Pages

Subscribe:

Saturday, August 29, 2009

Hadiah Bernilai Di Hari Lahirku

“Menyambut hari lahir di Hari Konvokesyen UTHM ke-8”. Tidak pernah aku terfikir yang aku akan menyambut hari lahirku yang ke-24 di Majlis Konvokesyen ini. Biarpun tanpa sesi penyembelihan kek (wahaha), menerima segulung Ijazah juga merupakan satu hadiah yang tidak ternilai harganya. Alhamdulillah.. Allah masih memanjangkan usiaku untuk terus berbakti di bumiNya.


Pengorbanan ibu ayah serta seluruh ahli keluargaku dari Kulim-Kedah ke Parit Raja-Johor cukup membuatkan aku berasa amat gembira dengan perjalanan hidup ini biarpun pelbagai mehnah dan tribulasi hadir menyapa ketabahan diri.


Ini merupakan kali ketiga keluargaku menjejakkan kaki di Parit Raja. Pertama kali mereka menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun 2003 iaitu pada hari pendaftaran untuk aku bergelar seorang mahasiswa di peringkat Diploma. Kali kedua adalah pada tahun 2006 di Hari Konvokesyen ke-5 apabila tamatnya aku menyempurnakan peringkat Diploma dan 2009 adalah kali ketiga ketika menyempurnakan peringkat Ijazah Sarjana Muda.


Satu langkah lagi aku menuju ke hadapan. Menuju ke medan yang lebih mencabar minda dan jiwa setelah melangkah keluar dari alam kampus. Sekian lama aku berada di dalam ‘Aquarium Perjuangan’, diberi segala macam keperluan dan panduan. Kini, aku telah dibebaskan ke dalam laut yang cabaran dan halangannya tidak terjangkau di minda. Mengaplikasikan segala keperluan dan panduan yang telah diberikan di dalam kampus. “Dengan Hikmah Kita Meneroka” adalah motto untuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.


Menggenggam segulung Ijazah bererti satu permulaan untuk menghadapi cabaran yang lebih luas. Hari Lahir ke-24 bererti aku perlu bersedia dengan halangan yang lebih besar seiring dengan usiaku. Tetapkan dalam diri dengan matlamat yang jelas. “Aku Tahu Apa Yang Aku Mahu”. Aku berpesan pada diri, ini bukannya suatu pengakhiran kepada sebuah kejayaan, tetapi ini adalah satu permulaan untuk mencapai kejayaan hakiki di Hari Konvokesyen yang bakal berlangsung di Mahsyar nanti.

“Selamat Bergraduasi dan Selamat Hari Lahir Buatku....”


0 comments:

Post a Comment