Pages

Subscribe:

Sunday, March 28, 2010

Antara Dua Pilihan

p/s: Kisah ini hanya mainan minda kiri yang tinggi berilusi.

“Assalammu’alaikum” Sapa aku kepada seseorang insan yang dianggap terlalu istimewa buatku.
“Wa’alaikummussalam” Gadis kampung bernama Ina menyahut. Mukanya menjadi merah padam. Mungkin malu dengan sapaanku tadi. Nur Amalina, gadis kampung yang telah lama aku kenali.

“Awak nampak cantik malam ni.” Pujiku. Untuk meraih kemesraan di antara aku dan dia.
“Baru tahu?” Nada gurauannya membuatkan aku semakin tertarik kepadanya. Tawa kecil kami berdua.

“Ina, saya ada perkara penting yang saya mahu beritahu awak.” Kataku sambil cuba untuk mengambil serius akan apa yang bakal aku katakan nanti. “Nak beritahu apa? Cakaplah” Kata Ina. Tiada senyuman yang dipaparkan tetapi tetap manis wajahnya apabila di pandang. Semakin terpesona.

“Sebenarnya sejak mula kita berkawan, saya sudah mula tertarik pada awak. Saya rasa begitu bahagia bila awak berada di sisi saya.” Tenang hatiku selepas meluahkan perasaan ini.
“Jadi?” Tanyanya seolah-olah tidak tahu.
“Saya nak jadikan awak sebagai isteri saya. Boleh?” Kataku dengan tenang. Tawanya berderai. Mungkin dia menganggap aku sedang bergurau.

“Saya serius, Ina! Saya cintakan awak.” Kataku bersungguh-sungguh. Matanya terus terpaku ke mataku. Merenung jauh ke dalam anak mataku. Ingin mencari kepastian. Mungkin.

Agak lama dia mendiamkan diri, akhirnya dia bersuara kembali.
“Nasrul, bukan Ina tak sayangkan Nasrul. Tetapi...” Kemudian dia mengeluh.
“Tapi Ina tak boleh terima saya?” Pintasku. Aku tahu, dia terkejut dengan kata-kataku. Dia mengangguk perlahan, matanya dialihkan ke arah lain. “Kenapa” Pintaku untuk kepastian. “Apa kurangnya saya pada awak? Atau sudah ada teman lain di hati awak?” Kataku seakan-akan menggesa untuk dia memberi jawapan yang seharusnya tepat.

“Bukan jodoh kita berdua, Nasrul. Ina tak dapat terima awak, sebab...” katanya terputus seketika.

“Sebab?” Aku menanti.

“Sebab kita ibarat langit dan bumi. Awak terlalu baik untuk saya.” Matanya berkaca. Hanya menanti masa untuk ia gugur ke bumi. Situasi yang amat berat untuknya menghadapi. Begitu juga dengan aku. Berat untuk aku menerima. Aku buntu ketika Ina pergi meninggalkanku. Ku bersendirian memikirkan segala kemungkinan. Dia tidak dapat menerima aku hanya kerana “AKU TERLALU BAIK UNTUKNYA”. Baikkah aku? Antara aku dan dia ibarat langit dan bumi? Bukankah langit dan bumi itu saling memerlukan?

Nur Amalina tidak lagi aku temui. Sudah ku kuncikan kenangan bersamanya jauh di sudut hatiku, agar kenangan itu tidak lagi meraja di hati. Biarkan ia pergi. Tiga tahun telahpun berlalu.

Mimie Maisara. Indah namanya seiring dengan penampilannya. Aku sekali lagi terpesona dengan keindahan yang dikurniakan Allah kepada insan bergelar wanita. Wanita solehah adalah perhiasan dunia. Aku kagum dengan keindahan ini. Bisikan hati untuk memiliki kembali lagi. Memiliki seorang insan yang berstatus solehah. Insan yang mampu untuk aku melabuhkan cintaku kepada-Nya.

Pertemuan pertama di antara aku dan dia amat ringkas. Melalui organisasi dan program yang sama. Setiap kali berprogram, pasti dia akan berada di dalam satu unit yang sama denganku. Pastinya aku dapat mengetahui sifat-sifat dan tingkah lakunya. Semuanya itu menarik minat untukku mendekatinya. Tekad, ingin aku cuba untuk memilikinya.

Tidak seperti pertemuan aku dengan Nur Amalina ketika aku meluahkan hasrat untuk memperisterikannya. Mimie Maisarah pastinya seorang insan yang menjaga adab pergaulan dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Aku akur. Aku memerlukan orang tengah untuk meluahkan hasrat hati. Sudah tentu seorang teman yang mampu diberi kepercayaan penuh terhadapnya. Surat ditulis dengan penuh berhati-hati. Bimbang isi dan ayat yang terkandung di dalam surat itu mampu mengundang fitnah dan akhirnya mengundang ketidakselesaan antara kami.

Seminggu kemudian, surat darinya hadir dalam genggamanku. Ringkas pesanannya. “Berikan ana masa tiga minggu untuk ana buat keputusan. Ana harap anta dapat menjaga hati anta”. Aku menerima apa sahaja keputusan yang bakal aku terima nanti.

Tiga minggu berlalu, Mimie Maisarah ingin bertemu denganku. Tujuannya adalah mengenai permintaanku untuk memperisterikannya. Pertemuan di tempat terbuka. Kafeteria menjadi pilihan pertemuan. Aku sudah bersedia.

Setibanya aku di kafeteria, kelihatan dua insan yang sedang menanti seseorang di luar kafeteria. Dia adalah Mimie Maisarah. Seorang lagi adalah rakannya, Ainul Safiyyah. Ainul Safiyyah menuju ke arahku sambil memilih salah satu meja di situ. Aku menurut. Namun, Mimie Maisarah masih berdiri di luar kafeteria. Hanya Ainul Safiyyah menjadi wakilnya. Apakah ini bermakna... Ah! aku biarkan andaian ini. Biar Ainul Safiyyah sahaja memberikan jawapannya. Sekeping surat tidak bersampul dihulurkan. Aku menerimanya. Lantas aku membuka surat yang terlipat kemas itu.


Assalam mu’alaikum,
Akhi Nasrul.

Maaf jika mengganggu. Ana tahu, sudah tiga minggu anta menunggu jawapan dari ana. Selama tiga minggu jugalah ana mengharapkan jawapan yang terbaik dengan beristiqarah, samada ana perlu menerima anta ataupun tidak. Tetapi sebelum itu, ana mahukan anta menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Yakinlah apa yang berlaku di antara kita adalah ketentuan dari Allah yang Maha Mengetahui.

Maaf, Maafkan ana sekali lagi kerana jawapan ana atas permintaan anta pada tiga minggu yang lalu adalah ana tidak dapat menerima anta sebagai suami ana. Ana hanya mampu menerima bakal suami yang berada dalam lajnah tarbiyyah atau siasah dan anta tidak berada dalam kedua-duanya. Tidak ada sebarang petanda yang menunjukkan anta bakal menjadi suami ana. Yakinlah dengan ketentuan-Nya. Ini adalah rencana Allah terhadap makhluk-Nya. Anta bukan yang terbaik untuk ana. Maafkan ana andai surat ini tidak seperti yang anta harapkan.

Salam Ikhlas,
Mimie Maisarah.


Selesai aku membaca isi surat itu, aku memandang ke arah Ainul Safiyyah. Dia bangun dari tempatnya dan berlalu pergi mendapatkan Mimie Maisarah yang sedang menanti di luar kafeteria. Dan kedua-duanya pergi jauh dari pandangan mataku. Aku kelu, aku tidak tahu. Dua situasi berbeza yang aku alami namun mempunyai makna yang sama. Aku tidak dapat memiliki Nur Amalina kerana AKU TERLALU BAIK UNTUKNYA dan aku tidak dapat memiliki Mimie Maisarah disebabkan AKU BUKAN YANG TERBAIK UNTUKNYA. Di manakah tahap aku sebenarnya? Aku golongan baik atau aku bukan golongan yang baik?

Kehidupan mesti diteruskan. Masa terus berlalu. Alam kampus telah lama ku tinggalkan. Aku mula menjejakkan kakiku ke alam pekerjaan. Namun, perasaan ingin memiliki terus hadir menggamit jiwa dan ragaku. Kini, hatiku mula terpaut pada dua orang insan. Siti Sara dan Nurazimah. Sifat dan penampilan antara mereka jauh berbeza. Siti Sara mempunyai karisma seperti Mimie Maisarah, gadis solehah, bertudung labuh dan wajahnya sentiasa mempamerkan senyuman yang membahagiakan. Namun, Nurazimah memiliki perwatakan seperti Nur Amalina, gadis biasa yang seperti kebanyakkan gadis-gadis yang lain. Kedua-dua kenangan lamaku kini kembali menerpa tanpa dipinta. Aku terus terpinga. Aku suka pada keduanya. Dan kedua-duanya pula memberikan respon yang baik terhadapku.

Pernah aku ajukan soalan kepada Siti Sara andai aku adalah insan yang ingin memilikinya, apakah dia mahu menerimaku? Jawapannya jika aku adalah yang terbaik untuknya, pasti dia menerima dengan hati terbuka. Pernah juga aku ajukan soalan yang sama kepada Nurazimah, jawapannya pula jika dirinya terbaik untukku, dia mengharapkan aku dapat menerimanya dengan hati terbuka. Aku perlu tahu, aku perlu memilih hanya satu daripadanya. Aku luahkan kekusutan ini kepada sahabatku yang pernah bersama-sama di dalam organisasi kampus suatu ketika dahulu.

Cadangannya hanya satu. Istiqarah. Beristiqarahlah untuk mendapatkan jawapan yang terbaik untuk kita. Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk. Ya! Istiqarah. Lalu wudhuk diambil. Sejadah dihampar. Niat solat sunat istiqarah dilakukan. Memohon petunjuk samada Siti Sara atau Nurazimah adalah yang TERBAIK untukku, agamaku, penghidupanku dan akibat pekerjaanku samada dalam masa cepat atau lambat. Antara Dua Pilihan: Ketika iman dan hati yang memilih.

Wallah hu ‘alam.

0 comments:

Post a Comment