Pages

Subscribe:

Friday, April 24, 2009

Membina Generasi Al-Quran


‘Membina Generasi Al-Quran’ adalah motto yang digunapakai oleh salah satu kelab di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Kelab Iqra’. Apa yang dimaksudkan dengan Membina Generasi Al-Quran ini adalah satu generasi yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup yang lebih terarah dan mempraktikkan apa yang telah dikhabarkan oleh Ilahi serta perbuatan dan perkataan yang ditampilkan oleh para nabi dan para sahabat. Sistem kehidupan akan lebih harmonis dan aman damai jika Islam dapat dilaksanakan dengan syumul atau menyeluruh apabila mereka mempelajari apa yang termaktub dalam Al-Quran.


Apa yang ingin dicoret di atas lembaran ini adalah berkenaan orang melayu yang mengaku Islam serta mengucap khalimah syahadah tidak mempraktikkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran sebaliknya hanya bermain di bibir tatkala aktiviti keagamaan sahaja ianya berkumandang. Namun era kini menampilkan satu anjakan paradigma yang ditonjolkan oleh orang yang bukannya beragama Islam mula berjinak-jinak dengan ayat-ayat suci ini di dalam setiap ucapan atau syarahan mereka. Ini suatu di luar jangkaan.



Insan1:

Mengapa dengan YB Nga Kor Ming? YB Nga Kor Ming merupakan Ahli Parlimen Taiping dan juga ADUN Pantai Remis merangkap Setiausaha DAP Perak telah menampilkan salah satu ayat yang terkandung di dalam Surah Al-A’raf di dalam penyampaiannya di Ceramah Bukit Gantang. Namun tindakannya itu mengundang kemarahan pihak UMNO yang mengatakan YB Nga Kor Ming menghina dan mempersendakan al-Quran lalu laporan polis dibuat terhadapnya untuk tindakan yang lebih tegas. UMNO juga mengatakan DAP menggunakan ayat-ayat ini sebagai modal pilihanraya. PEWARIS juga turut mengecam tindakan yang dilakukan oleh YB Nga Kor Ming. Sememangnya YB Nga Kor Ming akan menjalani kehidupan yang lebih mencabar lagi selepas ini.



Insan2:

Wakil Canning dari DAP, YB Wong Kar Woh yang juga merupakan Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak telah dua kali menyelitkan ayat Al-Quran semasa membahaskan Bajet 2009 di Negeri Perak. Beliau mendapat perhatian apabila beliau menyebut ayat ke-12 dari Surah Al-Hujurat yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”


Sekali lagi sebelum beliau menghabiskan ucapannya dengan membaca kalimah “Takmuru nabil maaruf watan hau anil mungkar" yang dipetik dari surah Ali-Imran ayat 110 bermaksud “menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah”.



Insan3:

Begitu juga dengan apa yang ditampilkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan bahawa “Al-Quran penting sebagai sumber perundangan utama dan mampu melahirkan masyarakat madani yang berakhlak tinggi, berintergriti yang bersesuaian dengan prinsip 'Amar Ma'ruf, Nahi Mungkar' dan Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT)” yang telah disampaikan di dalam satu majlis penghargaan kepada 102 orang penghafal dan pengajar Al-Quran yang memberi khidmat di negeri itu tahun lalu. Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengharapkan pengajian al-Quran dimajukan supaya masyarakat dapat diselamatkan apabila kandungan al-Quran dihayati dan bukannya diketepikan sebagaimana sebelum ini.

Apakah ini juga modal politik? Lebih menggemparkan adalah apabila beliau mengatakan bahawa “Jika bapa meninggal, saya masuk Islam” ketika beliau turun berceramah bahawa beliau ingin mengikut jejak langkah Umar Abdul Aziz iaitu Khalifah Islam pada zaman Bani Umaiyah.



Insan4:

Tidak terkecuali wakil rakyat PKR dari Parlimen Padang Serai, Kedah ini, YB N.Gobalakrishnan juga pernah membacakan ayat Al-Quran wamakaru wamakarullah wallahukhairulmakirin yang membawa maksud “Kita Merancang Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” yang dipetik dari surah Ali-Imran, Ayat 54.

Jika orang cina dan india mampu berbangga apabila kita fasih berbahasa mereka, mengapa kita perlu memberontak jika mereka mengambil tahu akan ayat Al-Quran yang diturunkan kepada kita sebagai umat Islam? Persoalannya, di manakah hukum yang mengatakan orang bukan Islam tidak boleh membacakan Al-Quran?



Di zaman dahulu telah terbukti dengan Saidina Umar Ibnu Khattab membaca Surah Thoha semasa masih kafir, yang akhirnya membawa beliau memeluk Islam. Maharaja Najasyi pemerintah Kristian dari Habsyah juga membaca Surah Maryam yang akhirnya beliau beriman kepada Allah. Dan banyak lagi peristiwa-peristiwa dalam sirah Nabawi yang menunjukkan ramai golongan bukan Islam yang beriman dan memeluk Islam hanya setelah membaca atau mendengar ayat Al-Quran dalam keadaan mereka masih kafir [1].


Ini adalah orang bukan Islam yang mendalami ayat-ayat suci Al-Quran. Bagaimana dengan kita yang sentiasa mengucap dua kalimah syahadah ini? Seringkah ayat al-Quran bermain di bibir kita? Penulis mengharapkan artikel ini menjadi panduan kepada kita semua dan bukan hanya membaca sahaja tanpa sebarang usaha untuk meningkatkan taraf hidup kita. Khususnya untuk ahli Kelab Iqra’ dan Sahabat Iqra’ yang bermottokan “Membina Generasi Al-Quran”. Sekian.


Sumber Rujukan:

[1] Ibnuhasyim, http://www.ibnuhasyim.com/2008/11/kalau-lim-guan-eng-baca-ayat-ini.html

3 comments:

faizalzainol said...

aku minat baca artikel ini :P

mudah2an keempat2 mereka diberi hidayah untuk memeluk Islam..

Anonymous said...

Aku pun berharap sebegitu...

namun, jauh jiwaku merindu pentadbiran Malaysia seperti zaman khulafa'.

mudah-mudahan Allah memakbulkan impian dan harapan ini.

amin....

Muhd Syafiq Mat Jap said...

Hebat gila artikel ni...aku nak cilop la...haha

Post a Comment