Pages

Subscribe:

Sunday, April 18, 2010

Ku Pilih Kamu: Buat Mereka Terpilih Kaca


“Aku terima nikahnya Norazimah binti Abdul Hazim dengan mas kahwinnya sebanyak RM755, tunai.” Lafaz akad penuh ketenangan di sebalik kekalutan jiwa yang melanda.

“Sah.” Bicara sang saksi tatkala diperhatikan oleh kadi.

“Alhamdulillah.” Suara syukur bergema baik pada pasangan pengantin mahupun para hadirin. Doa kesyukuran dan tasbih memuji Ilahi sentiasa seiring.

Norazimah memandang Nasrul dengan perasaan terharu. Dirinya terpilih untuk menghiasi kamar hati Nasrul. Siti Sara juga terpilih. Terpilih hanya untuk menjadi pengapit kepada pengantin perempuan bernama Norazimah, Isteri pada Nasrul kini. Pandangan Nasrul dan Norazimah bertembung. Bicara hati ke hati melalui gelombang perasaan, hanya melalui tingkah perbuatan.

Terlerailah sebuah kekusutan. Terjawablah semua persoalan. Apakah kau menjadi pilihan. Menjadi peneman hidup berpanjangan. Ya! Kaulah insan yang bertuah. Ku harapkan kau dapat menghilangkan gundah. Saat jiwaku dihimpit resah. Suntikkanlah aku dengan sifat gagah.

Kau bertanya padaku apakah aku menyesal memilih dirimu? Sedangkan kau hanya kaca yang kilauannya persis seperti permata. Jawabku dengan tenang. Aku tidak akan pernah kesal andai aku terpilih kaca. Kerana inilah takdirku. Takdir yang berlaku setelah usahaku disertakan tawakal pada Tuhan yang Satu. Biarlah kau hanya kaca. Biarlah kau bukan permata. Kerana penciptaan kaca dan permata masing-masing mempunyai ceriteranya tersendiri. Kekurangan dan kelebihan yang telahpun tercipta semula jadi. Aku bukan yang terbaik untuk mendamba permata. Aku juga bukanlah insan yang sesuai untuk memegang amanah menjaga permata. Jika dirimu kaca, biarlah menjadi kaca yang pernah menghiasi Istana Sulaiman. Ketika menyambut kehadiran Balqis yang menyembah sang suria. Lalu menapakkan hati Balqis terus pada Tuhan yang Satu, yakni Allah s.w.t. setelah Balqis terpesona dengan kebijaksanaan Sulaiman.

Jika ada yang bertanya bukankah kaca itu akan menyakitkan apabila ianya pecah berderai? Jawabku dengan soalan apakah permata itu terjamin keselamatannya dari cengkaman manusia bersifat tamak? Mereka berkata lagi kaca mampu melukakan kaki manusia walaupun berada jauh dari tempat kaca itu berderai. Balasku permata itu terlalu banyak dugaan dan godaan yang bakal dihadapinya, sesuai dengan kukuhnya binaan dalaman permata. Hanya mereka yang mampu sahaja layak untuk mendambakan amanah bagi menjaga permata.

Lalu beralih soalan. “Mengapa kaca, bukannya permata?”. Persoalan ‘mengapa’ yang memerlukan ‘sebab’ sebagai jawabannya. Pintasku Tuhan tidak membebankan manusia dengan bebanan yang tidak tertanggung oleh hamba-Nya. Apakah aku takut untuk menghadapi dugaan dan godaan yang mencabar? Jawaban aku bahawasanya cabaran itu tetap ada, hanya dalam situasi yang berbeza. Dan Tuhan tidak mahu aku menanggung beban yang tidak terdaya oleh aku. Ini rancangan-Nya.

Duhai yang tersayang. Ini janjiku padamu. Dirimu pelengkap rusuk kiriku. Bantulah aku menghadapi gelombang hidup dengan penuh kesyukuran. Dirimu tulang rusuk yang rapuh. Perliharalah pemikiranmu dengan memahami mehnah duniawi bersama jutaan kesabaran. Syukur dan Sabar adalah kunci kebahagian bersama. Biarpun kau umpama kaca, akan aku menjaga dirimu umpama permata. Tak ku kesal andai ku terpilih kaca. Kerana inilah yang telah berlaku dan inilah jua yang sedang berlaku. Terpatri sudah sebuah janji dengan niat kerana Ilahi. Aku pilih Kamu. Kekal di hatiku.

0 comments:

Post a Comment