Pages

Subscribe:

Sunday, December 6, 2009

Revolusi

“Apa itu revolusi dan apa itu evolusi?” soalan yang keluar dari temanku. Aku pasti, temanku ini sudah menjengah ke blog aku yang menggunakan ayat ‘Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi’.

“Revolusi adalah suatu perubahan secara mendadak, dan Evolusi adalah perubahan secara berperingkat.” Balasku ringkas dengan harapan dia mudah memahami akan maksudnya.

“Macammana?” soalan menjelma kembali. Masih tidak faham lagi rupanya.

“Revolusi adalah perubahan terus kepada matlamat akhir. Sebagai contoh, seseorang itu ingin menjadi kaya dan dia ingin capai kekayaannya pada esok hari. Jangka masa yang pendek” agak panjang penjelasanku.

“Evolusi pula perubahan sikit demi sikit? Bermakna seseorang itu nak jadi kaya dan dia perlu mencari peluang yang ada, bersabar dengan ujian dan bekerja keras? Jangka masa yang panjang.” Pintasnya. Alhamdulillah, dia hampir menemui jawapan pada soalannya.

“Kenapa ayat Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi?” soalan yang hampir sama dengan soalan pada permulaan perbicaraan tadi. Hanya ‘Minda’ dan ‘Mahasiswa’ pula yang dikaitkan.

“Minda mana-mana manusia sudah tentunya akan terfikirkan objektif yang ingin dicapai atau direalisasikan, kemudian bergantung pula kepada bagaimana mahasiswa, masyarakat atau manusia itu berusaha untuk mencapai atau merealisasikan objektif mereka. Dan usaha itu biasanya akan melibatkan perancangan jangka masa panjang.” Jelas perbicaraanku dan ku juga mengharapkan mindanya dapat menerima penjelasan ku ini dengan sejelas-jelasnya.

“Kita ambil contoh yang lain. Kita ingin menuju ke Syurga, kita tahu Syurga adalah satu destinasi yang paling indah dan paling bahagia. Itu adalah objektif akhir kita. Revolusi” berhenti mengambil nafas. Kemudian bersambung kembali.

“Dan perjalanan kita dalam menuju ke Syurga itulah pelbagai usaha yang akan kita lakukan dengan berlandaskan panduan dan syariat. Itu dinamakan evolusi.” Selesai satu contoh yang ku berikan padanya.

“Bermakna minda saja yang bekerja, itu tak cukup. Jiwa juga perlu memainkan peranan.” Penjelasannya bagi membuktikan pemahamannya.

“Tapi...” banyak benar ‘tapi’nya. Mungkin mahu menyusun ayat. Aku menunggu penjelasannya.

“Kenapa mahasiswa yang perlu berevolusi dan bukannya masyarakat ataupun manusia yang perlu berevolusi?” ada lagi soalannya yang tersimpan. Kebanyakkan soalannya berupa ‘kenapa’ dan penjelasanku berupa ‘sebab’.

“Itu tidak menjadi masalah. Sesiapa pun boleh berevolusi. Baik mahasiswa, masyarakat mahupun manusia. Seboleh-bolehnya kita perlu bermula dengan ruang lingkup di sekeliling kita terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada masyarakat.” jawapan berbentuk subjektif. Satu soalan banyak jawapan.

“Ya, aku pernah terbaca. Dirikanlah Islam di jiwamu sebelum kamu mendirikan sebuah negara Islam” katanya.

“Hmm... perlu tukar ayat ‘Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi’ kepada ‘Minda Revolusi Masyarakat Evolusi’” katanya sambil tersenyum.

“Kenapa pula?” kini aku pula yang bersoal berkisarkan ‘kenapa’.

“Sebab kau bukan lagi ‘Mahasiswa’, kau sudah terlibat dalam ‘Masyarakat’ dan seboleh-bolehnya kita perlu bermula dengan ruang lingkup di sekeliling kita terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada Malaysia.” Katanya sambil tersenyum. Aku tahu, dia menggunakan semula hujah yang aku berikan padanya sebentar tadi. Jauh benar pandangannya terhadap revolusi ini. Bermula dari Minda, kemudian kepada Mahasiswa, Masyarakat, Manusia dan akhirnya Malaysia. Aku begitu kagum dengannya. Hanya kerana perkataan revolusi dan evolusi mampu mewujudkan sebuah perbincangan dan perancangan.


~Minda Revolusi Mahasiswa Evolusi~
~Minda Revolusi Masyarakat Evolusi~
~Minda Revolusi Manusia Evolusi~
~Minda Revolusi Malaysia Evolusi~

0 comments:

Post a Comment