Pages

Subscribe:

Sunday, May 2, 2010

Mencari Siapa Diri


Aktiviti aku pada hujung minggu itu adalah ke Lata Bukit Hijau. Kawasan rehlah untuk bermandi-manda bersama-sama rakan satu sekolah dahulu. Di samping menenangkan fikiran dari keserabutan masalah yang di hadapi, dapat juga mengeratkan kembali ukhwah yang agak sekian lama sepi. Kawasan air terjun yang menjadi kunjungan tidak kira samada yang masih bujang mahupun yang sudah berkeluarga. Kawasan untuk bersuka-ria dan juga melakukan aktiviti keluarga. Begitu juga buat mereka untuk memerhati, meneliti, berfikir, dan mentafsir akan kebesaran Penciptanya.

Terlalu ramai pengunjungnya. Tidak kira waktu dan tika, pengunjung tetap tidak berubah. Yang berubah hanyalah tahap keimanan dan ketakwaan pengunjungnya. Samada berkurangan iman mereka yang hadir semata-mata ‘mencuci mata’ ataupun bertambah keimanan mereka yang hadir untuk ‘mencuci minda’.


KEHIDUPAN UMPAMA ALIRAN AIR
Aku duduk termenung sambil memerhatikan gerakan air terjun yang mengalir. Terjun dengan gagah dari atas ke bawah lalu deras mengalir menuju ke hilir. Ada tikanya air yang mengalir itu ‘berkeliaran’ di tepi-tepi tebing sebelum ‘menyertai’ semula aliran deras untuk menuju ke destinasinya iaitu menuju ke hilir. Membentuk pusaran mencari ‘jalan keluar’ dari kemelut itu dan ‘ditolak’ semula oleh aliran air yang terus turun dari atas bukit dan dibawa bersama-sama aliran air yang lain.

“Lihat aliran air itu. Terjun dari atas menuju ke bawah. Ada sebahagiannya berpusing-pusing di tebing, kemudian keluar dan ikut serta aliran air yang lain”. Kataku memulakan perbicaraan pada rakan yang baru mula ‘menapak’ di sebelahku. Syafiq Hakimi namanya.

“Apa kaitannya dengan kita?” Soalnya. Seolah-olah dia sudah memahami kaitan dengan setiap kiasan perbicaraanku. Pasti ada kena mengena dengan fitrah insani. “Kenapa dia mengalir sebegitu? Terjun dari atas menuju ke bawah.” Soalku kembali.

“Itulah lumrah dunia. Sudah ditetapkan alirannya.” Balasnya bersahaja.

“Kita dilahirkan ke dunia, dibesarkan, menuntut ilmu, berbakti pada masyarakat, berkahwin, melahirkan zuriat, tiba masanya kita akan mati. Zuriat yang dilahirkan pula akan menurut ‘aliran kehidupan’ yang sama seperti kita. Dibesarkan, menuntut ilmu, berbakti pada masyarakat, berkahwin, melahirkan zuriat, tiba masanya mereka juga akan mati. Tatkala mereka tersalah arah, kita bertanggungjawab untuk ‘menolak’ mereka keluar dari putaran masalah untuk bersama-sama dengan kita bagi meneruskan kehidupan.” Ku renung wajahnya dan kembali memerhatikan ‘gelagat’ air yang mengalir. Suasana sepi seketika. Mengajak dia untuk berfikir dan mentafsir. “Apa kaitannya dengan kita?” Aku ajukan kembali soalan yang pada awalnya dia ajukan padaku. Memperjelaskan kaitannya dengan kehidupan kita.

“Hidup kita umpama aliran air?” Soalnya kembali. Rupanya soalanku dibalas dengan soalan.


MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH
“Pernah kita terfikir, kenapa aliran kita sebegitu? Hanya mengikut ‘aliran’ hidup ini tanpa diketahui kenapa kita diciptakan ke dunia?” Kiasku.

“Sebelum kau bertanya soalan itu, malaikat sudahpun bertanya pada Allah tentang penciptaan kita di muka bumi? Dalam surah al-Baqarah ayat 30 telah menjelaskannya.” Jawabnya. Perkongsian ilmu. Konsep memberi dan menerima pada masa yang sama.

“Apa Malaikat tanya?” Soalku kembali menuntut jawaban yang pasti.

...Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau... (al-Baqarah: 30).” Jawabnya.

“Apa Allah jawab?” Soalku lagi.

...Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” Giliran dia pula merenung wajahku. “Pada ayat yang sama.” Sambungnya kembali merenung keindahan alam yang terbentang di depan kami.

Apakah manusia mengira bahawa mereka dijadikan sia-sia? (Al-Qiamah: 36)” Balasku juga dengan ayat suci al-Quran yang sememangnya terbukti kebenarannya. “Jadi Mengapa Allah ciptakan kita di dunia kalau bukan sia-sia?” Halaqah bermula.

“Allah sudah jelaskan dalam surah yang sama iaitu al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Jadi, Penciptaan kita adalah sebagai khalifah di muka bumi. Bukan dijadikan sia-sia.” Jawabnya juga dengan hujah yang paling tepat. Yakni Al-Quran.

Seketika kemudian kelihatan dua orang sahabat kami, Farid dan Kamil datang menghampiri kami berdua. Mungkin tertarik dengan topik perbincangan kami. Perbincangan mengenai kewujudan manusia di muka bumi beserta tujuannya. Topik yang rancak.


PENCIPTAAN BUKAN SIA-SIA
“Banyak lagi dalil al-Quran yang Allah telah jelaskan bahawa setiap penciptaan-Nya bukanlah dengan sia-sia. Ada dalam Surah Ali Imran ayat 191 dan juga Surah Anbiya’ ayat 16.” Sambungku bagi mengukuhkan lagi hujahnya dengan dalil-dalil naqli. Dia hanya mengangguk. Mengiyakan.

Benar! Banyak lagi ayat yang telah Allah khabarkan bahawa apa yang ada di langit dan di bumi bukanlah dijadikan dengan sia-sia. Surah Ali Imran, ayat 191 menjelaskannya: “Mereka akan sentiasa berzikir (ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka perliharalah kami dari azab neraka. (Ali Imran: 191)”. Begitu juga dalam Surah Anbiya’, ayat 16: “Dan tidaklah Kami ciptakan Iangit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main. (Anbiya’:16)”.

Farid kelihatannya mengeluarkan buku nota serta pen lalu mencatatkan beberapa patah perkataan pada helaian buku bergaris itu. Sekilas pandang aku hanya terlihat Farid mencatatkan nama Surah beserta ayatnya. Mungkin untuk menjadi rujukannya apabila pulang ke rumah nanti. Mungkin juga sebagai rujukan sepanjang masa. Aku terus berbicara, “Kalau bukan sia-sia, mesti ada sebabnya.” Syafiq terus memerhatiku. Meneliti setiap butir perkataan yang terbit dari bibirku.


BERIBADAH HANYA KEPADA ALLAH

“Allah pernah berfirman dalam surah az-Zariyat, ayat 56 yang bermaksud ‘Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku’. Bermakna kita hidup di dunia ini adalah untuk beribadat kepada Allah. Tuhan sekalian alam”. Jawab Syafiq tenang.

Syafiq Hakimi mencapai tafsir al-Qurannya lalu menyelak pada satu helaian muka surat. Seperti mencari sesuatu kepastian dalam surah-surah tertentu. “Beribadahlah kalian kepada Allah saja, tidak ada yang patut disembah selain Allah (Al-A’raf: 59)” kata Syafiq merujuk kepada tafsir Al-Quran tersebut. Kemudian menutup kembali tafsir Al-Quran itu sambil berkata lagi, “Allah, tiada Tuhan yang disembah kecuali Dia, Tuhan yang mempunyai 'Arsy yang besar. (An-Naml: 26). Surah Taha ayat 14 juga menyatakan maksud yang sama iaitu mengabdikan diri hanya kepada Allah dan ingatlah Allah di dalam solat." Hujah yang nyata.

Dan tanyakanlah kepada rasul-rasul Kami yang telah Kami utus sebelum kamu: ‘Adakah Kami menentukan tuhan-tuhan untuk disembah selain Allah Yang Maha Pemurah? (Az-Zukhruf: 45). Ini bermakna, tugas kita adalah sebagai Khalifah. Tugas khalifah adalah untuk beribadat hanya kepada Allah sahaja dan ia bukanlah sesuatu perkara yang sia-sia.” Aku pantas membuat kesimpulan awal antara perkara ‘beribadah’, ‘khalifah’ dan ‘perkara yang bukan sia-sia’. Farid ligat mencatit butir-butir perbincangan. Kamil hanya bertindak sebagai pendengar yang setia tanpa sebarang patah bicara. Sekali-sekala dia mengamati tulisan yang tercatit di buku Farid.


DARI TANAH KEMBALI KEPADA TANAH
“Bukankah Allah sudah nyatakan dalam Surah At-Tin ayat 4, ‘Sesungguhnya Kami ciptakan insan itu dengan sebaik-baik penciptaan’. Manusia adalah sebaik-baik penciptaan. Diciptakan manusia dari tanah.” Sambung bicara Syafiq sambil melemparkan beberapa ketul batu kecil ke arah air sungai. “Juga dalam Surah Sajadah ayat 7, ‘Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya, dan yang dimulai penciptaan manusia dari tanah’.” Katanya terhenti seketika. “Ada lagi ayat yang menyatakan kita diciptakan dari tanah?” Pandangnya ke arah aku. Soalan yang menuntut jawabannya.

“Surah Shaad, ayat 71 dan Surah Al-Mukminun ayat 12” Kataku menjawab soalannya. Lantas Syafiq membuka semula tafsir al-Quran yang ada di gengamannya untuk mencari ayat yang dimaksudkan. “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah’ (Surah Shaad: 71)”. Syafiq membuka pula helaian yang lain, “Dan sesungguhnya, Kami menciptakan manusia itu daripada saripati yang berasal daripada tanah (Al-Mukminun: 12)” Syafiq kembali menutup semula tafsir al-Quran dan melemparkan pandangannya ke arah pohonan hijau yang melambai.

“Manusia dijadikan daripada tanah dan akan kembali juga kepada tanah” tiba-tiba sahaja Farid bersuara. mata kami tertumpu ke arahnya. Mungkin hikmah dari sifatnya yang gemar mencatit. Balasnya lagi “Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan, dan hanya kepada Kamilah tempat kembali (Qaf: 43)”.

“Bagaimana kita nak kembali kepada Allah?” Soalku yang kini diajukan kepada Farid. Memancing pendapatnya.

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. (Ankabut: 69)” Bicara Farid lagi.

“Sekarang barulah kita tahu, kenapa kita berada di dalam ‘aliran kehidupan’ ini.” Kataku menyimpulkan topik perbualan sekaligus menjelaskan tujuan penciptaan kita di muka bumi ini.

“Hidup umpama aliran air. Terjun dari atas menuju ke bawah. Ada sebahagiannya berpusing-pusing di tebing, kemudian keluar dan ikut serta aliran air yang lain menuju ke destinasi akhir iaitu ke hilir.” Sambung Syafiq mengakhiri perbualan. Perbualan yang bermotifkan ‘Mencari Siapa Diri’. Telahpun ditemui siapakah diri ini di sisi Ilahi.

1 comments:

Putry Amouy said...

JOIN NOW !!!
Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
BURUAN DAFTAR!
dewa-lotto.name

Post a Comment