Pages

Subscribe:

Saturday, February 27, 2010

Mainan Minda Kiri


Terfikir juga aku, mengapa Pakatan Rakyat memilih logo sebegini sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat pertama yang telah berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam Selangor pada 19 Disember 2009 yang lepas? Pastinya bukan sesuatu yang bersifat 'suka-suka' atau 'saja-saja' pada logo yang berlatarbelakangkan warna oren itu. Dan tentunya ada makna tersirat yang berselindung di sebaliknya.

“Kenapa logo sebegini?”
“Saja-saja”
“Takkan saja-saja?”
“Suka-suka”


Di sebalik ‘saja-saja’ dan 'suka-suka' itu pastinya membuahkan perasaan ingin tahu kepada sesiapa saja yang bertanya. Mana mungkin boleh wujud ‘saja-saja’ jika tidak mempunyai agenda yang bersifat ‘ada udang sebalik batu’ ini. Pastinya motto yang tertera di bawah logo tersebut telah menggambarkan agenda atau dasar perjuangan setiap parti tersebut.

“Berpadu” mungkin dicetuskan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba mewujudkan persefahaman dan penggabungan antara parti-parti ini untuk ‘berpadu’ menentang seteru mereka yang satu itu atau bersifat ‘one by one’.

“Berubah” pula dimiliki oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dari dulu dengan agendanya ‘Malaysia Malaysian’ iaitu Malaysia milik rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.

“Berkat” pastinya bukan milik DAP. Ianya adalah milik Parti Islam Semalaysia (PAS) yang secara terang-terangan inginkan keberkatan di dalam sesebuah pentadbiran.

Kemudian, sengaja aku menggabungkan bendera ketiga-tiga parti besar dalam Pakatan Rakyat (TV3 sebut Pakatan Pembangkang @ Pakatan Phembangkhang) dengan menggunakan perisian Adobe Photoshop untuk dibandingkan dengan logo yang telah sepakat dipilih oleh Pakatan Phem.. er.. Pakatan Rakyat sebelum berlangsungnya Konvensyen yang lepas.

Bijak benar siapa yang mengilhamkan logo konvensyen ini. Aku dapat rasakan yang logo ini sebenarnya adalah cubaan pengilham logo tersebut untuk menggabungkan logo-logo parti yang terbentuk di bawah Pakatan Rakyat iaitu Mata Keadilan, Roket dan Bulan.


Jika diperhatikan lagi logo-logo tersebut, maka di tengah-tengahnya adalah gambar bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia sambil dikelilingi oleh tiga orang yang sedang berpimpin tangan. Tentunya ketiga-tiga orang itu adalah pimpinan tertinggi parti-parti berkenaan. Boleh jadi juga ketiga-tiga orang itu adalah tiga bangsa terbesar di dalam Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.


Tambahan pula, Pakatan Rakyat juga telah mencapai kata sepakat pada 13 Ogos 2009 yang lalu untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu pertubuhan tidak lama lagi. Biarpun syarat untuk mewujudkan satu pertubuhan berdaftar perlunya sebanyak tujuh parti, ia hanyalah peraturan dan bukannya undang-undang. Sekiranya benar-benar terjadi, apakah logo ini yang akan digunakan oleh Pakatan Rakyat?

Apa-apa pun, ini hanyalah mainan minda kiri yang sememangnya bersifat imaginasi. Mungkin sebahagiannya benar dan mungkin juga sebahagiannya salah. Hanya pengilham logo ini sahaja yang bisa mendedahkan makna yang tersirat di sebalik tersurat ini. Kepada pihak-pihak yang tersentuh, maaf dipohon. Adios amigos!

0 comments:

Post a Comment