Pages

Subscribe:

Thursday, June 16, 2011

Menjejak Bahagia

Burung bebas beterbangan di langit biru. Angin menghembus penuh kedamaian. Pepohonan hijau turut melambai santai. Seolah-olah alam flora itu sedang menyanyi penuh keriangan, penuh membahagiakan. Andai dibaringkan badan di tengah padang kecil itu, tidak akan terasa bahangnya. Malah mungkin saja mata terlelap dengan lena.

Derapan langkah seorang insan dari koridor sekolah rendah kedengaran perlahan. Semakin lama, semakin kuat. Bererti langkahan itu sudah semakin hampir dengan destinasinya.

“Cikgu datang! Cikgu datang!”

Pantas pelajar-pelajar kelas itu menuju ke tempat duduk masing-masing. Cuba menyembunyikan aktiviti mereka sebelum guru masuk ke dalam kelas tadi.

Sekelip mata. Suasana yang bisingnya mampu kedengaran hingga ke bilik guru tingkat atas, senyap serta-merta. Insan yang sedang berjalan dari luar bilik kelas itu seperti mempunyai mukjizatnya yang tersendiri. Lalu sahaja, suasana sepi.

Tertera di atas muka pintu dengan perkataan ‘Kelas 2 Ceria’. Langkah insan itu terus masuk ke dalamnya. Tidak teragak-agak. Dia meletakkan bukunya di atas meja guru yang berada di hadapan kelas. Tangan kiri membetulkan cermin mata yang dipakainya.

“Bangun!” laung ketua kelas.

“Assalammu’alaikum, cikgu!”

“Assalammu’alaikum, cikgu!” suara pelajar kelas itu bergema gagah. Mengikuti ucapan salam yang dilaungkan oleh ketua kelas.

“Wa’alaikummussalam. Duduk semua.” Arah insan yang berdiri di hadapan kelas.

Cikgu Ifaa. Itulah abjad yang tertera pada tag namanya. Kemas terletak di sebelah kiri tudung insan itu. Dialah seorang cikgu. Pendidik anak bangsa dengan menggunakan acuan agama. Tudung labuhnya itu langsung tidak menghalang kerjayanya sebagai seorang guru. Malah, dia cukup disenangi oleh orang lain. Mereka juga mudah meletakkan kepercayaan kepadanya atas amanah yang dijaganya.

Perlahan langkahnya diatur ke menghampiri papan hitam. Tangan kanan mencapai kapur putih yang masih tersisa di tempatnya, lalu melakarkan satu perkataan pada papan hitam. Besar perkataannya. Satu persatu.

“B-A, Ba, H-A, ha, G-I-A, gia” eja Fatin mengikut suku kata.

“Bahagia!” jerit seorang pelajar lain. Afiq namanya.

“Betul! Bahagia.” Cikgu Ifaa bersuara dan berpaling ke arah pelajar kelas itu. Kapur masih lagi berada di tangan. Digenggam.

“Hari ini kita akan membicarakan tajuk...”

“Bahagia.” Sampuk Akmal memintas kata-kata Cikgu Ifaa.

Tidak sempat Cikgu Ifaa menghabiskan kata-katanya.

Dia tersenyum dan mengangguk-angguk mengiyakan kata-kata Akmal. Akmal seorang pelajar yang agresif. Suka meneka apa yang ‘akan’ dikatakan oleh orang lain dan cuba menyambungnya.

“Bahagia. Siapa tahu apa itu bahagia?”

“Bahagia itu adalah ketenangan, cikgu!” jawab Aisya, tangannya diangkat serentak dengan jawaban yang diberikannya.

Sekali lagi Cikgu Ifaa mengangguk.

“Bagaimana pula kita mahu capai ketenangan?” Soal Cikgu Ifaa lagi. Bertalu-talu soalannya dengan jawaban dari pelajarnya.

“Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan, bila hati mengingati Tuhan.”

Cikgu Ifaa tersenyum lebar. Mana tidaknya. Faizul, tangannya mengetuk meja bergendang sambil menyanyikan sebaris rangkap lagu dari kumpulan nasyid UNIC. Lagu yang bertajuk Hakikat Bahagia. Sesuai dengan tajuk yang sedang mereka bincangkan.

“Faizul! Awak mari ke depan. Nyanyikan lagu yang awak nyanyikan tadi. Bagi kawan-kawan awak dengar suara merdu awak.” Bicara Cikgu Ifaa merancakkan suasana.

Faizul malu-malu. Dia menggeleng kepala tidak mahu.

Kawan-kawannya pula sakan menyakatnya apabila Cikgu Ifaa menyebut ‘suara merdu’ tadi.

“Baiklah, kelas. Bahagia itu adalah ketenangan. Tenang apabila kita mengingati Tuhan iaitu Allah yang menciptakan kita. Pada-Nya terletak segala kebahagiaan” suara Cikgu Ifaa kedengaran jelas seluruh kelas. “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Surah Ar-Ra’d ayat 28” sambungnya lagi dengan dalil naqli.

Cikgu Ifaa terpandang Hayati yang memandang ke luar kelas.

Perhatiannya seperti tiada di dalam kelas.

“Norhayati!”

Lantas Hayati memalingkan wajahnya mengadap Cikgu yang sedang memanggil.

“Norhayati. Bila hidup awak akan bahagia?” soal Cikgu Ifaa memberikan peluang kepada Hayati untuk bersuara. Wajah Cikgu Ifaa masih tersenyum. Tiada tanda-tanda dia marah dengan perhatian yang diberikan oleh Hayati.

“Hayati akan bahagia apabila...” suara Hayati terhenti sejenak. Memikirkan jawaban yang revelen untuk dilontarkan.

“Bila kau sudah kahwin nanti.” Sakat Akmal yang duduk di belakangnya. Menyambung ayat Hayati yang terhenti.

Kelas ketawa. Hayati mencuka.

Cikgu Ifaa mengisyaratkan kelas untuk senyap. Menanti jawaban dari Hayati.

“Ada jawaban, Norhayati?” suara Cikgu Ifaa sekali lagi bergema.

“Er... Bila Hayati sudah jadi kaya, cikgu!” tangannya diangkat ke atas. Seolah-olah meminta izin untuk menjawab sedangkan soalan itu adalah untuknya.

Cikgu Ifaa tersenyum.

Tangannya masih lagi terangkat. Menanti respon Cikgu Ifaa.

“Baiklah. Bila awak sudah jadi kaya, awak rasa awak akan bahagia?”

“Mestilah. Boleh beli macam-macam.” balas Hayati pantas.

“Orang lain yang tengok kehidupan awak kaya-raya?”

Hayati seakan berfikir.

“Mesti orang lain jeles sebab mereka tidak boleh beli macam-macam.” Balas Akmal.

“Apa yang awak akan terfikir apabila tahu ada orang jeles dengan awak?” soal Cikgu Ifaa kembali kepada Hayati.

“Mesti dia nak ambil harta kita. Dia akan culik kita, kemudian minta wang tebusan dari keluarga kita” Fatin mencelah.

Tangan Farid diangkat.

“Ataupun dia pecah masuk rumah kita dan rompak harta kita.” Farid dengan jawaban pesimisnya. Selalu pesimis.

Cikgu Ifaa terus tersenyum. Lalu dia berjalan menghampiri Hayati.

“Awak akan bahagia lagi tak apabila terfikir sebegitu, Norhayati?” wajah Cikgu Ifaa didekatkan dengan wajah Hayati.

Hayati menggeleng lalu menundukkan wajahnya.

“Apabila kita jadi kaya, belum tentu kita akan bahagia. Betul cikgu?” Ulas Fadhil yang duduk di bahagian tengah sebelah kiri kelas.

Cikgu Ifaa tersenyum. Dia mengangguk. Erti bahagia hampir sampai kepada minda pelajar-pelajar ini.

Suasana senyap seketika. Cikgu Ifaa kembali berjalan ke hadapan kelas.

Apabila kita jadi kaya, belum tentu kita akan bahagia.

“Maknanya..” Azzean mula bersuara. Berfikir sejenak.

“Kebahagiaan itu terletak pada kemiskinan?” sambung Azzean.

Cikgu Ifaa mengeluh kecil. Rupanya apa yang mahu disampaikannya ada sesetengah pelajar yang masih belum dapat tangkap maksudnya.

Cikgu Ifaa tersenyum sambil menyatakan jawabannya kepada Azzean.

“Tidak!” katanya sambil menggeleng-geleng. Menidakkan kenyataan dari Azzean.

Azzean kerut dahi.

“Aiman!” nama Aiman pula yang dipanggil. Pandangan Azzean dilemparkan ke arah Aiman.

“Kalau awak, awak mahu jadi orang kaya atau jadi orang miskin?”

Aiman tersengih sendiri memandang rakan-rakannya.

“Aiman tak kisah.” Jawabnya ringkas.

Pecah tawa seluruh warga kelas 2 Ceria dengan telatah Aiman.

Cikgu Ifaa tidak terkecuali. Tawanya juga turut berderai.

“Awak kena kisah, Aiman. Sebab ini adalah berkenaan kehidupan awak.” Balas Cikgu Ifaa dengan tawa yang berbaki.

Aiman masih lagi tersengih.

“Hasmi! Kalau awak diberi pilihan samada mahu jadi orang kaya atau orang miskin, mana satu yang awak akan pilih?” soalannya beralih pula kepada Hasmi.

“Tengah-tengah.” Jawab Hasmi.

Cikgu Ifaa mengangkat kening. Ada sebahagian rakan-rakannya ketawa.

“Kaya tidak, miskin pun tidak, cikgu.” sambung Hasmi menjelaskan jawabannya.

Kali ini Cikgu Ifaa tersenyum.

“Kaya tidak, miskin pun tidak. Ertinya kebahagiaan itu terletak pada sederhanaan? Betul?”

“Betul! Bergema suara satu kelas serentak mengiyakan jawaban Cikgu Ifaa. Termasuk Azzean sama.

“Kalau begitu, kebahagiaan terletak di mana? Kekayaan bukan, kemiskinan pun bukan.” Soal Cikgu Ifaa lagi. Ditujukan kepada Azzean.

Azzean hanya mengangkat bahu. Tidak tahu.

“Faizul!”

Waktu ini, Faizul kelihatan mulutnya terkumat-kamit menyebut sesuatu tanpa suara. Seakan-akan sedang membaca mentera.

Bahagia itu dari dalam diri. Kesannya zahir rupanya maknawi. Terpendam bagai permata di dasar hati.” Faizul kembali menyebut bait-bait nasyid Hakikat Bahagia. Tidak mengalunkan dengan nada.

“Sambung lagi Faizul.” Pinta Cikgu Ifaa.

Bahagia itu ada pada hati. Bertakhta di kerajaan diri. Terbenam bagai mutiara di lautan nurani.” Faizul menantikan reaksi cikgu dan rakan-rakannya.

“Itulah hakikat bahagia.” Bicara Cikgu Ifaa sambil memandang rawak ke seluruh pelajar-pelajarnya.

Faizul tersenyum. Dia merasakan Cikgu Ifaa tahu yang dia membacakan perenggan lirik lagu nasyid.

Suasana kelas senyap sekali lagi.

Bahagia itu ada di jiwa. Mahkota di singgahsana rasa. Bahagia itu adalah suatu ketenangan.” Cikgu Ifaa menyambung perenggan seterusnya dari lirik lagu tersebut.

“Bahagia itu adalah ketenangan. Ketenangan itu pada kesederhanaan. Kesederhanaan itu adalah berasa cukup dengan apa yang ada. Itulah bahagia.”

Beberapa orang mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

“Mahu menjadi kaya, tidak menjadi masalah. Bukannya kaya harta. Tetapi kaya hati.” Tangan Cikgu Ifaa menepuk berulang kali di dadanya.

“Bukanlah kekayaan itu pada banyaknya harta benda tetapi kekayaan sebenarnya ialah kekayaan hati. Ini adalah hadis Rasulullah.” Pesannya lagi.

“Hatilah tempat bermulanya seseorang itu bahagia ataupun tidak?” Azzean bersuara.

Cikgu Ifaa mengangguk lalu tersenyum.

“Macam mana?” soal Azzean lagi. Ingin penjelasan lanjut.

Bersyukur dengan yang masih ada, Bersabar dengan yang telah tiada. Apabila kita merasa kita hebat, fikirlah ada lagi hebat dari kita. Apabila kita merasa kita lemah, fikirlah ada lagi lemah dari kita. Bererti kita tidak meninggi diri dan tidak pula berputus asa.” Cikgu Ifaa memandang sekeliling kelas. Menanti reaksi pelajar-pelajarnya.

“Masa kita kaya, kita bersyukur. Masa kita miskin, kita bersabar. Masa kita sakit, kita anggap itu adalah penghapus dosa. Masa kita susah, tidak salahkan takdir. Malah yakin dengan sepenuh keyakinan bahawa semua yang berlaku ada hikmahnya. Pasti ada ganjaran buat kita, jika kita percaya kepada takdir Allah.” Jelas Cikgu Ifaa panjang lebar.

“Ingatlah! Tidak ada seorang muslim pun yang mengalami penderitaan, kepenatan, kesakitan, kesulitan, kesedihan dan kebimbangan yang merunsingkannya melainkan dihapuskan sebahagian daripada kejahatannya.” Sekali lagi Cikgu Ifaa memetik sepotong hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim.

“Yakin dengan takdir, cikgu?” Faizul mencelah.

Cikgu Ifaa mengangguk. Dia mula bersuara.

“Dari Jabir berkata Rasulullah bersabda, Janganlah sekali-kali kamu mati kecuali dalam keadaan berprasangka baik terhadap Allah, sesungguhnya terdapat satu kaum dibinasakan kerana telah berprasangka buruk terhadap Allah.”

"Barang siapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu. Surah At-Thalaq ayat 2 dan 3.”

Cikgu Ifaa memandang jam di tangannya.

“Baik semua, kita ingat semula apa yang telah kita bincang pada hati ini.”

Semua pelajar mengubah posisi kedudukan. Bersiap sedia untuk disoal oleh Cikgu Ifaa. Memang inilah konsep yang diterapkan olehnya. Dia tidak mahu apa yang dibincangkan pada hari ini menjadi sia-sia tanpa dapat dimanfaatkan. Atas sebab itulah dia sering bersoal balas bersama pelajarnya ketika waktu kelas hampir ke penghujungnya.

“Fatin! Apa tajuk yang kita bincangkan hari ini?”

“Bahagia!”

“Afiq! Apa itu bahagia?”

“Bahagia adalah ketenangan. Ketenangan bila kita ingat pada Allah.”

“Azzean! Bahagia itu ada di mana?”

“Di sini, cikgu. Hati.” Azzean menepuk dadanya.

“Aisya! Bagaimana hati boleh membuatkan kita bahagia?”

“Bersangka baik dengan Allah yang jadikan kita.”

“Lagi! Faizul!”

“Yakin dengan takdir.”

“Norhayati! Bagaimana caranya?”

“Yakin apa yang terjadi, mesti ada hikmahnya.”

“Farid! Bahagia pada kekayaan atau kemiskinan?”

“Kekayaan! Kaya hati!”

“Fadhil! Awak mahu jadi kaya atau miskin?”

“Kaya!”

Cikgu Ifaa mengangkat kening. mahukan penjelasan dari jawaban Fadhil.

“Kaya hati!” Balas Fadhil pantas setelah melihat reaksi cikgunya sebegitu.

“Bahagia pada kesederhanaan, cikgu!” Akmal memberikan reaksi.

Belum sempat Cikgu Ifaa memanggil namanya, dia sudah memberikan jawabannya.

“Bagus, Akmal! Terima kasih.”

Pandangan Cikgu Ifaa beralih pula kepada Aiman.

“Aiman! Kalau awak tidak bahagia, awak kisah atau tidak?”

“Kisah.”

“Sebab apa kita mesti ambil kisah kalau hidup kita tidak bahagia? Hasmi!”

“Sebab ada kaitan dengan kehidupan dunia dan akhirat.”

“Bagus! Kamu semua sudah faham apa yang telah kita bincangkan hari ini.” Cikgu Ifaa tersenyum riang.

Semua pelajarnya memahami erti bahagia yang sebenar dan dia berharap mereka dapat mengingatinya dan cuba menjejakinya dengan bersungguh-sungguh.


Kring... Kring...

Loceng berbunyi.

Menandakan waktu rehat tiba.

Dari luar koridor dapat dilihat pelajar-pelajar kelas lain berlari-lari menuju ke kantin. Ada sebahagiannya menuju terus ke tengah padang untuk bermain.

“Cikgu! Rehat!” Fatin mengingatkan.

Cikgu Ifaa juga melemparkan pandangannya ke luar kelas.

“Baiklah. Semua boleh keluar rehat.” Akhiri Cikgu Ifaa. Dia berjalan ke meja guru untuk mengambil bukunya yang masih terdampar di atas meja. Memahami kehendak pelajarnya yang masih mentah.

“Bangun!” laung ketua kelas.

Ada sebahagiannya sudahpun berdiri sebelum ketua kelas memberikan arahan bangun.

“Terima kasih, cikgu!” ucap ketua kelas.

“Terima kasih, cikgu!” suara pelajar kelas bergema.

“Sama-sama.” Balas Cikgu Ifaa tersenyum.

Tanpa menunggu. Pelajar-pelajar terus bergerak keluar kelas.

Ada yang terus menuju ke kantin. Ada juga yang menuju ke kawasan padang sekolah. Seperti pelajar-pelajar kelas lain.

Cikgu Ifaa masih tersenyum melihat gelagat pelajar-pelajar di tengah padang.

Alam kanak-kanak. Bermain, adalah sesuatu yang membahagiakan buat mereka waktu ini. Di dalam hati seorang cikgu bernama Isyfi Ifaa Arifah terdetik, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Pelajar-pelajar ini adalah rebung yang perlu dibentuk sebelum mereka mencecah alam awal remaja yang penuh dengan likunya.

Dia yakin, dia mampu mengubah peribadi dan pemikiran pelajar-pelajar ini.

Langkahnya diatur keluar dari kelas 2 Ceria dan terus menuju ke bilik guru yang berada di tingkat satu di atas.

Semoga suatu masa nanti, semua insan di atas muka bumi ini mampu mengecapi kebahagiaan dengan sebenar-benar erti kebahagiaan. Yakin dengan janji-janjiNya.

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Muhammad : 7)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Ali Imran: 103­)


0 comments:

Post a Comment