Pages

Subscribe:

Tuesday, April 26, 2011

Izinkan Namamu Di Hati [3/5]

“Itu macam Nur Atiqah!” bisik aku sendirian. Aku kini berada di sebuah pasaraya. Keseorangan. Ramai orang yang melintasi di hadapan aku membuatkan aku sukar untuk melihat susuk tubuh itu dengan jelas.

Aku menghampirinya. Cuba melihat wajahnya dari arah sisi. Dari kejauhan, aku pasti insan itu adalah Nur Atiqah. Namun, aku perlukan kepastian.

Memang tepat tekaanku. Atiqah mengenakan baju kurung berwarna putih krim berbunga coklat kecil. Keayuannya jelas terpancar.

Nur Atiqah sedang tekun memilih baju yang tersusun di hadapannya. Aku menghampiri.

“Assalammu’alaikum.” Sapa aku.

Atiqah sedikit terkejut. “Wa’alaikummussalam”. Wajahnya yang sungguh tekun sebentar tadi, kini tersenyum.

“Awak beli apa?” Atiqah bertanya setelah lama aku tercegat di sebelahnya.

Aku menunjukkan sebungkus beg plastik hitam kepadanya. Tidak dapat melihat isi di dalam. Atiqah cuba mengagak apa yang ada di dalam beg plastik itu.

“Barang komputer?” Atiqah memandang ke arah aku. Mohon kepastian.

Aku tersenyum sambil mengangguk. “Pandai awak teka.” Pujiku.

“Macamlah kita tak tahu yang dia tu tergila-gilakan komputer.” Katanya sambil menjeling kepadaku. Tangannya ligat memilih baju yang tersusun kemas di hadapannya.

“Komputer dia canggih. Komputer jenis AMD Athlon. Guna harddisk 500Mb. Penuh dengan perisian-perisian grafik.” Katanya lagi. Aku hanya mampu tersenyum. Tidak terkata apa-apa.

“Kenapa dengan komputer awak, Nazrul? Bermasalah?” Atiqah sekali lagi bersuara.

“Yup! Jadi ‘blue screen ‘, keluar skrin warna biru.” Kata aku ringkas.

“Oh! Kalau jadi begitu, biasanya ada masalah pada RAM atau Harddisk awak. Jadi, apa yang awak buat?” Soal Atiqah. Aku tidak menafikan, Atiqah seorang mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Maklumat. Sudah pasti ragam komputer dapat dikenal pasti dengan mudah.

“Saya format semula. Senang cerita.” Balasku sambil tersenyum. Tidak perlu fikir banyak. Format sahaja.

Atiqah tergamam seketika. Kemudian dia kembali tersenyum. Matanya kembali membelek sehelai baju kemeja yang dikeluarkan dari rak. Sedang Nur Atiqah memerhatikan baju itu, hatiku tersirat persoalan. Kenapa Atiqah membelek-belek baju kemeja? Baju yang biasanya dipakai oleh kaum lelaki?

Namun, persoalan itu hanya bermain di hati sahaja.

Nur Atikah kembali memandang aku.

“Awak kan pakar komputer. Format berpuluh-puluh kali pun tak jadi masalah, kan?” katanya seakan memerli. Menghentikan persoalan yang bermain di hati. Aku senyap sambil tersenyum.

“Barang komputer apa yang awak beli?” Soalannya kembali dituju pada beg plastik hitam yang setia pada tanganku itu.

“RAM, 2Mb. Mahu tambah RAM. Bagi komputer laju sikit.” Jawabku ringkas tetapi jelas.

“Sebelum ini awak pakai RAM berapa?” Soalnya lagi.

“512kb.” Sekali lagi ringkas jawabanku.

Membulat mulut Nur Atiqah tanda faham. Aku mengangguk.

Suasana sepi.

“Awak cantik, Atikah.” Pujiku. Antara dengar dan tidak.

Atiqah mencerunkan matanya memerhatikan aku. Dia berpaling semula. “Baru tahu?” Gurauannya. Dia tersenyum memandang aku. Rupanya dia mendengar.

Suasana sepi lagi.

“Atiqah, saya ada sesuatu perkara yang mahu saya beritahu pada awak.” Kataku sambil cuba untuk serius dengan apa yang ingin aku katakan.

Tiada senyuman yang terpapar di wajah Nur Atiqah. Pergerakkan tangannya terhenti. Dia berdiri bertentangan dengan aku. Cuba memberi perhatian.

“Boleh tak kalau saya mahu jadikan awak sebagai pelengkap hidup saya?” Kataku tenang. Penuh berkias. Aku cuba melakar senyum. Tidak menjadi. Kaku.

Atiqah terus ketawa kecil. “Jiwang karatlah awak ni.” Katanya sambil terus ketawa kecil. Aku bingung. Cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan situasi ini.

Suasana sepi seketika. Sesekali Atiqah kembali ketawa kecil. Meronta jiwaku.

Jawablah Atiqah!

“Sebenarnya, Atiqah akan jadi milik oranglah.” Atiqah menjelaskan keadaannya. Dia kembali ketawa kecil.

“Atiqah akan bertunang tak lama lagi.“ wajah cerianya terpapar jelas. Tidak lagi ketawa kecil. Itu berita gembira baginya. Tetapi bagi aku?

“Cincin inilah buktinya. Ia membuktikan yang Atiqah sudah dirisik orang.” Katanya lagi. Garisan senyuman pada wajahnya tidak pernah pudar. Hatiku tergaris luka, perasaan terus pudar.

“Dengan siapa? Saya tak tahu pun!” Aku sedikit kalut.

“Adalah. Mana boleh beritahu sekarang.” Senyuman Atiqah semakin lebar. Aku cuba melakar senyuman. Berpura-pura bergembira dengan berita ‘pertunangan’ Atikah tidak lama lagi.

Sungguh! Hati aku sukar untuk menerima berita itu! Namun, aku cuba untuk berlagak tenang. Rela dengan redha. Biarpun terseksa.

Pada masa yang sama, aku juga memikirkan lelaki manakah yang berjaya menambat hati Nur Atiqah.

“Atiqah harap persahabatan yang kita bina tidak terhenti di sini. Biarlah persahabatan kita tetap di atas jalan yang diredhai Ilahi. Jangan jauhkan diri dari Atiqah, Nazrul.” Wajahnya sedikit gusar. Perlukah aku menjauhkan diri darinya selepas ini?

Nur Atiqah memetik jari untuk meraih kembali perhatianku.

“Awak tahu tak, siapa yang berjaya bertahta di hati cik Nur Atiqah yang comel ini?” soalnya padaku. Cuba bergurau. Dua jari tangannya diangkat membentuk ‘peace’. Aku ketawa kecil. Hanya mengangkat bahu. Tanda tidak tahu.

“Atiqah! Ini yang Atiqah cari. Sudah jumpa.” Suara itu menyapa cuping telingaku. Aku dapat menangkap suara itu. Suara yang biasa aku dengar.

Satu susuk manusia menghampiri Atiqah. Menghulurkan sebuah bungkusan kepadanya. Hati aku semakin berdebar.

“Eh! Encik Nazrul Hakimi pun ada di sini?” pemilik suara itu menoleh ke arah aku. Tawa kecilnya kedengaran.

Itu suara Hafiz. Memang kepunyaan Hafiz! Aku cukup kenal dengan suara itu.

Wajah Hafiz tersenyum riang. Seperti tiada apa yang sedang berlaku. Aku memandang pula ke wajah Atiqah. Wajah yang tadinya gusar itu kembali melorek senyum. Apakah ini bermakna?

*****

Selesai solat Isyak, aku terus melulu keluar dari surau. Mencari selipar yang berselerak di hadapan surau. Dan berlalu pergi.

“Nazrul! Nazrul! Tunggu sekejap!” Hafiz turut keluar dari surau. Berlari-lari mendapatkan aku. Aku melajukan langkahan. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu mengadap mukanya. Tidak sanggup aku mengenangkan begitu intimnya Hafiz dan Nur Atiqah. Bukankah Hafiz sudah tahu yang aku cintakan Atiqah? Tetapi, kenapa... Ah!

Hafiz terus mengejar. Dan akhirnya kaki aku berhenti melangkah apabila tangannya sudahpun menyentuh bahu aku dari belakang.

“Kau mahu ke mana, Nazrul? Penat aku kejar kau.” Katanya sedikit keletihan. Tercungap-cungap. Wajahnya cuba melakar senyum.

“Kau mahu apa lagi dari aku?” suara aku ditekan. Lantang. Hafiz terkesima. Tangannya yang ingin memaut bahuku, terlerai.

“Kenapa dengan kau, Nazrul? Hafiz tertanya-tanya. “Apa salah aku pada kau?” bicara Hafiz lagi. Menyambung persoalan.

“Kau sudah dapat Nur Atiqah! Puas hati kau? Kau yang akan meminang dia, bukan?” Marah aku pada Hafiz dilepaskan. Posisi aku berubah. Kini aku berdiri mengadap Hafiz. Bertentangan dengannya.

Hafiz tidak bersuara. Namun, wajahnya sedang cuba memikirkan sesuatu. Memikirkan mengapa aku boleh berkata sebegitu padanya.

Hafiz menarik nafas. Cuba bersuara. “Nazrul, kau...”

“Sudahlah.” Aku memintas. “Aku sedar. Aku lemah. Tidak kuat semangat. Aku cuma insan biasa. Banyak kekurangan aku. Antara aku dengan kau jauh beza. Sudah tentu Atiqah akan memilih kau, Hafiz.” Rajuk aku.

Hafiz menghela nafas. Punca perbalahan ini sudah dapat dikesan.

“Kau pun tahu, bukan? Aku terlalu cintakan Nur Atiqah. Aku berusaha untuk mendapatkannya. Tetapi aku tidak sangka, kau sebagai sahabat aku, sanggup kau ambil dia dari hidup aku.”

“Kau sudah salah faham, Nazrul!” bicara Hafiz pantas. Tangannya cuba memaut bahuku. Aku tepis.

“Semoga kau bahagia dengan Atiqah.” Aku memusingkan badan dan berlalu pergi.

“Nazrul, dengar dulu aku mahu jelaskan.” Hafiz gagahkan diri untuk memberi penjelasan. Aku terus tinggalkan Hafiz di situ. Bergerak menuju ke hostel dengan hati yang kecewa. Tidak tahu yang mana satu perlu diutamakan. Pertembungan antara kawan sejati dan kekasih hati. Buntu. Pilu.

Hafiz telah jauh aku tinggalkan. “Maafkan aku Hafiz, kerana aku tidak mampu memahami hatimu.” Bisik aku bersendirian.

*****

Bersambung lagi...


0 comments:

Post a Comment