Pages

Subscribe:

Sunday, July 18, 2010

Terasa Terasing

‘Terasa hati’ dan ‘Terasing diri’ adalah dua perkara yang berbeza. Apabila ianya disatukan, ia tetap membawa ke suatu dimensi yang sama. Terasa Terasing. Bergerak secara sesiri dan bukannya secara selari. Diri yang sering menegur kesalahan orang lain di pandangan mata, apabila dirinya ditegur pastinya akan terasa hati. Justeru, hati yang sudah terasa dengan sesuatu perkara atau teguran itu juga kebiasaannya akan mencari ruang berjauhan seketika dari situasi yang dilaluinya dengan cara bersendirian yang akhirnya membuatkan dirinya terasing. Mencari ketenangan dengan memahami semula ujian yang pernah dikatakan bakal dilalui dan kini sedang dilalui.

“Kenapa kita mudah marah apabila ada orang tegur atau kritik kita?” Soalku tiba-tiba. Rakanku terkesima seketika. “Siapa yang marah?” Soalnya untuk mengenalpasti siapa yang menegur dan siapa yang ditegur. “Aku.” Jawabku ringkas.

Kerja yang sedang dilakukannya terhenti sebentar. Mencari kekuatan untuk mengatakan sesuatu kepadaku. “Kau marah apabila ada orang tegur atau kritik kau?” soalnya lagi. Aku angguk lemah. “Sebab kau rasa kau sudah hebat. Hanya kau sahaja yang layak menegur orang lain sedangkan orang lain tidak boleh menegur kau.” Katanya keras.

Aku pantas merenung wajahnya. Mencari kebenaran kata-katanya. Benar! Terpancar keikhlasan dari matanya. Aku termenung sendirian. Jika benar itulah yang dikatakan, bermakna aku sudah tersasar dalam mentafsir erti ‘memberi’ dan ‘menerima’ yang aku pelajari selama ini. Aku berjaya ‘memberi’ kepercayaan kepada seseorang sedangkan pada masa yang sama aku telah gagal untuk ‘memberi’ harapan padanya. Berusaha menegakkan sesuatu, pada masa yang sama aku cuba meruntuhkan sesuatu. Dari sudut akal, aku telah berjaya. Dari sudut akhlak, aku kini kecewa.

“Cuba kau muhasabah diri. Apa yang kau sarankan pada orang lain, cuba kau sendiri yang laksanakan terlebih dahulu.” Kata temanku lagi. Memecah kesunyian. Melebur kebuntuan. “Apa yang kau tulis selama ini, keluarkan satu atau dua ayat yang boleh mengembalikan kau ke dunia realiti.” Sambungnya. Saat ini, aku bukan lagi ‘memberi’ sebaliknya aku sedang ‘menerima’. Benar kata orang. Kita tidak selamanya berada di dalam keadaan ‘memberi’, adakalanya kita perlu ‘menerima’ untuk meraikan orang lain yang sedang ‘memberi’. Aku di situasi ini.

Jika diikutkan perasaan hati, ingin sahaja aku meninggalkan kelebihan yang aku miliki ini. Membiarkan ia berlalu pergi. Namun, apabila kita hendak meninggalkan sesuatu yang ada pada kita, masih ada lagi orang yang mengharapkan sesuatu dari kita. Aku hentikan perasaan untuk ‘berhenti’ dari medan ini. Aku teruskan. Namun, aku benci pada buruk sangka. Aku benci pada kekalutan minda. Aku benci pada istilah ‘benci’ di jiwa. Tetapi, kerana cintanya aku pada kedamaian. Cintanya aku pada persaudaraan. Cintanya aku pada ‘penerimaan kekurangan’. Semua itu kuketepikan. Semua itu aku akan terus harunginya dengan tabah. Inilah kehidupan yang perlu aku lalui.

Menyingkap kembali satu persatu istilah yang telahku gunapakai di dalam setiap penulisanku. Benar! Istilah-istilah yang acapkali aku gunakan adalah ‘Memberi dan Menerima’, ‘Syukur dan Sabar’, ‘Berfikir dan Berzikir’, ‘Fitrah dan Fikrah’, ‘Memahami dan Mengerti’, ‘Jauhkan Kufur Tingkatkan Syukur’, ‘Jiwa Hamba Minda Khalifah’ dan pelbagai lagi ayat yang bersifat win-win situation. Semua itu tidak bermakna buatku andainya aku sendiri tidak menghadamkannya ke dasar hati. Aku cuba kembali untuk kuburkan ilusi fantasi dengan delusi realiti. Berpijak di bumi nyata.

Hujung minggu itu, aku berjalan-jalan ke Kulim Landmark Bookstore. Sengaja aku pergi keseorangan. Mencari buku-buku yang boleh mendamaikan hati yang pasrah. Cuba menukarkan ‘marah’ kepada ‘ramah’ yang sedang tersemai di hati. Menukarkan ‘kecewa’ kepada ‘bahagia’ yang masih belum dibajai. Langkahku terhenti di satu bahagian buku. Bahagian terbitan Telaga Biru. ‘Sesejuk MAAF di kalbu’ yang ditulis oleh Nor Atiqah Ghazali. Membaca sejenak ringkasan kisah di kulit belakang buku itu.

Benarlah kata orang-orang lama. Maaf mampu menyejukkan marah yang membara. Maaf juga membuatkan kita terus ‘Memberi’. Maaf membuatkan kita sentiasa ‘syukur dan sabar’ sekaligus meleburkan kufur. Maaf akan menjadikan kita sentiasa ‘berfikir’ bahawa kita adalah ‘Khalifah’ dan ‘berzikir’ yang kita masih lagi ‘Hamba’. Maaf juga akan membuatkan kita ‘memahami dan mengerti’. Maaf jugalah yang akan membawa kita kepada ‘fitrah’ dan memperkasakan semula ‘fikrah’. Maaf adalah segala-galanya yang mampu racunkan benci dan tunaskan cinta.

Kembali kepada saranan rakanku “Keluarkan satu atau dua ayat yang boleh mengembalikan kita ke dunia realiti.” Masih terngiang kata-kata tegasnya padaku. Aku akur. Lembaran kisah yang terhasil sebelum ini ku untaikan satu persatu. Aku perlu sedar, yang tercalar bukanlah maruahku sebaliknya hanyalah egoku.

Hidup umpama aliran air. Terjun dari atas menuju ke bawah. Ada sebahagiannya berpusing-pusing di tebing, kemudian keluar dan ikut serta aliran air yang lain menuju ke destinasi akhir iaitu ke hilir (Mencari Siapa Diri). Untuk menjadi seorang yang memahami, cukup sekadar mendengar. Untuk menjadi seorang yang mengerti, kita perlu melaluinya dengan sendiri (Jadilah Pendengar Setia).

Tidak hairanlah orang lain tidak mahu mendengar kata-kata kita jika kita sendiri pun tidak mahu melaksanakan tugas ‘mendengar’ kata-kata orang lain (Cebisan Ilmu, Cabaran Amal). Kita hina sebagai hamba Allah, tetapi kita mulia sebagai Khalifah (Susah Senang Sentiasa Seiringan). Biarpun ia kelihatan bagai ilusi. Akan ku bumikan ilusi menjadi realiti (Warkah Fitrah Menggugah Fikrah).

Di manakah tahap aku sebenarnya? Aku terlalu baik atau aku bukan yang terbaik? (Antara Dua Pilihan). Memang diakui, agak sukar untuk memahami minda dan kerenah orang yang lain cara pemikirannya dengan kita, namun ini adalah cabaran bagaimana cara kita untuk mendekati golongan seperti ini (Kreativiti Membina Identiti). Lakaran pena yang indah dan ikhlas mampu untuk menembusi tempoh hati insani. Tulisan dari hati akan sampai jua pada hati (Optimis Seorang Penulis). Damaikanlah jiwa dengan sulaman berprasangka baik. ‘Husnul Zhon’ adalah kunci ukhwah sejati (Kesatuan Pemikiran). Harapnya kita takkan beralih. Biarpun idea sering tersisih. Kita juga mempunyai apa yang terkurang dan terlebih. Kerana kita adalah insan yang tepilih (Jalan Yang Ku Pilih). Dari hati seorang teman, mengingatkan diri pada tuhan (Dari Hati Seorang Teman). Hanya iman yang mampu menilai hikmah yang tersembunyi ini. Ketersembunyian yang tidak pernah aku fikirkan (Tersembunyi).

Anugerah paling istimewa bila kita memiliki sahabat, satu jiwa yang boleh dipercayai sepenuhnya, yang tahu buruk dan baiknya kita dan melebihkan kita dari segala keburukan kita. Terima kasih kerana menerima aku untuk 'telah' menjadi seorang dari ribuan sahabat-sahabatmu. Syukron..

1 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum dik. Tulisan adik ni kakchik baca dari pautan yang dikongsikan oleh seorang sahabat di dalam kumpulan di fb. Terima kasih atas tulisan/luahan yang mempunyai nilai ingatan buat kakchik yang juga selalu menulis.

Post a Comment