Pages

Subscribe:

Wednesday, April 27, 2011

Izinkan Namamu Di Hati [4/5]


“Amboi, jauhnya dia berangan.”

Lamunanku terhenti lagi. Aku perpaling ke arah suara itu. Seorang wanita berdiri di sebelah kiriku. Aku menghulurkan tangan padanya. Tangan aku disambut dan dicium. Lalu wanita itu duduk bersebelahan dengan aku.

“Baru sampai rupanya bidadari saya seorang ini.” Kataku sambil tangan kiri mencubit pipi kanannya.

“Isy, awak ini. Orang tengoklah. Malu saya.” Katanya separuh berbisik. Tampak jelas pipinya berubah kemerah-merahan. Aku melakar senyum.

Aku terus tersenyum. Masakan tidak. Sedang diri dibelenggu dengan masalah, dia hadir. Hadirnya sahaja sudah cukup menceriakan suasana. Apatah lagi mendengar tiap bicaranya. Penuh nasihat yang membakar semangat.

Dialah satu-satunya yang ada di sisiku ketika ini. Dialah isteriku. Tiga bulan lagi, genaplah setahun perkahwinan antara aku dan dia. Dan aku harapkan dia akan terus kekal menemaniku sehingga ke Syurga.

“Kenapa asyik tersenyum ini? Serong?” matanya merenung ke dalam mataku.

Kali ini aku ketawa. “Mestilah senyum. Awak ada di depan mata saya.”

“Ada ada saja awak ini.” Dahinya berkerut. Bibirnya tersenyum.

Aku mengeluh kecil. Cuba untuk melepaskan beban ketika ini. Tidak dapat melepaskan semua sekali pun, biarlah dapat dikurangkan sedikit.

Dia merenung aku. “Awak ada masalahkah, Nazrul?”

Aku cuba untuk mempamerkan secebis senyum. Aku mengangguk. Aku kembali memerhatikannya. Melihatkan reaksinya.

“Masalah itu adalah tarbiyyah. Biarpun di awalnya payah, di akhirnya cukup indah.” Dia berhenti seketika dan kembali menyambung. “Apa masalahnya? Masalah kerja?”

Aku sekali lagi mengangguk. Bicara tanpa suara.

“Banyak sangatkah kerja awak?” Keningnya berkerut.

“Banyak sangat.” Aku mendepakan tangan. Menunjukkan betapa banyaknya kerja yang perlu diselesaikan. Yang paling penting, perlu disiapkan sebelum esok. Aku mengangkat kening dua kali. Dia tersenyum.

“Kawan awak seorang lagi, tak serabut kepala?” Dia bertanya.

“Dia sudah ‘ca-alif-but’, cabut.” Bicaraku meniru lagak pelakon Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Isteriku ketawa kecil.

“Jadi, dia tinggalkanlah awak untuk buat kerja-kerja dia?” duganya. Aku mengangguk perlahan.

Dia ketawa lagi. “Nazrul, Nazrul.” Dia mengeluh.

Aku mengangkat kening. Persoalan tiba serta merta. “Kenapa?”

Mata aku direnung. Mencari sinar di dalam kelam mataku. “Awak suami saya. Awak juga seorang pemimpin keluarga. Dan awak adalah seorang Da’ie. Seorang pendakwah. Bagaimana awak mahu memimpin ataupun berdakwah kepada orang lain, sedangkan awak sendiri pun tidak tegas, tidak tetap pendirian. Mudah orang lain mempermainkan awak.”

Aku terhenti tersenyum. Malu rasanya berada di hadapan isteriku ini. Hikmah bicaranya membuatkan aku terpanar. Satu rasionalnya mengatasi sembilan emosional yang lazimnya ada pada seorang wanita.

“Kita makan dulu? Saya laparlah.” Balasku cuba menukar topik. Wajahnya yang kembali tersenyum itu mengajak sama untuk aku tersenyum. Dan aku sudahpun tersenyum.

“Okey.” Bicaranya pantas. Tangan kananku diangkat membentuk ‘peace’. Hakikatnya aku tidak menjamah sedikit pun makanan selepas waktu pejabat petang tadi.

*****

“Kertas kerja belum siap lagilah ni?” soal isteriku. Sekali sekala nasi goreng yang ada di dalam pinggan dimasukkan ke dalam mulut.

“Belum lagilah, sayang.” Balasku sambil mencubit pipinya.

“Sekali lagi awak cubit pipi saya, saya cucuk tangan awak dengan garfu ini.” Garfu yang ada di tangannya diacukan ke arah tanganku. Aku ketawa. Sudah berapa kali pipinya aku cubit, aku pun tidak tahu. Tidak terfikir untuk mengira.

“Banyak kertas kerja yang belum disiapkan lagi. Laporan lengkap pun masih banyak yang tergendala.” Aku melepaskan keluhan. Berat beban yang terpikul di bahu ini. “Kalau ada laptop, mesti lebih senang. Boleh buat di mana saja. Tidaklah asyik terperuk dalam pejabat. Idea pun senang dapat.”

“Em! Memandangkan awak sudahpun membuka topik laptop.” Tangannya melepaskan sudu dan garfu di dalam pinggan. Mengambil sesuatu yang ada di atas pehanya. Nah! Laptop kesayangan awak.” Lantas beg galas bewarna biru itu diserahkan kepadaku.

Aku membuka zip beg dan melihat kandungan di dalamnya. “Eh! Bukankah laptop ini...”

“Sudah diperbaiki. Boleh digunakan.” Bicaranya terhenti seketika.

“Data yang ada di dalam Harddisk itu pun selamat.” Sambungnya sambil tersenyum. Kali ini dia pula mengangkat tangan kanannya membentuk ‘peace’.

“Bila masa awak hantar laptop ini ke kedai?” soalku kehairanan.

“Isy awak ni. Isteri awak yang comel ini bukankah lulusan Kejuruteraan Teknologi Maklumat. Ilmu komputer semuanya ada di sini.” Katanya lagak sambil meletakkan jari telunjuknya di kepala. Memaknakan ilmu komputer semuanya ada di dalam kepalanya.

Aku tersenyum.

“Lainlah awak. Cuma jadi Ketua Exco Penerbitan, Informasi dan Multimedia kelab saja.” Katanya seakan memerli. Senyum mengiringi. Selang-seli dengan ketawa kecil menghiasi. Bergurau.

“Eh! Saya jadi Ketua Exco Penerbitan, Informasi dan Multimedia Kelab pun, saya pakar rekabentuk grafik tau!” aku membela diri.

“Baiklah. Cuba awak jawab. Macam mana awak mahu merekabentuk sesuatu grafik kalau komputer awak rosak?“ Soalnya pada aku. Tangan kanannya pula mencubit pipiku. Aku tersenyum. Lantas, keningnya diangkat dua kali. Mengundang senyum aku.

Aku tertunduk malu. Apa lagi yang perlu aku katakan? Hanya mampu mengubah topik.

“Baiklah. Awak menang.” Aku mengalah.

Yes! Saya sudah menang!” balasnya seronok. Tangannya digenggam dan dihampirkan ke dada. Seperti orang yang sedang melaungkan kata-kata semangat

Sambung aku. “Awak sudah menang. Apa lagi? Kena belanja sayalah!”

Riak mukanya berubah. “Isy, mana aci?” tangan yang digenggamnya dileraikan. Mimik mukanya berubah rajuk.

“Aci ada di Indialah, sayang.” Kali ini, aku pula mencubit pipinya. Mengalah tidak bererti kalah. Asalkan mengalah yang penuh dengan hikmah.

Dia tersenyum dengan gelagat aku. Aku juga tersenyum dengan gelagatnya.

Nasi yang masih tersisa di dalam pinggan diatur masuk ke dalam mulut. Satu per satu.

*******

Tangan merenung jam di tangan. Jarum telah pun menjengah lebih angka satu setengah pagi.

“Lewat dah ni. Saya hantarkan awak balik.” Aku mula bersuara setelah agak lama berbual. Pinggan pun sudah lama terbiar kosong

“Tidak mengapa. Az-Zahra akan hantarkan saya balik.” Jelasnya mudah.

“Az-Zahra?”

“Sana.” Tangan diarahkan ke sesuatu tempat. Butang alat kawalan jauh kereta yang ada di tangannya ditekan berulang-ulang.

Bergemalah bunyi alarm Kereta Perodua Myvi hitam yang diletakkan di tepi jalan. Tanganku menarik tangannya. Menghentikan tindakannya. Bimbang orang akan berkata yang bukan-bukan. Dia tersenyum.

Kereta Myvi hitam itu adalah miliknya, dan ia telah dinamakan Az-Zahra oleh isteriku. Ini bertujuan supaya dia dapat mencontohi semangat perjuangan yang ada pada puteri Rasulullah iaitu Fatimah Az-Zahra. Mudah-mudahan dengan adanya kereta itu, memudahkannya untuk bergerak ke medan siasah dan memerangi kejahilan dalam jiwa generasi muda.

Aku berdiri dan berjalan menuju ke meja kaunter. Ingin membayar makanan yang telah dijamah tadi. Tanpa diduga, isteriku menghulurkan terlebih dahulu wang tunai kepada penjaga kaunter.

Dia tersenyum. “Saya sudah menang tadi. Jadi, biarlah saya belanjalah.” Katanya manja.

“Lain kali saya mengaku kalah sajalah, bagi awak menang. Boleh awak belanja saya tiap-tiap hari.” Aku berbisik ke telinganya. Senyuman aku lemparkan. Dia hanya ketawa kecil. Tangan kanannya menutup mulut. Mungkin bagi mengelakkan dia ketawa dengan kuat.

Aku cukup terharu dengan adanya dia di sisi. Syukur pada-Mu Ya Allah.

Perlahan-lahan langkah di atur keluar dan menuju ke arah kereta Myvi miliknya. Perodua Az-Zahra.

Pintu kereta dibuka. Dia masuk ke dalamnya. Kunci yang ada di tangannya dimasukkan ke dalam suis kereta. Enjin dihidupkan.

Dibiarkan seketika. Lalu dia keluar dari kereta dan merapati aku. Berdiri berhadapan. Dia merenung ke mata aku dan tangannya membelai rambutku yang sudah sedia kusut itu.

“Nazrul Hakimi.” Dia memanggil namaku. Aku merenung matanya.

“Islam itu tinggi, kita yang perlu buktikan bahawa Islam itu memang tinggi. Dan Islam juga ada ketegasannya. Adakala ia berlembut, adakala ia umpama ribut.” Katanya penuh kesopanan.

“Dalam diri kita perlu ada sifat Abu Bakar, ada masanya perlu seperti Umar.” Dia melakar senyum. Tangannya mencubit lembut pipiku.

Aku tersenyum. Mengangguk perlahan. Mengiyakan semua kata-katanya.

“Saya perlukan awak di sisi. Sentiasa selamanya.” Lontar bicaraku padanya

Dia tersenyum. Lantas tangan kanan aku ditarik dan dicium.

“Saya cintakan awak, Nazrul Hakimi.” Bicaranya lembut. Dahinya ku kucup.

“Saya juga cintakan awak, Nur Atiqah.” Balasku.

Dia kembali masuk ke dalam kereta. Pintu ditutup. Dia melambai padaku. Perlahan-lahan ‘Az-Zahra’ keluar dari kawasan parkir. Menuju ke jalan besar. Dan hilang dari pandangan.

Aku terus tersenyum. Tidak seharusnya aku berduka ketika semangatnya hadir menyapa di saat aku hampir berputus asa.

Nur Atiqah. Isteri kesayanganku. Tidak pernah terfikir yang Nur Atiqah akan menjadi isteri aku. Kini dia adalah pelengkap rusuk kiriku.

‘Az-Zahra’ telah hilang dari pandangan. Aku harus pulang ke pejabat untuk selesaikan kerja-kerja yang tertunggak. Berjalan perlahan menuju ke Kereta Saga FL yang terdampar di seberang jalan.

Tertera kemas perkataan ‘Alexender’ di belakang bonet kereta itu. Myvi Nur Atiqah bernama ‘Az-Zahra’, Saga FL aku bernama ‘Alexender’.

Alexender adalah seorang pemerintah yang berjaya menguasai hampir keseluruhan dunia dan dia juga merupakan pemerintah yang mempunyai empayar terbesar. Biarpun jumlah tenteranya jauh lebih kecil berbanding tentera Usmaniah, iaitu sekitar 35,000 berbanding 150,000 tentera Usmaniah, tetapi mereka mempunyai wilayah yang jauh lebih besar berbanding Usmaniah.

Aku juga ingin seperti itu, menguasai negara dengan pemikiran dan ideologiku. Aku berharap ideologiku mampu ‘berkeliaran’ di Malaysia ini. Bermula dengan minda dan berganjak ke Malaysia. Minda Revolusi, Malaysia Evolusi. Revolusi Fikrah, Evolusi Ummah. Mudah-mudahan ia menjadi realiti.

Pintu dibuka. Melabuhkan punggung ke atas bangku. Beg galas laptop di letakkan di bangku sebelah.

Enjin dihidupkan. Pintu ditutup dan perlahan-lahan pedal minyak kereta ditekan. ‘Alexender’ bergerak keluar menuju ke jalan besar. Menyusuri jalan ke Bangunan CreativeMind Revolution Sdn Bhd.


*******

Bersambung...



0 comments:

Post a Comment