Pages

Subscribe:

Thursday, April 15, 2010

Optimis Seorang Penulis

Ku biar kalam berbicara
Menghurai maksudnya di jiwa
Agar mudah ku mengerti
Segala yang terjadi
Sudah suratan Ilahi

Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini

Terimalah seadanya. Seorang penulis juga adalah seorang hamba. Hamba yang penuh kekurangan di sebalik kelebihan yang dipinjamkan ini. Mengaplikasikan suruhan Rasulullah s.a.w “Sampaikan ajaranku walau sepotong ayat”. Manusia tetap manusia. Ada yang boleh redha dan ada yang tidak boleh terima. Namun, seringkali seorang penulis berada di dalam dilema tatkala pembaca tersalah tafsir apa yang penulis cuba sampaikan. Kewujudan ‘Fikrah’ dan ‘UnFikrah’ menghalang untuk penulis menulis apa di minda dan siapa dirinya. Terpaksa hipokrit dengan tulisan-tulisan bagi menjaga hati-hati insan sefikrah. Sedihnya hati apabila pembaca beranggapan penulis mempunyai fikrah yang jelas, namun tidak thiqah ketika menceritakan watak yang tidak berfikrah.

“Ana bimbang nak baca tulisan anta sebab nanti ana hilang kawalan untuk berfikiran waras. Kebanyakkan tulisan anta tidak menggambarkan cerita sebenar”. Jawabku “Anggap saja watak Nasrul adalah manusia tidak berfikrah”. Ada yang menerima dan ada yang tidak boleh menerima. Kebanyakkannya adalah dari mereka yang tidak boleh menerima. Akhirnya hampir semua penulis berkeputusan hanya menulis apa yang dilaluinya sahaja atau lebih tepat hanya menceritakan watak berfikrah. Seolah-olah watak tidak berfikrah telah ‘diharamkan’ untuk ditonjolkan kerana bimbang akan hilang ‘pembaca setia’ kisah dan cerita yang dibawanya seterusnya ‘menghilangkan’ tarbiyyah yang pernah dilalui penulis. Atau lebih kejam apabila dilemparkan “ANTA ADA MASALAH HATI!”.

PENULIS FLEKSIBEL
Penulis adalah manusia fleksibel. Pembaca juga perlulah fleksibel. Berada di dalam dua alam berbeza yang masih bertunjangkan hati yang satu. Dalam pandangan dua dimensi yang membolehkan penulis baikpun pembaca mampu untuk ‘memahami’ dan ‘mengerti’ dengan hakikat kehidupan kini. Adakala seorang penulis perlu ‘berfikrah’ dan adakalanya mereka ‘unfikrah’ di dalam tulisannya. Tetaplah di hati, dakwah bukan hanya pada manusia yang telah ditarbiyyah. Dakwah juga perlu pada mereka yang masih dalam jahiliyyah. “Anta tulis kisah cinta, anta ada masalah hati ni”. Masalah hati juga berlegar-legar pada mereka yang telah ditarbiyyah. Kerana hati ini mudah berbolak-balik. Keluarkan mereka dari sirna kepada sinar.

FIKRAH vs UNFIKRAH
Dakwah untuk semua. Tidak kira pembacanya berfikrah ataupun tidak berfikrah. Asal saja pembaca itu adalah manusia, semuanya sama. Yang membezakan antara satu sama lain hanyalah takwa. Jika penulis hanya menulis apa yang dilaluinya sahaja, maka kecillah skop dakwah itu sedangkan mengapa perlu dikelas-kelaskan pembaca mengikut fikrah mereka? Alangkah indah jika mereka disatukan mengikut fitrah mereka. Agar fitrah dan fikrah ini tidak akan mencetuskan sesuatu bernama fitnah. Penulis adalah insan yang mesti memandang sesuatu dengan dua dimensi dunia supaya mereka dapat menguasai ‘Faham’ dan ‘Mengerti’ pada masa yang sama. Diharapkan pembaca juga mampu sebegitu.

DARI HATI KE HATI
Dari hati akan terus ke hati. Sesuatu tulisan yang disampaikan beserta keikhlasan hati, pastinya tulisan itu juga akan terkesan kepada hati pembaca. Tidak terlalu bermetafora umpama ‘melayang-layang tatkala angin menghembuskan kata-kata alam ke jiwa’. Penulis berusaha sedaya upaya untuk menyentuh hati pembaca, dengan harapan pembaca bisa merasai cerita dan penceritaan kisah itu. Seolah-olah pembaca itulah ‘watak utama’ di dalam kisah tersebut. Itu yang diharapkan seorang penulis supaya kesannya sungguh maknawi.

PENA JIHAD
Jika benar berdakwah hanya melalui ceramah, kuliah maghrib atau lebih tepat untuk dikatakan sebagai dakwah hanya pada mereka yang mahir berbicara, amat rugilah bagi mereka yang hendak berdakwah tetapi tidak mahir berbicara atau berdiri di hadapan orang ramai bagi menyampaikan dakwah. Namun, Islam tidak menyempitkan istilah dakwah sebegitu rupa. Dakwah itu pelbagai. Kepelbagaian Dakwah. Hanya pendakwah perlu memanipulasikan istilah itu dengan lebih bermanfaat.

Jihad Pena. Kerap digunakan mereka yang menceritakan kisah motivasi atau tarbiyyah melalui penulisan. Lakaran pena yang indah dan ikhlas mampu untuk menembusi tempoh hati insani. Tulisan dari hati akan sampai jua pada hati. Tetapkan niat dan tetaplah jiwa dalam dakwah melalui pena ini.


“Dakwah tidak tertumpu hanya pada siasah dan tarbiyyah semata-mata. Sebaliknya penerbitan, kesenian, keusahawanan juga sebahagian dari uslub dakwah. Terpulang kepada bagaimana pendakwah memanfaatkannya”
~Helme Zulkipli~”

0 comments:

Post a Comment