Pages

Subscribe:

Sunday, May 23, 2010

Warkah Fitrah Menggugah Fikrah

Maaf. Khalimah pertama dilafazkan memohon maaf segala khilaf. Andai kehadiranku menjadikan jiwamu bertambah gelisah. Terus berada di dalam keadaan gundah. Bukan pintaku untuk jiwamu resah kerana ini adalah sebahagian dari fitrah. Fitrah untuk bercinta dan dicinta. Fitrah yang wujud dalam jiwa hamba secara semula jadi. Maafkan aku untuk kesekian kali.

Aku kurang peka untuk bersua dan bersuara. Aku hanya mampu membiarkan pena yang mengukir kata. Pena yang berkata lebih tulus dari bibir yang bersuara. Kerana pena yang diiringi dengan bisikan hati kecil tidak pernah menipu manusia. Tulus dan mulus seadanya.

“Aku Sukakan Kau”. Sebaris kata selembut bicara. Seuntai kata meniti di bibir insan biasa. Saat dilafazkan, hati mula tidak keruan. Resah dalam gelisah menanti detik jawapan. Fikiran sering berputar. Tangan sentiasa gusar. Gusar perasaan yang bermain, hanya bertepuk sebelah tangan mungkin.

Memilih jalan mencari kepastian. Atur bicara sengajaku luahkan. “Aku sukakan kau” aku lafazkan. Mengharapkan sebaris jawaban. Jawaban kepada persoalan. Jawaban penuh keikhlasan. Dari hati ke hati menuju ke fikiran, dan menzahirkannya melalui tingkah dan perbuatan. Sengaja ditimbulkan. Sengaja dibangkitkan. Agar minda terbuka, hati berlapang dada menerima seadanya. Tanpa merosakkan ukhwah yang telah terbina. Biarlah hatimu mula berbicara soal hati dan jiwa. Tidak mahu lagi aku bermain dengan angan perasaan yang tiada penghujungnya. Biarlah aku mengetahui kedudukan aku yang sebenarnya.

Jika kau pinta untukku nyatakan 10 sebab mengapa aku menyintaimu. Tiada jawaban tepat untuk itu. Kerana jawaban itu hanya terlihat melalui hati yang berbicara, bukannya bibir mengatur kata. Kerana kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna untuk menjelaskan perasaan. Manusia boleh membentuk seribu kata-kata. Tetapi kata-kata itu bukanlah bukti unggulnya perasaan. Yang pastinya aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu. Biarpun ia kelihatan bagai ilusi. Akan ku bumikan ilusi menjadi realiti.

Tetapi, benarkah aku menyintaimu kerana ‘agama’ yang ada padamu? Sedangkan aku resah jika kau tiada di depanku. Bukankah itu bermakna aku juga menyintaimu kerana kecantikkanmu? Kerana kecantikkan, orang berbicara denganmu. Kerana kecantikkanlah, orang cuba merapatimu. Bohonglah jika aku menyintaimu hanya kerana ‘agama’ yang ada padamu jika tidak kerana ‘kecantikkan’ yang mengiringi. Dan kau memiliki kedua-duanya.

“Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan. (HR Bukhari)”.

Andai aku yang perlu pergi meninggalkanmu, aku akan pergi. Andainya kau pinta untukku tidak mengharapkan dirimu, akan aku relakan sepenuh hati. Tetapi biarlah aku relakan bersama jawaban yang pasti. Samada aku di hatimu, atau aku yang kau tidak perlu. Diam bukanlah penyelesaian, bicaralah pemecah kekeliruan. Jawaban pasti yang ku nanti. Akan ku terima dengan tabah hati. Biarpun sukar untuk ku menerimanya nanti. Akan ku ingatkan diri dengan janji Ilahi.

“Tercipta engkau dari rusuk lelaki. Bukan dari kaki untuk dialasi. Bukan dari kepala untuk dijunjung. Tetapi dekat di bahu untuk dilindung. Dekat jua di hati untuk dikasihi. Engkaulah wanita hiasan duniawi. Ku pilih dirimu kekal di hati”

Andainya kau adalah rusuk kiriku yang telah Allah simpankan seketika untukku. Andainya kau adalah pelengkap rusuk kiriku. Andainya kau izinkan namamu di hatiku. Dan andainya aku yang kau pilih untuk bertakhta di hatimu. Akan ku cuba pikul amanah yang telah terpikul di bahu diriku sebagai lelaki. Lelaki yang memimpin wanita bernama isteri. Bagiku, kau bukanlah permata dan kau juga bukanlah kaca. Kau tidak sempurna dan kau bukanlah hina. Akan ku terima kekuranganmu sebagai kelebihan untukku. Akan ku jadikan kelebihanmu sebagai pelengkap kepada kekuranganku. Aku juga tidak sempurna. Aku bukanlah insan yang baik ataupun cerdik. Aku bukanlah seperti lelaki harapan yang ada di fikiranmu, tetapi aku adalah insan biasa yang ada di pandanganmu. Tetapi aku berusaha untuk ke arah itu. Kerana melalui doa dan istiqarah kau telah ku pilih, lalu kau setia untuk ku kasih.

Aku terima seadanya apa saja jawaban darimu. Kerana hatiku telahpun berbicara. Kau pilihanku. Dunia dan selepasnya.

2 comments:

FarahHanimMohdFauzi said...

wow...great..simple word tp, mendalam maksudnya.

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment