Pages

Subscribe:

Monday, April 25, 2011

Izinkan Namamu Di Hati [2/5]

“Siapa lelaki yang awak maksudkan tu?” Aku mengambil keputusan untuk bertemu dengan Julia. Aku inginkan kepastian dari mulutnya sendiri.

“Awak tak perlu tahu siapa orangnya.” Renungan matanya bagaikan ada sesuatu yang dirahsiakan dari aku.

“Saya ada hak untuk tahu. Sebab dia sudah rampas awak dari saya.”

“Tapi saya anggap awak hanya sebagai kawan saya sahaja. Tak lebih dari itu.” Wajahnya mula gelisah. Aku masih inginkan kepastian darinya.

“Awak kepunyaan saya. Lagipun kita sudah berjanji untuk hidup bersama.”

“Itu dulu. Saya tak dapat berfikir dengan matang.” Kata Julia tenang.

“Sekarang ni awak dapat berfikir dengan matang? Sehinggakan awak mampu untuk mengecewakan hati saya?” aku memintas kata-katanya. Julia hanya tunduk membisu.

Mungkin alasannya itu telah menjerat dirinya sendiri. Dengan perlahan mutiara dari matanya gugur menyembah bumi. Dia menangis. Dia cuba untuk menyeka linangan air matanya dari terus terjurai. Gagal.

“Kenapa Julia?” Datang seorang lelaki menarik tangan Julia. Julia tidak berkata apa-apa. Dia hanya menangis.

Aku menarik bahu lelaki itu untuk melihat wajahnya.

“Engkau, Syah!”

“Ya, aku!” Syah bersuara.

Syah berpaling mengadap aku, “Maaflah, Nazrul Hakimi. Bulan depan cuti sekolah bermula. Waktu itu kami akan bertunang. Keluarga aku dan keluarga Julia sudah berjumpa. Cuma aku nasihatkan kau, jangan ganggu Julia. Dia bukan milik kau lagi.” Kata Syah. Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan.

“Kau kawan aku, sanggup kau buat aku sebegini? Selama ini kau halang aku untuk mendekati Julia. Kau ceritakan segala-galanya perkara buruk mengenai Julia supaya aku menjauhi Julia, untuk kau dapatkannya?” aku kesal dengan sikap ‘kawan’ aku ini. “Perkara apa lagi yang kau hasut pemikiran Julia supaya dia jauh dari aku?”

“Sudahlah, Nazrul! Kau balik sajalah.”

Bicara Syah itu membuatkan aku tanpa sedar, satu tumbukan padu singgah ke perutnya. Dia tidak sempat berbuat apa-apa. Tertunduk menahan kesakitan. Julia memandang tepat ke arah aku. Dia tergamam. Juga bagi aku.

Aku mendekati Julia. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum meneruskan kata-kata. Mengumpul semangat yang masih tersisa.

“Julia. Apa istimewanya saya berbanding Syah? Kenapa awak lebih mempercayai kata-kata dia dari kata-kata saya? Tak sangka, hati awak begitu mudah untuk berubah.” Aku terus berlalu dari situ.

Mungkin sesuatu yang lebih buruk akan berlaku jika aku terus berada di situ. Kerana itulah aku mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu.

Aku tidak menyangka bahawa kawan yang sering bersama-sama dengan aku sanggup merampas kebahagiaan rakannya sendiri. Ah! Sudahlah! Julia Farhana bukan ditakdirkan untuk jadi permaisuri hidupku. Biarlah aku pergi.

“Ini segelas teh tarik, bang.” Suara remaja itu menyebabkan lamunanku terhenti. Aku tersedar. Perlahan-lahan telingaku menangkap suara remaja itu. Selang-seli kedengaran suara radio yang berkumandang.

Segelas teh tarik itu diletakkan di hadapan aku. Di biarkan seketika di situ supaya air itu menjadi sejuk sedikit. Jiwaku tenang melayan lagu-lagu yang keluar dari radio gerai itu. Celoteh deejaynya tidak kering gusi menceriakan pendengar-pendengarnya.

***********

Lagu UNIC sedang berkumandang. Begitu menusuk ke jiwaku. Aku terasa bagaikan ada kaitannya aku dengan lagu itu. Lagu yang bertajuk ‘Bicara tentang cinta’. Dinyanyikan oleh kumpulan nasyid tanah air, UNIC.


Salahkah ku mendambakan seorang puteri

Dan pasti kumengharap yang setia di sisi

Teman kala ku kedukaan

Memberikan daku cahaya

Sinari kehidupan

Walau ku tahu segala suratan Esa

Ku pohon kesetiaan pemberi inspirasi

Pengubat jiwa yang sepi

Agar dapat ku kecapi

Indahnya hidup ini


Nur Atiqah. Ingatanku serta-merta mengingati gadis manis bertudung. Peristiwa yang telahpun berlalu dua tahun yang lepas. Masih jelas di ingatan. Perwatakannya hanya biasa-biasa.

Mengingatkan jua aku pada ukhwah yang terjalin di antara aku dan Hafiz. Apakah Hafiz juga sama seperti Syah? Aku merenung sendiri.

Jam di tangan menunjukkan pukul 9:35 malam. Aku baru saja selesai solat isyak berjemaah di surau. Berjalan pulang bersama Hafiz.

“Hafiz. Apa pandangan kau terhadap Atiqah?” aku mulakan bicara setelah lama membisu.

Hafiz memandang ke arahku.

Dia sedang menyusun kata. Mula memikirkan ayat yang sewajarnya untuk diperkatakan. “Sebenarnya apa yang aku tengok dengan mata kasar aku, dia baik, rajin berusaha, sopan santun. Kata-kata dia sungguh berhikmah. Tegurannya tak membuatkan orang lain menjadi serba salah. Bertuah kalau dapat memperisterikan dia.” Hafiz memberikan pandangannya mengenai Atiqah. Dia tersenyum. Keningnya diangkat dua kali.

Aku tersenyum. “Sebab itulah aku berkenan pada dia.”

“Eh!” Hafiz sedikit terkejut. “Aku punyalah!” tumbukan lembut Hafiz mengenai bahuku. Aku hanya ketawa. Hafiz hanya bergurau. Dia cukup gemar bergurau.

“Kau rasa, hati dia terbuka untuk menerima mana-mana lelaki?” Pintas aku soalan peribadi.

Antara aku dan Hafiz sudah tidak ada apa-apa rahsia lagi. Kami mula mengenali sejak kami mula menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda lagi. Tidak perlu berselindung. Biarlah ada perbezaan pendapat, salah seorang dari kami pasti mengalah. Itulah Hafiz yang aku kenal. Tetapi adakalanya gurauannya itu benar.

“Soalan pelik. Tak pernah pun kau tanya soalan-soalan macam ini.” Kata Hafiz tersenyum sinis. Aku diam seketika. Menanti jawapan dari Hafiz. Bibirku tidak lekang dari senyuman.

Aku menyambung bicara sebelum Hafiz bersuara. “Bukannya apa. Aku bimbang kalau dia tidak dapat menerima aku. Lagipun, dia mesti mahu tumpukan perhatian pada perlajaran dulu. Soal cinta, aku tak pasti kalau dalam hati dia tidak ada istilah cinta.” Aku menjadi tidak keruan. Bimbang menyelubungi diri.

Hafiz menarik nafas. “Aku rasa tak payahlah, wahai encik Nazrul Hakimi.”

“Maksud kau?” Aku sedikit terpanar.

“Sebabnya, aku yang akan meminang dia dulu sebelum kau.” Hafiz ketawa dan terus berlari menuju ke satu selekoh hostelnya. Ketawa terus mengiringi. Aku tergamam.

“Aku bergurau sajalah. Aku balik dulu. Assalammu’alaikum.” Suara Hafiz masih kedengaran biarpun telah jauh. Aku sedikit lega. Mudah-mudahan harapanku masih ada. Mudah-mudahan juga Hafiz tidak serius dengan kata-katanya.

“Wa’alaikummussalam” balasku perlahan.

Perbualan terhenti.

Setibanya aku di hostel aku. Aku terus melangkah kaki ke dalam bilik dan merebahkan tubuhku ke atas katil. Ingatan kembali kepada Nur Atiqah. Gadis yang sering menjadi perhatian aku. Kata-katanya cukup membuatkan orang lain bersemangat. Termasuk aku. Apatah lagi penampilan dia yang indah mata melihat, mampu menjaga solat, dan boleh menutup aurat.

Aku terus mengurung diri di dalam bilik. Memikirkan apa yang harus aku lakukan. Berterus-terang atau memendamkan perasaan. Aku bingung.

Lantas aku tekadkan niat memulakan dengan persahabatan. Telefon bimbit digenggam dan satu persatu nombor Nur Atiqah terpapar di skrin kecil telefon itu. Nada dering kedengaran di hujung talian. Tetapi, aku terasa serba salah untuk berterus-terang. Telefon kembali ke keadaan asal. Nombor tidak jadi didail.

Bimbang. Betulkah apa yang aku lakukan ini? Risau ia akan membuatkan Nur Atiqah berasa tidak selesa dengan tindakan aku. Perlukah aku mencari seseorang untuk menjadi perantara bagi meluahkan rasa hati ini?

Fikiranku semakin keliru. Jiwaku menjadi semakin gelisah. Ya Allah, berikanlah ketenangan kepadaku dan berikanlah kekuatan kepadaku. Aku kembali menggenggam telefon bimbit. Aku tekad untuk berterus-terang. Hati sentiasa berdoa supaya dijauhkan dari segala kemurkaan Allah. Na’uzubillah.

Nombor telefonnya selesai didail. Nada dering sekali lagi kedengaran di hujung talian. Akhirnya panggilanku di sambut. Persahabatan bertaut.

Masa berlalu.

********

bersambung.....


0 comments:

Post a Comment