Pages

Subscribe:

Thursday, March 11, 2010

Travelog Pembangkang



“Sejarah mungkin berulang” dan “Hidup umpama roda” pastinya mempunyai makna yang sangat besar dan pernah terbukti dengan peristiwa-peristiwa yang terlakar di kanvas sejarah. Situasi yang berlainan dengan menggunakan skrip yang hampir sama.

Persoalan yang pernah diutarakan oleh ‘hati’ ini. Apakah benar PKR yang merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia ini adalah klon kepada perjuangan Parti Melayu Semangat 46, yang mana di akhir nanti ia akan dibubarkan dan kembali bersama Umno? Apakah sekiranya bilangan Ahli Parlimen DAP melebihi dari parti-parti lain akan menyebabkan PAS tidak bersetuju DAP dilantik sebagai ketua pembangkang? Atau apakah pertembungan ‘Sekular’ dan ‘Negara Islam’ ini akan membuatkan DAP meninggalkan Pakatan dan bertanding atas nama parti sendiri? Apa yang pastinya, kita hanya mampu membuka kembali sejarah-sejarah lampau untuk dikaitkan dengan situasi masa kini. Tidak terlintas niat untuk menjatuhkan mana-mana pihak. Hanya sekadar mengimbas kembali apa yang telah terlakar di Malaysia sebagai persediaan hari mendatang.


PENUBUHAN PARTI
PARTI MELAYU SEMANGAT 46
Parti Melayu Semangat 46 adalah parti serpihan UMNO dan ditubuhkan pada tahun 1988 ekoran ‘kekalahan bergaya’ Tengku Razaleigh Hamzah menentang Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan Presiden UMNO dengan majoriti 43 undi. Dato' Seri Utama Rais Yatim juga bersama-sama dengan Tengku Razaleigh Hamzah dalam penubuhan PS46. Semangat 46 yang dibawa oleh PS46 adalah meneruskan semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946. Manakala Datuk Seri Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru untuk menggantikan UMNO yang telah diharamkan sebelum itu.



PARTI KEADILAN NASIONAL / PARTI KEADILAN RAKYAT
Parti Keadilan Nasional atau KeADILan juga parti serpihan UMNO dan ditubuhkan pada September 1998 yang disebabkan gelombang Reformasi melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO. Sekumpulan NGO dan parti pembangkang kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK. Pendokong reformasi kemudiannya menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial atau ADIL untuk memberi platform kepada perjuangan mereka. Namun, usaha menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Maka gerakan Reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang telah ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti KeADILan Nasional diadakan pada 4 April 1999. Kemudian, Parti Keadilan Nasional mengambil kata sepakat untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia bagi membentuk Parti Keadilan Rakyat pada Februari 2003.


SITUASI ‘ONE BY ONE’


ANGKATAN PERPADUAN UMMAH
Angkatan Perpaduan Ummah atau Angkatan Ummah dicetuskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah
dari Parti Melayu Semangat 46 dan merupakan satu perikatan politik di Malaysia yang bergiat dari tahun 1990 hingga tahun 1996. Perikatan ini tidak berdaftar dan menyebabkan parti-parti komponennya bertanding di bawah nama parti masing-masing. Angkatan Ummah terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Melayu Semangat 46 (PS46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA). Kesemua parti ini terdiri daripada ahli-ahli yang merupakan Ummah Islam iaitu beragama Islam. Perikatan ini pernah bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1990 dan Pilihanraya Umum Malaysia 1995.

Selain Angkatan Ummah yang menghimpunkan Parti-parti yang terdiri daripada Ummah Islam, PS46 juga mewujudkan Gagasan Rakyat yang sama perjuangannya dengan Angkatan Ummah. Gagasan Rakyat terdiri daripada Parti Melayu Semangat 46 (PS46), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Solidariti Malaysia (PSM). Angkatan Ummah bergabung dengan Gagasan Rakyat dalam menghadapi pilihanraya 1990 dan 1995.


BARISAN ALTERNATIF @ PAKATAN RAKYAT
Pakatan Rakyat merupakan satu perikatan baru parti-parti politik Malaysia. Perikatan ini terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik (PKR-PAS-DAP) yang merupakan pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia. Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan Ketua Pembangkang sebelum ini yang kemudiannya diganti oleh suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh 2008. Pakatan Rakyat juga menerajui kerajaan lima buah negeri Malaysia iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Perak (sehingga Januari 2009) dan Selangor. Ini sekaligus menafikan majoriti dua per tiga kerusi yang dipegang Barisan Nasional sejak kemerdekaan. Pakatan Rakyat diumumkan pada 1 April 2008 bagi menggantikan Barisan Alternatif yang digunakan sebelum ini.

Barisan Alternatif (BA) merupakan gabungan parti politik yang terdiri daripada parti pembangkang utama di Malaysia. BA ditubuhkan pada tahun 1999 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999, 2004 dan 2008.

Barisan Alternatif pernah ditubuhkan secara komitmen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Malaysia 1999 setelah Anwar Ibrahim disingkirkan secara tidak beretika pada 20 September 1998. Pada 24 Oktober, empat parti pembangkang terbesar iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan mengumumkan perikatan pilihan raya dan mengeluarkan manifesto bersama. Hasil dari satu lawan satu itu dapat dilihat dengan Terengganu dapat dirampas oleh PAS dan peningkatan kerusi di Parlimen. Kerusi Parlimen DAP turut bertambah namun dua pemimpinnya, Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kawasan mereka.

BA (PKR-PAS-DAP) di dalam pilihan raya 2008 berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN (PKR-30, DAP-28, PAS-23). Hasilnya, mereka berjaya menawan negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, di samping mengekalkan Kelantan di tangan PAS. Kemudian menggantikan nama Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat.


PERTEMBUNGAN IDEOLOGI PAS DAN DAP
PILIHANRAYA UMUM 1995
Penarikan diri oleh DAP menyebabkan gabungan Gagasan Rakyat berpecah dalam bulan Januari 1995. Pergeseran antara parti-parti itu bermula dalam proses perlantikan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ia berlaku berikutan Angkatan Ummah menuntut seorang bumiputera sebagai Ketua Pembangkang yang baru sekali gus menolak kepimpinan Lim Kit Siang. Berikutan desakan tersebut, Lim Kit Siang menyatakan kesediaan untuk mengundur diri daripada jawatannya sebagai Ketua Pembangkang. Kemudian Angkatan Ummah pula dibubarkan pada tahun 1996. Pada pilihanraya 1999 barisan pembangkang termasuk DAP kembali bergabung membentuk Barisan Alternatif.


PILIHANRAYA UMUM 1999 DAN 2004
Perikatan ini agak renggang kerana keengganan PAS menarik matlamatnya yang tidak dipersetujui DAP iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Namun selepas pilihan raya dengan kemenangan besar oleh PAS dan keputusan tidak seberapa parti-parti lain, menyebabkan DAP mengumumkan pengundurannya dari BA pada 21 September 2001.

Dalam pilihan raya 2004, BN mencapai kemenangan besar di banyak tempat juga berjaya merampas semula Terengganu dan hampir menewaskan PAS di Kelantan. PAS memenangi 7 kerusi Parlimen manakala PKN hanya memenangi 1 kerusi menerusi Presidennya dengan menjadikan jumlah kerusi diperolehi oleh BA adalah sebanyak 8 kerusi. Manakala DAP yang tidak berada di dalam BA telah memenangi 12 kerusi. Parti Keadilan Nasional bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan BA mempunyai dua buah parti komponen sahaja.


PILIHANRAYA UMUM 2008
Dalam Pilihanraya Umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di perlimen. Pakatan Rakyat juga berjaya menerajui kerajaan di lima buah negeri iaitu Pulau Pinang yang diterajui oleh Lim Guan Eng dari DAP sebagai Ketua Menteri, Kedah diterajui oleh Ustaz Azizan Abdul Razak dari PAS, Kelantan kekal di tangan PAS, Selangor diterajui oleh Abdul Khalid Ibrahim dari PKR dan Perak pula diterajui oleh Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS dengan kerjasama dari DAP dan PKR (sehingga Januari 2009). Pertengahan 2009 dan 2010. Rakyat Malaysia menyaksikan adegan lompat-melompat giat berlaku di kawasan-kawasan yang diterajui Pakatan Rakyat. Terkini seramai empat orang Ahli Parlimen dari PKR tidak lagi bersama PKR dan Pakatan Rakyat sekaligus menyebabkan kedudukan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dari PKR-27, DAP-28 dan PAS-23. Kedudukan Anwar Ibrahim dari PKR sebagai Ketua Pembangkang dicabar oleh Pemuda Umno ekoran ahli parlimen dari partinya kurang berbanding DAP. Namun, DAP dan PAS sepakat untuk memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang di parlimen bagi mengelakkan perpecahan berlaku dalam Pakatan Rakyat.

1 comments:

PecitaBai said...

oii rakyat Sabah tak nak ikut Revolusi yg bodoh ni ... kalau kamu nak ikut keling tu ikut laa aku tak nak mati dlm agama yg sesat .

Post a Comment