Pages

Subscribe:

Sunday, July 3, 2011

Revolusi Minda Kreatif

Jari-jemarinya rancak memutar-mutar kiub segi empat enam warna yang ada di tangannya. Permukaan warna putih sudah kelihatan. Warna kuning juga sudah kelihatan. Manakala, permukaan warna hijau, merah, biru dan jingga baru disiapkan dua baris masing-masing. Masih tinggal baris terakhir bagi keempat-empat warna itu. Kiub segi empat itu dinamakan rubik.

Rancak tangan berputar. Adakalanya pergerakkan tangannya itu tidak seiringi dengan pandangan matanya. Sekali-sekala pandangannya dilemparkan ke tengah taman dalam keadaan jarinya yang masih menari. Menghayati panorama flora dari kawasan lapang dari tempat dia duduk.

Seketika kemudian, rubik itu diletakkan di atas pehanya. Siap! Tetapi matanya tidak tertuju ke arah rubik tersebut. Masih memandang ke kawasan taman. Angin sepoi bahasa menyapa wajahnya. Tenang.

Kini matanya kembali merenung rubik yang telah sempurna. Sekali lagi dia memegangnya. Jemari itu kembali menari. Mahir dia mengendalikan rubik itu. Jika diperhatikan dengan teliti, hanya tiga jarinya sahaja yang bergerak-gerak. Manakala dua lagi jarinya hanya sekadar memegang rubik itu supaya kemas kedudukannya di tangan.

Sekali lagi. Siap! Tetapi bukan menyamakan setiap permukaan dengan warna masing-masing, sebaliknya hanya tengahnya sahaja berbeza warna sedangkan warna tengah itu dikelilingi oleh warna yang sama.

Rubik itu diletakkan di atas peha sekali lagi.

Kekal memerhatikan permukaan warna merah yang di tengahnya bewarna biru. Ditolak ke satu sisi lain. Kelihatan permukaan warna jingga yang di tengahnya berwarna hijau.

Bagaimana dia lakukan?

Khairil Izwan tersengih. Teringat sewaktu mula-mula dia melihat Firdaus rancak menarikan rubik.

*****

“Pergh! Buat macam mana?” Izwan terpegun melihat Firdaus hanya memerlukan satu setengah minit untuk menyiapkan rubik enam warna itu. Reaksi Izwan berminat untuk tahu.

Firdaus menyerahkan rubik itu kepada Izwan.

“Cuba kau buat dulu.” Rubik itu bertukar tangan.

Tidak berlengah, Izwan terus memutarkan rubik itu untuk diselesaikan.

Permukaan berwarna biru sudah kelihatan. Sempurna. Kini tangannya rancak untuk selesaikan permukaan kedua. Permukaan berwarna kuning.

Sepuluh minit berlalu. Barulah permukaan berwarna kuning itu kelihatan. Senyum Izwan semakin meleret memandang Firdaus di sebelahnya.

“Siap! Permukaan kedua.” Izwan bersuara riang.

Namun, permukaan biru yang telah siap sebelum itu sudahpun tidak kelihatan lagi.

Izwan mengerutkan muka. Keluhannya kedengaran. Sebelah tangan dijatuhkan. Hanya sebelah tangannya sahaja yang masih memegang rubik.

Senyuman berganti wajah. Kini, Firdaus pula yang tersenyum. Tawa mula kedengaran. Bahu Izwan ditepuk berkali-kali. Izwan memandang Firdaus. Dia turut tersenyum. Di dalam hatinya sungguh kecewa kerana tidak mampu menyelesaikannya.

Rubik beralih tangan. Izwan meletakkan rubik itu psda tangan Firdaus.

“Macam mana kau buat? Ajarlah aku.” Rayu Izwan. Memohon diajar.

“Aku akan ajar. Tetapi bukan sekarang.” Balas Firdaus.

Wajah Izwan berkerut. Mungkinkah hajatnya tidak akan kesampaian?

“Bila?” suara Izwan kembali bergema melihat senyum Firdaus semakin melebar.

“Aku mahu kau usaha dulu. Habis berusaha, masih lagi tidak dapat selesaikan, barulah aku ajar.” Bicara Firdaus. Firdaus lebih suka sahabat-sahabatnya berusaha untuk mendapatkan sesuatu berbanding hanya menerima tanpa berfikir di sebaliknya. Tidak mahu sahabat-sahabatnya hanya bergantung pada orang lain tanpa usaha sendiri.

Tetapi Firdaus bukanlah kedekut ilmu. Dia masih bertimbang rasa. Klu atau bayangan masih diberikan supaya ‘berfikir’ dulu adalah jalannya.

Rubik kembali bertukar tangan. Kini, rubik itu ada pada tangan Izwan.

“Kau pegang dulu rubik ini, cuba selesaikan terlebih dulu.” Tangan kanan Firdaus diletakkan atas tangan Izwan yang memegang rubik, manakala tangan kirinya menepuk lembut bahu sahabatnya itu. Tepukan semangat.

“Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berperang di dalam menegakkan agamanya di dalam satu barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh. Surah Ash-Saff, ayat ke-empat.” Kata Firdaus membacakan ayat dari surah Ash-Saff.

Izwan mengangguk-angguk faham.

“Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.” Kata Firdaus lagi mengulangi bahagian terakhir ayat itu.

“Mahu penyelesaiannya, guna konsep bagaimana mahu membina sebuah bangunan yang berdiri kukuh.” Pesan Firdaus sebagai klu ataupun bayangan.

Izwan tersenyum apabila melihat wajah Firdaus melakarkan senyum.

“Aku kena pergi dulu. Ada hal sikit.” Bicara Firdaus mengundurkan diri.

Izwan mengangguk.

Seolah-olah sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

“Assalammu’alaikum.”

“Wa’alaikummussalam.” Balas Izwan menghantar Firdaus pergi dengan pandangan.

Izwan kembali menumpukan pandangannya pada rubik. Berfikir sejenak.

Seolah-olah mereka sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

Sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

Bangunan yang berdiri kukuh.

Izwan mengangguk perlahan. Cuba memikirkan kaedah membina sebuah bangunan yang berdiri kukuh.

*****

Rubik masih di tangannya. Sepanjang masa dia berdiri di atas bumbung sebuah bangunan berhampiran dengan kawasan pembinaan pangsapuri di dalam kawasan daerahnya. Memerhatikan bagaimana sesebuah bangunan itu didirikan. Ada bangunan yang baru dibangunkan tapaknya. Ada juga yang sudahpun hampir siap. Tidak kurang juga bangunan yang telah sempurna pembinaannya. Satu persatu diperhatikannya. Termasuklah arah bangunan itu akan didirikan. Gerak-geri manusia yang sedang bertukus-lumus menjalankan kerja pembinaan juga diperhatikan. Mencari bayangan ‘sebuah bangunan yang berdiri kukuh’.

Barulah dia mengerti. Mengerti mengapa apabila dia siap menyelesaikan permukaan kedua rubik itu, permukaan pertama tadi telah berserabut semula.

Fikir Izwan, “Siapkan bahagian hadapan hingga selesai, kemudian bina pula bahagian kanan hingga sempurna.”

“Tidak mungkin!”

“Mana mungkin dapat siapkan pandangan hadapan dulu jika tidak dibina sisi kiri, kanan dan belakangnya secara serentak!” Bisik hatinya. Dia kini faham dan mengerti.

Dia berfikir seketika. Berfikir dan berfikir.

“Yes! Aku sudah tahu!” laung Izwan separuh menjerit.

Tangannya yang setia memegang rubik itu digerakkan. Menggunakan konsep ‘bangunan yang berdiri kukuh’ yang dia fahami. Satu persatu.

Jalan penyelesaian itu dijumpai.

Khairil Izwan tersenyum riang.

Firdaus perlu dicarinya!

******

“Tentukan tempat dahulu!” Katanya perlahan. Firdaus berada di hadapannya sedang memerhatikan rubik yang sedang diputarkan.

Konsep bina bangunan yang berdiri kukuh.

Tentukan tempat terlebih dulu. Tahu mana hadapan, mana kiri dan kanan, mana atas dan bawah. Kemudian bina tapak untuk mengukuhkan kedudukan dan arah sesebuah bangunan.

Tangan Izwan pantas menggerak-gerakkan rubik. Kuning sebagai tapaknya, putih atas, hijau hadapan, merah kanan, biru belakang dan jingga kiri. Selesaikan tapak terlebih dahulu. Kuning.

Tentu arah sudah selesai. Tapak juga sudah sempurna. Masa untuk selesaikan ‘tingkat satu’ sesebuah ‘bangunan’. Hijau, merah, biru dan jingga kelihatan siap satu baris. Kuning masih kekal kelihatan pada permukaannya tidak terusik. Kemudian siapkan ‘tingkat dua’. Hijau, merah, biru dan jingga siap untuk satu baris lagi. Baris kedua.

‘Tingkat tiga’ hanya disiapkan sebahagian sahaja dan terus pula selesaikan bahagian bumbung. Atas berwarna putih. Selesai di bahagian atas, maka disempurnakan ‘tingkat tiga’ yang masih berbaki.

“Siap!”

Izwan memandang Firdaus di hadapannya. Firdaus melorek senyuman.

“Bagus imaginasi kau, Izwan.” Puji Firdaus.

Izwan terus tersenyum. Puas dapat selesaikan misi rubik tersebut.

Firdaus mengambil rubik yang ada pada tangan Izwan, lalu ditunjukkannya pada Izwan langkah-langkah yang lebih mudah dan menjimatkan masa. Izwan mencapai kertas dan mencatit setiap langkah yang Firdaus tunjukkan.

Rubik bertukar tangan. Kini di tangan Izwan. Izwan mengerakkan setiap penjuru rubik itu sambil matanya merujuk kepada sekeping kertas yang tercatit kaedah yang diajarkan oleh Firdaus sebentar tadi.

Firdaus kembali menatap skrin laptopnya. Dia ada kerja yang perlu dilaksanakan segera. Video montaj perasmian untuk program motivasi pelajar-pelajar sekolah menengah. Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan juga NGO yang Firdaus sertai iaitu Ikatan Dakwah Islamiah Malaysia, IDEALISME.

Izwan memerhati ke arah laptop Firdaus. Sebuah video yang memperkenalkan NGO IDEALISME dan juga memaparkan gambar-gambar program yang pernah dianjurkan oleh IDEALISME.

“Kau buat video untuk apa itu?” Soal Izwan. Rubik masih di tangannya. Tidak diputarkan.

“Video untuk program motivasi pelajar-pelajar sekolah menengah.” Balas Firdaus santai. Matanya masih tertumpu pada ikon-ikon kecil pada skrin.

“Kenapa tidak gunakan Perisian Movie Maker. Senang sikit. Masukkan gambar-gambar sahaja.” Izwan mencadangkan pada Firdaus.

“Tidak boringkah asyik guna Perisian yang sama sahaja?” Firdaus memintas.

Belumpun sempat Izwan membalas, Firdaus terlebih dahulu menjelaskan, “Sekali-sekala kena juga guna Perisian Macromedia Flash. Edit gambar guna Adobe Photoshop untuk lebih menarik. Boleh masukkan kata-kata semangat ke dalam gambar.” Firdaus memandang Izwan. Izwan tertumpu pada skrin. Memerhatikan ikon tetikus yang sedang digerak-gerakkan.

Izwan mengangguk-angguk.

“Kita perlu buat sesuatu kelainan. Jangan asyik guna perkara yang sama sahaja untuk montaj perasmian ini. Fikir lebih kreatif. Manusia sukakan sesuatu kelainan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat.” Kata Firdaus. Sempat dia berpesan kepada Izwan supaya kekal menjaga syariat.

Suasana senyap seketika. Firdaus kembali menatap skrin laptopnya. Sekali-sekala tetikus digerakkan untuk melakukan proses animasi pada montaj yang sedang dihasilkannya.

“Cuba kau fikirkan. Apabila kau pegang rubik ini, apa yang kau akan lakukan?” kata Firdaus mematikan suasana sepi tadi. Tangannya kini mengambil rubik dari tangan Izwan.

Izwan berfikir seketika.

“Sudah tentu aku akan selesaikan permukaannya.” Balas Izwan ringkas.

“Dengan warna yang sama?”

Izwan mengangguk.

“Boleh fikir pada dimensi yang lain?” soal Firdaus lagi.

Izwan mengerutkan dahi. Minta Firdaus menjelaskan maksudnya.

“Pernah tidak kau terfikir yang rubik ini boleh juga buat seperti ini?” Firdaus mengutarakan soalan sambil jarinya menggerakkan rubik di tangannya.

Izwan terus memerhati jari-jemari Firdaus.


Seketika kemudian, rubik itu berubah kedudukan warna. Di tengahnya berwarna hijau manakala di sekelilingnya berwarna kuning. Begitu juga di semua permukaan yang lain.

Izwan tergamam. Tidak pernah terlintas di fikirannya rubik boleh dilakukan sebegitu. Dia menggeleng, tidak pernah terfikir.

“Macam mana pula kalau buat sebegini?” sekali lagi tangan Firdaus menggerakkan rubik di tangannya. Kali ini rubik berubah menjadi satu corak yang sungguh menarik. Menjadi corak yang seragam dengan bahagian-bahagian lain.

Sekali lagi Izwan menggeleng. Kagum dengan kemahiran yang Firdaus miliki.

“Bayangkan kalau kau dicampakkan ke kawasan padang pasir, apakah kau akan katakan seluruh dunia adalah padang pasir? Sekiranya kau dicampakkan ke kawasan pergunungan, adakah kau akan katakan seluruh dunia ini adalah bergunung-ganang? Manusia itu berbeza-beza. Setiap manusia mempunyai pembawaan dan peribadi yang berbeza-beza. Manusia tidak sama.” Kata Firdaus.

Izwan senyap mendengar kata-kata Firdaus.

“Tidak semua manusia macam kau. Tidak semua manusia macam kita. Sebab itulah kita perlukan satu pemikiran yang kreatif untuk membentuk manusia. Pemikiran yang mampu menjengah setiap manusia yang berbeza karektornya. Dan disatukan untuk menuju kepada yang Maha Satu. Setiap kaedah perlu dipandang sebagai unik, dipandang sebagai peluang. Jangan terlalu sempitkan cara pemikiran kita.” Sambung Firdaus lagi.

“Tidak hairanlah orang yang membawa agama dianggap sebagai ketinggalan zaman. Sebabnya kita tidak gunakan situasi sebagai peluang.” Pintas Izwan menyokong kenyataan Firdaus.

Firdaus memetik jarinya, “Ubah cara pemikiran. Revolusi Minda Kreatif. Tetapi jangan gadai syariat.” Firdaus kembali tersenyum. Kekal dengan pesannya untuk menjaga syariat.

Izwan juga turut tersenyum.


*****

“Izwan. Kita sudah siapkan tiga scene. Ada lagi dua scene yang kita masih belum selesai.” Suara jurukameranya menghentikan lamunannya.

Ingatan Izwan kembali ke tapak penggambaran.

Kini, Izwan dan Unit Penerangan & Informasi yang bernaung di bawah NGO IDEALISME sedang menjalankan sebuah penggambaran drama pendek mereka. Sebuah drama yang memfokuskan kepada pengertian ukhwah dan cabaran yang sering dihadapi di dalam berukhwah. Penerbitan drama pendek itu ditaja juga oleh syarikat CreativeMind Revolution Sdn Bhd yang dikendalikan oleh Nazrul Hakimi, sahabat baik Firdaus yang diperkenalkan kepada Khairil Izwan.

Lantas dia teringat akan pesan Firdaus.

Tidak semua manusia macam kau. Tidak semua manusia macam kita. Sebab itulah kita perlukan satu pemikiran yang kreatif untuk membentuk manusia. Pemikiran yang mampu menjengah setiap manusia yang berbeza karektornya. Dan disatukan untuk menuju kepada yang Maha Satu.”

Inilah ‘Minda Kreatif’ yang sedang diaplikasikan ke dalam bidang yang dikuasainya untuk manfaat manusia. Suatu perubahan terhadap dunia penerbitan dan multimedia. Untuk menarik lebih ramai manusia mendekati dan menghayati Islam, perlu dilakukan seperti konsep ‘Sebuah bangunan yang berdiri kukuh’. Tentukan arah kehidupan dan pasakkan tapak asas kefahaman. Yang lain akan menyusul kemudian, perlahan-lahan. Tetapi masih di dalam landasan.

Izwan memerhati jurukameranya dengan senyuman.

“Baiklah semua.” Dia bangun dan berkata kepada semua kru yang ada di situ. “Kita berhenti di sini dulu untuk hari ini, kita sambung selepas usrah kita petang esok, di sini.” Kata Izwan. Rubik berada di sebelah tangan kirinya kini.

Sesi penggambaran itu ditangguhkan dengan Tasbih kifarah dan Surah Al-Ash. Lalu dia bersama-sama kru-krunya mengemas peralatan yang mahu disimpan.

“Inilah dia proses Revolusi Minda Kreatif yang sedang berjalan.” Bisik hatinya perlahan. Terukir senyumannya.

Pada masa yang sama Izwan terfikir untuk babak sedih drama pendeknya, dia akan masukkan lagu minus one kumpulan Korea Beast yang bertajuk On Rainy Day. Lagu itu mampu menyentuh perasaan manusia yang mendengarnya dan ianya pasti memberi impak kepada penonton dramanya kelak. Lagu itu juga pastinya akan membantu menyampaikan mesej ukhwah dengan berkesan. Hanya minus one, tiada suara penyanyi utama atau suara latar.


0 comments:

Post a Comment