2011

Izinkan Namamu Di Hati [5/5]

Aku terkejut. Betulkah apa yang aku dengar? Ibuku akan meminang Nur Atiqah untukku? Bagaimana dengan Hafiz?

“Hafiz datang jumpa ibu. Katanya Nazrul sukakan Nur Atiqah. Jadi, Ibu dan ayah pergi merisik dia. Alhamdulillah, keluarganya boleh menerima. Termasuk Atiqah sama.” Penjelasan ibuku itu bagaikan merentap degupan jantungku. Sukar untukku percaya.

Bukankah aku pernah terserempak dengan Hafiz dan Atiqah di pasaraya tempoh hari? Aku semakin keliru.

“Hafiz pernah bertanya ibu berkenaan baju kemeja yang Nazrul ada. Sebab Hafiz selalu nampak yang Nazrul kerap pakai baju kemeja. Kalau Nazrul keluar dengan Hafiz sekalipun, mesti Nazrul akan beli baju kemeja. Sebab itu dia tanya ibu.”

Baju kemeja? Baju yang pernah dibelek sewaktu aku terserempak dengan Nur Atiqah di Pasaraya? Mungkinkah ini ‘salah faham’ yang dimaksudkan Hafiz?

Setinggi-tinggi ukhwah adalah ‘Itsar’ iaitu melebihkan sahabat lain dari kepentingan diri sendiri. Selemah-lemah ukhwah adalah berlapang dada.

Tetapi, di manakah tahap ukhwah aku? Sifat berlapang dada pun tidak ada padaku sedangkan Hafiz boleh mengorbankan kepentingan dirinya untuk aku sebagai sahabatnya. Aku kelu. Air mata gugur menyembah bumi.

Inikah yang dikatakan pengorbanan seorang sahabat? Rupa-rupanya Hafiz bukanlah hanya setakat kawan, bukan juga hanya sekadar teman, tetapi dia adalah seorang sahabat. Sahabat sejati. Dia bukannya seperti Shah yang mengkhianati kawan sendiri.

Aku sudah tersalah menilai. Hafiz Haikal yang aku kenal ini adalah sahabat melangkaui sempadan. Dari dunia dibawa menuju ke akhirat, dan terbang merentasi pintu Syurga.

“Ya Allah, ampunilah dosa Hamba-Mu ini. Kembalikanlah erti ukhwah di dalam diriku. Dan kembalikanlah talian persaudaraan di antara aku dan Hafiz.” Hatiku merintih sedih. Lemahnya pengertian ukhwah padaku.

Tiit... tiiit...

Lamunanku terhenti. Mesej berbunyi. Aku terus menyeka air mata dari terus gugur.

Aku mencapai telefon bimbit yang ada padaku. Menekan punat tengah. Menjenguk butir-butir perkataan yang ada di paparannya.

Tertera nama ‘Nur Atiqah’

‘Salam. Di dalam laptop awak ada contoh-contoh kertas kerja dan laporan lengkap program. Awak bolehlah buka tengok untuk dapatkan idea.’

Aku terus menekan butang ‘reply’.

‘Terima kasih sayang, kerana sudi menemani saya waktu ini.’

Butang ‘send’ ditekan.

Mata fokus pada perjalanan. Lampu-lampu di kiri kanan jalan terang menerangi. Umpama terangnya harapanku ketika ini. Jalannya pula sentiasa sibuk dengan kenderaan yang masih belum ‘tidur’. Itulah dugaan, dugaan yang tidak pernah ‘tidur’ dari episod kehidupan manusia.

Seketika kemudian muncul lagi satu mesej datangnya dari orang yang sama, Nur Atiqah.

‘Biarlah apa pun yang terjadi, tempat seorang isteri tetap di sisi suami.’

Tenangnya hati ini apabila semangatnya hadir menyapa. Aku sentiasa mengharapkan dialah bidadariku di Syurga nanti.

“Aku terima nikahnya dengan Nur Atiqah binti Muhammad Azlan dengan mas kahwinnya sebanyak RM750 tunai.” Lafaz akad berjaya aku sempurnakan sebanyak dua kali. Gugup.

“Sah” bicara saksi. Aku lega. Tidak perlu lafaz untuk kali ketiga. Hatiku berbunga gembira.

Mataku memandang Nur Atiqah yang berada di belakang. Aku sedar, dia menitiskan air mata. Mungkin dua tangisan bercampur menjadi satu. Yang pertama, tangisan kegembiraan. Gembira menyempurnakan sebahagian lagi tuntutan agama dan memenuhi tuntutan Rasulullah untuk meramaikan Ummah. Yang kedua, tangisan kesedihan. Sedih dia tidak akan duduk sebumbung dengan keluarganya lagi.

Aku memandang pula di sebelah kananku. Pengapit yang kemas bergaya. Mohd Hafiz bin Mohd Haikal. Sahabat dunia akhirat. Lantas aku memeluk Hafiz seerat-eratnya. Dialah sahabatku yang sebenar-benar sahabat. Tangisan kegembiraan menyapa pipi.

Aku terasa seolah-olah aku sebahagian dari kaum Muhajirin pada ketika itu dan Hafiz pula adalah sebahagian dari Kaum Ansar yang sanggup menyerahkan ‘kepentingan’ sendiri untuk saudara se-Islamnya. Aku pilu. Aku berharap aku masih mempunyai penghayatan terhadap ukhwah, biarpun selemah-lemah ukhwah. Aku cuba untuk menghargainya.

Hafiz kini tidak berada di Malaysia. Sebulan selepas aku mendirikan rumahtangga, dia terus meninggalkan Malaysia. Mujurlah kami masih berhubung melalui telefon.

Telefon bimbit sekali lagi aku gapai. Mencari-cari nama seseorang dan menghantar mesej padanya.

‘Salam. Bagaimana kehidupan kau di Australia, sahabat? Apa khabar?’ butang ‘send’ ditekan. Semoga dia membaca mesej itu.

Nada dering lagu ‘Hijjaz’ berkumandang. Tertera di paparan telefon bimbitku nama ‘Hafiz Haikal’. Hafiz menelefon aku.

“Assalammu’alaikum, Hafiz.” Sambutku.

“Wa’alaikummussalam, Nazrul. Sihat?” suaranya kedengaran di hujung talian.

“Alhamdulillah. Sihat.” Soalannya dibalas.

“Aku ada berita baik. Mungkin dua minggu lagi aku akan balik ke Malaysia.”

“Wah! Jangan lupa beritahu lebih jelas mengenai tarikh dan tempatnya. Aku menanti kepulangan kau, Hafiz. Tak sabar nak berjumpa dengan kau.” Riang suara kedengaran di antara aku dan Hafiz.

“Okey. tetapi ada sebab kenapa aku pulang ke Malaysia.”

“Kenapa?” soalku kehairanan.

“Biarlah rahsia. Aku sudah sampai Malaysia nanti, kau akan tahu juga.” Bicaranya menyembunyikan sesuatu. Aku masih tertanya-tanya. Hafiz ketawa di hujung talian.

“Lepas ini, kita satu bahteralah.” Sambungnya. Masih lagi ketawa kecil.

Aku berusaha memikirkan ‘satu bahtera’ yang dimaksudkan Hafiz.

“Oh! Aku faham, aku faham” balasku. Barulah aku mengerti kiasannya itu.

“Aku ada kerja sekarang, Nazrul. Nanti kita jumpa di Malaysia.” Sambungnya tawa.

“Baiklah. Aku akan tunggu juga hari istimewa kau.” Jawabku juga diselangi dengan tawa.

Talian ditamatkan.

Telefon bimbit kembali dimasukkan ke dalam poket baju. Baju kemeja yang diberikan Nur Atiqah suatu masa dulu.

Aku tersenyum. Barulah aku faham dengan kiasan Hafiz. Hafiz pulang ke Malaysia adalah untuk mendirikan rumah tangga. Itulah ‘satu bahtera’ yang dimaksudkannya. Aku mengerti.

Keretaku sudahpun melepasi pintu pagar bangunan tempat kerjaku. Perkataan CreativeMind Revolution Sdn Bhd terpapar megah di bumbung bangunan itu. Iltizamnya syarikat itu menerajui pasaran negara.

Tempat parkir berhampiran dicari untuk menempatkan ‘Alexender’ aku, Proton Saga FL berwarna putih bersih. Sebersih semangat perjuanganku untuk me’revolusi’kan fikrah ummah.

Kereta diletakkan di hadapan bangunan itu. Aku keluar dari kereta dan mendongak ke atas bumbung syarikat yang meletakkan nama syarikat gergasi itu. Aku tersenyum megah. Bertuahnya aku dapat berkhidmat di sini.

Teringat nasihat dari isteri kesayanganku, Nur Atiqah.

“Islam itu tinggi, kita yang perlu buktikan bahawa Islam itu memang tinggi. Dan Islam juga ada ketegasannya. Adakala ia berlembut, adakala ia umpama ribut. Dalam diri kita perlu ada sifat Abu Bakar, ada masanya perlu seperti Umar. Perlukan berlemah-lembut supaya Islam dihormati dan perlukan ketegasan supaya Islam digeruni. Barulah Islam dapat menguasai.”

“Sudah tiba masanya untuk aku menggunakan sifat ketegasan yang ada padaku, Ikhwan Hafifi. Kau tidak akan terlepas lagi selepas ini.” Bisik hatiku. Aku tersenyum tenang sebelum memulakan pertarungan minda yang tegang.

Langkahku di atur menuju ke pintu masuk utama bangunan itu.

Mustahil aku akan segagah ini andai tidak ada Nur Atiqah yang menjadi permaisuri hatiku. Dan aku juga mustahil segigih ini andai aku tidak bertemu dengan Hafiz sebagai sahabat sejatiku. Kalian berdua banyak membantu aku tidak kira di mana situasi aku sekalipun.

Nur Atiqah. Izinkan namamu di hati sebagai Kekasih hati. Uhibbukafillah.

Hadirmu banyak membawa sinar dalam hidupku. Kaulah yang memberi kata-kata semangat ketika aku hampir jatuh rebah. Kaulah yang membimbing aku ke arah redha Ilahi yang Maha Pemurah.

Hafiz. Izinkan namamu di hati sebagai Sahabat sejati. Uhibbuukhwah fillah.

Sesungguhnya masa depan kita adalah bergantung kepada kisah lalu yang telah dilupakan.

Izinkan namamu di hati. Sentiasa di hati. Dulu, kini, dan selamanya kekal abadi.

Dan izinkanlah kami semua berada di Syurga Firdaus-Mu ya Allah. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Kakiku kini sudahpun berada di dalam bangunan CreativeMind Revolution Sdn Bhd. Bangkit untuk meneruskan perjuangan malam yang masih panjang. Dan cuba ‘menawan’ bangunan itu sepertimana Alexender berjaya menawan dunia.

******

Tamat.


0 comments:

Post a Comment