Pages

Subscribe:

Monday, May 25, 2009

Sebuah Kepulangan


“Siapa yang tak nak balik kampung?” Semua insan pastinya ingin pulang ke kampung halaman. Berjumpa dengan mak ayah. Bertemu semula dengan rakan-rakan yang telah lama terpisah yang mungkin terpisah sejak mengetahui keputusan SPM. Ingin bertemu pada cuti semester? Jangan haraplah. Rakan lama mungkin sudahpun mempunyai komitmen yang lain. Ada yang meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi, ada juga mengikut keluarga yang hidup secara nomad iaitu suka berpindah randah. Ada juga rakan yang kini sudahpun bergelar ayah. Pulang ke kampung untuk menggali semula kenangan indah sewaktu kecil bermain ’ligan-ligan’ dengan selipar di tangan, main police entry, aci-aci duduk, berbasikal keliling taman, ngorat awek kampung yang tak pernah dapat (zaman jahiliyah) dan lain-lain aktiviti yang mengiktirafkan kita sebagai budak nakal. Saat ini juga aku perlu mesrakan semula lidahku dengan perkataan-perkataan ”Ayaq mengaliaq ataih pasiaq, ulaq melingkaq ataih pagaq, kalau buat loklaq dan buat ketegaq, tampaq dahi lempaq dalam ayaq acaq”. (^^o)/ Kedah Sejahtera!!!


25 Mei 2009. Pantasnya masa berlalu. Baru semalam rasanya mendaftar masuk ke universiti, kini bakal meninggalkan pula zaman universiti. Penuh dengan pengalaman pahit, manis, masam, masin yang pastinya rasa pengalaman ini lebih dari ’ayam masak tiga rasa’. Wei! Mengarut apa nih? Pasaipa plak penulisan aku lain macam kali nih! Huh!


Bermula dari tahun 2003 dan kini 2009, bermula dengan nama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO) dan kini Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), bermula dengan hanya dua fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, kini sudahpun mempunyai enam fakulti. Bermula dengan peta kuittho yang berbentuk empat segi dan kini UTHM sudah bersegi-segi dengan wujudnya bangunan G3, Kolej Kediaman Tun Dr Ismail, Kolej Kediaman Tun Fatimah, Komplek FKMP dan Komplek FKEE. Wujud pula Kolej Kediaman Taman Universiti dan Kolej Kediaman Taman Kelisa yang akan dirasmikan pada semester hadapan yang menjadikan tujuh kolej kediaman kesemuanya.


Enam tahun aku di bumi UTHM ini. Bermula dengan diploma dan berakhirnya degree, telah banyak perubahan yang aku lalui. Pada mulanya aku tidak tahu langsung untuk buka microsoft word dan kini aku boleh mengaplikasikan perisian yang berbentuk rekaan grafik. Bermain pula dengan bidang penerbitan dan penulisan, menghasilkan video klip lakonan pertama dan majalah rasmi edisi pertama kelab iqra’. Aku tak pasti samada ianya akan ada edisi kedua atau tidak. Kini, aku akhiri zaman siswa aku dengan mencuba pula bidang mencipta lirik dan lagu nasyid.


Teori yang aku kumpulkan ini perlu di’amali’kan di luar nanti. Pastinya aku akan berhadapan dengan pelbagai keadaan, mehnah dan tribulasi. Analogi-analogi dari analogi ubat gigi, rubik kehidupan, kau umpana epal, perjuangan sebuah akuarium, lilin di dalam baldi, jemaah jenin dan tarbiyyah si anak kucing. Semua analogi ini akan ku hadapi saat melangkah saja dari alam ’Student Life’ ini. Pastinya suasana studi group, Problem Bassed Learning (PBL), kuiz, ujian, peperiksaan akhir semester, tugasan berkumpulan, tamrin, mukayyam dan lain-lain aktiviti akan ku rindui setiap masa. Ini kembara hidupku. ”Yamin Shima Yamin” di tepi pantai secara berjemaah disertakan dengan modul mengelirukan, menguji antara wala’ dan ukhwah, keadaan yang kita buat salah tak buat pun salah.


”Huu... Rindunya”. Kini Daerah Kulim pula melambai-lambai menanti kehadiranku untuk ditaburkan jasa dan bakti kepadanya. Inilah saatnya aku perlu bermain dengan istilah ’Perlunya pemikiran seandainya’ dan ’sukarnya menjadi dewasa’ iaitu perkara yang kita sebagai memberi jawapan dan bukannya mengharapkan jawapan, keadaan kita perlu berfikir dua tapak ke hadapan dan bertindak sebagai pemimpin masyarakat.


Sebuah kepulangan. Pulang menjadi budak kampung yang berfikiran matang. Pulang dengan membawa cahaya gemilang dan pulang dari kejahilan ke arah keimanan. InsyaAllah.


---------------------------------------


p/s: kat kampung aku takdak internet wei! Tak tau laa bila plak boleh update blog nih!

OK, salah silap harap diampunkan. Maafkanku di atas gurauan yang kurang mematangkan. Yang pastinya, nantikan idea gila aku yang seterusnya. Hehehe....

salam Revolusi dari ahli yang tak pernah ber’ana-enta’. Adios!



Friday, May 22, 2009

Kembara Kasih Ilahi

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. “Tiada yang dapat ku ucapkan hanya setinggi kesyukuran kepada tuhan yang menciptakan kita semua sebagai insan”. Rangkap pertama dari lagu ‘Persaudaraan Islam’. Dengan ini selesailah sudah satu misi dakwah iaitu Festival Nasyid Selatan 2009 yang berlangsung di UiTM Segamat Johor. Dengan bertemakan ‘Kembara Kasih Ilahi’, dua buah lagu Nasyid Nuriman UTHM dipertaruhkan iaitu lagu ‘Kasih Ilahi’ dan ‘Persaudaraan Islam’.


Sebanyak 16 IPT yang turut serta dan hanya tujuh kumpulan dapat beraksi di peringkat akhir Festival Nasyid Selatan 2009. Pada awalnya menyaksikan saingan yang begitu sengit dari pelbagai IPT yang lain menenggelamkan harapan kami untuk melangkah ke Final. Namun dengan keizinan dariNya, Nuriman berjaya melangkah ke gerbang Final pertandingan ini.


“Salam. Encik Bai. Team kita, Nuriman tersenarai tujuh terbaik dan dapat ke final esok pagi” mesej rinkas yang kami hantar ke Encik Baithan selaku pengurus kami. Tidak lama kemudian, mesejnya menjelma “Ok, kalau ada masa saya akan datang esok”. Wah! Bersemangat sekali. Keesokkan paginya kelihatan Encik Baithan dan Encik Shahrin (Ketua Unit Kebudayaan UTHM) menuju ke arah kami. Pelbagai nasihat yang dilontarkan kepada kami... Pemberi Inspirasi.


“Dapat nombor berapa?” tanya seorang rakan setelah pulang dari UiTM. “Antara nombor 4 hingga 7” jawabku ringkas sambil melemparkan senyuman. Biarpun tidak berjaya mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga, inilah pengalaman yang paling manis bagiku dalam arena nasyid IPT kerana buat pertama kalinya dapat melangkah ke peringkat akhir (baru masuk final... huuuu). Semoga kenangan manis ini dapat diulangi sekali lagi dan diharapkan lebih baik dari kali ini. (^o^)/ Gan Bate! Chaiyuk! ! Chaiyuk!


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------


Antara Institut Pengajian Tinggi yang menyertai Pertandingan Festival Nasyid Selatan 2009:

1. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM),
2. Kolej Islam Insaniah Kedah, (KUIN)

3. Universiti Teknologi MARA Perlis,

4. Universiti Teknologi MARA Pahang,

5. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),

6. Universiti Teknologi MARA Pulau Pinang,

7. Universiti Teknologi MARA Melaka,

8. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM),

9. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),

10. Kolej Polytech MARA Johor,

11. Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS),

12. Kolej Universiti TATI, Terengganu,

13. Universiti Teknologi MARA Perak,

14. Kolej Polytech MARA Kota Bharu,

15. Universiti Teknologi MARA Johor A, dan

16. Universiti Teknologi MARA Johor B




Kumpulan yang layak ke Peringkat Akhir:

1. Universiti Teknologi MARA Johor A,

2. Kolej Islam Insaniah Kedah, (KUIN)

3. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

4. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),

5. Universiti Teknologi MARA Perak

6. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

7. Universiti Teknologi MARA Pahang,



Pemenang:

1. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),

2. Universiti Teknologi MARA Johor A,

3. Universiti Teknologi MARA Perak.



Monday, May 18, 2009

Motivasi Buat Diri



Mencari semangat yang hampir hilang, sudah pasti jiwa inginkan ketenangan. Bagaimana caranya? Mungkin dengan mencari seorang teman yang mampu untuk menjadi pendengar setia yang mendengar setiap rintihan kita, ada yang luahkan isi hati melalui penulisan, blog atau apa sahaja yang dirasakan dapat menenteramkan sedikit kekacauan di jiwa ini. Lagu juga merupakan salah satu alternatif meluahkan perasaan.

Dengan ini, lagu Kasih Ilahi ku ciptakan khas buat anda yang mengenal erti persahabatan. Lirik dan lagunya sudah siap sepenuhnya dan lagu ini akan dibawa ke Festival Nasyid Zon Selatan yang bakal berlangsung di UiTM Segamat, Johor. Pra dengar muzik dah pun dilakukan. Sesi latihan juga telah beberapa kali dilakukan. Apa yang boleh dikatakan, muziknya seakan-akan muzik dari kumpulan UNIC dan Mestica. Kategori kontemporari. Ini adalah lagu kedua dariku selepas lagu pertama yang bertajuk ‘Persaudaraan Islam’. Khas untuk anda. Motivasi buat diri. Kasih Ilahi....


Kasih Ilahi
Lirik/lagu: Nurul Helme
Susunan Muzik: En. Baithan


Di kala impian kabur lagi
Jiwa lemah tak mampu berlari
Lukisan wajah tiada berseri
Hanya sepi yang mewarnai
Bagaikan hilang warna pelangi
Cahaya mentari dilindungi
Harapan tiada bererti

Tiada kata dilafazkan
Untuk mendambakan senyuman
Hanya sinaran mentari dinantikan
Ooooo...... menantikan mentari

Ku nanti dan terus menanti
Yang hadir adalah kau di sisi
Membawa khabar dari Ilahi
Firman yang perlu diyakini

Janganlah kau bersikap lemah diri
Dan janganlah kau bersedih hati
Kerana sesungguhnya kau tinggi darjatnya
Jika kau beriman padaNya

Itulah bicara Allah yang Esa
Kepada hambaNya yang setia
Teguhkan kembali, tabahkan hati
Terus mencari, Kasih Ilahi

Apakah kau menyangka kau kan ke syurga
Selagi belum tiba ujianNya kepadamu
Sesungguhnya bantuanNya kian tiba
Bersabarlah, Pegang teguhlah padaNya
Ooooo......... Kasih Ilahi

p/s: Dapat agak tak ayat Quran yang diselitkan ke dalam lagu ni?
Perenggan mana dan surah @ ayat mana ye? (^~,)v

Saturday, May 16, 2009

Mahasiswa & Kemelut Politik Negara

Pada hari ini, negara kita sedang hangat dengan isu kemelut politik yang berlaku di Perak. Masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Di manakah kesudahannya? Dewan Undangan Negeri masih lagi tidak bersidang untuk membincangkan isu-isu rakyat di Perak. Sedangkan perkara itu yang lebih utama untuk dibincangkan.


Dimanakah sebenarnya acuan politik negara kita ini dibina? Secara realitinya, keadaan politik negara kita pada hari ini mempunyai beberapa kelemahan yang perlu untuk diperbaiki. Namun begitu, siapakah yang mahu membaikinya?

Secara umumnya, kita akan mengharapkan kepimpinan tertinggi negara yang akan memperbaikinya. Atas rasional, mereka yang bertanggungjawab dalam membentuk agenda politik negara.


Persoalan mula timbul apabila berlaku perselisihan ideologi antara pemimpin-pemimpin di dalam negara. Mereka tidak mendapat kesepakatan dalam menguruskan pentadbiran negara. Sehinggakan sekarang berlaku perselisihan yang tidak tahu bilakah kesudahannya. Jadi, bilakah masanya kita mampu memperbaiki kelemahan sistem politik negara demi kepentingan rakyat jelata?


Pada hemat saya, sudah tiba masanya mahasiswa memainkan peranan dalam membina acuan politik yang lebih matang. Mahasiswa boleh berperanan dalam merangka acuan politik negara yang matang bermula dengan agenda politik kampus yang matang.


Walaupun kita sedia maklum, bahawa mahasiswa juga mempunyai agenda politik yang tersendiri. Namun, mahasiswa perlu melatih diri supaya mencari titik persamaan dalam ideologi politik masing-masing.


Atas dasar kebaikan bersama. Bukan mencari titik perselisihan yang dapat menjadikan kita bertelangah atas perkara yang remeh temeh. Jika perkara ini dapat dilakukan, maka pada masa depan, acuan politik negara kita akan lebih sempurna.


Mahasiswa adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa akan datang. Saya menyeru kepada semua mahasiswa di seluruh negara agar tidak terpengaruh dengan kemelut politik di negara kita. Kita adalah ‘frontline’ kepada perubahan politik negara kita pada masa akan datang.


Lakukan perubahan dalam berhadapan dengan ideologi politik yang berbeza. Kita tidak boleh terpengaruh dengan politik di luar sana. Kita adalah agen perubahan, bila mana disebut tentang agen perubahan, kita perlu menilai segala kelemahan yang ada, supaya kita dapat memperbaiki kelemahan itu.


Pemimpin mahasiswa perlu mencari titik persamaan dalam mencari erti kemakmuran bersama. Kemelut politik yang berlaku adalah akibat daripada kedegilan bakal-bakal pemimpin yang tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku.


—————

Oleh: Mohammad Shafiq Bin Abdul Aziz

*Penulis merupakan Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM 2008/2009)


Friday, May 15, 2009

Jika Benar DUN Perak Dibubar

Berdasarkan entri sebelum ini iaitu ’Gesaan Pembubaran DUN Perak’ jelas membuktikan bahawa rata-rata inginkan pembubaran DUN di Negeri Perak bagi memulihkan semula keadaan di Negeri Darul Ridzuan ini. Serahkan kepada rakyat di negeri itu untuk memilih siapa pemimpin yang mereka inginkan, dari sinilah kita akan dapat tahu bahawa ‘ini adalah pilihan rakyat’. Bukannya dengan mengajak dua tiga orang wakil rakyat untuk lompat parti dan mengatakan ‘ini adalah pilihan rakyat’. ‘Rakyat’ mana yang inginkan kekalutan ini berlaku? Sudah pasti tidak ada rakyat yang mahukan suasana kelam-kabut yang berlaku di negeri mereka.


Pelbagai gesaan yang kita dapat lihat baik dari rakyat sendiri mahupun di peringkat pemimpin negara. Namun, perlu kita perhatikan sebelum berlakunya pembubaran DUN ini (jika ia benar berlaku), apakah Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP ini telah bersiap siaga dalam menghadapinya? Adakah setelah pembubaran DUN ini diperkenankan oleh sultan, barulah Pakatan Rakyat mula menyusun strategi untuk menawan hati rakyat?


Telah diketahui umum bahawa DAP merupakan kerusi majoriti di negeri itu, manakala PKR hanya memperolehi 7 kawasan dan PAS sebanyak 6 kawasan. Perlu diketahui juga pada Pilihanraya Umum Mac lalu menunjukkan bahawa PAS meletakkan calon teramai di antara DAP dan PKR iaitu sebanyak 21 kerusi, PKR 20 dan DAP sebanyak 18 kerusi yang menggenapkannya sebanyak 59 kerusi DUN Negeri Perak. Apa yang menyedihkan, PAS hanya memperolehi kerusi yang terkecil di dalam Pakatan Rakyat berbanding DAP yang meletakkan calonnya paling sedikit dan tidak berlaku kekalahan pada calonnya. Mengapa? Kerana melayu terpecah kepada dua iaitu Melayu UMNO dan Melayu PAS @ PKR. Melayu yang ada di bandar adalah Melayu PAS @ PKR manakala Melayu yang ada di kampung kebanyakkannya menyokong kuat UMNO. Hanya dengan berbekalkan basikal, bola takraw atau kain pelikat sudah mampu memadamkan api kemarahan mereka kepada UMNO dan kembali menjadi ‘penyokong setia’ kepada UMNO.


Persoalannya, mampukah Pakatan Rakyat terutamanya PAS dan PKR meraih hati rakyat untuk mengundi mereka atau sekurang-kurangnya mengekalkan kawasan yang mereka menangi?


Soalan menjelma lagi, mampukah Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan pengaruhnya di Negeri Perak seandainya rakyat sudah muak dengan Adun PKR Perak yang begitu mudah ‘Dibeli’ atau ‘Meletakkan jawatan’? Seandainya PAS dan DAP berjaya mengekalkan kawasan yang telah dimenangi sebelum ini, bagaimana dengan ‘Paras Kepercayaan Rakyat’ terhadap PKR dengan tindakan yang telah dilakukan oleh Adun Changkat Jering dan Behrang yang asalnya dari PKR? Sudah tentu Paras Kepercayaan Rakyat terhadap parti ini kian menurun, melainkan mereka mempunyai hujah yang kukuh untuk ‘Pasakkan Kepercayaan Rakyat’ terhadap PKR.


Jadi, bermulalah dari sekarang wahai Pakatan Rakyat dan pendokongnya untuk mengekalkan kawasan yang telah dimenangi. Jika Barisan Nasional ‘mencuri’ pentadbiran dari Pakatan Rakyat, mengapa tidak Pakatan Rakyat ‘mencuri’ pula hati rakyat atau para pengundi yang dimenangi oleh BN sebelum ini? Supaya pergerakkan berkempen seandainya ‘Dun Perak dibubarkan’ dapat berjalan dengan lancar dengan keprihatinan dari Pakatan Rakyat. ‘Misi Menawan Hati Rakyat’ perlu bermula dari sekarang. Ayuh! Pakatan Rakyat! Takbir! Allah hu Akhbar!


Gesaan Pembubaran DUN Perak

Apa yang dapat dirumuskan dari kenyataan Kamaruddin itu ialah suatu peringatan agar BN Perak "bubar Dun dan tegakkan demokrasi".


"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," - Tengku Razaleigh Hamzah.


Pemimpin berpengalaman Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyokong tindakan menteri besar Pakatan Rakyat di Perak mengusulkan kepada istana agar membubarkan DUN bagi mengatasi kemelut politik sejak Februari.


"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya, iaitu hak asasi manusia," - Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Osman.


Timbalan Presiden MCA, Dato' Dr Chua Soi Lek, Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow dan AJK Kerja Gerakan, Hsu Dar Ren juga membuat kenyataan yang sama.


"Sudah sampai masanya juga untuk Tun M mengetuk Najib dengan tukul besinya. Muhyiddin, sebagai Timbalan Presiden Umno patut mengambil pendirian yang berbeza dari Najib dan jangan sesekali berada dalam bakul kemusnahan yang sama. Kenyataan Suhakam dan tiga pimpinan komponen BN itu sudah cukup untuk memukul Umno," - Husam Musa, Adun Salor, Kelantan.


Ramai pihak dari pakar undang-undang, ahli politik, penganalisis politik, pakar ekonomi malah pimpinan dari dalam lubuk Umno dan komponen BN sendiri menjurus kepada gesaan agar pilihanraya diadakan semula di Perak.


Perdana Menteri 1 Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak memberitahu media hari ini bahawa Barisan Nasional tidak takut berhadapan dengan pilihanraya.


Rujukan tambahan:

http://hazrul7.wordpress.com/2009/03/11/25-ngo-perak-mohon-perkenan-bubar-dun/



Tuesday, May 12, 2009

Ukhwah Itu Perlu Dicari

Pernah anda mendengar ayat ini? “Jika aku bersama alim ulama’, aku terasa diri ini hina. Jika aku bersama orang jahil, aku terasa aku semakin hina. Namun jika aku menjauhi alim ulama’, aku akan jauh dari dakwahnya. Tetapi jika aku jauh dari orang jahil, bererti aku jauh untuk berdakwah padanya”. Saya pasti anda juga pernah mendengarnya. Tapi saya tidak pasti dari mana saya mendengarnya.


Dari kenyataan inilah dapat diistilahkan sebagai “dakwah nombor satu, akademik bukan nombor dua” ataupun “akademik dan dakwah perlu bergerak seiring”. Mengapa? Bersama alim ulama’ dan orang awam adalah dua situasi yang berbeza namun memiliki matlamat yang sama iaitu akademik dan dakwah. Bersama alim ulama’ bererti kita menerima ‘akademik’ darinya, kemudian ‘akademik’ yang kita terima dari alim ulama’ ini disampaikan pula dalam bentuk ‘dakwah’ kepada orang lain. Ini bererti orang yang kita beri ‘dakwah’ ini menerima pula dalam bentuk ‘akademik’ dan disampaikan pula kepada rakannya dalam bentuk ‘dakwah’. Di sini terbukti bahawa akademik dan dakwah itu secara perasan atau tidak telahpun bergerak seiring. Ditambah pula niat kerana Allah, sudah tentu banyak ganjaran yang diperolehi.


“Ukhwah Itu Perlu Dicari”. Tidak bolehkah jika hanya dinanti? Nabi pernah bersabda “sampaikan ajaranku walaupun sepotong ayat”. Bagaimana ingin sampaikan sepotong ayat jika kita sendiri tidak berusaha mencari seseorang untuk disampaikan sepotong ayat ini?


Usahlah terlalu assobiyyah. “Dia ni golongan X, tak boleh join dengan dia”. “Aik! Aku golongan X rupanya” Bisik individu tersebut. “Aku taknak kawan dengan dia, sebab dia tak tsiqah”. Pulak?!! “Anta ni berfikiran jumud, ana tak boleh terima. Anta carilah sahabat lain yang kena dengan cara anta. Dahlah idea gila-gila”. Adoilaaa... “Kitaorang team tudung labuh, kau tak. Jangan ikut kami”. Huh! Kemudian dalam mesyuarat, berkobar-kobar kata jangan ikut gerakkerja UMNO yang asyik dengan kroni-kroninya. Dakwah ini perlu disebarkan pada semua orang tak kira apa warna kulit atau agamanya. Kononnyalah! Berkawan di kalangan ahli kelab sendiri juga. Kemudian diselit pula dengan ayat al-Quran untuk mengukuhkan hujahnya. Tetapi, saat ahli leka bergelak ketawa, datanglah pula ‘sms layang’. “Ana harap anta rujuk surah as-soff ayat ketiga”. Tiga tahun di pengajian, tiga tahun jugalah suruh rujuk ayat yang sama. Hendak bersama dengan individu ‘mat motor’ pun dah tak boleh. Tak tqisah katanya. Komen? Entahlah!


Apa salahnya kita ‘assobiyyah berdasarkan satu akidah’? Bukankah secara tidak langsung kita dapat tampilkan ilmu yang dimiliki ini kepada mereka? disertakan sekali dengan akhlak yang indah ini. Nak bentuk masyarakat bagaikan membentuk besi yang bengkok. Perlukan kesabaran. Bukannya sekali ayat terus dia jadi ustaz.


“Nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran”. Pernah terjadi pada rakan kampungku. Dia keluar dengan kawan sekolah lamanya. Kawan-kawannya terdiri dari kalangan ‘kaki lepak’. Sedang asyik ronda-ronda di pusat membeli-belah, tak pasal-pasal kawannya yang susah nak diajak sembahyang ini bertanyakan lokasi surau di pusat membeli-belah itu. Puncanya? Dia malu dengan rakanku yang sememangnya tunaikan solat dalam apa keadaan sekalipun. Hah! Bukankah dakwah dah memanggil? Biarpun sekali, kalau selalu jalan-jalan dengannya tidak mustahil dia nak jadi imam pulak. Mungkin boleh berlaku kerana hidayah itu milik Allah. Bukannya milik Kelab Iqra’, JTPI, KKDK, MPP, JKK ataupun Naib Canselor...


Jadi? Carilah kawan seramai yang mungkin. Lebarkan empayar persahabatan. Ukhwah itu perlu dicari.



Monday, May 11, 2009

Nizar Menteri Besar Yang Sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut awal bulan lalu.


Mahkamah juga memutuskan menteri besar BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan enam exconya mengosongkan dengan kadar segera pejabat mereka - di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh.


Dalam penghakimannya, hakim Abdul Aziz Abd Rahim berkata seseorang menteri besar hanya boleh dipecat melalui undi tidak percaya di DUN, seperti kes Stephen Kalong Ningkan.


Hakim menambah, dalam kes pelucutan Mohamad Nizar, tiada persidangan dewan diadakan untuk meluluskan usul sedemikian.


Dalam penghakimannya, Abdul Aziz berkata jika Sultan Perak mahu meletakkan Mohamad Nizar meletakkan jawatan, maka baginda sepatutnya mengambil sidang DUN untuk mengemukakan usul tersebut.

Permohonan peguam Zambry, Cecil Abraham untuk menangguhkan penghakiman tersebut ditolak oleh mahkamah.


Mengulas kemenangannya, menteri besar Pakatan Rakyat itu berkata beliau akan menghadap Sultan Perak berhubung penghakiman mahkamah tersebut.


Pada 13 Februari lalu, Mohamad Nizar memfailkan saman mencabar pelantikan Zambry di kompleks mahkamah Jalan Duta, kira-kira seminggu selepas rampasan kuasa BN dan sekali gus pelantikan wakil rakyat BN itu.


Mohamad Nizar, ADUN Pasir Panjang, juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah perisytiharan bahawa Zambry yang dilanti 6 Februari lalu tidak berhak memegang jawatan menteri besar.


Dalam permohonan itu, wakil rakyat PAS itu mendakwa beliau masih menteri besar yang sah atas tiga alasan berikut:


(i) Tidak terdapat pembubaran DUN Perak;


(ii) Tidak terdapat usul tidak percaya diambil dan diterima pakai oleh DUN terhadapnya sebagai menteri besar Perak; dan


(iii) Tidak terdapat peletakan jawatan menteri besar Perak.


"Melalui kenyataan media pejabat Sultan pada 5 Februari 2009, Sultan bertitah tidak akan membubarkan DUN dan sekiranya saya serta ahli majlis mesyuarat negeri tidak meletakkan jawatan, jawatan kami akan dianggap kosong.


"Saya menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha mengusir saya daripada jawatan menteri besar Perak, saya masih menteri besar dan masih menjalankan fungsi dan tugas dengan baik, cermat dan adil," katanya dalam afidavit, menyokong permohonan itu.


Mohamad Nizar juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya responden memberikan tunjuk sebab bagaimana dan di bawah dasar apa Zambry, sebagai responden, berhak memegang jawatannya sekarang.


Beliau mendakwa responden secara tidak sah mengambil dengan tiada hak dan merampas jawatan menteri besar, serta menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai menteri besar secara tidak sah dan bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.


Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.



SUMBER :malaysiakini

Sunday, May 10, 2009

Menjana Pemikiran Kreatif

Pemikiran jenis ini dilihat sebagai keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut.Stail ini dapat menghasilkan pelbagai cara bagi malakukan sesuatu. Pemikiran kreatif menunjukkan cirri-ciri berikut :


1) Sengaja menghasilkan idea baru, konsep baru dan tanggapan baru. Ada kalanya idea-idea iniseolah-olah ‘gila-gila’ dan mencabar fikiran logik.


2) Mengutamakan cara lain bagi melihat sesuatu yang sedang difikirkan. Maksudnya, ia cuba lari daripada cara biasa melihat sesuatu.Semakin banyak sudut pandangan yang digunakan.semakin baik.


3) Pemikiran ini sengaja menghasilkan idea-idea yang dapat memeranjatkan fikira-fikiran biasa.


4) Pemikiran ini menganggap idea yang baik tidak perlu kelihatan logik. Ia gemar menggunakan logik sonsang. Sebagai contoh, biasanya orang sapu garam pada ikan sebelum digoreng, Tetapi logik sonsang mengatakan goreng ikan dulu,baru sapu garam.



Secara kesimpulannya, pemikiran kreatif digunakan bagi menyelesaikan masalah, mencipta peluang-peluang baru, dan menyokong idea-idea yang bertentangan dengan fikiran semasa.



p/s: Dalam berdakwah perlunya pemikiran kreatif. Jangan dikatakan jumud atau un'tqisah' pada individu yang bersifat sebegini. Gabungkan segala kekreatifan yang ada dalam diri dan tampilkan dengan identiti yang baru. (^c^)/ Takbir!!



dipetik dari

http://nurjannah87.blogspot.com/2009/05/thinking-way-to-success-siri-1.html



Saturday, May 9, 2009

Pemberi Inspirasi

Inspirasi merupakan sesuatu perkataan yang melahirkan cebisan semangat dan dizahirkan dengan perbuatan selari dengan apa yang dirancang. Istilah Inspirasi ini juga mampu membuatkan seseorang itu pantas bertindak berdasarkan apa yang difikirkan tanpa menangguhkan ideanya. Namun, kehadiran insan yang memberi inspirasi ini boleh membuatkan seseorang itu melakukan perkara yang lebih setapak ke hadapan.


‘Pemberi Inspirasi’ mampu mengubah seseorang itu dari bersifat takut kepada berani, pendiam kepada lantang, malas kepada rajin, memendam idea ke arah mencurahkan idea yang mana idea yang dilontarkan selepas kehadiran Pemberi Inspirasi ini bersifat lebih matang, kreatif dan adakalanya diluar pemikiran manusia biasa.


Tidak kiralah siapapun si ‘Pemberi Inspirasi’ ini samada ianya dari kalangan kawan, kekasih mahupun keluarga, ia amat diperlukan oleh seseorang saat semangatnya di paras bawah ataupun di tahap kritikal. Ini kerana ketika jiwa seseorang yang dirundum masalah, akan dengan sendirinya mampu berdiri lebih tinggi dari sebelum dilanda masalah. Adakalanya apa yang dilakukannya boleh dikatakan sebagai ‘idea gila’, hakikatnya itulah yang membuatkan semangatnya terus meningkat dan menjadikan dirinya seseorang yang tidak disangka-sangka akan kebolehannya.


“Betul ke dia ni?”. Kita yang sentiasa bersamanya akan berasa hairan dengan tindakannya. Sudah pasti wujudnya si ’Pemberi Inspirasi’. ”Siapa Pemberi Inspirasi mamat nih?”, jawapannya hanya empunya diri yang mengetahui. Kata-kata yang begitu yakin seolah-olah dia telah melakukan ’Analisis SWOT’ terhadap dirinya.


”Biarlah bayangannya menjadi ’Pemberi Inspirasi’ kepada diriku”. Tetapi, bagaimana kiranya bayangan ’Pemberi Inspirasi’ ini lenyap setelah insan ini berdiri dari rebah? Sukar untuk ditafsirkan. Sudah pasti jiwa ini kembali sepi dari ’happy’. Riak muka sudah tentunya kelam dengan senyuman keyakinan yang sering ditampilkan pada riak wajah. Begitu kuatnya pengaruh ’Pemberi Inspirasi’ ini. Ia mampu membuatkan seseorang itu ’think out of the box’, adakalanya ia juga membuatkan daerah seseorang itu menjadi semakin kecil dan tidak mahu lagi menebarkan pengaruhnya.


Hatiku berbisik, ”Hadirkanlah Pemberi Inspirasi kepadaku waktu ini untukku melakukan sesuatu yang berada diluar kotak pemikiranku”. Pemberi Inspirasi.