Pages

Subscribe:

Saturday, August 29, 2009

Hembusan Kasturi


Inspirasi dari lagu ‘Hembusan Kasturi’ nyanyian Inteam

“Nasyid sekarang ni dah tak jelas matlamatnya. Seolah-olah nak mencari publisiti. Ciri-ciri dakwah dah tiada dalam bidang nasyid sekarang. Jadi, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid kau tu.” Tiba-tiba Nasrul bersuara. Aku terpanar dengan kenyataannya. Jika Nasrul hanya melontarkan pendapatnya sahaja, aku tidak mengambil kisah. Akan tetapi dia menyuruh aku meninggalkan nasyid. Aku keliru.


“Kenapa?” Aku inginkan kepastian.


“Macam yang aku kata tadi. Masuk nasyid sebab nak cari glamor. Platform nak cari kekasih saja. Dakwah apa macam tu?” Tegas Nasrul.


“Tapi, tak semua macam tu, kan?” Aku cuba pertahankan tindakan aku.


“Semua ke bukan semua ke, aku nak kau keluar dari kumpulan nasyid tu. berdakwah dengan aktiviti kelab kita je sudah. Berdakwah dengan cara bernasyid dah tak berkesan. Tengoklah apa yang dah jadi pada Faisal Tahir? Dulu kumpulan nasyid Mirwana, dia masuk OIAM terus jadi penyanyi rock. Dr Izu dari Saujana dah jadi lembut. Faizal dari Far East dah masuk Akademi Fantasia. Amende tu kalau bukan nak glamour?” tiba-tiba nadanya berubah menjadi tinggi. Aku diam seketika menantikan apa yang mahu dikatakannya lagi.


“Tak payahlah nasyid-nasyid ni. Matlamat yang tidak jelas. Berdakwah dengan bernasyid dah tak releven. Aku tak nampak relevennya.” Lagak gayanya begitu serius. Namun, aku kurang senang dengan caranya yang seolah-olah begitu arif dengan uslub berdakwah.


“Tak salah kan kalau aku nak jadi seperti Hembusan Kasturi?” Lontaran kata-kata ku penuh tersirat.


“Jadi Hembusan Kasturi?” Raut wajahnya bagai mempunyai seribu persoalan yang ingin dilontarkan.


“Kau hanya pandang nasyid dari segi luaran sahaja. Kau tak berada di dalamnya. Kalau kau sendiri yang berada di dalam arena nasyid, kau akan nampak relevennya. Macammana pandangan kau sekali pun, aku cuba terus berada dalam arena nasyid.” Bingkas aku bangun meninggalkannya keseorangan di situ.


Dalam hati aku memang tidak dapat dinafikan lagi. Begitu banyak lagu nasyid yang wujud sekarang ini kebanyakkannya bertemakan kasih dan cinta sesama manusia. Tatkala ada yang berhujah denganku berkenaan relevennya nasyid zaman ini, aku akan mati akal ketika hujah cinta sesama manusia yang dibangkitkan.


Melangkah lemah sambil memikirkan alasan yang boleh diterima minda. Bagi aku biar apa pun pendapat insan lain mengenai bidang nasyid, mereka seharusnya melihat bidang muzik yang lain terlebih dahulu sebelum arena nasyid dipersalahkan. Bagaimana dengan landasan irama rock? Rap? Balada? Apakah ini yang dikatakan berada di landasan yang betul? Mengapa nasyid yang perlu dilabelkan tersasar dari landasannya sedangkan mereka tidak bersuara langsung mengenai arena lain? Aku semakin bingung. Namun, apakah hujah yang boleh diterima untuk mempertahankan nasyid? Sedangkan orang yang dikatakan pendakwah pun tidak dapat menerima bernasyid sebagai uslub dakwah. Masih teringat kata-kata terakhirku pada Nasrul. Aku ingin jadi seperti Hembusan Kasturi.


Ya! Hembusan Kasturi! Irama nasyid umpama Hembusan Kasturi dan kewujudan aku di persada nasyid ini juga ingin menjadi seperti hembusan kasturi. Hembusannya mampu menyapa jiwa setiap insan terhidu akan harumannya. Begitu juga dengan alunan nasyid ini. Selembut suara merdu yang menusuk di jiwa, mengalunkan kata-kata berhikmah. Dengan harapan ianya mampu untuk membajai kekuatan diri sendiri. Kewujudannya juga boleh diumpamakan dengan seindah sang pelangi yang mewarnai bumi, menghiasi pentas dunia ini yang sebelumnya kehilangan sinar mentari. Biarpun pelangi hadir hanya seketika, sekurang-kurangnya pelangi itu ‘pernah’ mewarnai bumi.


Namun, apa yang kita perhatikan persada kesenian ini, terlalu banyak titik noda hitam yang berlegar-legar dan berkeliaran sehingga ada sesetengah artis yang sanggup untuk melepaskan kata-kata bertentangan dengan ajaran Islam. Dengan mengatakan bertudung akan menutup periuk nasi sendiri. Berlakon dengan berpegang tangan antara lelaki dan perempuan terlalu biasa bagi mereka dan sanggup pula mereka mengatakan ulama dan ilmuan agama bertindak menghalang mereka berpegangan tangan adalah untuk menjatuhkan ‘kerja halal’ mereka.


Tidakkah mereka terfikir yang kata-kata mereka itulah yang akan menjadi hujah rakyat masa kini? Sehingga penghuni Malaysia pun sanggup mempertikaikan kecerdikan dan kewarasan para ilmuan agama. Perkara inilah yang membimbangkan kita semua. Atas alasan inilah jua aku berpendapat bahawa nasyid ini perlu diwujudkan dan dipertahankan bagi mewarnai kembali dunia yang semakin tidak berseri ini. Dengan mengalunkan alunan yang abadi, semerdu kalam Ilahi agar sekurang-kurangnya arena ini mampu memberi ketenangan di hati. Mendendangkan sadba dan selawat nabi melalui lagu dengan menjadikan sunnah Rasulullah sebagai contoh buat diri. Mendidik anak-anak kecil untuk menghafal doa-doa harian dengan berlagu. Dan pastinya kehadiran ini adalah untuk melengkapi kehidupan insani. Lihatlah bagaimana kewujudan Mu'adz yang tampil dengan lagu berpandukan hadis, bukankah jika kita dapat menghafal lagu-lagunya bererti kita sudah menghafal sebahagian hadis? Jadi, di mana ke’tidak releven’nya bernasyid ini?


Membangkitkan semangat juang dalam diri, mengalunkan selawat nabi, memperdendangkan doa-doa harian, berkasih dan bercinta di jalan yang dibatasi syariat, pembentukkan akhlak diri. Inilah yang dikatakan nasyid sebagai Hembusan Kasturi. Dan ia wujud bagaikan pelangi yang hadir menceriakan bumi yang dulunya kehilangan seri. Dan tidak mustahil, pelangi ini juga bakal hilang dari pandangan mata. Semoga kehadiran nasyid ini dihargai semua bagaikan terhidunya Hembusan Kasturi yang menghias diri.

1 comments:

Anonymous said...

hello... hapi blogging... have a nice day! just visiting here....

Post a Comment