Pages

Subscribe:

Thursday, March 4, 2010

Siapa Seterusnya?

Sudah menjadi ‘trend’ masakini. Soalan “Siapa seterusnya?” terus menjadi teka-teki. Seolah-olah perkataan ‘lompat parti’ kini menjadi bahan gurauan dari kalangan kakitangan industri, pelajar-pelajar sekolah, biarpun orang-orang kampung.

“Kalau tak nak ikut cakap aku, biar aku lompat partilah” kata salah seorang warga desa ketika gotong-royong kenduri kendara dijalankan. Tawa berderai.

“Nak buat sidang media tak? Aku boleh aturkan” celah seorang lagi warga desa. Tawa berderai lagi.

Mendengar gurauan mereka dari kejauhan. Tersenyum sendirian. Begitu caknanya mereka dengan isu-isu politik yang berlegar-legar di dalam Malaysia.

“Siapa nak beli aku nih? Tak mahal, RM2 juta saja” Ada lagi gurauan mereka. Kemudian ada sekitar dua-tiga orang yang turut mencelah bagi menghangatkan lagi suasana gotong-royong itu.

Teringat aku pada mula-mula ketua pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan penuh keyakinan menyatakan lebih 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan meninggalkan parti itu dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat sekaligus merealisasikan 16 September 2008. Sebilangan besarnya adalah dari Negeri Sabah negeri di bawah bayu. Ia dikuatkan lagi apabila parti SAPP dari Sabah menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri pada ketika itu Tun Abdullah Badawi dan mengisytiharkan untuk keluar dari Barisan Nasional dan menjadi Parti Bebas. Tindakan ini menyebabkan dua orang Ahli Parlimen dari Barisan Nasional sudahpun menjadi parti bebas. Rupanya strategi ini makan tuan. Mengapa?

Tidak lama selepas itu kita dimaklumkan bahawa Dato’ Seri Najib mengambil alih sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri Perak dari Tajol Rosli. Kemudian berlakunya ADUN Bota dari Perak keluar dari Barisan Nasional dan menyertai Parti Keadilan Rakyat. Ini menjadikan komposisi Kerajaan Negeri Perak adalah 26 ADUN Barisan Nasional dan 31 ADUN Pakatan Rakyat. Hanya bertahan selama 10 hari, Datuk Nasaruddin Hashim sebagai ADUN Bota menyertai semula Barisan Nasional. Disertai bersamanya tiga ADUN dari Pakatan Rakyat mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional. Mereka adalah ADUN Behrang (PKR), ADUN Changkat Jering (PKR) dan ADUN Jelapang (DAP) dengan menjadikan komposisi terbaru Negeri Perak adalah 30 Barisan Nasional dan 27 Pakatan Rakyat sekaligus menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak. Dato’ Seri Najib menyerahkan Jawatan Ketua Perhubungan Umno Negeri Perak kepada Dato’ Seri Zambry dan mengambilalih pula sebagai Ketua Perhubungan Umno Negeri Selangor.

Tidak ada angin dan tidak ada ribut ADUN Ngemah dari Negeri Sarawak pula mengumumkan keluar dari PKR dan menyertai Barisan Nasional. Mungkin Negeri Sarawak bukan negeri di dalam perhatian, maka perlompatan ini tidak begitu mendapat sambutan.

Pada 26 Ogos 2009, muncul pula ADUN Lunas yang terletak di negeri Kedah juga mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi ADUN Bebas. Katanya beliau tidak berpuas hati yang berpunca dari kekurangan dana dan peruntukan kerajaan negeri serta sumbangan kepada parti itu.

Didakwa atas kes rasuah, hilang, tidak dapat dihubungi, muncul dan isytihar keluar parti. Itulah antara kronologi yang dapat dikaitkan terhadap kesemua wakil rakyat yang keluar dari PKR dan menyertai Barisan Nasional. Perkara yang sama berlaku kepada ADUN Perlabuhan Klang iaitu Badrul Hisyam Abdullah yang didakwa menerima rasuah, kemudian hilang dan tidak dapat dihubungi. Akhirnya, beliau muncul kembali dengan mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan menjadi ADUN Bebas di Perlabuhan Klang.

Yang menjadi musykil adalah adegan lompat-melompat ini hanya berlaku di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sahaja. Jika tidak berpuas hati dengan pemerintahan pimpinan tertinggi parti yang memerintah, mengapa tiada satu pun ADUN dari Barisan Nasional yang mengisytiharkan keluar dari BN dan menjadi ADUN Bebas di negeri-negeri di bawah penguasaan BN? Mengapa hanya berlaku di negeri-negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat? Perlu diberi perhatian akan perkara ini.

Rupanya bukan ADUN sahaja yang menjadi sasaran, Ahli Parlimen juga tidak terlepas dari situasi ini. Jam 11 pagi pada hari Jumaat, Ahli Parlimen PKR kawasan Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim pula mengumumkan beliau keluar dari PKR dan menjadi MP Bebas di kawasannya. Keputusan itu adalah kemuncak krisisnya dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang baru-baru ini didakwanya cauvinis dan berfikiran komunis. Agak pelik, 13 kerusi yang terdapat di Pulau Pinang dan Pakatan Rakyat menguasai 11 kerusi. Mengapa Datuk Seri Zahrain sanggup meninggalkan parti yang majoriti di Pulau Pinang? Kerusi Parlimen Pulau Pinang menjadi 10 Pakatan Rakyat dan 3 Barisan Nasional.

Ahli Parlimen yang senasib dengan Ahli Parlimen Bayan Baru iaitu Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng juga melakukan tindakan sedemikian pada 01 Mac 2010. Keputusan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat itu dilakukan selepas Bekas Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dan juga Bekas ADUN Penanti iaitu Mohd Fairus Khairuddin yang mengumumkan menyertai Umno pada 28 Februari 2010 yang lalu. Kerusi Parlimen terkini 9 Pakatan Rakyat dan 4 Barisan Nasional di Pulau Pinang.

3 Mac 2010, menyaksikan seorang lagi Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat iaitu Mohsin Fadzli Samsuri yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Serai mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi MP Bebas. Ini menjadikan Ahli Parlimen ketiga dari Pakatan Rakyat yang keluar meninggalkan parti itu.

Sebelum Ahli Parlimen mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi MP Bebas pada 3 Mac itu, Malaysia menyaksikan 12 Ahli Parlimen dari PKR menolak desas desus yang menyatakan bahawa mereka akan meninggalkan parti itu. Namun lima Ahli Parlimen dari PKR tidak kelihatan iaitu N. Gobalakrishnan MP Padang Serai, Gwo-Burne Loh MP Kelana Jaya, Mohsin Fadzli Samsuri MP Bagan Serai, Zulkifli Nordin MP Kulim-Bandar Bahru, dan Wee Choo Keong MP Wangsa Maju. Antara lima Ahli Parlimen yang tidak hadir ini hanya tiga yang tidak menandatangi kenyataan untuk terus bersama PKR iaitu MP Kulim-Bandar Bahru, MP Wangsa Maju dan MP Bagan Serai. MP Bagan Serai mengumumkan keluar dari PKR pada hari yang sama sidang media itu diadakan.

Kata Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat akan ada lebih kurang 10 Ahli Parlimen lagi yang akan meninggalkan parti itu. Katanya lagi, “Tolak sosialis, tolak NGO, tolak kroni. Itulah bilangannya”. Tolak Ahli Parlimen Bagan Serai yang sudahpun mengumumkan keluar dari PKR, bermakna masih berbaki lagi sembilan Ahli Parlimen yang akan keluar dari PKR. Siapakah Ahli Parlimen yang bukan di kalangan Sosialis, NGO dan Kroni itu? Mereka itu adalah seperti gambar di bawah ini.

Bilangan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang terkini adalah 27 PKR, 28 DAP dan 23 PAS. “Siapa seterusnya?” soalan itu bermain semula.

0 comments:

Post a Comment