Pages

Subscribe:

Sunday, November 8, 2009

Tersembunyi


“Allah itu Maha Adil” Tiba-tiba saja rakanku bicarakan tentang Tuhan.
“Memang” Balasku ringkas. “Allah itu adil terhadap semua manusia, baik yang beragama Islam mahupun yang bukan beragama Islam” Kataku sambil roti canai ku cubit dan dimasukkan ke dalam mulut.
“Betul” Balasnya. Juga jawapan yang ringkas.

Sebuah pertemuan yang tidak terancang di sebuah kedai makan berhampiran. Tidak sengaja terserempak dengannya yang baru turun dari motosikalnya. meluangkan sedikit masa untuk mengenakan roti canai di waktu malam ini.

“Allah juga adil terhadap politik” Sedikit demi sedikit ayat yang keluar dari mulutnya seiring cebisan roti canai yang masuk ke dalam mulut.
“Terhadap politik?” Aku sedikit terpanar dengan kenyataannya. “Maksudnya?”

“Barisan Nasional nak memerintah Malaysia, Pakatan Rakyat juga nak perintah Malaysia.”

“Biasalah tu, dunia politik” Sikapku seolah-olah acuh tidak acuh dengan topik perbualan.

“Pernah tak kita bayangkan bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia?” Soalnya kembali.
“Malaysia menuju ke arah pembaharuan, menuju ke arah yang lebih gemilang.” Jawabku.

“Bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah Malaysia menuju ke arah kehancuran?” Soalan yang membuatkan aku terhenti seketika.
“Menuju kehancuran? Maksudnya peristiwa 13 Mei berulang kembali? Pergaduhan antara kaum yang amat ketara dan perpecahan sesama kaum kian menebal.” Ringkas kenyataanku.

“Ya! Itu adalah pandangan rakyat Malaysia. Tanyalah sesiapa pun mengenai Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia, jawapan yang sama. Pergaduhan interkaum dan perpecahan intrakaum” Balasnya dengan nada yang sedikit tinggi. Tanpa menghiraukan pelanggan yang berada di sekeliling.

“Di mana adilnya Tuhan dalam politik?” Soalku kembali mengingatkannya tentang topik perbincangan awal
“Sebelum satu Malaysia diperintah oleh Pakatan Rakyat, Allah bagi mereka perintah negeri terlebih dahulu.” Mungkin sengaja dibiarkan kenyataan itu tergantung untuk mewujudkan perkongsian pendapat.
“Huraiannya? Kesan dari Pilihan Raya Mac lepas?”

“Ya! Barisan Nasional kata jika Pakatan Rakyat perintah Malaysia, negara akan jadi huru-hara. Itu hanyalah mainan minda sahaja. Sekadar teori” Terhenti seketika untuk disuapkan secebis lagi roti canai ke mulut.

“Sebab itulah Allah tunjuk terlebih dulu pada rakyat bagaimana kalau Pakatan Rakyat memerintah. Pakatan Rakyat terdiri daripada tiga parti besar iaitu PAS, PKR dan DAP. Semuanya nak memerintah.”
Terhenti lagi.

“PAS nak perintah, Allah bagi negeri Kedah. PKR nak perintah, Allah bagi negeri Selangor. DAP nak perintah, Allah bagi Pulau Pinang. Macammana pula kalau gabungan ketiga-tiga parti ini memerintah sedangkan ketiga-tiga parti ini mempunyai ideologi tersendiri? Allah bagi pula negeri Perak untuk diperintah. Tempoh percubaan”

“Macammana dengan PAS di Kelantan? Bukankah dah terbukti PAS boleh perintah negeri?” Aku bukakan pandangan yang lebih jauh terhadap pemerintahan ini.

“Kelantan dengan Terengganu ada ceritanya sendiri. Ia berkaitan dengan pemimpin dan sistem kepimpinan.”
“Cerita apa?”
“Cerita tentang Keikhlasan. Sengaja Allah kekalkan Kelantan di bawah pemerintahan PAS sebab Dia nak tengok macammana Barisan Nasional menerima kekalahan mereka di Kelantan. Sengaja juga Dia kekalkan Terengganu di bawah pemerintahan Barisan Nasional untuk tengok macammana PAS menerima kekalahan mereka di Terengganu.”
Teruja aku dengan kenyataannya. Tak ku sangka di sebalik insan biasa ini terdapat sesuatu yang luarbiasa. Pemikirannya.

“Jadi, dari hikmah inilah Allah wujudkan supaya rakyat menilai sendiri bagaimana Pakatan Rakyat memerintah. Parti mana yang mampu memerintah dan persediaan Pakatan Rakyat dengan situasi jika mereka menuju ‘ke atas’ ataupun ‘ke bawah’, inilah adilnya Allah terhadap politik.” Huraiannya bagaikan telah sampai ke penghujung.

“Agak-agaklah, dengan segala isu yang bermain di setiap negeri ni, mampu tak Pakatan Rakyat memerintah Malaysia?” Pancingku untuk melihat huraiannya. Tidak mahu terhenti di situ. Namun, roti canai di meja kami telah pun selesai dijamah.

“Pakatan Rakyat mampu atau tidak? Emm... Lu pikir laa sendiri” Tawa kami berderai. Guraunya sambil bangun dan menuju ke kaunter bayaran. Huraiannya berakhir. Aku menuruti langkahnya. Hari pun sudah jauh malam. Esok perlu ke kerja. Dengan ini tamatlah sebuah perbincangan yang jawapannya begitu subjektif. Hanya iman yang mampu menilai hikmah yang tersembunyi ini. Ketersembunyian yang tidak pernah aku fikirkan.

0 comments:

Post a Comment