Pages

Subscribe:

Tuesday, March 29, 2011

Buku Sebagai Teman

“Buku ‘Matahari’ dah sampai?” soalku kepada petugas yang sedang mengekori gerak langkahku di dalam sebuah gerai buku. Seorang wanita muda segak mengenakan blazer bewarna hitam. Manis bercermin mata.

“Sebentar ya, bang” Pintas petugas itu lalu menuju ke kaunter. Menggerak-gerakkan tetikus sambil memerhatikan paparan komputer yang terbentang di hadapannya.

Aku biarkan saja dia dengan tugasnya dan aku terus ‘berkeliaran’ di dalam gerai buku itu untuk menghiasi pandangan mata ini.

Tangan digerakkan. Mencapai sebuah buku yang ada dekat dengan tanganku. Sebuah buku yang membicarakan Solat Dhuha sebagai penarik rezeki. Membelek-belek buku itu dari kulit hadapan sehingga kulit belakang. Diperhatikan juga isi kandungan bagi buku itu. Bagi memahami apa yang dihujahkan penulis.

“Bagus tak buku ni?” tangannya melintasi hadapanku dan mencapai buku yang sama dengan buku yang ada di tanganku kini.

Aku pantas mengalihkan pandanganku ke arah suara itu.

Suara yang dimiliki oleh seorang lelaki berusia. Uban putih menghiasi hampir keseluruhan rambutnya. Dari cara pemakaiannya, seperti seorang yang professional. Mungkin juga seorang penjawat awam.

Aku memandang wajahnya dan kembali menatap buku yang ada di tanganku seraya berkata, “Saya pun tak pasti, Pakcik. Tengok penulisnya juga. Kalau penulisnya orang Indonesia, cara penyampaiannya tak sama dengan kita. Mungkin sesetengahnya susah untuk kita fahamkan.”

“Tapi penerbitnya dari Malaysia, Bukan?” soalnya lagi.

“Syarikat ini ambil juga penulis dari Seberang.” Jawabku ringkas. Buku itu diselak ke bahagian belakang untuk melihat sekilas biodata Penulisnya. Penulis dari Jakarta.

Suasana senyap seketika. Dia kembali meletakkan buku ‘Solat Dhuha’ ke tempatnya dan mencapai pula buku di sebelah buku tersebut.

“Buku yang pakcik pegang tu, bagus dibaca. Membuka minda.” Pintasku setelah sekian lama sepi. Lalu dia memerhatikan kulit buku itu. Mungkin untuk melihat nama Penulisnya. Muhammad Alexander. ‘Armagedon 2012-Bencana Akhir Zaman’.

“Hasil gabungan kajian dari Saintis, Quran dan Hadis. Ada juga diselitkan hujah dari kitab Injil.” Senyumku terlakar memandang ke wajahnya. Dia terus membelek-belek buku itu.

“Menarik.” Jawabnya ringkas.

“Saya ada juga membeli sebuah buku. Juga hasil gabungan kajian dari Saintis dan Al-Quran. Terlalu asyik menatap buku tu, ada kerja pun boleh bertangguh.” Tawa kecilnya kedengaran. Wajahnya sedang mengingati bentuk buku tersebut. “Kisah Yakjuj Makjuj” Sambungnya lagi.

“Penulis yang sama dengan buku yang Pakcik pegang tu. Muhammad Alexander.” Balasku semula. Senyumanku terlakar. Senyumannya juga terukir.

“Awak student Universiti?” soalnya. Memerhati ke arah aku.

Aku memandang semula ke wajahnya sambil mengangguk mengiyakan persoalannya, “Sudah grade. Tahun 2009.”

“Universiti mana?” Inginkan kepastian.

“UTHM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.” Balasku. Masih lagi membelek-belek buku yang ada di tanganku.

“Sudah kerja?”

“Sudah. Baru setahun.”

“Sudah bekerja pun masih ada masa untuk membaca?” soalnya penuh keraguan. Mungkin juga persoalannya itu untuk menduga.

Aku mengangguk. Soalannya dibalas, “Kenapa?”

"Kebiasaannya selepas seseorang melalui zaman belajar, mereka tak akan mengadap buku-buku lagi”. Jelasnya. “Student-student saya cukup susah untuk baca buku-buku sebegini.” Jelasnya lagi.

Student-student saya’? Aku kebingunan dengan kenyataannya. ‘Student-student saya’?

“Pakcik, Pensyarah?” soalku inginkan kepastiannya. Lagak gaya dan percakapannya memang seperti seorang pensyarah. Cuma, aku kurang pasti dengan kerjayanya.

Dia mengangguk.

“Pensyarah UiTM Seberang Perai, Pulau Pinang.” Jelasnya.

Aku mengangguk faham. Sebuah Universiti Awam yang berhampiran dengan Politeknik Seberang Perai Pulau Pinang.

“Adakalanya saya terpaksa mewajibkan pelajar-pelajar untuk beli buku-buku sebegini sebagai rujukan. Maklumlah, bukan semua yang boleh kita dapat dalam bilik kuliah.” Katanya.

“Kemudian pelajar diberi lima peratus sebagai markah tambahan.” Sambungku mengagak. Dia tersenyum sambil memandang ke arah aku.

“Kalau tak buat macam itu, nampak gayanya memang mereka tak akan belilah buku-buku sebegini.” Katanya sambil tersenyum. Mungkin dia faham dengan kata-kataku tadi.

Pelajar biasanya mahukan habuan dalam setiap pekerjaan mereka. Buat mereka yang ‘bekerja’ sebagai pelajar, tambahan markah sudah memadai bagi mereka.

“Tetapi, kalau diwajibkan mereka untuk membeli buku ini sekalipun, mereka akan baca?”

“Bagi yang memang minatnya membaca, mereka akan baca.” Katanya tegas. “Bagi yang tidak berminat untuk membaca, saya ada cara untuk mereka.” Sambungnya lagi. Senyum di wajahnya tidak terpadam. Bererti dia sungguh yakin dengan ‘caranya’ itu.

“Bagaimana?” Soalanku menerpa spontan.

“Saya pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Dengan mengadakan pembentangan ringkas mengenai buku yang mereka beli sebagai rujukan. Setiap orang ahli di dalam kumpulan itu perlu menguasai setiap bab.” Jelasnya bersungguh. Matanya tidak terlepas memandang wajahku. Sebagai isyarat yang itu adalah kaedah penting untuk mendidik masyarakat supaya membaca. “Dan ia akan membuatkan ahli kumpulan lain berminat untuk menyelongkar bahan bacaan itu.”

Dia meletakkan semula buku yang dipegangnya dari tadi ke tempat asalnya.

Kemudian dia menyambung, “Saya juga mewujudkan tugasan individu, dengan meminta mereka untuk menghantar laporan ringkas mengenai bab yang mereka kuasai tersebut. Ini sedikit sebanyak akan membuatkan mereka ‘membuka mata’ mengenai buku yang mereka pilih. Hasilnya cukup puas hati!” Genggaman tangan dieratkan. Seolah-olah seseorang yang sedang melaungkan kata-kata semangat buat diri. Sekaligus melaungkan kata-kata semangat buat mereka yang mendengar.

Tidak disangka, dia mengambil semula buku yang baru diletakkannya tadi.

Tangan kiri diangkat menghampiri dada. Melihat jam di tangannya.

Seketika kemudian dia bersuara, “Maaflah. Saya tak ada banyak masa. Saya ada kerja yang perlu dibuat. Saya perlu pulang ke kampus sekarang. Ada perjumpaan dengan student saya.”

“Berkenaan dengan pembentangan buku rujukan?” Soalku lagi.

Dia mengangguk, “Benar tekaan awak. Saya pergi dulu. Assalammu’alaikum”.

“Wa’alaikummussalam” Balasku.

Dia berlalu pergi. Turut di bawa bersama dengannya adalah sebuah buku yang bertajuk ‘Armagedon 2012: Bencana Akhir Zaman’.

Aku kembali menatap buku-buku yang tersusun kemas di hadapanku. Lalu aku terpandang pada susuk tubuh yang berada di sebelah kananku. Petugas wanita muda yang setia menanti dari tadi. Dihulurkan sebuah buku padaku. Senyum pada wajahnya sentiasa mengiringi. Perkataan ‘Matahari’ terpampang jelas pada kulit hadapan buku itu. Aku tersenyum puas. Lalu hulurannya kusambut. “Terima kasih”. Ujarku. Dia hanya mengangguk.

Langkahku diatur menuju ke kaunter pembayaran. Urusanku hampir selesai. Buku dihulur bersama sekeping wang tunai. Jurujual itu menyambut dengan senyuman. Buku ‘Matahari’ dimasukkan ke dalam beg plastik.

Mataku tertancap seketika pada beg plastik itu apabila ada satu lagi buku yang dimasukkannya ke dalam beg plastik tersebut.

“Eh! Saya beli satu buku saja. Buku satu lagi tu bukan saya punya.” Ujarku. Terkejut.

“Tak mengapa. Pakcik berbaju kemeja tadi yang hadiahkan untuk abang.” Katanya ikhlas. Ada sedikit gugup. Mungkin gugup dengan reaksiku.

Aku membelek seketika buku itu sekilas pandang, buku ‘Kuasa kePEMIMPINan Al-Fateh’ yang dihadiahkan Pensyarah itu padaku.

Pada helaian pertama buku itu tertulis kemas dengan pen berdakwat hitam,


~ Mudah-mudahan, membaca itu menjadi sebahagian dari senjata yang ada di dalam jiwamu, wahai anak muda. ~


“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan” (Al-Alaq, 96: 1)


Aku tersenyum. Nama Prof. Hj. Yusoff tertera di hujung muka surat itu.

Hatiku tidak menafikan. Memang sukar untuk menerapkan budaya membaca di kalangan anak muda pada hari ini. Biarlah kerajaan anjurkan pelbagai kempen sekalipun, sambutannya hanya seketika. Kemudian, golongan muda ini kembali seperti biasa. Tanpa kita sedar, bukulah yang boleh dijadikan teman yang sudi meluangkan masa untuk menceritakan sejarah yang lepas untuk peringatan golongan muda hari ini. Supaya kesilapan dan kesalahan dulu tidak diulangi lagi pada masa hadapan.


“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali.” (HR Bukhari & Muslim)


Aku melangkah keluar dari kedai buku itu dengan sinaran harapan yang berbunga di hati.

0 comments:

Post a Comment