Berdasarkan entri sebelum ini iaitu ’Gesaan Pembubaran DUN Perak’ jelas membuktikan bahawa rata-rata inginkan pembubaran DUN di Negeri Perak bagi memulihkan semula keadaan di Negeri Darul Ridzuan ini. Serahkan kepada rakyat di negeri itu untuk memilih siapa pemimpin yang mereka inginkan, dari sinilah kita akan dapat tahu bahawa ‘ini adalah pilihan rakyat’. Bukannya dengan mengajak dua tiga orang wakil rakyat untuk lompat parti dan mengatakan ‘ini adalah pilihan rakyat’. ‘Rakyat’ mana yang inginkan kekalutan ini berlaku? Sudah pasti tidak ada rakyat yang mahukan suasana kelam-kabut yang berlaku di negeri mereka.
Pelbagai gesaan yang kita dapat lihat baik dari rakyat sendiri mahupun di peringkat pemimpin negara. Namun, perlu kita perhatikan sebelum berlakunya pembubaran DUN ini (jika ia benar berlaku), apakah Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP ini telah bersiap siaga dalam menghadapinya? Adakah setelah pembubaran DUN ini diperkenankan oleh sultan, barulah Pakatan Rakyat mula menyusun strategi untuk menawan hati rakyat?
Telah diketahui umum bahawa DAP merupakan kerusi majoriti di negeri itu, manakala PKR hanya memperolehi 7 kawasan dan PAS sebanyak 6 kawasan. Perlu diketahui juga pada Pilihanraya Umum Mac lalu menunjukkan bahawa PAS meletakkan calon teramai di antara DAP dan PKR iaitu sebanyak 21 kerusi, PKR 20 dan DAP sebanyak 18 kerusi yang menggenapkannya sebanyak 59 kerusi DUN Negeri Perak. Apa yang menyedihkan, PAS hanya memperolehi kerusi yang terkecil di dalam Pakatan Rakyat berbanding DAP yang meletakkan calonnya paling sedikit dan tidak berlaku kekalahan pada calonnya. Mengapa? Kerana melayu terpecah kepada dua iaitu Melayu UMNO dan Melayu PAS @ PKR. Melayu yang ada di bandar adalah Melayu PAS @ PKR manakala Melayu yang ada di kampung kebanyakkannya menyokong kuat UMNO. Hanya dengan berbekalkan basikal, bola takraw atau kain pelikat sudah mampu memadamkan api kemarahan mereka kepada UMNO dan kembali menjadi ‘penyokong setia’ kepada UMNO.
Persoalannya, mampukah Pakatan Rakyat terutamanya PAS dan PKR meraih hati rakyat untuk mengundi mereka atau sekurang-kurangnya mengekalkan kawasan yang mereka menangi?
Soalan menjelma lagi, mampukah Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan pengaruhnya di Negeri Perak seandainya rakyat sudah muak dengan Adun PKR Perak yang begitu mudah ‘Dibeli’ atau ‘Meletakkan jawatan’? Seandainya PAS dan DAP berjaya mengekalkan kawasan yang telah dimenangi sebelum ini, bagaimana dengan ‘Paras Kepercayaan Rakyat’ terhadap PKR dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Adun Changkat Jering dan Behrang yang asalnya dari PKR? Sudah tentu Paras Kepercayaan Rakyat terhadap parti ini kian menurun, melainkan mereka mempunyai hujah yang kukuh untuk ‘Pasakkan Kepercayaan Rakyat’ terhadap PKR.
Jadi, bermulalah dari sekarang wahai Pakatan Rakyat dan pendokongnya untuk mengekalkan kawasan yang telah dimenangi. Jika Barisan Nasional ‘mencuri’ pentadbiran dari Pakatan Rakyat, mengapa tidak Pakatan Rakyat ‘mencuri’ pula hati rakyat atau para pengundi yang dimenangi oleh BN sebelum ini? Supaya pergerakkan berkempen seandainya ‘Dun Perak dibubarkan’ dapat berjalan dengan lancar dengan keprihatinan dari Pakatan Rakyat. ‘Misi Menawan Hati Rakyat’ perlu bermula dari sekarang. Ayuh! Pakatan Rakyat! Takbir! Allah hu Akhbar!
1 comments:
salam..erm..persoalan yg diulas dlm hujah kali ni memg membuka minda..truskan hujah..bukakan minda rakyat yg selama ini tertutup rapat.. waAllahua'lam..
Post a Comment