Pages

Subscribe:

Monday, April 25, 2011

Izinkan Namamu Di Hati [1/5]


Penat sungguh malam itu. Angin langsung tiada. Penghawa dingin yang ada seperti hanya suis hijaunya sahaja yang menyala, sedangkan kesejukkannya ditelan oleh situasi yang menyerabutkan ini.

Aku perlu selesaikan kerja tertunggak yang ditinggalkan oleh orang lain. Tarikh akhirnya adalah esok. Orang yang sepatutnya melakukan kerja ini adalah Ikhwan Hafifi dan Mohd Fauzi. Tetapi Mohd Fauzi telah menerima panggilan kecemasan dari adiknya. Jadi, dia terpaksa pulang ke kampung. Halnya? Aku tidak tahu. Selesai saja dia menerima panggilan, terus dia berkemas dan pulang. Meninggalkan kerja yang bertimbun.

“Huh! Peningnya kepala nak cari idea dalam waktu terhad macam ni.” Rungut aku sendirian.

Sesekali terlihat kelibat rakan sekerjaku yang berada di satu sudut pejabat. Sunyi sungguh malam itu. Hanya kami berdua di dalam pejabat.

“Saya mahu Nazrul Hakimi bantu Ikhwan Hafifi selesaikan kerja-kerja ini. Nazrul, awak gantikan kerja-kerja Mohd Fauzi. Apa-apa pun, awak yang akan bertanggungjawab, Nazrul Hakimi.” Bicara Encik Najib Ishak kepada kami berdua. Ikhwan melakar senyuman. Tetapi tidak bagi aku.

“Tiada alasan yang patut keluar dari mulut awak, faham?” Petahnya.

Aku hanya mengangguk lemah. Geram betul dengan situasi sebegini. Kerja sendiri masih belum selesai, ditambah pula dengan kerja orang lain. Malah, kerja orang lain pula yang perlu diutamakan.

“Sudah. Keluar. Buat kerja masing-masing.” Kata Encik Najib lagi, selaku bos besar syarikat CreativeMind Revolution Sdn Bhd.

Aku menurut perintah. Ikhwan Hafifi juga turut keluar mengikuti aku dari belakang.

“Jangan risau, Nazrul. Aku akan tolong kau. Sampai siap.” Kata Ikhwan bersemangat ketika tanganku memegang tombol pintu. Tangan kanannya menggengam erat bahuku.

Aku cuba melorek senyuman. Hambar. “Terima kasih, Ikhwan.”

Tiit... tiiit...

Lamunanku terhenti. Mesej berbunyi.

Aku mencapai telefon bimbit yang ada di sisi kiri mejaku. Menekan punat tengah. Terpaparlah mesej yang baru menjengah kotak inbox.

‘Nazrul! Sorry. Aku kena balik sekarang. Ada kerja yang nak kena buat. Kau buatlah seorang diri, okey.’

Posisi dudukku terus berubah. Membulat mata aku. Apakah ini?

‘Tak kan nak tinggalkan aku seorang saja yang buat kerja bertimbun-timbun ni? Lagipun ini kan kerja kau.’ Mesejnya ku balas pantas.

Tiit...tiit...

Telefon bimbit berbunyi lagi. Aku gapai dan terus membuka mesej yang aku yakin datangnya dari Ikhwan.

‘Encik Najib sudah beritahu kau kan, walau apa-apa pun kau yang akan bertanggungjawab. Jadi, ini sudah jadi urusan kau, bukan urusan aku lagi.’

Selesai sahaja aku membaca mesej tersebut, aku terus lemparkan telefon bimbit aku ke atas meja kerja.

“Buk”. Kuat hempasannya,

Tidak dihiraukan.

Geram. Geram dengan orang yang suka buat kerja lepas tangan. Ini bukannya pertama kali dia buat sebegini. Siapa saja yang ‘ditugaskan’ bersama dia, pasti perit kepala untuk menyelesaikannya. Nama saja bekerja dua orang, tetapi yang siapkan kerja hanya seorang sahaja. Dia? Cabut lari! Kemudian, pandai pula memberi alasan kepada pihak atasan. Jika ada kesilapan, pasti aku yang bersalah biarpun bukti jelas dia yang bersalah. Huh!

Aku sandarkan tubuhku di atas bangku yang sediaku duduk, mencari ketenangan. Kedua-dua belah tangan puas membelai kasar seluruh rambutku. Pening.

Fikiranku berputar. Mencari kaedah yang terbaik dapat dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Membuat kertas kerja bukannya mudah. Perlu dipandang dari pelbagai sudut perspektif. Kerangka kerja, latar belakang, belanjawan, tajaan, semuanya perlu diteliti berhati-hati.

Aku mencapai telefon bimbit yang terdampar di sudut meja, lalu aku menghantar satu pesanan ringkas. Berdiri dari tempat bersandar. Berjalan keluar dari ruang pejabat itu. Mengambil keputusan untuk ke gerai berhampiran bagi menenangkan minda.

Mata merenung seketika pada skrin telefon bimbit. Tiada lagi mesej dari Ikhwan Hafifi. Telefon bimbit kembali ke dalam poket seluar.

Pintu kereta dibuka, aku masuk ke dalamnya. Enjin kereta dihidupkan. Pintu ditutup. Lalu pedal minyak ditekan untuk menggerakkan kereta yang setia bersama.

*****

Kereta meluncur laju ke kawasan parkir berhampiran. Berhenti di tempat yang sesuai. Perlahan-lahan kaki melangkah keluar dari kereta Saga FL yang setia menemani aku ke mana saja arah kaki ini. Bergerak perlahan menuju ke satu sudut di sebuah gerai. Agak jauh dari orang ramai. Cuba mengosongkan minda. Usaha mendamaikan jiwa. Bersendirian seketika. Menanti semangat kembali tiba.

Aku termenung sendiri. Geram rasanya apabila mengimbas kembali mesej dari Ikhwan sebentar tadi. ‘Encik Najib dah beritahu kau kan, walau apa-apa pun kau yang akan bertanggungjawab. Jadi, ini sudah jadi urusan kau, bukan urusan aku lagi’. Fikiranku menerawang jauh.

“Bukan urusan kau lagi?” dengus aku. Begitu mudahnya dia melepaskan diri dari keserabutan minda ini. Tangan ‘berkeliaran’ di atas kepala. Tangan berpusing-pusing dari hadapan ke belakang, dan berulang semula dari belakang ke hadapan. Tertekan dan terkilan bergabung menjadi satu.

“Kenapalah kawan yang aku jumpa, kebanyakkannya seperti Syah? Depan saja tunjuk baik, sedangkan di belakang kita semuanya terbalik” Dengus aku sendirian. Mengeluh perlahan.

Syahrizal. Seorang kawan yang aku kenal pada awal tahun dari dalam kampus lagi. Sewaktu kami bersama-sama mengambil Diploma. Sifatnya sungguh baik di hadapan aku. Rupa-rupanya aku sudah tersalah menilai.

“Barulah aku mengerti perbezaan di antara kawan, teman dan sabahat.” Bicaraku sendiri.

KAWAN; Mudah dicari masa kita senang. Mudah juga mengkhianati bila tengok kita senang. Cukup besar potensi untuk tikam belakang.

TEMAN; Ibarat 'tidak menutup peluang serapat-rapatnya, tidak membuka peluang seluas-luasnya'. Masih boleh bersama suka duka. Namun, untuk bersama berduka, ada yang mampu dia hadapi, ada yang cuba dia lari.

SAHABAT; Suka, duka, sepi, gembira sentiasa bersama. Saat kita berduka, diingatkan kita pada janji yang esa. Saat kita di puncak jaya, diingatkan kita hanyalah hamba. inilah 'Sahabat Dunia Akhirat'.

Seorang remaja di hadapan aku setia menunggu untuk mengambil pesanan. Aku memandang wajahnya. Terpamer senyuman. Aku tidak dapat menggambarkan derita yang dimiliki petugas yang ada di hadapanku ini kerana senyumannya melindungi semua itu.

Aku hanya memesan segelas teh tarik.

Dicatit beberapa perkataan di atas kertas dan remaja itu terus menjalankan tugas.

Jam di tangan telah menunjukkan angka 12 pagi.

“Tak sangka Syah sanggup buat aku sebegitu.”

*****


Bersambung....


0 comments:

Post a Comment