Pages

Subscribe:

Friday, March 12, 2010

PAS Mampu Tawan 7 Negeri

Kebiasaannya kita hanya melihat dalam skop yang kecil sahaja sedangkan jika dilihat secara keseluruhan, kita dengan sendirinya akan mampu mengeluarkan lebih keringat untuk cuba menyusun strategi yang lebih baik dari dulu. ‘Di luar lingkungan’ inilah yang perlu dilihat bukan saja dengan mata kepala sebaliknya juga perlu dilihat dengan mata hati. Kita punyai kekuatan jika kita melihat secara keseluruhan dan bukannya hanya di lingkungan kita. Pernahkah kita memandang kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh PAS selain dari hanya ‘berkeliaran’ di sekitar pantai timur sahaja? Atau mampukah kita menerima hakikat yang sebenarnya PAS mampu berdiri dengan sendiri serta menguasai tujuh negeri dengan Menteri Besarnya dari kalangan PAS? Mungkin kita akan mengatakan bahawa kenyataan ini terlalu ‘gila’ sedangkan ‘gila’ inilah yang mampu menzahirkan kuasa yang ‘luar biasa’.

Pada 12 Mac 2010 bersamaan hari Jumaat, PAS Selangor melancarkan misinya menawan 12 lagi kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan ra
ya umum ke-13 nanti. 12 kerusi DUN ini adalah kawasan yang PAS tewas pada pilihanraya Umum lalu di mana PAS bertanding sebanyak 20 kerusi dan hanya memenangi 8 kerusi daripadanya.

Perlancaran itu diadakan sempena ulang tahun kedua pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor antara PAS, DAP dan PKR dengan memperolehi 36 kerusi daripada 56 kerusi keseluruhannya. Program ini akan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali merangkap ahli Exco Kerajaan Negeri dan Adun Gombak Setia. Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata PAS akan memberi penerangan kepada seluruh kawasan yang ditandingi PAS termasuk 12 kawasan yang PAS tewas pada Pilihanraya Umum lalu.


TUJUH NEGERI YANG MAMPU PAS TAWAN


PAS selangor sudahpun mengambil langkah ‘bersedia’ bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang dengan mengembalikan dan memantapkan kepercayaan penduduk setempat terhadap PAS. Diharapkan negeri-negeri lain juga PAS mengambil langkah yang sama demi PAS dan Islam khususnya.

Kerajaan Negeri Kelantan mungkin mampu menarik nafas lega apabila kerusi yang dimiliki oleh PAS Kelantan sudah melebihi separuh kerusi DUN iaitu 38 kerusi dari 44 kerusi yang dipertandingkan. Bermakna lebih 16 kerusi yang telah menjadi milik PAS Kelantan. Namun, kemenangan ini harus dijaga dengan sebaik-baiknya supaya igauan ngeri pada tahun 2004 tidak berulang lagi di mana Kelantan yang diperintah oleh PAS hanya lebih satu kerusi berbanding BN dengan majoriti sebanyak 2 undian.

Kerajaan Negeri Kedah masih berada dalam keadaan ‘kurang selamat’ kerana bilangan wakil rakyat dari PAS cuma seramai 16 orang, ini bermakna kurang dua kerusi untuk mencapai sasaran separuh dun Negeri Kedah iaitu sebanyak 18 kerusi. Seandainya wakil rakyat dari parti lain iaitu satu dari DAP dan 4 dari PKR (satu kerusi sudah dikhianati) mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat, Kedah pasti tersungkur sepertimana tersungkurnya Negeri Perak yang pernah ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang hanya kekurangan dua tiga kerusi di dalam DUN. “Memelihara Kemenangan” yang dilaungkan oleh kerajaan PAS Kedah pasti mengharapkan kerjasama yang padu dan jitu dari parti-parti rakan seperjuangannya iaitu PKR dan DAP biarpun ‘perang saraf’ dijalankan oleh pihak Umno Kedah dengan slogannya “BN Menang, Kedah Senang”.

Berbeza dengan Terengganu yang silih berganti tampuk pemerintahannya, bukanlah bermakna semangat untuk tawan kembali negeri Terengganu ini kian lemah dan pudar. Ia sebenarnya merupakan tahap kematangan yang perlu dilalui oleh PAS Terengganu sebelum Terengganu dapat ditawan untuk jangka masa yang panjang seperti Kerajaan Negeri Kelantan yang sudah pun melebihi 18 tahun diperintah oleh PAS.

Melaka mempunyai 28 kerusi di dalam DUN dan PAS diamanahkan 13 kerusi untuk dimiliki. 13 kerusi ini hanya kekurangan 1 kerusi sahaja dari separuh DUN di negeri Melaka iaitu sebanyak 14 kerusi dan pastinya memerlukan pakatan dari rakan seperjuangan dalam DAP dan PKR.

Bagi lima negeri yang masih belum dimiliki dan majoritinya adalah calon dari PAS iaitu Terengganu, Melaka, Perlis, Johor dan Pahang perlulah merangka satu strategi yang mantap agar semangat dari negeri Kelantan dan Kedah dapat diserap ke negeri-negeri tersebut di samping mengembalikan ‘semangat yang hilang’ di Terengganu.


BELAJAR STRATEGI DAP


Mungkin ajaib bagi orang melayu apabila melihat bilangan yang ditandingi dan bilangan yang dimenangi oleh DAP. Tidak banyak bezanya bilangan yang dihantar dengan bilangan yang dimenangi. DAP memenangi kesemua kerusi yang ditandinginya di negeri Pulau Pinang dan Perak manakala mereka hanya kekurangan satu dua kerusi bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Bahkan hanya dua kerusi yang mereka tandingi di Negeri Kedah juga berjaya diraih satu kerusi daripadanya.

DAP kurang bernasib baik di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak sahaja. Manakala DAP tidak menghantar wakilnya di Perlis, Kelantan dan Terengganu. Sabah dan Sarawak seperti diketahui umum bahawa mereka hanya memilih Parti yang diasaskan di Sabah Sarawak sahaja dan kurang berminat terhadap Parti-parti yang di’import’ dari semenanjung.

Kebersamaan PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat inilah perlu dimanfaatkan bagi PAS mengetahui kekuatan DAP dalam menguasai ‘kawasannya’ agar strategi tersebut dapat digunapakai bagi 7 negeri yang majoritinya adalah calon PAS dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Konvensyen Pakatan merupakan medan yang mempertemukan kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, DAP dan PKR bagi berkongsi ilmu dan kekuatan yang dimiliki parti masing-masing. Pasti parti masing-masing akan menyembunyikan rahsia kekuatan sebenar mereka dan hanya berkongsi rahsia kekuatan secara ‘permukaan’ sahaja dan PAS perlu bijak dalam mengorek serta menggali kekuatan sebenar yang dimiliki oleh DAP bagi diaplikasikan ke dalam PAS. Diharapkan semangat ini dapat disuntik dan disemai ‘baja kekuatan’ ke dalam pendokong dan ‘pemahaman’ bagi penyokong PAS keseluruhannya.

0 comments:

Post a Comment