Pages

Subscribe:

Saturday, December 12, 2009

Kreativiti Membina Identiti


“Bukan untuk riak. Bukan untuk bongkak. Bukan untuk takbur. Jauh sekali untuk memperlekehkan orang lain. Dengan mencari siapa diri kamu, maka kamu akan perolehi satu kekuatan. Kekuatan yang tersembunyi di dalam diri. Dan kamu juga akan mengetahui identiti diri kamu sendiri. Yang penting, kreativiti. Ya! Kreativiti membina identiti” Pesanan yang terlalu panjang lebar dan ini sahaja kata-kata dari penyelia tempat aku bekerja yang sempat ku rakamkan ke dalam sanubariku. Untuk dijadikan inspirasi.

“Operator, juruteknik, penyelia semuanya perlu berminda jurutera” juga pesannya dengan segala bakat yang ada pada diri perlu diasimilasikan untuk mewujudkan satu identiti baru. Iaitu dengan menggabungkan segala kelebihan dan bakat yang ada untuk menjadi satu identiti yang lebih bersifat produktif. Tidak tertumpu hanya pada satu bakat sahaja. “Cetusan idea penjimatan minyak oleh Syarikat Toyota bukan lahir dari Jurutera, tetapi diilhamkan oleh operator syarikat itu sendiri. Kerana apa? Kerana operator tersebut sentiasa bergelumang dengan masalah dan temui cara penyelesaian yang terjadi di bahagian pengeluaran. Dengan menerima ‘mengapa’ dan memberi ‘bagaimana’ adalah satu aspek yang paling berharga untuk setiap pekerja”. Satu suntikan semangat kepada kami sebagai pekerja di situ.

Lalu aku selongkari kekuatan yang wujud di dalam diri, mencari bakat-bakat yang ada untuk digabungkan menjadi satu identiti baru. Aku kaitkannya dengan arena dakwah ini. Kerana aku tahu, cabang dakwah bukan hanya tertumpu pada tarbiyyah atau siasah sahaja. Segala yang ada di sekeliling kita juga boleh dijadikan sebagai cabang dakwah. Ia bergantung kepada bagaimana kita mengendalikannya.

Sebagai contoh, seseorang itu menjadi pakar hadis dan pada masa yang sama dia mampu berfikiran saintis. Hadis-hadis dikaitkan dengan kejadian alam, proses sesuatu perubahan cuaca dikaitkan dengan hadis dan Quran. Ia mampu untuk menjadikan seseorang itu teruja dengan penggabungan ilmu tersebut. Begitu juga dengan individu yang terlibat dengan bidang Tarbiyyah, andainya individu ini mampu atau mahir dalam membaiki motosikal sudah pasti individu di persekitarannya memandang mulia padanya dan sekaligus menyingkirkan tanggapan negatif kepada pendakwah-pendakwah Islam, individu yang berserban dan juga individu yang berjubah.

Begitu juga dengan individu yang terlibat dengan bimbingan akademik dan kaunseling, tidak cukup hanya dengan dia sahaja yang tampil hebat dengan keputusan-keputusan cemerlangnya sebaliknya dia juga boleh menjadi pakar motivasi atau pengajar kepada anak-anak muda. Ilmu yang disampaikannya juga mampu diingati dan diamalkan oleh orang yang diajarnya iaitu dengan sistem pengajaran yang berkesan. Lebih hebat jika individu ini fasih dalam berbahasa Mandarin, Arab, Tamil, Perancis, Jepun dan lain-lain bahasa yang diperlukan oleh perindustrian.

Manakala individu yang terlibat dengan bidang sukan di dalam persatuan atau organisasi pula mampu mewakili institusi pengajian tinggi dengan penampilannya menutup aurat, ditambah pula dengan dirinya cakna akan perkembangan arena sukan negara atau dunia.

Islam juga tidak menghalang manusia untuk berhibur. Bagi mereka yang berminat dalam dunia hiburan seperti bernasyid umpamanya, tidak salah jika mereka juga mahu melakukan anjakan paradigma dari segi penggunaan alat muzik atau rentak sesebuah lagu, gunakan itu sebagai uslub dakwah. Ada sebahagiannya yang begitu bersemangat untuk menghalang ‘Battle of the Band’ dari terus dijalankan. Namun, mereka tidak sedar sebenarnya mereka mampu untuk menjernihkan kembali ‘Battle of the Band’ dengan menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan atau nilai-nilai etika yang sesuai dengan syariat membataskan. Biarpun ada individu yang mengatakan ‘matlamat tidak menghalalkan cara’, namun ‘cara boleh menentukan matlamat’.


Yang paling penting adalah hubungannya dengan Allah dan tidak dilupa hubungannya sesama manusia. Tidak kira dari mana atau apa jenis manusia itu, dia mampu untuk bersama dan bermesra dengan individu tersebut tanpa mengira sifat yang dimiliki individu tersebut. Memang diakui, agak sukar untuk memahami minda dan kerenah orang yang lain cara pemikirannya dengan kita, namun ini adalah cabaran bagaimana cara kita untuk mendekati golongan seperti ini. Gabungkan apa yang ada dalam diri dan aplikasikannya ke situasi sekeliling kita. Ya! Kreativiti membina identiti.


0 comments:

Post a Comment